Bincangkan
maksud hadis diatas dengan mengambil kira sejarah penulisan dan pengumpulan
hadis sebagai cadangan rujukan.
Dalam Islam, sebelum diterima sesuatu kisah atau riwayat, kita wajib
menyemak dan mengkaji isnadnya terlebih dahulu. Apabila didapati ianya sahih
maka hendaklah riwayat tersebut difahami bersama-sama riwayat-riwayat yang
lainnya, kemudian barulah dirumuskan kepada satu kesimpulan. Kita tidak boleh
menerima bulat-bulat sesuatu kisah sebagaimana yang ada sahaja dan tidak boleh
membuat rumusan semata-mata berdasarkan satu riwayat sahaja.
Melalui hadis di atas, saya akan membincangkan mengenai larangan
penulisan hadis kepada dua bahagian, pertama larangan menulis hadis oleh
Rasulullah s.a.w dan kedua larangan menulis dan menyebarkan hadis di
zaman Abu Bakar dan Umar al-Khattab temasuk kupasannya didalam sejarah
penulisan dan pengumpulan hadis sebagai rujukan bagi memperkukuh maksud hadis
diatas.
Pertama: Larangan menulis hadis oleh Rasulullah.
Berkata Abu Sa’id al-Khudri r.a, telah bersabda Rasulullah s.a.w
Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa
dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain
al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku,
tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta
terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api
neraka.[1]
Hadis di atas tidaklah melarang penulisan hadis secara mutlak tetapi ia
sebenarnya hanyalah melarang penulisan hadis di atas kertas atau lembaran yang
sama dengan al-Qur’an. Penjelasan ini adalah berdasarkan hadis berikut dari Abu
Hurairah radiallahu-anhu:
Adalah kami menulis apa yang kami dengar
dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Maka di satu hari beliau datang kepada
kami dan berkata: Apakah tulisan-tulisan ini ? Maka kami menjawab: Apa yang
kami dengar dari engkau.
Lalu beliau berkata: Tulisan bersama
Kitab Allah (al-Qur’an) ? Kami menjawab: (Ya !) iaitu apa yang kami dengar
(dari engkau). Lalu bersabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:
Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an) dan
jagalah ketulenan Kitab Allah. Tulisan selain kitab Allah ? Jagalah ketulenan
kitab Allah dan janganlah mencemari ia.[2]
Merujuk kepada sejarah penulisan dan
pengumpulan hadis pada zaman Rasulullah s.a.w, bahan-bahan untuk menulis seperti kertas papri sudahpun wujud [3] dan digunakan untuk menulis surat-surat rasmi,
perlembagaan negara dan al-Qur’an. Tetapi jumlahnya agak terhad dan tidak
memungkinkan penulisan hadis-hadis secara berasingan di atasnya. Ini
menyebabkan sesetengah sahabat telah mencatat al-Qur’an dan hadis-hadis
Rasulullah di atas lembaran kertas yang sama, sebelah menyebelah. Lebih-lebih
lagi diingatkan bahawa apabila baginda Rasulullah membaca dan mengajarkan
ayat-ayat al-Qur’an kepada para sahabat, beliau mengajar 10 ayat diikuti dengan
penerangan, penjelasan dan pengamalannya, yakni teori dan praktikalnya
sekaligus. Beliau tidak akan melangkah ke 10 ayat seterusnya selagi 10 ayat
yang sedang diajarnya itu tidak difahami benar-benar maksud dan kaedah
pengamalannya.[4]
Sesetengah sahabat mencatat ayat-ayat al-Qur’an yang dibacakan
Rasulullah dan pada waktu yang sama mencatat juga keterangan dan kaedah
pengamalannya yang berupa hadis Rasulullah. Apabila hal ini diketahui oleh
Rasulullah, beliau tegas melarangnya kerana bimbang hadis-hadisnya akan
bercampur dan disalah anggap sebagai ayat-ayat al-Qur’an juga.
