Tuesday, 24 September 2013

PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN INSAN



ISU PENDIDIKAN AWAL DI MALAYSIA,
 ADAKAH IA PENJANA KEPADA
PEMBANGUNAN MODAL INSAN BERKUALITI?

Suatu ketika dahulu, tidak ramai dalam kalangan ibu bapa yang dengan ''rela hati'' akan menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal kerana beranggapan ia tiada satu kewajaran. Bagi mereka, masa kanak-kanak itu lebih sesuai diberi kebebasan dengan bermain sepenuhnya ekoran dengan menyimpulkan dunia pembelajaran hanya akan bermula sebaik sahaja anjakan komuniti comel ini mencecah umur lima atau enam tahun.  Namun rasionalnya, apa salahnya kanak-kanak ini bermain kerana sebaik sahaja melangkah ke alam persekolahan, masa dan aktiviti mereka akan dipenuhi dengan kalendar akademik pula. 

            Sesetengah ibu bapa berfikiran sedemikian mungkin berpunca daripada kekangan informasi, pendedahan mengenai kepentingan pendidikan awal atau prasekolah.  Bagaimanapun, itu semua sudah menjadi satu lipatan sejarah mentaliti manusia.  Sejajar dengan pelbagai paradigma dan pengenalan kepada dunia tanpa persempadanan, pusat prasekolah kini meriah diwujudkan atas peningkatan permintaan. 

            Tidak kiralah bertunjangkan pengendalian kerajaan mahupun swasta, ibu bapa pada hari ini sudah mula ''celik hati, mata'' akan kepentingan pendidikan awal.  Namun begitu, pendidikan awal yang dilihat sebagai satu platform pengaktifan nilai intelektual kanak-kanak ini bukankah sedikit sebanyak menidakkan masa riang mereka sekali gus membebani komuniti comel ini dengan tekanan pembelajaran pada waktu yang sangat muda.

 BELAJAR MELALUI PERMAINAN (''LEARN THROUGH PLAY'')
 
Kalau dipanjangkan persoalan ini kepada ibu bapa, semestinya hadiah yang tidak ternilai harganya adalah dengan melihat potensi anak kecil mereka dalam menerokai dunia baru perkembangan minda menunjukkan kesan yang positif.  Ibu bapa mana yang tidak terukir senyumannya apabila melihat minda dan tutur kata bibir comel anak mereka begitu pantas menguasai pembacaan, pengiraan serta penulisan dengan baik hasil daripada pendidikan awal. 

            Ibarat kata peribahasa lama melentur buluh biarlah daripada rebungnya.  Begitu jugalah dengan minda manusia ini yang mana proses pengintelektualan adalah sebaiknya dimulakan sejak awal dan tiada istilah ''pembebanan'' mahupun ''penekanan''.  

            Pada masa yang sama, pusat pendidikan awal seperti tadika yang membuka pintu gerbangnya kepada kanak-kanak berusia empat tahun ataupun taska sejak daripada umur dua tahun tidaklah dipenuhi dengan rutin alam pembelajaran yang membosankan.  Kaedah penerokaan ilmu disesuaikan dengan peringkat umur serta pelbagai elemen menarik dan terkini bagi menarik minat anak kecil ini untuk belajar dan sebagai asas kukuh bagi memudahkan mereka menerima pendidikan formal di sekolah rendah nanti. 

PERSOALANNYA, ADAKAH PENDIDIKAN AWAL DILIHAT SESUATU YANG PENTING? 

Pendidikan awal tidaklah sekadar menjurus kepada proses pengintelektualan minda semata-mata atau dalam erti kata lain menjadikan anak mereka  seorang pencinta buku sahaja. Malahan, ia adalah suatu agen penjana untuk melahirkan generasi yang benar-benar dilengkapi dengan keperluan melangkah status negara maju merangkumi penguasaan komunikasi yang baik, pemikiran kreatif, analitikal dan inovatif.  Pelbagai kajian telah dijalankan bagi membuktikan kebenaran ini. Antaranya, satu kajian di United Kingdom membuktikan bagaimana kanak-kanak yang menerima pendidikan awal berkualiti selama dua tahun mampu menghasilkan kadar rangsangan enam bulan kepada prestasinya pada usia tujuh tahun. 

            Menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (2013), lingkungan anak yang berusia bawah 5 tahun adalah sangat penting kerana kajian menunjukkan bagaimana persekitaran emosi, fizikal dan intelek yang didedahkan kepada kanak-kanak pada tahun awal kehidupan mereka memberi kesan yang cukup mendalam terhadap cara otak berkembang.  Justeru, tidak hairanlah apabila ramai ibu bapa hari ini menjadikan penghantaran anak ke prasekolah sebagai perkara utama dalam proses tumbesaran dan didikan anak mereka.

