Tuesday 24 September 2013

FALSAFAH PENDIDIKAN TIMUR, ISLAM DAN BARAT




            Melalui Falsafah Pendidikan Islam, Timur Dan Barat, saya telah menganalisis dan mendapati bahawa sememangnya falsafah pendidikan di Malaysia  telah digubal berlandaskan ideologi negara hasil daripada cetusan idea daripada FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM seperti dibawah :

“ Pendidikan Islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berteraskan al-Quran dan As-sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan Negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan akhirat “

            Jelaslah di sini bahawa, kita telah mencedok sebahagian besar daripada ideologi ahli falsafah Islam sehingga terbentuknya falsafah pendidikan yang ada di Malaysia sekarang.  Oleh yang demikian, dapatlah dibuktikan bahawa falsafah pendidikan Islam telah memberi impak serta  kesan yang besar terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia.

            Seterusnya, kita lihat dari sudut pandangan barat pula. Sejauh manakah pendidikan di Malaysia melihat Falsafah Pendidikan Barat sebagai satu ikutan atau ‘role model’ untuk dikembangkan?

Pendidikan di Malaysia merupakan ‘suatu usaha yang berterusan’ di mana pernyataan diambil ini daripada pendapat  tokoh Barat iaitu John Jacques Rousseau (1712-1778) yang menyatakan bahawa pendidikan merupakan satu proses berterusan yang bermula semasa kecil.  

Pendidikan di Malaysia yang mengutamakan aspek JERI merupakan implikasi daripada pendidikan barat hasil daripada penjajahan British suatu masa dahulu.  Tenaga pengajarnya terdiri daripada pegawai British.  Mereka telah membawa masuk unsur-unsur yang terdapat dalam pendidikan Barat seperti perenialisme, essensialisme, progresivisme dan rekonstruktivisme.  

Unsur perenialisme telah dapat dilihat dalam pendidikan di Malaysia melalui mata pelajaran kesusasteraan Melayu di mana pelajar mengkaji karya-karya yang dihasilkan oleh sasterawan negara.  

 Selanjutnya, kita beralih kepada Falsafah Pendidikan Timur pula.  Falsafah timur ini sebenarnya bertujuan untuk mencapai kebijaksanaan, mengekalkan struktur kekeluargaan, menggubal undang-undang dan memenuhi kehendak sosial dan ekonomi.  

Pendidikan di China menyatakan bahawa guru merupakan fasilitator dan penyampai ilmu yang mahir.  Begitu juga di India yang menekankan peranan guru sebagai fasilitator dan pemangkin bagi menggerakkan perbincangan murid serta menjadi penjana idea yang kreatif dan bernas dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, pendidikan sekarang bukan sekadar berpusatkan guru sebaliknya boleh berpusatkan pelajar. Guru bertindak sebagai rujukan pelajar sekiranya mempunyai masalah.  Hal ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran merupakan proses komunikasi dua hala dan berkesan.

            Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa (1994) merumuskan bahawa falsafah pendidikan di Malaysia sebenarnya dikenali sebagai falsafah eklektisisme, iaitu sesuatu falsafah yang dicipta tersendiri daripada pelbagai falsafah yang sedia ada. Saya bersetuju dengan pendapat ini kerana pendidikan di Malaysia dipengaruhi oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dicipta  sesuai mengikut acuan rakyat Malaysia sendiri berdasarkan falsafah-falsafah yang sedia supaya hasrat rakyat Malaysia ke arah kecemerlangan pendidikan dapat menjadi kenyataan.

Kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa sememangnya implikasi falsafah pendidikan Timur, Islam dan Barat sememangnya membawa impak kepada perkembangan pendidikan di Malaysia. Sejarah pendidikan di Tanah Melayu juga telah membuktikan bahawa, sebelum tanah melayu dijajah oleh pihak Inggeris, sistem pendidikan pada waktu tersebut sangat mementingkan proses yang berterusan serta kearah keakhiratan. Namun begitu, setelah didatangi oleh pihak penjajah, sistem pendidikan tersebut secara perlahan-lahan telah diubah mengikut rentak pendidikan di Barat.

2 comments:

  1. Trima kasih atas perkongsian yang sangat manfaat.Mohon keizinan untuk dipanjangkan amal jariah ini.

    ReplyDelete