Inilah yang dimaksudkan beliau: Tulislah Kitab Allah (al-Qur’an)
dan jagalah ketulenan Kitab Allah. Tulisan selain Kitab Allah ? Jagalah
ketulenan Kitab Allah dan janganlah mencemari ia ......... iaitu
kertas-kertas yang ditulis ayat-ayat al-Qur’an, hendaklah ia mengandungi
ayat-ayat al-Qur’an sahaja dan tidak apa-apa lain selainnya.
Jika seseorang sahabat ingin menulis hadis secara berasingan dari
al-Qur’an, maka ia sememangnya dibenarkan oleh Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam. Perhatikan riwayat berikut dari Abdullah bin ‘Amr
radiallahu-anhu:
Aku biasa menulis segala yang aku dengar
dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam untuk aku hafalkan. Lalu kaum
Quraish menegahku dengan berkata: Apakah kamu menulis segala sesuatu ? Bukankah
Rasulullah seorang manusia yang berbicara pada waktu marah dan senang juga
? Maka aku berhenti sebentar dari menulis sehingga aku menemui Rasulullah
dan mengkhabarkan beliau tentang hal ini. Beliau memberi isyarat kepada
mulutnya lalu bersabda:
Tulislah ! Demi Dzat yang jiwaku berada
di kekuasaan-Nya, tiadalah yang keluar dari mulut ini kecuali yang hak (yakni
yang benar). [5][5]
Memandangkan Rasulullah melarang penulisan hadis-hadisnya, ia tidak
bererti bahawa Rasulullah sendiri tidak mahu hadis-hadisnya dijadikan
sebahagian dari sumber syari’at Islam. Hal ini kerana, di dapati bahawa di
sebalik larangan menulis hadis, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tetap
menganjurkan umat untuk menyebarkannya kepada orang ramai. Kita boleh
perhatikan semula hadis tersebut dan perhatikan bahagian yang digariskan:
Janganlah kamu tulis (catat) apa-apa
dari aku. Dan barangsiapa yang telah menulis (mencatat) dari aku selain
al-Qur’an, hendaklah dia menghapuskannya. Dan sampaikanlah (hadis) dari aku,
tidak ada kesalahan di dalam melakukan itu. Dan barangsiapa yang berdusta
terhadap aku dengan sengaja, maka dia akan menemui tempatnya di dalam api
neraka.
Dalam riwayat yang lain Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam juga telah
bersabda:
Semoga Allah menyerikan wajah orang yang
mendengar sebuah hadis dari aku lalu dihafalnya sehingga disampaikan kepada
orang lain. [6][6]
Kalian mendengarkan (hadis aku), lalu
akan didengarkan dari kalian, selanjutnya akan didengar pula dari orang yang
mendengar dari kalian.[7][7]
Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa yang sebenarnya dilarang oleh
Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam adalah menulis hadis-hadisnya di atas
lembaran yang sama dengan tulisan al-Qur’an.[8][8]
Kedua: Larangan menulis
dan menyebarkan hadis oleh Abu Bakar dan Umar al-Khattab.
Menurut penelitian dari sejarah penulisan dan pengumpulan hadis pada zaman
sahabat, hampir semua
riwayat-riwayat yang menerangkan bahawa Abu Bakar dan Umar al-Khattab
radiallahu-anhuma melarang penulisan dan penyebaran hadis di zaman pemerintahan
mereka adalah daif. Antara yang masyhur dikatakan tentang Abu Bakar adalah
kononnya beliau telah mengumpul 500 buah hadis dalam sebuah buku lalu akhirnya beliau
membakarnya.[9][9]
Sementara dalam satu riwayat lain kononnya Abu Bakar telah berkata: Maka
janganlah kalian menceritakan hadis dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam
sesuatu apapun. Jika sesiapa yang bertanya kepada kalian, berkatalah antara
kami dan kamu ada Kitab Allah, maka apa yang kalian dapati dihalalkan maka
halalkanlah ia dan apa yang diharamkan maka haramlah ia.[10][10]
Kedua-dua riwayat ini adalah tidak benar kerana isnadnya memiliki beberapa
kecacatan.
