Thursday, 13 March 2014

KONSEP AKHLAK DAN MORAL


Pengertian Akhlak

  • Akhlak dari segi bahasa : berasal daripada perkataan 'khulq' yang bererti perilaku, perangai atau tabiat. Maksud ni terkandung dalam kata-kata Aisyah berkaitan akhlak Rasulullah saw yang bermaksud"Akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran."
  • Akhlak dari segi istilah : Menurut Imam al-Ghazali, "Akhlak ialah suatu sifat dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu."
  • Daripada definisi tersebut dapat kita fahami bahawa akhlak merupakan suatu perlakuan yang tidak memerlukan daya pemikiran di dalam melakukan sesuatu.
  • Akhlak atau moral tidak boleh dipisahkan kerana setiap perbuatan yang diambil tidak terlepas daripada hukuman sama ada terhadap diri/orang lain/benda lain iaitu adakah baik atau tidak tindakan tersebut.
  • Akhlak dalam kehidupan manusia adalah sangat penting sehinggakan orang yang       tidak bermoral merasakan perlu adanya suatu akhlak yang diakui oleh mereka supaya kehidupan menjadi lebih baik.
  • Islam tanpa akhlak seperti rangka yang tidak mempunyai isi, atau jasad yang tidak bernyawa.
  • Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :"Islam itu akhlak yang baik".  Begitu juga sabda Baginda yang bermaksud :"Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada  akhlak yang mulia."
ETIKA

  • Tingkah laku manusia yang selain daripada wahyu, iaitu bersumberkan falsafah

  • ü  Etika adalah lebih khusus daripada akhlak dan moral.
  • ü  Dikaitkan dengan peraturan dan cara tindakan di satu tempat.
  • ü  Terdapat pelbagai etika yang mesti diikuti oleh semua para anggota satu-satu tempat atau pertubuhan
  • ü  Contohnya etika pakaian,  etika penjawat awam, etika seorang pegawai polis, tentera dan sebagainya.

PERSAMAAN = kelakuan dan tingkah laku manusia.

AKHLAK
MORAL
Tingkah laku manusia yang bersumberkan kepada asas wahyu atau syarak
Tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika sama ada baik atau jahat
Akhlak menilai tindakan zahir dan batin manusia
moral menilai tindakan zahir manusia sahaja
Mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain
Mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan manusia sahaja
Akhlak ditentukan oleh Allah melalui al-Quran dan tunjuk ajar oleh Rasulullah
Moral ditentukan oleh manusia
Akhlak bersifat mutlak, sempurna dan tetap
moral bersifat relatif, subjektif dan sementara

Contoh-contoh Perbezaan Antara Akhlak dan Moral

1. Pakaian : orang yang tidak menutup aurat dianggap sebagai orang yang tidak berakhlak kerana melanggar perintah allah. Berbeza dengan moral, seseorang yang mendedahkan aurat tetapi mempunyai perlakuan yang baik dianggap bermoral.
2. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan : Berdasarkan penilaian Barat perkara ini masih dianggap bermoral, sebaliknya jika dilihat dari sudut akhlak Islam, perlakuan sedemikian sudah dianggap tidak berakhlak.
3. Bersalaman : Bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram menurut Islam walaupun tujuannya untuk merapatkan hubungan. Tetapi perkara ini dibolehkan dalam sistem moral.

2) Dalil 

  • Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. [al-Qalam 68:04]
  • Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik [al-Ahzab 33:21]
  • Sesungguhnya aku diutus tidak lain untuk menyempurnakan akhlak yang salih.
  • Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.
  • Tiada sesuatu yang lebih memberatkan timbangan (pada Hari Akhirat) berbanding akhlak yang baik.
  • Sesungguhnya Allah mencintai sikap lemah lembut dalam segala urusan.
  • Dalam riwayat yang lain, para sahabat radhiallahu ‘anhum pernah bertanya: “Siapakah orang yang paling dicintai oleh Allah?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Orang yang paling baik akhlaknya.” 
  • Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian dan yang paling hampir tempat duduknya dengan aku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling tidak aku sukai dan paling jauh tempat duduknya dari aku pada Hari Kiamat adalah orang yang banyak berbicara, bermulut besar dan sombong
SUMBER AKHLAK ISLAM

  • Dua sumber yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ini ditegaskan oleh Rasulullah saw dalam sepotong hadith yang bermaksud :"Sesungguhnya aku diutuskan hanya semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

  • Allah swt telah memuji Rasulullah kerana akhlaknya yang baik seperti yang terdapat dalam al-Quran, firman Allah swt yang bermaksud :
"Sesungguhnya engkau seorang memiliki peribadi yang agung (mulia)."

ü  Sumber akhlak Islam ialah syariat Islam.
ü  Sumber moral adalah akal fikiran dan adat setempat
ü  Sumber etika ialah pihak yang bertanggungjawab yang menubuhnya.  