BAGAIMANAKAH PENDIDIKAN AWAL DILIHAT DALAM MEMBANTU PEMBENTUKAN  MODAL INSAN? 

Biarpun begitu, tidak ramai ibu bapa yang menyedari bahawa pelaburan jangka panjang ini iaitu dengan menghantar anak-anak ke prasekolah juga sebenarnya mampu menerapkan elemen murni dalam sahsiah kanak-kanak.  Bagi saya, pembangunan modal insan dengan nilai-nilai kekayaan masyarakat timur semenjak awal dalam keperibadian diri anak dapat dijadikan sebagai ''benteng'' daripada mudah terjerumus dengan pelbagai gejala sosial.  Hal ini dibuktikan dengan scenario pada hari ini yang membolehkan pelbagai budaya diasimilasikan dalam kehidupan masyarakat tanpa adanya erti segan dan silu.  Cabaran hebat ini menuntut kepada kepentingan pendidikan agama, hubungan sesama bangsa dan nilai-nilai murni lain. 

PUSAT PENDIDIKAN AWAL MANAKAH YANG BERKUALITI? 

Akan tetapi, timbul pula persoalan pusat pendidikan awal manakah yang berkualiti?  Penguraian kesulitan ini sedikit sebanyak menerbitkan sikap ''cerewet'' dalam sanubari ibu bapa yang tercetus hasil daripada keinginan hanya yang terbaik dan berkualiti sahaja diberi kepada anak mereka.  Lantas, mereka membandingkan reputasi antara tadika di bawah kendalian kerajaan atau swasta sebelum pemilihan dilakukan.

            Namun demikian, pengenalan program Permata Negara hasil ilham isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor telah membawa ''sinar baru'' dalam dunia pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak.  Berteraskan kepada tema ''Setiap Anak Permata Negara'', program yang diperkenalkan pada tahun 2007 ini menyasarkan golongan kurang bernasib baik, kumpulan luar bandar dan miskin bandar, selain memberi keutamaan kepada individu daripada keluarga berpendapatan isi rumah kurang RM1,500 sebulan.  Dengan adanya Permata Negara, kesedaran tentang pendidikan awal kian meningkat dan kini, pendidikan awal telah menjadi satu perkara yang penting dalam negara kita.

SEJAUH MANAKAH KEBERKESANAN PROGRAM PERMATA NEGARA?

Sebenarnya, program permata negara adalah bersifat holistik serta menerapkan pembelajaran yang menyeronokkan hasil adaptasi daripada model Pen Green Centre, iaitu sebuah program di Corby, England yang kemudian disesuaikan pula dengan budaya masyarakat setempat. Mereka telah didedahkan dengan teknik pembelajaran berkonsepkan eksperimen, penerokaan, pengalaman dan interaksi sosial.  Apa yang menjadikan program ini istimewa ialah, program Permata Negara menunjukkan keberkesanannya dalam melahirkan atau membangunkan modal insan kanak-kanak menerusi lima pecahan di bawah program berkenaan iaitu Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan dan Permata Memperkasakan Remaja.  Hal ini dapat dilihat apabila program ini berjaya mewujudkan lebih 50 Pusat Anak Permata Negara dan pada masa yang sama, sebanyak 654 taman asuhan kanak-kanak (Taska) seluruh negara kini telah mengguna pakai kurikulum Permata Negara. 

            Melihat kepada keberkesanan Permata Negara, ia kini didokumentasikan dalam bentuk ''coffee table book'' bertajuk ''Setiap Anak Permata Negara'' dan boleh dijadikan sumber inspirasi terutama kepada ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan awal.  Mengenai kejayaan program Permata negara yang dinaungi Rosmah, buku setebal 180 halaman, yang kini berada dalam pasaran, boleh didapati dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris dengan memuatkan koleksi gambar dan teks perjalanan program berkenaan. 

            Rosmah menegaskan bahawa pendidikan anak adalah satu pelaburan bijak bersifat jangka panjang khususnya bagi membina modal insan berkualiti untuk pembangunan berterusan sesebuah negara.  Sememangnya, anak adalah aset yang amat berharga. Tanpa didikan sempurna, tidak mungkin anak-anak ini berupaya menjadi agenda pembangunan negara.  Justeru, mendidik anak dengan betul adalah perkara yang mesti kita laksanakan, bukan sekadar untuk kebaikan mereka, tetapi juga demi kepentingan masa depan negara.

No comments:

Post a Comment