Umar
al-Khattab pula kononnya didakwa telah memenjarakan beberapa orang sahabat
seperti Abdullah ibnu Mas’ud, Abu Darda dan Abu Mas’ud al-Anshari
radiallahu-anhum kerana banyak menyampaikan hadis.[11][11]
Selain itu disebut dari Urwah bin al-Zubair bahawa kononnya Umar pernah
merancang untuk menulis sunnah-sunnah secara formal lalu beliau bermesyuarat
dengan para sahabat dan mereka semua menyetujui rancangan tersebut. Akan tetapi
sebulan selepas itu Umar membatalkan rancangannya.[12][12]
Disebut juga dari al-Qasim bin Muhammad bahawa: Sesungguhnya hadis telah
menjadi persaingan (menjadi banyak)[13][13]
di masa Umar bin al-Khattab. Maka diumumkan kepada orang ramai supaya mereka
membawanya (hadis-hadis tersebut, yakni dalam bentuk tulisan). Maka
apabila telah dibawa kepadanya (Umar), diperintahkan agar ia diselidiki lalu
kemudiannya ditahan ia (tulisan tersebut) dari mereka (iaitu tidak
dikembalikan). Berkata Umar: Dua (kitab) pada waktu yang sama sebagaimana dua
(kitab) pada waktu yang sama (seperti perbuatan) Ahli Kitab ? [14][14]
Ketiga-tiga riwayat di atas adalah daif dan tidak boleh dijadikan hujah
dan dakwaan larangan menulis hadis. Dalam bab ini terdapat dua riwayat lain
yang sahih yang perlu kita beri tumpuan dan penjelasan yang sebenarnya.
Riwayat-riwayat yang dimaksudkan adalah:
Riwayat Pertama:
Umar al-Khattab pernah mengutus Qurzhah bin Ka’ab dan beberapa orang
Ansar radiallahu-anhum dari Madinah ke Kufah dan beliau menerangkan bahawa di
sana akan ditemui satu kaum yang masih keras lagi kasar bacaan al-Qur’an
mereka. Maka berpesan Umar: Maka persedikitkanlah riwayat dari Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam dan aku (Umar) bersama kalian dalam hal ini.[15][15]
Pesanan Umar ini tidaklah bererti melarang sepenuhnya penyampaian dan
penggunaan hadis-hadis Rasulullah tetapi ia sekadar memberi keutamaan
kepada kaum yang baru belajar Islam agar mereka memberi tumpuan kepada sebutan
ayat-ayat al-Qur’an dan asas-asas agama yang terkandung di dalamnya.
Disini dapatlah kita perhatikan bahawa Umar tidak melarang sepenuhnya
penyampaian hadis Rasulullah tetapi hanya sekadar dikurangkan jumlahnya.
Sekali lagi saya ingin tekankan bahawa kita tidak boleh membuat kesimpulan yang
mutlak bahawa Amirul Mukminin Umar al-Khattab telah menyekat perkembangan,
periwayatan dan pembelajaran hadis-hadis serta sunnah-sunnah Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam semata-mata berdasarkan satu riwayat di atas.