  • Akhlak Islam tidak boleh dipraktikkan dalam moral dan walaupun orang ramai melakukannya, contohnya
  • ü  bersalaman antara lelaki dan perempuan,
  • ü  polis dan tentera tidak boleh menyimpan janggut,
  • ü  Pakai seluar pendek untuk banduan dan pemain bola
 SKOP AKHLAK ISLAM

AKHLAK DENGAN ALLAH :


  • Beriman kepada Allah : iaitu meyakini bahawa Allah itu wujud serta beriman dengan rukun-rukunnya dan melaksanakan tuntutan dan meninggalkan larangannya.
  • Beribadah atau mengabdikan diri, tunduk, taat dan patuh kepada Allah : iaitu melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya dengan ikhlas semata-mata kerana Allah swt.
  • Sentiasa bertaubat dengan Tuhannya : segera sedar dan insaf serta meminta taubat atas kecuaiannya.
  • Mencari keredhaan Tuhannya : iaitu sentiasa mengharapkan Allah dalam segala usaha dan amalannya
  • Melaksanakan perkara-perkara yang wajib, fardhu dan nawafil.
  • Redha menerima Qadha' dan Qadar Allah :
 AKHLAK DENGAN RASULULLAH

ü  beriman dengan penuh keyakinan bahawa nabi Muhammad dan mengamalkan sunnah yang baik yang berbentuk suruhan ataupun larangan.

-Akhlak dengan ibubapa :

ü  berbuat baik kepada ibu bapa. Contohnya berkata dengan sopan dan hormat, merendahkan diri, berdoa untuk keduanya dan menjaga keperluan hidupnya apabila mereka telah uzur dan sebagainya.  Firman Allah swt yang bermaksud :" Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapa." 

-AKHLAK DENGAN GURU :

  • Maksud dari sebuah hadith Nabi saw: "Muliakanlah orang yang kamu belajar daripadanya." Guru mengajarkan sesuatu ilmu yang mana dengan ilmu tersebut manusia dapat menduduki tempat yang mulia dan terhormat dan dapat mengatasi berbagai kesulitan hidup sama ada kehidupan di dunia ataupun di akhirat.
-AKHLAK KEPADA JIRAN TETANGGA :

  • Berbuat baik terhadap jiran tetangga. Contohnya tidak menyusahkan atau mengganggu mereka seperti membunyikan radio kuat-kuat, tidak membuang sampah di muka rumah jiran, tidak menyakiti hati mereka dengan perkataan-perkataan kasar atau tidak sopan dan sebagainya.
  • Memberikan sesuatu pemberian kepada mereka sama ada sokongan moral atau material
Akhlak terhadap makhluk selain manusia (alam):

  • Alam : Manusia diperintahkan untuk memakmurkan sumber-sumber alam demi kebaikan bersama. Islam menetapkan bahawa alam ini tidak boleh dicemari dengan kekotoran yang boleh merosakkan kehidupan manusia dan kehidupan lainnya.

Wednesday, 12 March 2014

Syeikh Daud Al-Fatani

Syeikh Wan Daud bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan idris atau lebih dikenali sebagai Syeikh Daud Al-Fatani (1769-1847) (juga dikatakan Wan Senik) al-Fatani. Beliau juga turut dikenali sebagai al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani.  Beliau telah mendapat pendidikan awal di Institusi pendidikan tradisional, yang mana pada ketika itu, Acheh dan Patani sangat terkenal sebagai pusat pendidikan Islam Tradisional yang terkenal pada waktu itu.  Jadi, apakah pula sumbangan beliau dalam pelbagai ilmu pengetahuan sehinggakan beliau  turut dimasukkan ke dalam senarai tokoh Tamadun Islam di Asia?
            Sumbangannya lebih kepada ilmu kesufian kerana beliau adalah seorang tokoh ulama Ahli Syariat dan Haqiqat yang lebih banyak terjun ke dunia kesufian. Syeikh Daud al-Fathani banyak memperoleh ilmu dari Syeikh Muhammad Shaleh bin Abudr Rahman terutamnya ilmu kesufian. Hal ini bermula ketika beliau melanjutkan pelajaran di Mekah.  Syeikh Daud al-Fathani banyak mendekati para ulama Patani yang telah bermastautin di Mekah. Di antara ulama Patani yang telah diiktiraf dan dibolehkan mengajar di Masjidil Haram ialah Syeikh Muhammad Shaleh bin Abdur Rahman al-Fathani.
         Syeikh Daud al-Fathani adalah seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan dalam menghasilkan kitab-kitab karangan beliau yang masih diguna pakai sehingga ke hari ini. Apatah lagi bahawa Beliau merupakan seorang pengarang yang terkenal di Asia Tenggara. Sebahagian besar karya-karya beliau sangat terkenal di Asia Tenggara, bahkan masih digunakan untuk pengajaran dan dikaji oleh pelbagai golongan sehingga kini.  Selain itu juga, beliau bukan sahaja turut menyumbang dalam bidang fiqh, tetapi juga dalam pelbagai bidang lain.  Hal ini dapat dibuktikan melalui karya-karya beliau yang walaupun ditinggalkan sekian lama, tetapi masih juga digunakan pada masa kini.   
         Antara sumbangan beliau yang paling jelas dalam ilmu pengetahuan ialah melalui penghasilan karya-karya seperti Kitab Bughyat al-Tullab. Kitab ini adalah kitab yang berkaitan bahagian ibadat yang dimulai dengan Sirat al-Mustaqim (1044-1054 H), karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri Acheh dan Sabil al-Muhtadin (1193 H), karya Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Tiga buah buku tersebut adalah tiga kitab Jawi besar yang terlengkap dalam perkara ibadat di alam Melayu. Pada bahagian Mukaddimah, Syeikh Daud al-Fathani mencantumkan beberapa hadis tentang ilmu pengetahuan dan sejarah ringkas Imam Syafie. Bukan itu sahaja, beliau juga turut memberi sumbangan dalam kesusasteraan Melayu Klasik.  Hal ini terbukti apabila beliau turut berupaya  mencipta syair, puisi dan nazam.  Jelaslah disini bahawa, sumbangan Syeikh Daud al-Fathani turut membawa sinar kepada agama islam khususnya dalam bidang kesusasteraan.  Apatah lagi dengan karangan kitab-kitab yang beliau hasilkan inilah yang menjadikan beliau dapat memberi sumbangan yang besar dalam tamadun Islam di Asia Tenggara. 

