Peristiwa hijrah Rasulullah S.A.W merupakan satu
kisah yang amat menarik untuk dibaca dan didengar walaupun setiap tahun kita
mendengar ustaz-ustaz menyampaikan ceramah samada di masjid mahupun media
alternatif lain seperti Facebook, You Tube, televisyen dan sebagainya.
Namun, kisah hijrah seperti ini tidak jemu untuk dibaca kerana terlalu banyak
ibrah yang boleh kita ambil untuk dijadikan pengajaran yang boleh digunakan
dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim yang sejati.
Setelah membaca pelbagai buku dan meneliti sumber-sumber bahan bacaan di
internet mengenai hijrah rasulullah S.A.W ke madinah, saya telah menganalisis
mengenai peristiwa hijrah dan kaitannya dengan kepimpinan, dakwah dan kehidupan
yang mungkin boleh kita ambil iktibar daripadanya.
Jika dilihat dari sudut dakwah, kita boleh mengambil ibrah daripada strategi
Rasulullah yang mengizinkan umat Islam yang ada di Makkah untuk berhijrah ke
Habsyah. Pada permulaannya, penghijrahan umat islam yang
pertama ialah menuju ke negeri Habsyah. Rombongan ini terdiri daripada sepuluh
orang lelaki dan empat orang wanita kemudian disusuli oleh rombongan berikutnya
sehingga mencapai seratus orang, diantaranya ialah Uthman bin Affan beserta
isteri beliau Ruqayyah, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Ja’far bin Abu
Talib dan lain-lain. Penghijrahan ini berlaku pada tahun kelima kenabian
tahun 615 Masihi. Setibanya di negeri Habsyah, mereka mendapat sambutan,
penerimaan dan perlindungan yang baik dari rajanya. Ketika itu nabi tidak ikut
ke Habsyah. Beliau tetap tinggal di Makkah. Orang Quraisy telah mengutus Amr
bin Ash dan Abdullah bin Abi Rabi’ah ke Habsyah supaya meminta Raja Habsyah
menolak kedatangan kaum muslimim. Namun, mujurlah Raja Habsyah bersikap
bijaksana kerana baginda tidak hanya menerima keterangan dari sebelah pihak
sahaja. Akhirnya permohonan kaum muslimin untuk tinggal di Habsyah
diperkenankan oleh raja dan secara automatik tuntutan Quraisy ditolak ( Faisal
Ismail, 1984 ). Dalam hal ini kita boleh mengambil pengajaran bahawa
pentingnya strategi Rasulullah yang mengizinkan umat Islam yang ada di Makkah untuk
berhijrah ke Habsyah kerana penghijrahan mereka ke Habsyah telah mendapat sambutan, penerimaan dan perlindungan yang baik dari raja
habsyah pada ketika itu. Hal ini pastinya secara tidak langsung membantu
perkembangan dakwaah berjalan dengan baik dan meluas di Habsyah.
Selain itu, jika kita melihat sejarah hijrah rasulullah ke Taif pula, kita
boleh mengambil pelajaran dari segi kepimpinan rasulullah dalam berdakwah
menggunakan tutur kata yang baik dan sikap yang penuh dengan
hormat dan bijak ketika menemui pemuda-pemuda Kabilah Tsaqif untuk mengajak
mereka mentauhidkan Allah dan memeluk agama Islam. Namun begitu ajakan
baginda tidak dihiraukan oleh pemuda-pamuda tersebut malah mereka menolaknya
dengan kasar. Baginda diusir, diejek, dicemuh dan dilempari dengan batu.
Baginda tabah menghadapi segala cubaan yang ditimpakan kepadanya.
Lihatlah, betapa hebatnya akhlak rasulullah dalam berdakwah. Walaupun
telah diusir, diejek, dicemuh dan sebagainya, beliau tetap bertahan dan
bersabar atas segala dugaan yang dihadapinya. Malah, pemaafnya rasulullah
sehingga sebaik sahaja tiba ke Makkah baginda terus menuju ke Baitullah lalu
beliau tawaf dan sujud berdoa semoga Allah mengampuni kaumnya ( Faisal Ismail
et.all, 1984 ). Jelaslah bahawa kepimpinan rasulullah dalam berdakwah
haruslah kita contohi walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak.
Seterusnya kita lihat pula hijrah rasulullah S.A.W ke Madinah. Dalam
usaha rasulullah berhijrah ke Madinah, kita boleh lihat dari segi kesediaan
pengorbanan Abu Bakar untuk turut serta menemani rasulullah berhijrah ke Madinah.
