Tuesday, 24 September 2013

Hijrah Rasulullah S.A.W dan kaitannya dengan kepimpinan, dakwah dan kehidupan.


     Peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W merupakan satu kisah yang amat menarik untuk dibaca dan didengar walaupun setiap tahun kita mendengar ustaz-ustaz menyampaikan ceramah samada di masjid mahupun media alternatif lain seperti Facebook, You Tube, televisyen dan sebagainya.  Namun, kisah hijrah seperti ini tidak jemu untuk dibaca kerana terlalu banyak ibrah yang boleh kita ambil untuk dijadikan pengajaran yang boleh digunakan dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim yang sejati.
            Setelah membaca pelbagai buku dan meneliti sumber-sumber bahan bacaan di internet mengenai hijrah rasulullah S.A.W ke madinah, saya telah menganalisis mengenai peristiwa hijrah dan kaitannya dengan kepimpinan, dakwah dan kehidupan yang mungkin boleh kita ambil iktibar daripadanya.
            Jika dilihat dari sudut dakwah, kita boleh mengambil ibrah daripada strategi Rasulullah yang mengizinkan umat Islam yang ada di Makkah untuk berhijrah ke HabsyahPada permulaannya, penghijrahan umat islam yang pertama ialah menuju ke negeri Habsyah. Rombongan ini terdiri daripada sepuluh orang lelaki dan empat orang wanita kemudian disusuli oleh rombongan berikutnya sehingga mencapai seratus orang, diantaranya ialah Uthman bin Affan beserta isteri beliau Ruqayyah, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ja’far bin Abu Talib dan lain-lain.  Penghijrahan ini berlaku pada tahun kelima kenabian tahun 615 Masihi. Setibanya di negeri Habsyah, mereka mendapat sambutan, penerimaan dan perlindungan yang baik dari rajanya. Ketika itu nabi tidak ikut ke Habsyah. Beliau tetap tinggal di Makkah. Orang Quraisy telah mengutus Amr bin Ash dan Abdullah bin Abi Rabi’ah ke Habsyah supaya meminta Raja Habsyah menolak kedatangan kaum muslimim.  Namun, mujurlah Raja Habsyah bersikap bijaksana kerana baginda tidak hanya menerima keterangan dari sebelah pihak sahaja.  Akhirnya permohonan kaum muslimin untuk tinggal di Habsyah diperkenankan oleh raja dan secara automatik tuntutan Quraisy ditolak ( Faisal Ismail, 1984 ).  Dalam hal ini kita boleh mengambil pengajaran bahawa pentingnya strategi Rasulullah yang mengizinkan umat Islam yang ada di Makkah untuk berhijrah ke Habsyah kerana penghijrahan mereka ke Habsyah telah mendapat sambutan, penerimaan dan perlindungan yang baik dari raja habsyah pada ketika itu.  Hal ini pastinya secara tidak langsung membantu perkembangan dakwaah berjalan dengan baik dan meluas di Habsyah.
            Selain itu, jika kita melihat sejarah hijrah rasulullah ke Taif pula, kita boleh mengambil pelajaran dari segi kepimpinan rasulullah dalam berdakwah menggunakan tutur kata yang baik dan sikap yang penuh dengan hormat dan bijak ketika menemui pemuda-pemuda Kabilah Tsaqif untuk mengajak mereka mentauhidkan Allah dan memeluk agama Islam.  Namun begitu ajakan baginda tidak dihiraukan oleh pemuda-pamuda tersebut malah mereka menolaknya dengan kasar. Baginda diusir, diejek, dicemuh dan dilempari dengan batu. Baginda tabah menghadapi segala cubaan yang ditimpakan kepadanya.  Lihatlah, betapa hebatnya akhlak rasulullah dalam berdakwah.  Walaupun telah diusir, diejek, dicemuh dan sebagainya, beliau tetap bertahan dan bersabar atas segala dugaan yang dihadapinya.  Malah, pemaafnya rasulullah sehingga sebaik sahaja tiba ke Makkah baginda terus menuju ke Baitullah lalu beliau tawaf dan sujud berdoa semoga Allah mengampuni kaumnya ( Faisal Ismail et.all, 1984 ).  Jelaslah bahawa kepimpinan rasulullah dalam berdakwah haruslah kita contohi walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak.