HAMKA ( 1908 – 1981 )

Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai HAMKA ( 1908 – 1981 ) adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang sangat tersohor di alam Nusantara. Beliau lahir pada 17 Februari 1908 di kampung Molek, Mininjau Sumatera Barat Indonesia.  Bapanya yang dikenali sebagai Haji Rasul, atau Syeikh Abdul Karim bin Amrullah merupakan seorang pelopor Gerakan Islah di Minangkabau, setelah pulang dari Makkah pada tahun 1906.  Hamka adalah seorang yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam mahupun Barat. Persoalannnya, sejauh manakah sumbangan Hamka di Asia dalam pelbagai ilmu pengetahuan yang beliau kuasai?
Sumbangan beliau dalam ilmu pengetahuan yang kita tidak dapat nafikan ialah beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal.  Hal ini pastinya disebabkan kelebihan yang ada padanya, iaitu kemahiran berbahasa arab yang tinggi. 
Malah, bukan itu sahaja, beliau meniliti karya sarjana Francis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti.  Hal ini menunjukkan bahawa Hamka mempunyai tahap penguasaan bahasa yang sangat baik.
            Selain itu, pada tahun 1929, Hamka telah mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sultan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 Jogjakarta pada tahun 1950.  
              Tindakan  Presiden Sukarno memasukkan Hamka ke dalam penjara atas tuduhan  pro-Malaysia tidak menghalang Hamka dari menyumbang dalam perkembangan ilmu pengetahuan.  Semasa beliau dipenjarakanlah beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah dikeluarkan dari penjara, Hamka telah diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional Indonesia, anggota Majlis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional Indonesia.
            Disamping itu juga, sumbangan Hamka di Asia terserlah dalam pelbagai bidang.  Buktinya, beliau bukan sahaja aktif dalam soal keagamaan dan politik, namun turut merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit.  Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan kepada beberapa buah akhbar yang sangat terkenal pada ketika itu iaitu Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.
            Antara sumbangan Hamka juga ialah dia telah berjaya menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah tyang paling terkenal di Asia ialah Tafsir al-Azhar yang mempunyai lima jilid.  Novel-novelnya yang telah mendapat sambutan telah dijadikan buku teks sastera di Malaysia dan Singapura iaitu “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”, “Di Bawah Lindungan Kaabah” dan “Merantau ke Deli”.
            Sumbangan Hamka dalam pelbagai ilmu pengetahuan tidak dapat disangkal lagi.  Usahanya dalam memartabatkan agama Islam merupakan satu usaha yang murni . Beliau bukan sekadar tokoh Tamadun Islam yang terkenal di Asia.  Namun, beliau merupakan ulama dan sasterawan yang agung di Nusantara khususnya sehingga menyebabkan beliau diangkat menjadi tokoh Tamadun Islam di Asia.