Umar sendiri apabila mengutus para sahabat menjadi gabenor wilayah-wilayah yang
baru dibuka oleh Islam, telah menanggung-jawabkan mereka dengan tugas mengajar
agama Islam termasuk sunnah-sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Ini
jelas terbukti dalam salah satu khutbah Umar di penghujung era pemerintahannya,
di mana antara yang beliau katakan adalah: Ya Allah ! Saksikanlah Engkau
atas para gabenor wilayah bahawa sesungguhnya aku telah mengutus mereka untuk
mengajar manusia agama mereka dan sunnah Nabi mereka.[16][16]
Riwayat Kedua:
Umar al-Khattab pernah berkata kepada Abu Hurairah radiallahu-anhu: Engkau
(perlu) benar-benar berhenti meriwayatkan hadis dari Rasulullah atau aku akan
mengusir kamu ke daerah Daus.[17][17]
Riwayat ini adalah sahih tetapi ancaman tersebut adalah tidak lebih sekadar
kekhuatiran Umar akan adanya hadis-hadis yang disampaikan bukan pada tempatnya
sehingga mungkin dipermainkan oleh orang ramai atau terjadi kekeliruan di
dalamnya.[18][18]
Oleh itu ancaman Umar adalah lebih kepada peringatan kepada Abu Hurairah
supaya berhati-hati dalam menyampaikan hadis, menerangkannya secara formal dan
tersusun disertai penjelasannya; bukan melarang secara mutlak.
Penjelasan di atas disokong oleh satu riwayat yang lain di mana Umar sendiri
telah menerima hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.[19][19]
Dalam satu perjalanan menuju Kota Mekah, rombongan Umar telah dihalangi oleh
suasana angin ribut yang kencang. Lalu Umar bertanya kepada rombongannya: Adakah
sesiapa yang boleh meriwayat hadis tentang angin kepada kami ? Maka tidak
ada sesiapapun yang mengetahui adanya hadis Rasulullah tentang angin kecuali
Abu Hurairah, beliau menunggang kepada Umar lalu berkata: Wahai Amirul
Mukminin, dikhabarkan kepada aku bahawa engkau bertanya tentang angin dan
sesungguhnya aku mendengar Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam
bersabda:
Angin itu adalah dari Rahmat Allah. Ia
datang dengan membawa rahmat dan ia datang dengan membawa kesiksaan. Maka jika
engkau melihatnya maka janganlah engkau mencaci-makinya dan mohonkanlah kepada
Allah kebaikannya dan mohonlah perlindungan kepada-Nya dari keburukannya. [20][20] Umar tidak menolak hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah ini.
Melalui penjelasan ringkas di atas dapatlah disangkal bahawa pelbagai
dakwaan bahawa kononnya para Khalifah ar-Rashidun Abu Bakar as-Siddiq dan Umar
al-Khattab radiallahu-anhuma telah melarang aktiviti penulisan dan penyampaian
hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di zaman pemerintahan mereka.
Membuat satu rumusan semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat
sahaja adalah seumpama seseorang yang membaca sepatah ayat al-Qur’an:
Maka
kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Solat [al-Ma’un 107:04] lalu terus dibuat rumusan
bahawa mendirikan solat adalah satu pekerjaan yang dicela lagi tidak dituntut
oleh Islam. Rumusan ini dibuat berdasarkan satu ayat di atas sahaja dan
dilupakan pelbagai ayat-ayat lain di dalam al-Qur’an yang menerangkan kewajipan
dan kemulian mendirikan solat. Ayat di atas sebenarnya hendaklah difahami
dengan sambungan ayat seterusnya:
Maka kecelakaan besar bagi orang-orang
Ahli Solat; laitu mereka yang
berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya). [al-Ma’un 107:4-6]
berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya). [al-Ma’un 107:4-6]
Demikianlah juga hendaknya sikap kita terhadap beberapa riwayat yang
menerangkan tindakan para Khalifah ar-Rashidin ke atas sunnah-sunnah Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam. Jadi, sebagai kesimpulannya, kita tidak
boleh membuat rumusan bahawa mereka secara mutlak telah melarang aktiviti
penulisan, periwayatan, pengembangan dan pengajaran sunnah-sunnah Rasulullah
semata-mata berdasarkan satu atau dua riwayat sahaja padahal dalam waktu yang
sama terdapat banyak riwayat-riwayat lain yang menerangkan kesungguhan mereka
menghidup dan menyebarkan sunnah-sunnah Rasulullah di zaman pemerintahan mereka.