Pada 26
Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari Allah Ta`ala, Nabi
Muhammad S.A.W bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi menerangkan
rancangan hijrah Baginda. Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan Nabi S.A.W berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang panas itu. Setelah
diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk
menunggu tibanya waktu malam. Dalam hal ini kita boleh lihat betapa
tingginya sifat pengorbanan Abu Bakar atas dasar cinta dan taatnya beliau pada
perintah rasullullah. Abu Bakar tidak mempersoalkan tindakan yang
dirancang oleh rassulullah, sebaliknya bersedia untuk menemani rasulullah
seperti yang dirancang. Pengorbanan seperti ini seharusnya kita
ambil iktibar untuk dicontohi.
Melalui peristiwa hijrah ini juga, kita dapat melihat bagaimana Abu Bakar telah
menggunakan seluruh ahli keluarganya untuk berkhidmat dijalan Allah.
Sebagai contoh, beliau telah menggunakan anak lelakinya Abdullah untuk
menyampaikan berita-berita. Selain itu, Abu Bakar juga menggunakan Asma’
yakni merupakan anak perempuannya untuk membawa makanan dan minuman.
Malah, beliau turut menggunakan Amir bin Fuhairah iaitu hambanya untuk
menyembunyikan kesan-kesan tapak kaki. Sesungguhnya Abu Bakar As-Siddiq r.a
telah menyebarkan cintanya pada rasulullah dengan melibatkan seluruh
keluarganya untuk turut serta berjuang menjayakan hijrah baginda S.A.W ke
Madinah. Jelaslah disini bahawa pentingnya pentingnya pengorbanan dalam
kehidupan yang telah ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar. Apatah lagi
apabila dia turut sama melibatkan keseleluruhan daripada ahli keluarganya
semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.
Disamping itu, kisah yang berlaku pada Suraqah Bin Malik turut memberi isyarat
kepada kita pentingnya diplomasi dalam kehidupan yang telah ditunjukkan oleh
nabi Muhammad. Suraqah telah memacu kudanya mengejar Rasulullah dan Abu
Bakar. Abu Bakar yang mengetahuinya berkata, Ya Rasulullah, lihat Suraqah bin
Malik mengikuti kita.” Rasulullah pun berdoa. Akhirnya kuda Suraqah beberapa
kali tersungkur. Kemudian dia berputus asa, lalu meminta Rasulullah dan Abu
Bakar berhenti. Setelah bercakap dengan Rasulullah, Suraqah meminta
dituliskan perjanjian persefahaman. Persefahaman itu dipegangnya hingga peristiwa
Fathuh Makkah. Suraqah kemudian menyerahkan tambahan bekalan makanan
kepada Rasulullah, namun Rasulullah menolak secara halus sambil mengatakan,
“Tidak. Tapi alihkan perhatian para pengejar dari kami.” Maka setelah itu
setiap kali bertemu dengan para pencari jejak rombongan Rasulullah, Suraqah
selalu mengatakan: “Saya sudah mencari maklumat dan tidak terlihat yang kalian
cari.’ Demikianlah betapa sifat rasulullah dalam berdiplomasi dengan
Suraqah akhirnya membawa Suraqah kepada menjadi pelindung nabi Muhammad S.A.W.
Seterusnya kita boleh mengambil pengajaran daripada kisah yang berlaku kepada
Ummu Ma’bad betapa pentingnya keyakinan terhadap berdoa dalam kehidupan seorang
muslim. Ibnul Qayyim menceritakan; “Rombongan Rasulullah telah meneruskan
perjalanan dan singgah di khemah Ummu Ma’bad, yang tinggal di padang pasir (dan
suka) memberi makan dan minum para musafir yang singgah di tempatnya.”
Rasulullah bertanya kepada Ummu Ma’bad adakah Ummu Ma’bad memiliki sesuatu.
Ummu Ma’bad mengatakan tidak ada kecuali kambing yang jauh dari tempat gembala.
Seterusnya Rasulullah minta izin untuk memerah susunya. Ummu Ma’bad pun
mengizinkan. Rasulullah dengan menyebut nama Allah, mengusap susu kambing
tersebut lalu berdoa. Maka memancarlah susu kambing itu yang kemudian
ditampung dalam sebuah bekas. Baginda menyuruh Ummu Ma’bad minum, setelah itu
sahabatnya, baru kemudian baginda sendiri. kemudian meneruskan
perjalanan. Disini kita dapat mengambil pelajaran bahawa keyakinan
dalam berdoa adalah sangat penting. Hal ini kerana, kadang-kadang Allah
memberikan sesuatu yang kita tidak disangka-sangka. Hal ini jelas telah
ditunjukkan melalui doa rasulullah sehinggakan banyak susu kambing milik Ummu
Ma’bad yang keluar walaupun kambing tersebut terletak jauh dari tempat gembala.