Sheikh Tahir Jalaluddin

Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari atau turut dikenali juga dengan nama Muhammad Tahir bin Syeikh Muhammad ( 9 Disember 1869 – 26 Oktober 1956 ) telah dilahirkan pada hari selasa, 4 Ramadhan, tahun 1286 Hijrah bersamaan 7 Disember 1869.  Sumbangan apakah yang telah beliau lakukan sehinggakan beliau dijadikan tokoh Tamadun Islam di Asia?
            Sumbangan beliau paling terserlah dalam bidang Falak Syari di alam Melayu Nusantara yang mana beliau telah memantapkan lagi bidang fardhu kifayah tersebut menerusi pengajaran, penggunaan dan penyebaran ilmu berkaitan ilmu falak terutamanya  kepada ‘alim ulamak yang bertanggungjawab dalam membuat taqwim Islam tempatan.
            Kemahirannya dalam ilmu pengetahuan yang dikuasainya telah menyebabkan beliau dijemput oleh yang Yang Mulia Tengku Omar bin Ahmad, Hakim Besar Johor, bagi mengajar hakim-hakim pengadilan di mahkamah Johor. Di antara hakim-hakim yang mendapat tunjuk ajar beliau ialah Ungku Ismail bin Ahmad, Ungku Abdul Rahman bin Abdul Majid dan lain-lain pengadil bangsa Melayu.  Hal ini berlaku apabila beliau telah mula mendalami ilmu al-Quran semenjak beliau tinggal di Makkah pada tahun 1297 H (1880 M ).  Berdasarkan ilmu yang dipelajarinya itu, tidak hairanlah  jika dia sangat mahir dalam soal yang berhubung dengan masalah agama Islam.
            Pada tahun 1914, beliau telah menyumbang dalam bidang pendidikan islam di Johor semenjak bertugas sebagai guru di sekolah Agama Johor Baharu dan menjadi pemeriksa sekolah-sekolah agama Johor ( Nazir ) setelah beliau telah meletakkan jawatan sebagai guru kepada hakim-hakim di Johor Baharu.  Dua tahun setelah kembali ke Perak pada tahun 1920, beliau telah diminta oleh rakan seperjuangannya Syed Syeikh Bin Ahmad Al-Hadi, untuk menjadi guru di Madrasah Al-Masyhur Al-Islammiyah di Pulau Pinang bersama-sama seorang rakannya Syeikh Abdullah Maghribi. Di Madrasah tersebut beliau ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran ilmu Falak kepada pelajar-pelejar Madrasah itu.
       Sumbangan beliau dalam ilmu pengetahuan banyak dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat. Sebagai contoh, beliau sering diberi kepercayaan untuk membantu menyelesaikan masalah hukum agama berdasarkan keilmuannya yang luas baik di dalam ilmu Falak mahupun yang berhubung dengan soal keagamaan.
            Bertitik tolak daripada itu, Syeikh Tahir juga telah dilantik oleh Sultan Idris, Perak untuk menjadi pemeriksa kiblat di seluruh negeri Perak. Disebabkan terlalu banyak kekeliruan timbul dalam hal berkaitan dengan hala kiblat masjid, Syeikh Tahir Jalaluddin telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan dua buah buku iaitu buku Pati Kiraan pada menentukan waktu yang lima dan Hal Kiblat dengan Logarithma, yang telah diterbitkan di Singapura melalui al-Ahmadiah Press pada tahun 1938. Seterusnya pada tahun 1951 diterbitkan pula buku Natijah al-Ummi.
            Disebabkan keilmuannya dalam bidang ilmu Falak telah menyebabkan beliau digelar sebagai Syeikh Tahir Jalaluddin Al-Falaki.  Kegigihannya dalam menyumbangkan tenaga untuk menyebarkan pengetahuannya ini amat jelas kelihatan. Misalnya ketika beliau berusia 79 tahun. Beliau telah pergi ke Bangkok, Thailand untuk mengajar perkiraan menentukan arah kiblat. Menjelang usia 83 tahun, Syeikh Tahir dijemput pula oleh pihak Jabatan Agama Johor untuk mengajar Ilmu Falak kepada kakitangan jabatan itu apatah lagi apabila perkara ini berlangsung selama enam bulan dengan berulang alik dari Kuala Kangsar ke Johor Baharu.  
           Syeikh Tahir Jalaluddin juga telah memberi sumbangan yang besar kepada majalah “ Al-Unwati Al-Wuthuqa”. Beliau juga telah mengarang kitab “ Al-Islam Wan Nasraniah maal Ilmi wal Madaniah”. Hasil karya beliau yang lain pula ialah sebuah kitab yang diberi nama “ Al-Islam Wannaddu Ala Muntaqidihi”.  Sumbangan beliau pastinya masih dikenang oleh masyarakat islam di Asia khasnya.