Malahan, terdapat ratusan hadis-hadis Rasulullah yang mereka riwayatkan sendiri
sebagaimana yang telah nyata tercatit di dalam kitab-kitab hadis.[21][21]
NOTA KAKI
[1][1] Sahih:
Hadis dari Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim,
ad-Darimi dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 3004. (Kitab
az-Zuhud dan Raqa’iq, Bab Kedudukan hadis dan penulisannya).
[1] Dari Abu
Hurairah radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dalam al-Musnad – no:
11034. (Musnad Abu Said al-Khudri, hadathana Ishaq bin ‘Isa) dari
jalan Abdurrahman bin Zaid bin Aslam dan beliau adalah perawi yang dilemahkan
oleh majoriti. Hamzah Ahmad Zain menguatkan hadis ini ke taraf hasan kerana
maksudnya selari dengan riwayat Abu Said al-Khudri yang dikeluarkan oleh Muslim
dalam kitab sahihnya no: 3004 sebagaimana yang telah disalin di atas (Hadis A).
Lihat juga Musnad Ahmad – no: 11027.
[2] Dari Abdullah
ibnu Umar radiallahu-anhuma, dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam
al-Ausath – no: 7514 dengan lafaz yang sedikit berbeza dari jalan Zaid bin
Aslam tanpa anaknya Abdurrahman, namun dalam isnad ini terdapat Isa bin Maimun
al-Madani dan adalah beliau seorang yang daif. Lihat al-Kamil fi ad-Dhuafa’
al-Rijal – perawi no: 1388.
[3] Dari Abdullah
bin Amru radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dalam Tarikh ad-Damsyik,
jld 62, ms 44-45 dengan lafaz yang juga sedikit berbeza dari jalan selain
Zaid bin Aslam, tetapi tetap melalui Isa bin Maimun dan adalah beliau seorang
yang daif.
Ketiga-tiga jalan di atas adalah daif dan lafaznya juga sedikit berbeza antara
satu sama lain. Tetapi tetap mengandungi satu persamaan, iaitu pertanyaan
Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam kepada para sahabat yang sedang menulis
hadis: “Tulisan bersama Kitab Allah ?” diikuti peringatan untuk menjaga
ketulenan Kitab Allah, iaitu al-Qur’anul Karim. Justeru penulis menilai hadis
ini hasan li-ghairihi atas dasar 3 jalan isnad di atas yang saling menguat
antara satu sama lain.
[5][5] Sahih:
Hadis dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Hakim dan lain-lain, dinilai
sahih oleh Nasiruddin Albani dalam Silsilah Hadis Sahih – no: 1532.
[6][6] Sahih:
Sebahagian dari hadis yang panjang dari Zaid bin Thabit radiallahu-anhu,
dikeluarkan oleh Tirmizi dan ad-Dhiyaa’, dinukil dan dinilai sahih oleh
as-Suyuti dalam Jamii-us-Sagier – no: 9264 dan dan dipersetujui sahih
oleh Nasiruddin Albani dalam Sahih Jamii’-us-Sagheir – no: 6763.
[7][7] Sahih:
Hadis dari Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu
Daud, al-Hakim, al-Baihaqi, Ibnu Hibban dan ath-Thabarani, dinilai sahih oleh
Syu’aib al-Arnuth dalam Sahih Ibnu Hibban – no: 062. (Kitab al-Ilmu,
Bab Memperingatkan Sunnah-sunnah dari (melalui) pendengaran......).
[8][8] Mustafa
Azami – Studies in Hadith Methodology and Literature, pg 28; Muhammad
Hamidullah – Sahifah Hamman ibn Munabbih, pg 104-106.