Satu lagi kepimpinan melalui teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah
ialah baginda tidak duduk diam semasa pembinaan masjid Quba dilakukan. Inilah
masjid pertama yang dibangunkan sejak baginda tiba di Madinah. Tanah
lokasi masjid itu adalah milik dua anak yatim Sahl dan Suhail yang diasuh oleh
As’ad bin Zuharah. Rasulullah telah membeli tanah itu untuk didirikan masjid di
atasnya. Setelah membersihakn tanah itu dari kuburan orang Islam dan
pohon-pohon gharqad, tanah itu diratakan kemudian beberapa batang kurma
ditebang dan disusun ke arah kiblat masjid. Ukuran panjangnya (dari kiblat
sampai ke belakang) ketika itu sekitar 100 hasta (kira-kira 50 meter). Begitu
pula kedua sisinya, hampir sama. Sedangkan tapak asasnya sekitar tiga hasta
yang kemudian dibina dengan bata. Atap masjid dibina menggunakan
pelepah-pelepah kurma. Lihatlah betapa rasulullah telah menunjukkan
kepada kita kepimpinan melalui teladan yang telah ditunjukkan oleh baginda
dalam usaha bagi membina Masjid quba bersama-sama penduduk Madinah yang lain.
Malah, Rasulullah turut membuktikan kepimpinannya apabila telah berjaya
mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Kaum Ansar sering mendahulukan
kepentingan orang lain lebih daripada diri mereka sendiri. Hal ini dapat
dibuktikan melalui satu kisah yang terdapat didalam hadis yang diceritakan oleh
Abu Hurairah riwayat Bukhari yang mana sepasang suami isteri sanggup berlapar
demi menyediakan makanan untuk tetamu mereka sehinggakan ketika lelaki yang
menyediakan jamuan itu menemui Rasulullah, baginda berkata : ‘Allah tertawa
melihat perbuatan kalian terhadap tamu kalian tadi malam.’Maka Allah menurunkan
firman-Nya: ‘…dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka
sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa
yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang
beruntung.’ Rasulullah telah mengingatkan pula sebagaimana dalam hadis Anas bin
Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim: “Tidak (sempurna) iman
salah seorang dari kalian, sehingga dia mencintai untuk saudaranya apa-apa yang
dicintainya untuk dirinya sendiri.”
Hijrah juga mempunyai nilai yang sangat penting kepada
peningkatan tamadun masyarakat Arab pada masa itu dan masyarakat Islam pada
hari ini. Setelah berlaku hijrah ke Madinah, dakwah Islamiah dapat dilaksanakan
dengan aman dan tanpa berselindung lagi, sedangkan di Makkah seruan terhadap
Islam sering terganggu.
Malah, peristiwa Hijrah juga telah dapat menyatupadukan penduduk
Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini
telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Perkara sangat penting
kerana dengannya, masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama
dan kegiatan lain untuk menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Tanpa
perpaduan, keharmonian hidup dalam sesebuah masyarakat atau negara tidak akan
wujud. Apabila keadaan ini berlaku, matlamat dan visi masyarakat atau negara
berkenaan untuk mencapai kemajuan dan kemakuran tentu akan
gagal.
Selain daripada itu juga, melalui peristiwa hijrahlah, wujud kiraan tahun
hijrah dalam takwim Islam. Takwim hijrah ini telah mula digunakan pada zaman
pemerintahan Khulafa al-Rasyidin kedua, iaitu Khalifah Umar al-Khattab. Pada
masa ini, takwim Hijrah digunakan di Negara Islam seperti Malaysia. Setiap
tahun, Negara kita, Malaysia, mengadakan sambutan “ maal hijrah ” dan
matlamatnya adalah untuk mengingati perjuangan umat Islam dahulu agar perkara
itu sentiasa segar dalam ingatan generasi sekarang.
Bukan itu sahaja, Hijrah juga memberi petanda kepada kita betapa
pentingnya sikap toleransi kaum dan tolong-menolong boleh melahirkan masyarakat
cemerlang dalam kehidupan kita. Dalam konteks hijrah ke Madinah, orang Madinah
telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam Makkah yang berhijrah.
Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan dan keperluan
asas yang lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan
sebahagian daripada masyarakat Madinah. Oleh itu, sikap sedia berkorban,
bekerjasama, dan tolong-menolong untuk membangunkan negara harus tersemat dalam
jiwa kita.
