Sunday 13 April 2014

Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan terhadap Peranan Guru menurut Falsafah Pendidikan Guru

3.0       Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan terhadap Peranan Guru
             menurut Falsafah Pendidikan Guru

3.1       Pengenalan
Falsafah pendidikan guru berperanan untuk melahirkan guru yang berkualiti dari segi sosial. Guru perlulah mempunyai bijak bergaul dengan semua masyarakat sekeliling tidak kira dalam kawasan sekolah mahupun dengan masyarakat luar. Ini kerana, ke mana sahaja seseorang guru itu pergi dia akan membawa imej seorang guru.  Guru juga perlu mempunyai penguasaan terhadap ilmu dan kemahiran keguruan. Seseorang guru itu bukan hanya perlu memberikan didikan akademik, tetapi dia juga perlu menyelitkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian. 

3.2       Falsafah Pendidikan Guru
Sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, Falsafah pendidikan guru telah digubal berasaskan model konseptual pendidikan guru.  Maka, potensi guru secara seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah sangat ditekankan. Aspek yang dititikberatkan ini adalah penting kerana seorang pendidik itu haruslah terlebih dahulu mempunyai unsur dalaman yang stabil agar berupaya pula  melahirkan generasi seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan falsafah pendidikan negara kita.  Dibawah ini telah saya nyatakan implikasi FPK terhadap guru yang mana ia sangat berkait rapat dengan FPG.

3.3       Mengamalkan ilmu dan bersedia menjadi pelajar seumur hidup.
Sememangnya, sebagai pengamal ilmu, seseorang guru perlu mempraktikkan budaya ilmu seperti membaca, berfikir, memerhati, berkarya, bertukar fikiran serta mencari pengalaman baru. Dalam proses pengajaran contohnya, guru hendaklah memindahkan ilmu yang baik dan seharusnya meninggikan adab murid sebagai seorang pengamal ilmu.  Hal ini kerana, budaya ilmu haruslah dibentuk semasa menuntut ilmu dan ianya hendaklah dipupuk dalam diri seorang guru supaya dia dapat menjadi contoh dan teladan yang baik bagi para pelajarnya.  Hal ini pastinya akan membawa kepada kelahiran generasi yang mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya menjadi teras dan tunjang dalam amalan pendidikan seumur hidup. 

 3.4      Mengamalkan kemahiran professional.
Umum bersetuju, guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid di sekolah. Oleh itu, guru yang mempunyai kemahiran professional sangat memainkan peranan yang besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak. Peranan ini penting bagi membawa pendidikan negara Malaysia ke arah pendidikan yang bertaraf dunia.  Para pelajar mestilah dididik menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi untuk melahirkan pelajar yang terdidik untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai intelektual yang tinggi dalam menghadapi era globalisasi.

3.5       Peka dengan segala perkembangan dalam bidang pendidikan. 
Untuk menjadi pendidik yang profesional, seorang guru perlu peka terhadap keperluan pendidikan yang terkini.  Guru yang menjadikan Falsafah pendidikan Guru sebagai panduan juga sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini bagi mengemas kini pengetahuan dan kemahiran mereka.  Mok Soon Sang (2007), menegaskan bahawa guru hendaklah melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran menggunakan internet untuk memperolehi maklumat tentang perkembangan terhadap pedagogi pengajaran masa kini di samping membimbing murid-murid menggunakan internet sebagai satu proses pembelajaran.

3.6       Cenderung mengamalkan pengajaran yang efektif
Guru yang efektif sentiasa mengenalpasti ciri-ciri pengajaran efektif dari segi perancangan, pelaksanaan, dan juga dari segi penilaian pengajaran.  Perancangan pengajaran Clarke dan Cutler (1990) menyatakan bahawa keberkesanan pengajaran bergantung kepada perancangan, pelaksanaan dan penilaian terhadap proses dan objektif pembelajaran. Cohn et al, (1987) juga telah menyokong pendapat ini dengan menyatakan guru haruslah membuat refleksi kendiri untuk menilai objektif pengajarannya setelah selesai melaksanakan pengajaran.

3.7       Dapat menentukan cara setiap murid belajar dengan kaedah yang sesuai
Dalam perkara ini, guru harus mempunyai kemahiran dalam memilih strategi p&p yang sesuai kerana ia merupakan suatu rancangan untuk melaksanakan aktiviti dalam p&p.  Setiap guru hendaklah mahir dalam penggunaan kaedah dan teknik mengajar untuk menyampaikan isi pelajaran dengan cara yang berkesan, kerana pemilihan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai akan menjamin keberkesanan pengajaran serta pencapaian objektifnya secara optimum.  Pada masa yang sama, guru juga perlu membuat penilaian dan menghargai perbezaan setiap individu kerana setiap perbezaan itulah yang akan menentukan cara setiap individu itu belajar sehingga memberi pengalaman pembelajaran kepada setiap pelajar yang mempunyai kepelbagaian dalam proses pembelajaran.

