Menurut kefahaman saya, perguruan merupakan
suatu bidang yang berkaitan dengan guru yang mengajar atau melaksanakan
pengajaran di sekolah atau di institut-institut pendidikan lain untuk
menyampaikan ilmu kepada anak murid atau masyarakat.
Sesetengah masyarakat masih lagi
menganggap profesion perguruan bukanlah suatu pekerjaan yang profesional. Hal Ini kerana ramai di kalangan
individu yang terbabit memikirkan bahawa profesion keguruan ini tidak
‘seglamour’ pentadbir, eksekutif firma-firma, akauntan, doktor perubatan
ataupun peguam. Mereka juga seringkali menganggap kerja ini sebagai ‘pilihan
terakhir’ dan ‘terpaksa’.
Antara
faktor yang menyebabkan timbulnya sebab mengapa mereka mempertikaikannya ialah
mereka menganggap pekerjaan tersebut merupakan pekerjaan biasa yang boleh
dilakukan oleh sesiapa sahaja. Mereka masih terpengaruh dengan keadaan lampau
di mana seseorang yang telah tamat darjah enam boleh menjadi guru. Wujudnya guru pengganti semasa seorang guru sedang
cuti bersalin juga adalah satu sebab yang mendorong mereka mengatakan bahawa
pekerjaan guru bukanlah satu pekerjaan yang profesional.
Namun, pada pandangan saya, jawatan guru adalah sememangnya layak dianggap satu pekerjaan profesional. Hal ini tidak boleh dipertikaikan lagi
kerana, ciri-ciri pekerjaan ini banyak mengandungi ciri-ciri sebuah pekerjaan
yang profesional. Hal ini boleh dirujuk melalui kenyataan
Noriati A.Rashid, Boon Pong Ying, Wong Kiet Wah (2010). Mereka menyatakan bahawa aspek keguruan
dianggap sebagai satu profesion apabila guru memperoleh pengetahuan atau
kemahiran melalui latihan dalam suatu tempoh masa yang panjang, meningkatkan
profesionalisme, komited kepada klien dan mempunyai kuasa autonomi dalam
membuat keputusan.
Mungkin sesetengah orang yang tidak
terlibat dalam profesion ini menganggap pekerjaan ini tidak profesional kerana
tugas guru hanya mengajar sahaja. Namun,
sekiranya mereka terlibat secara langsung dalam pekerjaan ini, barulah mereka
sedar bahawa seorang guru bukan hanya perlu mengajar, tetapi perlu juga
melakukan banyak tugas lain yang bukannya senang untuk dilakukan oleh orang
yang tidak berpengalaman.
Dalam konteks perguruan, etika yang
dipegang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah “Tatasusila Profesion
Keguruan”. Etika inilah yang menjadi
garis panduan dan dasar yang harus dipatuhi oleh semua kakitangan perguruan.
Seseorang yang melanggar etika tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib dan akan
dikenakan hukuman sewajarnya.
Bertitik tolak daripada itu,
sekiranya kita hendak meningkatkan taraf profesionalisme keguruan, seseorang
guru itu haruslah lebih bersedia terlebih dahulu. Kesediaan tersebut adalah
dari segi memahami tanggungjawab sebenar seorang guru, mematuhi tatasusila dan
sedia menerima segala perubahan. Sifat-sifat diri seperti itulah yang akan
mewujudkan pemahaman tatasusila dan seterusnya dapat melahirkan seorang guru
yang berkualiti dan seterusnya dapat meningkatkan taraf profesionalisme
keguruan.
Sebagai seorang pendidik, kita
haruslah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang dinamik. Oleh itu, setiap guru
haruslah menambahkan ilmunya melalui pembelajaran sepanjang hayat untuk
disebarkan kepada para pelajar. Guru
harus memahami dan menghayati tugasnya yang menghendaki agar kita bertanggungjawab
terhadap tugas-tugas lain juga selain daripada mengajar. Oleh itu, guru
haruslah sentiasa belajar memahami tugas-tugasnya.
Guru juga perlu mengamalkan
prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat agar sentiasa dapat mempertingkatkan
mutu kehidupan dan dapat membentuk individu yang berfikiran rasional, inovatif,
kreatif dan mempunyai daya tahan fizikal dan mental. Selain menjadi sumber maklumat kepada para
pelajar, guru juga menjadi bahan rujukan rakan setugas dan juga ibu bapa. Oleh
itu, guru perlu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat memahami
budaya ilmu yang akan diterapkan kepada para pelajar.
Bagi mempertingkatkan tahap
profesionalisme perguruan, banyak cara yang boleh dilaksanakan. Antaranya ialah dengan menghadiri Kursus
Peningkatan Profesionalisme Keguruan. Kemahiran
ikhtisas seperti ini adalah sangat penting bagi setiap guru kerana ianya akan mendorong
dan membantu guru dalam menyampaikan pengajaran kepada para pelajar. Bagi memperkembangkan lagi kemahiran, guru adalah
amat digalakkan untuk mengikuti kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang
dianjurkan oleh jabatan. Kursus-kursus
tersebut termasuklah juga Kursus Dalam Perkhidmatan dan Kursus Dalaman.
Guru
yang baik perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan
kemahiran serta peka terhadap perkembangan pendidikan terkini. Mereka harus sentiasa memperkembangkan ilmu
pengetahuan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Setiap guru juga
perlu bersedia menerima sebarang perubahan sistem pendidikan agar
pengetahuannya selari dengan keperluan masa kini.
Pembelajaran
sepanjang hayat membolehkan ilmu seseorang guru itu lebih dinamik. Ilmu pengetahuan akan membolehkan guru
menyampaikan banyak maklumat kepada pelajar. Hal Ini pastinya akan mewujudkan
keyakinan dan kebolehpercayaan pelajar terhadap seseorang guru.
Sebagai
kesimpulannya, pada pendapat saya, kesedaran terhadap akauntabiliti akan
menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas yang
telah diamanahkan kepadanya. Oleh itu, perkara
ini perlulah dihayati oleh semua guru di negara ini. Sekiranya seseorang guru itu mengabaikan
akauntabilitinya, maka pastinya tanggungjawab yang diamanahkan sukar untuk
dilaksanakan dengan baik. Hal ini
pastinya membawa kepada kegagalan dalam melahirkan pelajar sebagai insane yang
benar-benar lengkap dari segi ilmu dan peribadi yang baik. Hal tersebut haruslah
dielakkan kerana ianya hanya akan menjatuhkan martabat profesionalisme keguruan
negara kita.
No comments:
Post a Comment