Akhir sekali kita akan melihat Interaksi
Tamadun Islam dalam Tamadun Melayu. Interaksi
Tamadun Islam dalam Tamadun Melayu bermula apabila agama Islam berkembang di
Alam Melayu. Menurut (Profesor Dr Hamka,1994), perkembangan Islam di Alam
Melayu ini mulanya dibawa oleh orang Arab yang datang ke Tanah Melayu abad ke-7
Masihi. Hal ini dibuktikan melalui
catatan dari pusaka Tiongkok. Perkembangan
agama di Alam Melayu berlaku secara aman berdasarkan faktor pedagang, geografi,
ekonomi, perkahwinan serta faktor politik dan penaklukan. Sebahagian besar
pedagang Islam masa tersebut datangnya dari Yaman, iaitu sebuah kerajaan Arab
yang bergiat dalam perdagangan.
Hasil interaksi yang boleh dilihat ialah perubahan pemikiran kerana
orang Melayu pada dahulunya dipengaruhi kepercayaan agama Hindu dan Buddha.
Kedatangan Tamadun Islam mengubah corak pemikiran mereka mengikut akidah dan
kepercayaan terhadap Islam. Mereka
percaya Tuhan Yang Maha Esa, perlunya hormat-menghormati antara manusia dan
menitik beratkan soal persamaan taraf. Kedatangan dan penerimaan Islam
menghasilkan ciri utama dalam tamadun Melayu, misalnya mengenai sistem politik
dan pentadbiran. Sistem pemerintahan
empayar Uthmaniyah telah diperkenalkan dan meletakkan sultan sebagai ketua
negara dan ketua agama Islam.
Interaksi tamadun Islam memberi
perubahan besar dari segi kebudayaan orang Melayu kerana kebudayaan
orang Melayu dahulu dipengaruhi oleh agama Hindu dan Buddha. Dengan kedatangan
Islam, hampir kesemua budaya dan adat itu tidak boleh diamalkan kerana
bertentangan dengan syariat Islam. Dari
segi bahasa pula, kedatangan pengaruh Islam menjadikan kosa-kata bahasa
Melayu lebih meluas sehinggakan ia boleh digunakan untuk membahas perkara
ilmiah seperti falsafah. Hal ini adalah kesan daripada kehadiran ilmu Tasawuf,
hukum dan undang-undang, penterjemahan al-Quran, perbahasan ilmu Hadis,
ilmu fekah dan berbagai-bagai ilmu lagi.
Dari segi seni bina pula, hasil interaksi Tamadun Islam sangat
jelas telah mempengaruhi seni bina masjid di Tanah Melayu. Seni bina Masjid ini
kebanyakannya dipengaruhi seni bina daripada Yaman dan Parsi.
No comments:
Post a Comment