Pengaruh Tamadun Islam Di Asia

Islam telah bertapak meliputi negara asia tenggara iaitu tanah melayu (Malaysia), Indonesia,Thailand dan Filipina melalui kedatangan pedagang arab yang datang berdagang di nusantara. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah membawa banyak perubahan sebagaimana yang disebut oleh Syed Naquib al-Attas sebagai pencetus kepada zaman baru. Perubahan yang dibawa merupakan perubahan yang menyeluruh berteraskan tauhid.  Persoalannya, sejauh manakah pengaruh tamadun islam telah membawa perubahan kepada masyarakat di asia?
            Pengaruh tamadun Islam adalah sangat jelas dalam sistem pendidikan di asia. Selepas kedatangan Islam, golongan bawahan menerima pendidikan yang sama seperti golongan atasan. Sistem pendidikan yang bermula di istana mula beralih ke beberapa institusi pendidikan Islam seperti pondok dan madrasah.  Melalui sistem pengajian ilmu tersebut lahirlah para cendiakawan dan ulama­ ulama Melayu yang menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli agama. Antara tokoh-tokoh Melayu yang terkenal ialah Syeikh Abdul Malik Abdullah, Sheikh Wan Hasan Wan Ishak dan ramai lagi (Hashim Hj. Musa, 2004 : 46).
          Sebagai buktinya, pengaruh daripada tamadun Islam telah membawa perubahan yang besar terhadap sistem pendidikan di Melaka.  Contohnya, aktiviti pendidikan bukan sahaja berlangsung di istana.  Malahan ia juga berfungsi sebagai perpustakaan atau tempat penyalinan dan terjemahan. Di samping itu, tempat-­tempat lain yang digunakan sebagai tempat pengajian ialah rumah-rumah ulama, masjid, madrasah dan surau.  Di Melaka sendiri, sultan yang pertama bermula dari Megat Iskandar Shah (1414M) sehinggalah sultan-sultan terakhir sebelum 1511M, sangat mengambil berat mengenai perkembangan pendidikan. Pengajian Islam tidak hanya berlaku di rumah-rumah, masjid-masjid dan surau-surau, bahkan ianya juga turut berlaku di istana sultan.
            Pengaruh Tamadun Islam di asia juga turut menonjol dari segi bahasa dan kesusasteraan.  Bahasa Melayu telah menerima pengaruh ajaran Islam bermula abad ke-14 Masihi.  Pada awal abad ke-14, kedudukan agama Islam semakin teguh dan penyebarannya semakin meluas di Asia Tenggara. Bukti keteguhan kedudukan agama Islam di daerah ini dapat dilihat daripada kewujudan penggunaan tulisan Jawi oleh orang-orang Melayu pada ketika itu.
            Pada era kerajaan Melayu Melaka (1400-1511M) misalnya, bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca bagi lapan puluh empat bahasa yang dituturkan oleh masyarakat Melaka ketika itu.  Tahap perkembangan bahasa Melayu daripada bahasa Melayu klasik berkembang kepada bahasa yang mempunyai nilai peradaban yang tinggi telah berlaku pada dua zaman iaitu zaman peralihan (abad ke-19M) dan zaman moden (abad ke-20M) (Mahayudin Hj. Yahya, 1998: 91).  Tulisan Arab mulai diperkenalkan setelah kedatangan Islam.
            Dari segi bahasa, perubahan besar telah berlaku apabila masyarakat Melayu menyesuaikan perkataan Arab ke dalam bahasa Melayu. Perubahan ini dipermudahkan lagi setelah tulisan Arab diubahsuai dan dikenali sebagai tulisan Jawi. Melalui sistem tulisan ini, bahasa Melayu sangat memainkan peranan yang lebih penting apabila ianya digunakan untuk menulis kitab-kitab agama, hikayat-hikayat, undang-undang dan pentadbiran. 
            Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pengantar bagi persuratan dan juga sebagai alat penyebaran dan penyampaian agama Islam di seluruh Alam Melayu. Tulisan jawi telah digunakan semasa permulaan kedatangan Islam.  Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar agama Islam telah menaikkan taraf, kecekapan dan kewibawaannya.  Kedatangan Islam mengangkat martabat bahasa Melayu ke arah mengungkapkan sesuatu yang bersifat ilmiah dan saintifik sehinggakan ianya telah mencapai taraf lingua franca yang digunakan secara meluas di Alam Melayu. Kesan daripada itu, terdapat penggunaan kata dari bahasa Arab yang dipinjam dan telah digunapakai dalam bahasa Melayu.
            Kedatangan tamadun Islam ke asia juga telah membawa pengaruh yang besar terhadap warisan kesusasteraan melayu. Banyak hasil kesusasteraan Melayu ditulis seperti Hikayat Nabi Muhammad, Hikayat Para Nabi dan Rasul, Hikayat Para Sahabat, Hikayat Para Pahlawan Islam dan Hikayat Ahli-ahli Sufi dan Orang-orang Yang Salih.  Manakala puisi terkenal yang dipengaruhi oleh sastera Islam contohnya ialah Syair Perahu, Syair Burung Pingai oleh Hamzah Fansuri dan Syair Makrifat oleh Abdul Rauf Fansuri. Melalui tulisan jawi, agama Islam telah dapat diperkembangkan. Begitu juga dengan Bahasa dan kesusasteraan Melayu, ianya juga berkembang melalui tulisan jawi. Pada masa yang sama, bahasa Melayu telah diperkayakan dengan kata-kata pinjaman serta istilah daripada bahasa Arab.
            Apa yang jelas dari segi sistem perundangan pula, pengaruh daripada tamadun Islam telah banyak mempengaruhi sistem perundangan di asia khususnya di Alam Melayu. Sistem perundangan tempatan turut mengalami perubahan seperti yang tercatat dalam Hukum Kanun Melaka, Adat Pepatih dan Adat Temenggung. Undang-undang adat yang tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam dikekalkan. Contohnya hakim boleh menggunakan budi bicaranya sama ada menjatuhkan hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri ataupun didenda dan dipenjara sahaja. Setelah Islam datang dan tersebar di seluruh Nusantara, sistem perundangan masyarakat Melayu juga berubah kepada sistem adat dan Islam. Contohnya Melaka mempunyai Hukum Kanun Melaka yang meliputi tanah, sungai, dusun dan setiap tanah jajahan takluk Melaka. Undang-undang Laut Melaka meliputi perusahaan perkapalan, perdagangan di laut dan di darat dan kegiatan yang berkaitan dengannya.