            Seterusnya kita lihat pula hijrah rasulullah S.A.W ke Madinah.  Dalam usaha rasulullah berhijrah ke Madinah, kita boleh lihat dari segi kesediaan pengorbanan Abu Bakar untuk turut serta menemani rasulullah berhijrah ke Madinah.  Pada 26 Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari Allah Ta`ala, Nabi Muhammad S.A.W bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan rancangan hijrah Baginda.  Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi S.A.W berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu.  Setelah diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk menunggu tibanya waktu malam.  Dalam hal ini kita boleh lihat betapa tingginya sifat pengorbanan Abu Bakar atas dasar cinta dan taatnya beliau pada perintah rasullullah.  Abu Bakar tidak mempersoalkan tindakan yang dirancang oleh rassulullah, sebaliknya bersedia untuk menemani rasulullah seperti yang dirancang.   Pengorbanan seperti ini seharusnya kita ambil iktibar untuk dicontohi.
            Melalui peristiwa hijrah ini juga, kita dapat melihat bagaimana Abu Bakar telah menggunakan seluruh ahli keluarganya untuk berkhidmat dijalan Allah.  Sebagai contoh, beliau telah menggunakan anak lelakinya Abdullah untuk menyampaikan berita-berita.  Selain itu, Abu Bakar juga menggunakan Asma’ yakni merupakan anak perempuannya untuk membawa makanan dan minuman.  Malah, beliau turut menggunakan Amir bin Fuhairah iaitu hambanya untuk menyembunyikan kesan-kesan tapak kaki. Sesungguhnya Abu Bakar As-Siddiq r.a telah menyebarkan cintanya pada rasulullah dengan melibatkan seluruh keluarganya untuk turut serta berjuang menjayakan hijrah baginda S.A.W ke Madinah.  Jelaslah disini bahawa pentingnya pentingnya pengorbanan dalam kehidupan yang telah ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar.  Apatah lagi apabila dia turut sama melibatkan keseleluruhan daripada ahli keluarganya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
            Disamping itu, kisah yang berlaku pada Suraqah Bin Malik turut memberi isyarat kepada kita pentingnya diplomasi dalam kehidupan yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhammad.  Suraqah telah memacu kudanya mengejar Rasulullah dan Abu Bakar. Abu Bakar yang mengetahuinya berkata, Ya Rasulullah, lihat Suraqah bin Malik mengikuti kita.” Rasulullah pun berdoa. Akhirnya kuda Suraqah beberapa kali tersungkur. Kemudian dia berputus asa, lalu meminta Rasulullah dan Abu Bakar berhenti.  Setelah bercakap dengan Rasulullah, Suraqah meminta dituliskan perjanjian persefahaman.  Persefahaman itu dipegangnya hingga peristiwa Fathuh Makkah.  Suraqah kemudian menyerahkan tambahan bekalan makanan kepada Rasulullah, namun Rasulullah menolak secara halus sambil mengatakan, “Tidak. Tapi alihkan perhatian para pengejar dari kami.” Maka setelah itu setiap kali bertemu dengan para pencari jejak rombongan Rasulullah, Suraqah selalu mengatakan: “Saya sudah mencari maklumat dan tidak terlihat yang kalian cari.’  Demikianlah betapa sifat rasulullah dalam berdiplomasi dengan Suraqah akhirnya membawa Suraqah kepada menjadi pelindung nabi Muhammad S.A.W.
            Seterusnya kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah yang berlaku kepada Ummu Ma’bad betapa pentingnya keyakinan terhadap berdoa dalam kehidupan seorang muslim.  Ibnul Qayyim menceritakan; “Rombongan Rasulullah telah meneruskan perjalanan dan singgah di khemah Ummu Ma’bad, yang tinggal di padang pasir (dan suka) memberi makan dan minum para musafir yang singgah di tempatnya.” Rasulullah bertanya kepada Ummu Ma’bad adakah Ummu Ma’bad memiliki sesuatu. Ummu Ma’bad mengatakan tidak ada kecuali kambing yang jauh dari tempat gembala. Seterusnya Rasulullah minta izin untuk memerah susunya. Ummu Ma’bad pun mengizinkan.  Rasulullah dengan menyebut nama Allah, mengusap susu kambing tersebut lalu berdoa.  Maka memancarlah susu kambing itu yang kemudian ditampung dalam sebuah bekas. Baginda menyuruh Ummu Ma’bad minum, setelah itu sahabatnya, baru kemudian baginda sendiri.  kemudian meneruskan perjalanan.   Disini kita dapat mengambil pelajaran bahawa keyakinan dalam berdoa adalah sangat penting.  Hal ini kerana, kadang-kadang Allah memberikan sesuatu yang kita tidak disangka-sangka.  Hal ini jelas telah ditunjukkan melalui doa rasulullah sehinggakan banyak susu kambing milik Ummu Ma’bad yang keluar walaupun kambing tersebut terletak jauh dari tempat gembala.