[9][9] Daif:
Dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah
al-Huffaz, jld 1, ms 10-11 dari jalan Musa bin Abdullah bin Hasan bin Hasan,
dari Ibrahim bin Umar bin Ubaidullah at-Taymi, diceritakan kepada aku oleh
al-Qasim bin Muhammad, bahawa berkata A’isyah radiallahu-anha .......
sepertimana mana di atas. Isnadnya daif kerana memiliki beberapa kecacatan,
iaitu:
[1] Ali bin Saleh –
berkata Ibnu Katsir: Tidaklah dia dikenali. [al-Hindi – Kanz al-Ummal
– no: 29460]
[2] Musa bin
Abdullah - beliau diperselisihkan, lihat Lisan al-Mizan, jld 6, ms 123,
perawi no: 465; al-Kamil fi ad-Dhuafa’ al-Rijal, jld 6, ms 346, perawi no: 1826
dan Daif al-Uqaili, jld 4, ms 159, perawi no: 1730.
[3] Ibrahim bin
Umar bin Ubaidullah – beliau tidak dikenali. Biografinya tidak disebut atau
dibicarakan oleh mana-mana ahli hadis.
Oleh itu berkata adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 11 setelah
mengemukakan riwayat ini: Maka riwayat ini – tidaklah ia sah, Dan Allah
sahaja yang lebih mengetahui. Dan berkata Ibnu Katsir sebagaimana nukil
al-Hindi dalam Kanz al-Ummal – no: 29460: Hadis dengan wajah seperti ini
adalah aneh.
[10][10] Daif: Dinukil oleh
adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 9 dan berkata
adz-Dzahabi: Maka adalah ia mursal (iaitu isnadnya terputus). Oleh itu
riwayat ini adalah daif juga.
[11][11]
Daif: Dikeluarkan oleh ath-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath – no:
3449 dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Tazkirah al-Huffaz, jld 1, ms 12
dan dalam Siyar A’lam Nubala, jld 7, ms 206. Juga dikeluarkan oleh
an-Nasai dan dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 11, ms
555. Kedua-duanya dari jalan Abdullah bin Idris, dari Syu’bah, dari Sa’ad
ibnu Ibrahim, dari ayahnya, bahawasanya Umar al-Khattab.....sepertimana di
atas. Isnadnya daif juga kerana beberapa sebab:
[1] Syu’bah –
adalah beliau diragukan. Lihat Ibnu Hazm – al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jld 2,
ms 256-258.
[2] Ibrahim bin
Abdul Rahman bin Auf, beliau tidak pernah bertemu dengan Umar al-Khattab.
Ibrahim lahir pada 20H manakala Umar meninggal dunia pada 23H. Tidak mungkin
Ibrahim meriwayatkan hadis pada umur 3 tahun melainkan beliau mendengarnya dari
seseorang lain yang tidak diketahui. Justeru isnad riwayat ini terputus. Lihat Majma
az-Zawaaid, jld 1, ms 149.
[12][12] Daif: Dikeluarkan oleh
Abdurrazzaq dalam al-Musannaf – no: 20484. Juga secara ringkas oleh Ibnu
Sa’ad dalam Tabaqat al-Kubra, jld 3, ms 287. Semuanya dari jalan Ibnu
Shihab az-Zuhri, dari Urwah al-Zubair, bahawa Umar al-Khattab ........ Isnad
ini terputus kerana Urwah bin al-Zubair (93H) tidak pernah bertemu dengan Umar
al-Khattab (23H).
[14][14] Daif: Dikeluarkan oleh
Ibnu Sa’ad dalam Tabaqat al-Kubra, jld 5, ms 188 dengan isnad yang
terputus juga kerana al-Qasim bin Muhammad (106H) tidak pernah bertemu dengan
Umar al-Khattab (23H).
[15][15] Sahih: Dikeluarkan oleh
Ibnu Sa’ad, Ibnu Majah, al-Hakim, Ibnu Abdil Barr dan ad-Darimi, dinilai sahih
oleh Muhammad an-Nasr dalam Sunan Ibnu Majah – no: 028 (Bab
Kehati-hatian Sahabat dalam meriwayatkan hadis dari Rasulullah).