            Oleh kerana Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang induk yang meliputi undang-undang lain di dalam negeri-negeri Melayu, amatlah tepat jika ianya dijadikan contoh tentang wujudnya pengaruh tamadun Islam di asia dalam perundangan. Menurut beberapa orang sarjana barat seperti William R. Roff dan Alfred P. Rubin, Hukum Kanun Melaka atau Undang-Undang Melaka pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping berpegang kepada hukum akal dan hukum adat. Pendapat-pendapat tersebut adalah terbukti sejajar dengan perkataan-perkataan yang terdapat di dalam undang-undang tersebut antaranya menyebut, "...Mengikut hukum Allah, pada hukum Allah, menurut dalil al-Quran dan menurut amr bi al-ma'ruf wa nahyi'ani al-munkar".
          Manakala, dari segi politik dan pemerintahan pula, sistem politik dan pentadbiran masyarakat Melayu telah berubah dan dipadankan dengan ajaran Islam kesan pengaruh daripada Tamadun Islam. Gelaran raja bertukar kepada sultan dan disamakan dengan khalifah seperti yang diperkenalkan dalam sistem politik Islam.   Konsep dewaraja bertukar kepada konsep sultan. Ia merupakan suatu gelaran kepada orang yang diamanahkan mentadbir sesebuah negeri dan pada masa yang sama berperanan sebagai khalifah Allah SWT di bumi.  
         Bukan itu sahaja, dalam sistem kekeluargaan pula turut dapat diperhatikan bahawa wujudnya pengaruh Tamadun Islam ke atas asia tenggara.  Hal ini terbukti apabila kedatangan Islam ke asia telah memantapkan lagi sistem kekeluargaan masyarakat Melayu.  Dalam masyarakat Melayu, pembentukan jati diri dan peribadi Melayu yang baik, beragama, berakhlak dan berbudi bahasa menjadi keutamaan.  Sistem kekeluargaan masyarakat Melayu berteraskan Islam dan adat. Sejak lahir lagi seseorang itu dididik berteraskan Islam dan adat sehinggalah mereka dewasa. Contohnya sebaik sahaja seseorang itu dilahirkan, bapa atau datuk akan mengazankan bayi lelaki, atau mengiqamatkan bayi perempuan. Tujuannya ialah untuk memperdengarkan buat pertama kalinya kepada bayi itu seruan azan dan kalimah syahadah dan meniupkan roh dan semangat Islam kepada bayi tersebut.
            Malah, proses sosialisasi pada tahap kanak-kanak juga turut memperlihatkan penerapan unsur-unsur Islam yang berterusan hasil daripada pengaruh daripada Tamadun Islam. Seseorang kanak-kanak sejak kecil lagi diajar konsep-konsep dosa, pahala, halal, haram dan sebagainya. Setelah meningkat umur lima tahun ke atas, kanak-kanak juga diajar untuk bersembahyang, berpuasa dan lain-lain. Selain itu, mereka juga diajar supaya hormat-menghormati, bertolak ansur dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam menjalani kehidupan seharian. 
            Bahkan, pengaruh Tamadun Islam di asia yang paling besar jelas sekali dapat dilihat melalui adat dan cara hidup mereka.  Tradisi animisme dan Hinduisme telah diganti dengan adat dan cara hidup Islam yang dilakukan sejak individu itu lahir di dunia sehinggalah hari kematiannya. Islam telah mengubah corak hidup masyarakat Melayu di dalam segala aspek kehidupan manusia.  Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu mengamalkan adat tradisi warisan nenek moyang mereka. Apabila masyarakat Melayu mula menganuti ajaran Islam, adat-adat dalam masyarakat Melayu mula diubahsuai supaya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Adat masyarakat Melayu juga telah mengalami perubahan dengan kedatangan ajaran Islam di rantau ini.  
         Selain daripada mengubah sistem kepercayaan, Islam juga telah mengenepikan adat yang dianggap bercanggah dengan akidah dan kepercayaan Islam.  Perubahan yang jelas telah berlaku terhadap masyarakat Melayu dari segi adat resam dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat apabila kedatangan Islam ke asia telah mengatur kehidupan masyarakat agar kehidupan yang dilalui itu berlangsung dalam suasana aman dan harmoni.
Dalam bidang kesenian pula, pengaruh Islam dapat dikesan pada batu-batu nisan, binaan-binaan, masjid-masjid dan perhiasan seperti seni khat dan sebagainya.  Secara umumnya, pada makam atau batu-batu nisan pada ketika itu terdapat tulisan-tulisan dan kalimah Arab dan beberapa potongan ayat-ayat Al Quran. 
            Selain daripada batu-batu nisan, bentuk masjid juga memperlihatkan pengaruh daripada tamadun islam di asia.  Ianya merupakan karya dan seni bina Islam yang terpenting di Nusantara.  Dari segi corak dan polanya, bangunan masjid yang menunjukkan kronologi dari abad ke-14 sehinggalah ke-18 Masihi masih lagi mempertahankan rekaan berbentuk struktur tradisional.  Walau bagaimanapun, masjid berfungsi sebagai tempat-tempat ibadat.  Jadi, sudah tentulah pengaruh Islam lebih tertonjol dan banyak kelihatan pada binaan tersebut.  Tiap-tiap bahagian bangunannya memberi gambaran kosmologi atau gambaran alam semesta yang mana setiap bahagian tersebut mempunyai pengertian dan peranan yang tersendiri.  
          Kesimpulannya, tamadun Islam telah banyak memberi pengaruh yang besar terutamanya kepada masyarakat dan tamadun Melayu di Asia. Proses penyerapan Islam ini telah berlaku secara berperingkat-peringkat di kalangan masyarakat Melayu yang bermula daripada golongan istana, pembesar sehinggalah kepada rakyat biasa. Proses Islamisasi ini menjadikan masyarakat Melayu akhirnya dapat menerima ajaran Islam dengan baik. Hal ini sudah pasti disebabkan keistimewaan ajaran Islam itu sendiri yang jelas dilihat sebagai suatu agama yang harmoni.  Ianya juga bertunjangkan Al Quran dan As sunnah sebagai sumber atau rujukan utama bagi memandu hidup manusia ke arah landasan islam yang sebenar.