Peristiwa hijrah ini telah memperlihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan
peranan penting dalam kehidupan selain sebagai suri rumah untuk menggerakkan
kemajuan sesebuah negara. Contohnya, puteri Abu Bakar Al-Siddiq, Asma’. Beliau
telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad S.A.W apabila beliau dengan beraninya
telah menghantar makanan dan menyampaikan berita tentang gerakan orang Quraisy
kepada Nabi Muhammad S.A.W di Gua Thur walaupun menyedari tindakannya berbahaya
serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar.
Hijrah juga menunjukkan ketabahan hati dan
kebesaran jiwa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda sanggup berkorban dan meninggalkan
kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam. Selain itu, baginda tidak pernah
berputus asa apabila menempuh kegagalan. Sifat positif ini patut dicontohi.
Dalam pada itu, kita boleh ambil pelajaran melalui peristiwa hijrah bahawa
pentingnya seseorang pejuang dalam mengikhlaskan niat dalam membantu usaha
didalam dakwah. Penghijrahan yang dilakukan oleh para Sahabat bersama
Muhammad SAW adalah ikhlas untuk menegakkan ajaran suci Islam – kebebasan,
kebenaran, keadilan tanpa memikir ganjaran kebendaan, kedudukan, nama dan
gelaran. Apa yang paling diharapkan hanyalah keredhaan dan rahmat Allah SWT
jua.
Selanjutnya kita boleh ambil iktibar melalui peristiwa hijrah bahawa
sesemangnya setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Hijrah tidak mungkin
berlaku tanpa adanya pengorbanan harta hatta nyawa sekalipun. Inilah yang telah
dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para Sahabat, sama ada tua ataupun muda dan
sama ada Muhajirin (yang berpindah dari Makkah) ataupun Ansar (penduduk di
Madinah).
kejayaan Hijrah adalah hasil dari kerapian persiapan dan perancangan. Jadi,
kita boleh mengambil ibrah daripada peristiwa ini dan seterusnya untuk
diaplikasikan dalam kehidupan kita. Sebelum melakukan Hijrah ke Madinah,
dua ekspedisi diutus ke Habsyah sebagai persiapan. Pergerakan dan laluan
hijrah juga diatur kemas dalam semua perkara demi mengelakkan kegagalan. Maka,
setiap perjuangan perlu terancang rapi, teliti, strategik dan berkesan.
Kita lihat dari segi pembangunan pula. Semasa penghijrahan rasul ke madinah, pembangunan di sana tidaklah
membangun. Namun dengan kepimpinan rasulullah sebagai ketua negara Madinah,
pembangunan disana telah berkembang dengan pesat. Rasul telah menekankan
pembangunan jiwa, mental dan fizikal. Rasulullah telah menerapkan akidah-akidah
yang kukuh pada setiap mukmin. pada masa kini, malaysia telah mengikut cara
pemerintahan rasul. Contohnya pembangunan jiwa yang dilakukan oleh negara ini
dengan pembinaan masjid-masjid sebagai pusat ibadat untuk mengukuhkan jiwa.
Selain itu, madrasah juga didirikan bagi membangunkan mental seseorang. Negara
ini juga menitikberatkan pembangunan fizikal. Contohnya di dalam sukatan
pelajaran negara kita terdapat subjek pendidikan jasmani. Ia penting bagi
mengimbangi diantara kesihatan tubuh.
Penghijrahan rasul ke madinah telah menunjukkan bukti bahawa kepimpinan
rasulullah telah berjaya membawa kepada pembentukan sebuah negara islam.
kepentingan hijrah rasul pada pada masa kini dapat dilihat dengan corak
pemerintahan yang adil dan tidak mengamalkan penindasan. Contohnya malaysia,
corak pemerintahan pada masa kini mengikut corak pemerintahan pada zaman
rasul.Pemerintah tidak mengamalkan sikap sekularisama dan Al-Quran serta
As-Sunnah dijadikan panduan sebagai perlembagaan di negara ini. Di dalam
pemerintahan Rasulullah juga telah wujud pelbagai jawatankuasa agar tidak
membebankan pemerintah serta tidak wujud penyelewengan. Kesan tersebut
jelas dilihat pada masa sekarang.Pentadbiran negara kita ia tidak
membebankan. Pelbagai jawatankuasa dibentuk berdasarkan contoh yang
diambil daripada Rasullullah. Kesan daripada aspek tersebut, perjalanan
sesebuah pemerintahan akan berjalan lancar dan mantap.