[16][16] Sahih: Sebahagian dari teks
khutbah Umar al-Khattab radiallahu-anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai
sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 341. (Musnad Umar
al-Khattab, hadathana Muhammad bin Ja’far......).
[17][17] Sahih: Dikeluarkan oleh
Ibnu Asakir dalam Tarikh ad-Damsyik, jld 50, ms 172 dan dinukil oleh
Ibnu Katsir dan adz-Dzahabi. Isnadnya sahih sebagaimana nilai Syu’aib al-Arnuth
dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 600-601. Dalam bab ini terdapat dua
riwayat lain bahawa Abu Hurairah kemudiannya tidak lagi meriwayatkan hadis di
zaman Umar kerana takut dirinya dipukul oleh Umar. Kedua-dua riwayat tersebut
adalah daif, keterangannya seperti berikut:
[1] Dari Muhammad bin
Ajalan, dinukil oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 601.
Muhammad bin Ajalan tidak pernah bertemu dengan Abu Hurairah, justeru isnad
riwayat ini terputus sebagaimana terang Syu’aib al-Arnuth.
[2] Dari Ibnu
Shihab az-Zuhri, dikeluarkan oleh Abdurrazzaq dalam al-Musannaf – no: 20496.
Saya berkata, isnad riwayat ini juga terputus kerana Ibnu Syihab az-Zuhri yang
lahir pada tahun 50H tidak sempat meriwayatkan dari Abu Hurairah yang meninggal
dunia pada tahun 59H. Perhubungan yang sahih antara Ibnu Syihab dan Abu
Hurairah adalah melalui perantaraan seorang perawi yang lain, tidak secara
terus.
[18][18] Sebagaimana terang Ajaj
al-Khatib dalam Hadits Nabi Sebelum Dibukukan, ms 495. Lebih lanjut
lihat Bidayah wa Nihayah, jld 8, ms 107-108.
[19][19]
Dalam satu riwayat lain, Umar sendiri telah membenarkan Abu Hurairah
meyampaikan hadis dengan kata beliau: Jika demikian, maka pergilah dan
riwayatkanlah hadis. Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dan dinukil
oleh adz-Dzahabi dalam Siyar A’lam Nubala, jld 2, ms 603 dari jalan
Yahya bin Ubaidullah, beliau dinilai terpercaya oleh Ibnu Hibban tetapi
dilemahkan oleh lain-lain ahli hadis.
[20][20] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad
dan dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 7619.
Musuh-musuh Abu Hurairah mungkin berkata hadis di atas sengaja dicipta oleh Abu
Hurairah untuk mendapatkan tempat di sisi Umar al-Khattab. Tuduhan ini adalah
tidak benar kerana hadis yang sama di atas juga telah diriwayatkan oleh Abu
Hurairah kepada beberapa orang lain tanpa diminta atau ditanya oleh Umar, lihat
Sahih Sunan Abu Daud – no: 5097 dan Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abu
Daud, jld 14, ms 1.Malah hadis di atas juga diriwayatkan oleh tiga orang
sahabat yang lain radiallahu-anhum, iaitu A’isyah dalam Sahih Muslim – no:
899-1; Ubay bin Ka’ab dalam Sahih Sunan Tirmizi – no: 2252 dan Abu
Darda dalam Musnad ‘Abad bin Hamid bin Nasr – no: 199.
[21][21] Terdapat 81 buah hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Bakar yang tercatit di dalam Musnad Ahmad manakala
dalam Musnad Abu Bakar as-Siddiq oleh al-Mawarzi terdapat 143 buah. Dari
Umar al-Khattab pula terdapat lebih 300 buah hadis dalam Musnad Ahmad.
Dalam Jamii’ al-Musnaidi wa as-Sunan oleh Ibnu Katsir pula terdapat
banyak lagi hadis-hadis yang diriwayatkan oleh kedua sahabat ini sama ada terus
dari Rasulullah atau riwayat bersama melalui para sahabat lainnya.
No comments:
Post a Comment