            

Interaksi Tamadun Islam Dalam Tamadun Melayu.

Akhir sekali kita akan melihat Interaksi Tamadun Islam dalam Tamadun Melayu.  Interaksi Tamadun Islam dalam Tamadun Melayu bermula apabila agama Islam berkembang di Alam Melayu. Menurut (Profesor Dr Hamka,1994), perkembangan Islam di Alam Melayu ini mulanya dibawa oleh orang Arab yang datang ke Tanah Melayu abad ke-7 Masihi.  Hal ini dibuktikan melalui catatan dari pusaka Tiongkok.  Perkembangan agama di Alam Melayu berlaku secara aman berdasarkan faktor pedagang, geografi, ekonomi, perkahwinan serta faktor politik dan penaklukan. Sebahagian besar pedagang Islam masa tersebut datangnya dari Yaman, iaitu sebuah kerajaan Arab yang bergiat dalam perdagangan.
          Hasil interaksi yang boleh dilihat ialah perubahan pemikiran kerana orang Melayu pada dahulunya dipengaruhi kepercayaan agama Hindu dan Buddha. Kedatangan Tamadun Islam mengubah corak pemikiran mereka mengikut akidah dan kepercayaan terhadap Islam.  Mereka percaya Tuhan Yang Maha Esa, perlunya hormat-menghormati antara manusia dan menitik beratkan soal persamaan taraf. Kedatangan dan penerimaan Islam menghasilkan ciri utama dalam tamadun Melayu, misalnya mengenai sistem politik dan pentadbiran.  Sistem pemerintahan empayar Uthmaniyah telah diperkenalkan dan meletakkan sultan sebagai ketua negara dan ketua agama Islam.  
        Interaksi tamadun Islam memberi perubahan besar dari segi kebudayaan orang Melayu kerana kebudayaan orang Melayu dahulu dipengaruhi oleh agama Hindu dan Buddha. Dengan kedatangan Islam, hampir kesemua budaya dan adat itu tidak boleh diamalkan kerana bertentangan dengan syariat Islam.  Dari segi bahasa pula, kedatangan pengaruh Islam menjadikan kosa-kata bahasa Melayu lebih meluas sehinggakan ia boleh digunakan untuk membahas perkara ilmiah seperti falsafah. Hal ini adalah kesan daripada kehadiran ilmu Tasawuf, hukum dan undang-undang, penterjemahan al-Quran, perbahasan ilmu Hadis,  ilmu fekah dan berbagai-bagai ilmu lagi.  Dari segi seni bina pula, hasil interaksi Tamadun Islam sangat jelas telah mempengaruhi seni bina masjid di Tanah Melayu. Seni bina Masjid ini kebanyakannya dipengaruhi seni bina daripada Yaman dan Parsi.  

Interaksi Tamadun Jepun Dalam Tamadun Melayu

Interaksi tamadun jepun dalam tamadun melayu dapat dilihat melalui dasar politik.  Hasilnya, Jepun telah memperkenalkan pentadbiran tentera di Tanah Melayu bercorak ketenteraan di bawah pengawasan seorang Jeneral.  Pentadbiran di Tanah Melayu dibahagikan kepada dua iaitu Negeri-Negeri Selat diperintah oleh seorang Gabenor yang beribu pejabat di Singapura. Nama Singapura telah diubah kepada Syonan yang bermaksud cahaya Selatan.   Semenanjung Tanah Melayu pula diperintah oleh seorang presiden atau gunseikan. Tanah Melayu dibahagikan kepada lapan wilayah dan setiap wilayah diketuai oleh seorang Gabenor Jepun.
            Pengaruh daripada interaksi tamadun jepun telah menyebabkan Sistem ekonomi bebas ditukar kepada sistem ekonomi kawalan. Perdagangan dengan dunia luar terputus.  Jepun tidak menggalakkan sebarang urusan perdagangan.  Perdagangan di antara Singapura dan Pulau Pinang dengan dunia Barat juga telah terputus. Perniagaan dan perdagangan dalam negeri telah dikuasai oleh pihak Jepun.  Jepun hanya berminat mengeksploitasi sumber alam negara kita bagi kepentingan negaranya. Galian besi dan bauksit juga dieksplotasi bagi kegunaan industri dan membuat senjata perang.
Interaksi tamadun jepun yang paling jelas dilihat ialah apabila Jepun menerapkan Dasar Niponisasi iaitu dasar Penjepunan terhadap Tanah Melayu.  Antara dasar yang diterapkan ialah layanan yang berbeza diberikan kepada penduduk tempatan oleh pihak Jepun.  Semua kaum iaitu orang melayu, Cina dan India mengalami penyeksaan, penderitaan, kebuluran, ketakutan dan pengangguran. Layanan yang berbeza ini telah menyebabkan atau mewujudkan permusuhan kaum antara orang Cina dengan orang Melayu.
            Dasar Penjepunan juga dilakukan dalam sistem pendidikan iaitu sekolah-sekolah Inggeris dan Tamil diganti dengan sistem pendidikan Jepun. Sistem pendidikan ini menekankan beberapa aspek seperti pembentukan akhlak dan disiplin taat setia kepada Maharaja Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan Jepun.  Selain itu kebudayaan Jepun juga disebarkan melalui sistem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar tentang istiadat dan lagu kebangsaan Jepun iaitu Kimigayo. Lagu ini dinyanyikan pada setiap pagi ketika menghadap matahari terbit.