            Satu lagi kepimpinan melalui teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah ialah baginda tidak duduk diam semasa pembinaan masjid Quba dilakukan. Inilah masjid pertama yang dibangunkan sejak baginda tiba di Madinah.  Tanah lokasi masjid itu adalah milik dua anak yatim Sahl dan Suhail yang diasuh oleh As’ad bin Zuharah. Rasulullah telah membeli tanah itu untuk didirikan masjid di atasnya.  Setelah membersihakn tanah itu dari kuburan orang Islam dan pohon-pohon gharqad, tanah itu diratakan kemudian beberapa batang kurma ditebang dan disusun ke arah kiblat masjid. Ukuran panjangnya (dari kiblat sampai ke belakang) ketika itu sekitar 100 hasta (kira-kira 50 meter). Begitu pula kedua sisinya, hampir sama. Sedangkan tapak asasnya sekitar tiga hasta yang kemudian dibina dengan bata.  Atap masjid dibina menggunakan pelepah-pelepah kurma.  Lihatlah betapa rasulullah telah menunjukkan kepada kita kepimpinan melalui teladan yang telah ditunjukkan oleh baginda dalam usaha bagi membina Masjid quba bersama-sama penduduk Madinah yang lain.
            Malah, Rasulullah turut membuktikan kepimpinannya apabila telah berjaya mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar.  Kaum Ansar sering mendahulukan kepentingan orang lain lebih daripada diri mereka sendiri.  Hal ini dapat dibuktikan melalui satu kisah yang terdapat didalam hadis yang diceritakan oleh Abu Hurairah riwayat Bukhari yang mana sepasang suami isteri sanggup berlapar demi menyediakan makanan untuk tetamu mereka sehinggakan ketika lelaki yang menyediakan jamuan itu menemui Rasulullah, baginda berkata : ‘Allah tertawa melihat perbuatan kalian terhadap tamu kalian tadi malam.’Maka Allah menurunkan firman-Nya: ‘…dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.’ Rasulullah telah mengingatkan pula sebagaimana dalam hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim: “Tidak (sempurna) iman salah seorang dari kalian, sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang dicintainya untuk dirinya sendiri.”
                Hijrah juga mempunyai nilai yang sangat penting kepada peningkatan tamadun masyarakat Arab pada masa itu dan masyarakat Islam pada hari ini. Setelah berlaku hijrah ke Madinah, dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung lagi, sedangkan di Makkah seruan terhadap Islam sering terganggu.
            Malah, peristiwa Hijrah juga telah dapat menyatupadukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Perkara sangat penting kerana dengannya, masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Tanpa perpaduan, keharmonian hidup dalam sesebuah masyarakat atau negara tidak akan wujud. Apabila keadaan ini berlaku, matlamat dan visi masyarakat atau negara berkenaan untuk mencapai kemajuan dan kemakuran tentu akan gagal.           
            Selain daripada itu juga, melalui peristiwa hijrahlah, wujud kiraan tahun hijrah dalam takwim Islam. Takwim hijrah ini telah mula digunakan pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin kedua, iaitu Khalifah Umar al-Khattab. Pada masa ini, takwim Hijrah digunakan di Negara Islam seperti Malaysia. Setiap tahun, Negara kita, Malaysia, mengadakan sambutan “ maal hijrah ” dan matlamatnya adalah untuk mengingati perjuangan umat Islam dahulu agar perkara itu sentiasa segar dalam ingatan generasi sekarang.
            Bukan itu sahaja, Hijrah juga memberi petanda kepada kita betapa pentingnya sikap toleransi kaum dan tolong-menolong boleh melahirkan masyarakat cemerlang dalam kehidupan kita. Dalam konteks hijrah ke Madinah, orang Madinah telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam Makkah yang berhijrah. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan asas yang lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan sebahagian daripada masyarakat Madinah. Oleh itu, sikap sedia berkorban, bekerjasama, dan tolong-menolong untuk membangunkan negara harus tersemat dalam jiwa kita.
