Wednesday 12 March 2014

HAMKA ( 1908 – 1981 )

Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA ( 1908 – 1981 ) adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang sangat tersohor di alam Nusantara. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Mininjau Sumatera Barat Indonesia.  Bapanya yang dikenali sebagai Haji Rasul, atau Syeikh Abdul Karim bin Amrullah merupakan seorang pelopor Gerakan Islah di Minangkabau, setelah pulang dari Makkah pada tahun 1906.  Hamka adalah seorang yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam mahupun Barat. Persoalannnya, sejauh manakah sumbangan Hamka di Asia dalam pelbagai ilmu pengetahuan yang beliau kuasai?
Sumbangan beliau dalam ilmu pengetahuan yang kita tidak dapat nafikan ialah beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal.  Hal ini pastinya disebabkan kelebihan yang ada padanya, iaitu kemahiran berbahasa arab yang tinggi. 
Malah, bukan itu sahaja, beliau meniliti karya sarjana Francis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti.  Hal ini menunjukkan bahawa Hamka mempunyai tahap penguasaan bahasa yang sangat baik.
            Selain itu, pada tahun 1929, Hamka telah mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sultan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 Jogjakarta pada tahun 1950.  
              Tindakan  Presiden Sukarno memasukkan Hamka ke dalam penjara atas tuduhan  pro-Malaysia tidak menghalang Hamka dari menyumbang dalam perkembangan ilmu pengetahuan.  Semasa beliau dipenjarakanlah beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah dikeluarkan dari penjara, Hamka telah diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional Indonesia, anggota Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional Indonesia.
            Disamping itu juga, sumbangan Hamka di Asia terserlah dalam pelbagai bidang.  Buktinya, beliau bukan sahaja aktif dalam soal keagamaan dan politik, namun turut merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit.  Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan kepada beberapa buah akhbar yang sangat terkenal pada ketika itu iaitu Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.
            Antara sumbangan Hamka juga ialah dia telah berjaya menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah tyang paling terkenal di Asia ialah Tafsir al-Azhar yang mempunyai lima jilid.  Novel-novelnya yang telah mendapat sambutan telah dijadikan buku teks sastera di Malaysia dan Singapura iaitu “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”, “Di Bawah Lindungan Kaabah” dan “Merantau ke Deli”.
            Sumbangan Hamka dalam pelbagai ilmu pengetahuan tidak dapat disangkal lagi.  Usahanya dalam memartabatkan agama Islam merupakan satu usaha yang murni . Beliau bukan sekadar tokoh Tamadun Islam yang terkenal di Asia.  Namun, beliau merupakan ulama dan sasterawan yang agung di Nusantara khususnya sehingga menyebabkan beliau diangkat menjadi tokoh Tamadun Islam di Asia.


No comments:

Post a Comment