Interaksi Tamadun India Dalam Tamadun Melayu

Seterusnya, kita beralih kepada Interaksi tamadun india dalam tamadun melayu.  Interaksi kedua-dua tamadun ini telah bermula sejak abad ke-3 SM. Buktinya, bahan bertulis dari India ada menyebut tentang Malayadvipa yang bermaksud Semenanjung Melayu.  Hasil daripada interaksi ini, agama Hindu dan Buddha telah disebarkan dan menjadi pegangan penduduk tempatan yang sebelumnya memegang kepercayaan animisme.  Antara tinggalan pengaruh ajaran Hindu ialah Candi Bukit Batu Pahat di Lembah Bujang ketika kerajaan Chola menguasai Kedah.
            Hasil daripada interaksi dengan tamadun melayu telah menyebabkan sistem pemerintahan kita pada hari ini juga mempunyai unsur-unsur konsep ketuhanan agama Hindu berdasarkan konsep ”Dewaraja”.  Kesannya, warisan ini masih dikekalkan seperti membesarkan keagungan dan kedudukan Raja dalam upacara pertabalan raja. Struktur masyarakat dalam masyarakat Melayu dahulu juga telah dipengaruhi oleh sistem kasta. Keadaan ini membawa kepada kemunculan masyarakat feudal dalam kehidupan masyarakat Melayu.  Adat resam dan budaya masyarakat Melayu juga turut menerima pengaruh daripada agama Hindu iaitu amalan jampi dan mantera. Ini dapat dilihat daripada golongan bomoh atau dukun ketika melakukan upacara yang berkenaan. Amalan seperti melenggang perut, bertindik telinga, bersanding dan berinai serta mencecah garam dan menjejak kaki ke bumi bagi bayi dalam masyarakat Melayu juga dipengaruhi oleh amalan masyarakat India.  
           Bahasa adalah unsur yang ketara dipengaruhi oleh interaksi kedua-dua tamadun ini. Tamadun Melayu menerima pengaruh bahasa Sanskrit yang diubah sedikit menjadi kosa kata bahasa Melayu. Penemuan Batu Bersurat Talang Tuwo (684 M) dan Batu Bersurat Karang Berahi (692 M) membuktikan pengaruh bahasa Sanskrit dalam bahasa Melayu kuno ketika itu.  Antara contoh bahasa Sanskrit yang mempengaruhi bahasa Melayu lama ialah bhakti (bakti), prakara (perkara) dan vela (bila).  Unsur terakhir yang telah dipengaruhi dalam interaksi ini ialah kesusasteraan. Contohnya, kesusasteraan Sanskrit seperti Epik Ramayana dan Mahabhrata. Hikayat Seri Rama telah diinspirasikan daripada Epik Ramayana manakala versi tempatan bagi Epik Mahabhrata ialah Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Pandawa, Hikayat Panda Delima dan Hikayat Sang Boma. 

Interaksi Tamadun China Dalam Tamadun Melayu

Rekod rasmi China yang menyatakan bahawa Kedah pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan China melalui kedatangan China ke Kedah yang bertarikh 638 M menunjukkan interaksi di antara Tamadun Melayu dan Tamadun China. Kesan daripada interaksi ini, penyebaran agama Islam di Tanah Melayu di peringkat awal telah dikatakan datang dari Tanah Besar China ekoran daripada hubungan perdagangan kedua-dua belah pihak. Hal ini terbukti dengan penemuan batu bersurat di Campa bertarikh 1039, di Brunei (1048) dan di Laren, Jawa (1082) yang mengatakan Islam datang dari Canton dan Hainan pada kurun ke-9.
        Selain itu, hasil interaksi ini menyebabkan Tamadun Melayu juga mewarisi Cina Peranakan yang dikenali sebagai Baba dan Nyonya. Kebudayaan Baba dan Nyonya pula mempunyai unsur-unsur kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu Baba pula banyak dipengaruhi oleh perkataan Hokkien iaitu salah satu cabang dalam bahasa Cina. Cina Peranakan juga turut dipengaruhi oleh gaya masakan Melayu dan mereka juga biasa makan menggunakan tangan. Malahan, golongan ini menggunakan kebaya dan kain sarong sebagai pakaian mereka seharian.  Disebabkan oleh pertukaran barang yang dijadikan sebagai hadiah, Tamadun Melayu telah diperkenalkan dengan pelbagai jenis tekstil seperti kain sutera dan kain kapas, barangan porselin, tembikar dan logam serta makanan seperti kicap, taugeh dan tauhu. Malahan, adat memberi ang pau yang bermaksud sampul merah ketika perayaan Tahun Baru Cina juga diperkenalkan.  
        Hasil daripada tempias interaksi tamadun China dalam tamadun melayu telah menyebabkan Tamadun Melayu turut memperoleh keuntungan terutamanya dari aspek perubatan dan teknologi yang dibawa oleh Tamadun China.  Seperti yang kita ketahui, rawatan akupuntur dan herba adalah sangat mujarab dan bertujuan bagi menyeimbangkan Yin dan Yang mengikut kepercayaan masyarakat Cina. Perubatan herba Cina yang menggunakan lebih daripada seribu jenis herba juga dapat mengubati penyakit seperti asma, anemia dan kanser.  Dalam bidang teknologi, hasil interaksi dengan tamadun melayu menyebabkan Tamadun China telah membawa teknologi membuat gula dari tebu ke Kepulauan Melayu seperti di Jawa selain daripada penghasilan barangan lain seperti kertas, kain, bahan letupan,lilin dan sebagainya.