            Peristiwa hijrah ini telah memperlihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting dalam kehidupan selain sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Contohnya, puteri Abu Bakar Al-Siddiq, Asma’. Beliau telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad S.A.W apabila beliau dengan beraninya telah menghantar makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy kepada Nabi Muhammad S.A.W di Gua Thur walaupun menyedari tindakannya berbahaya serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar.
            Hijrah juga menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sanggup berkorban dan meninggalkan kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam. Selain itu, baginda tidak pernah berputus asa apabila menempuh kegagalan. Sifat positif ini patut dicontohi.
         Dalam pada itu, kita boleh ambil pelajaran melalui peristiwa hijrah bahawa pentingnya seseorang pejuang dalam mengikhlaskan niat dalam membantu usaha didalam dakwah.  Penghijrahan yang dilakukan oleh para Sahabat bersama Muhammad SAW adalah ikhlas untuk menegakkan ajaran suci Islam – kebebasan, kebenaran, keadilan tanpa memikir ganjaran kebendaan, kedudukan, nama dan gelaran. Apa yang paling diharapkan hanyalah keredhaan dan rahmat Allah SWT jua. 
            Selanjutnya kita boleh ambil iktibar melalui peristiwa hijrah bahawa sesemangnya setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Hijrah tidak mungkin berlaku tanpa adanya pengorbanan harta hatta nyawa sekalipun. Inilah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para Sahabat, sama ada tua ataupun muda dan sama ada Muhajirin (yang berpindah dari Makkah) ataupun Ansar (penduduk di Madinah).
            kejayaan Hijrah adalah hasil dari kerapian persiapan dan perancangan. Jadi, kita boleh mengambil ibrah daripada peristiwa ini dan seterusnya untuk diaplikasikan dalam kehidupan kita.  Sebelum melakukan Hijrah ke Madinah, dua ekspedisi diutus ke Habsyah sebagai persiapan.  Pergerakan dan laluan hijrah juga diatur kemas dalam semua perkara demi mengelakkan kegagalan. Maka, setiap perjuangan perlu terancang rapi, teliti, strategik dan berkesan. 
            Kita lihat dari segi pembangunan pula.  Semasa penghijrahan rasul ke madinah, pembangunan di sana tidaklah membangun. Namun dengan kepimpinan rasulullah sebagai ketua negara Madinah, pembangunan disana telah berkembang dengan pesat. Rasul telah menekankan pembangunan jiwa, mental dan fizikal. Rasulullah telah menerapkan akidah-akidah yang kukuh pada setiap mukmin. pada masa kini, malaysia telah mengikut cara pemerintahan rasul. Contohnya pembangunan jiwa yang dilakukan oleh negara ini dengan pembinaan masjid-masjid sebagai pusat ibadat untuk mengukuhkan jiwa. Selain itu, madrasah juga didirikan bagi membangunkan mental seseorang. Negara ini juga menitikberatkan pembangunan fizikal.  Contohnya di dalam sukatan pelajaran negara kita terdapat subjek pendidikan jasmani. Ia penting bagi mengimbangi diantara kesihatan tubuh.
            Penghijrahan rasul ke madinah telah menunjukkan bukti bahawa kepimpinan rasulullah telah berjaya membawa kepada pembentukan sebuah negara islam. kepentingan hijrah rasul pada pada masa kini dapat dilihat dengan corak pemerintahan yang adil dan tidak mengamalkan penindasan. Contohnya malaysia, corak pemerintahan pada masa kini mengikut corak pemerintahan pada zaman rasul.Pemerintah tidak mengamalkan sikap sekularisama dan Al-Quran serta As-Sunnah dijadikan panduan sebagai perlembagaan di negara ini. Di dalam pemerintahan Rasulullah juga telah wujud pelbagai jawatankuasa agar tidak membebankan pemerintah serta tidak wujud penyelewengan.  Kesan tersebut jelas dilihat pada masa sekarang.Pentadbiran negara kita ia tidak membebankan.  Pelbagai jawatankuasa dibentuk berdasarkan contoh yang diambil daripada Rasullullah.  Kesan daripada aspek tersebut, perjalanan sesebuah pemerintahan akan berjalan lancar dan mantap.


No comments:

Post a Comment