3.8       Berusaha meningkatkan penguasaan bidang ilmu dan kemahiran
Setiap guru semestinya perlu menguasai kandungan ilmu dalam mata pelajaran yang diajar, mahir mengaplikasikan teori pertumbuhan dan perkembangan manusia dan berupaya menjadi fasilitator yang baik.  Hal ini akan menjadikan mereka berusaha sebaik mungkin untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan, ilmu pedagogi dan sebagainya.  Perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka meningkatkan kemahiran yang ada pada diri demi meningkatkan prestasi masing-masing untuk menjadi seorang guru yang berkaliber.

3.9       Terdorong untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. 
Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, pastinya proses dalam mendidik para pelajar akan menjadi lebih mudah.  Penerokaan ilmu melalui internet dalam bahasa inggeris secara tidak langsung akan menjadikan seseorang guru bersifat lebih terbuka dan dapat mengakses pelbagai ilmu yang pelbagai.  Hal ini menjadikan seseorang guru itu berfikiran luas sehinggakan dapat meningkatkan keyakinan dirinya untuk mengajar dalam bahasa inggeris dengan baik.  Dengan adanya guru yang sebegini, pastinya hasrat kerajaan untuk melahirkan ramai golongan intelektual dalam negara kita dapat dilaksanakan kerana ia telah pun bermula daripada seseorang guru itu sendiri.

3.10    Berupaya memberi sumbangan dalam komuniti
Guru adalah satu organisasi penting yang sering diharapkan sebagai pemimpin kepada masyarakat. Sebagai warganegara Malaysia, guru perlu melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi kerana inilah sumbangan yang perlu dilakukan oleh setiap guru.  Disamping itu, golongan guru agama seperti ustaz-ustaz yang menyampaikan ilmu kepada masyarakat melalui penyampaian kuliah maghrib di masjid menunjukkan mereka sangat mengambil berat terhadap keperluan masyarakat islam untuk mempelajari ilmu agama.  Inilah sumbangan dalam komuniti yang lahir hasil daripada implikasi FPK terhadap guru yang sepertimana menurut FPG.

3.11    Berpegang teguh kepada agama. 
Seseorang guru hendaklah menjaga perkataan dan lidahnya iaitu tidak memfitnah dan mengumpat sebaliknya berkata yang benar.  Bukan itu sahaja, guru yang berpegang teguh dengan ajaran agama sentiasa mengajar hanya untuk mendapatkan keredhaan dan keberkatan semasa hidup di dunia dan juga akhirat.  Guru yang mengajar ala kadar atau sekadar mengajar cukup-cukup makan menunjukkan dia seorang yang tidak mengambil peduli tuntutan yang disarankan dalam agama.  Jadi, pentingnya setiap guru berpegang teguh kepada agama kerana ia secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang guru sedar akan tanggungjawab yang telah diamanahkan sehingga boleh menerapkan nilai-nilai rohani pada setiap murid supaya mempraktikkan ajaran agama dengan baik.

3.12    Berusaha meningkatkan penguasaan dalam bidang ICT. 
ICT dalam pendidikan bermaksud penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan, p&p serta pendidikan sepanjang hayat. Penggunaan ICT oleh guru dan pelajar dalam proses p&p boleh meningkatkan kefahaman dan penguasaan dalam pembelajaran. Ia juga membolehkan pelajar mengakses maklumat dan bagi mencari maklumat dengan pantas dan terkini.  Hal ini pasti akan membuatkan pelajar berasa seronok untuk belajar, tidak jemu, tidak malas dan tidak mengantuk. 
       Jika guru sentiasa mengaplikasikan penggunaan ICT di dalam p&p, pastinya pembelajaran menjadi lebih bermakna dan seterusnya sikap pelajar untuk mencintai ilmu dapat dipupuk di kalangan pelajar.  Hal ini seterusnya akan menyebabkan pelajar mempunyai keupayaan untuk belajar, mengubah tingkah laku dan tabiat serta mengambil iktibar dan pengajaran daripada ilmu baru.  Jadi, pentingnya kesediaan dan kesanggupan seseorang guru untuk belajar supaya dapat menguasai teknologi maklumat dan komunikasi agar sistem pembelajaran pelajar tidak berpusatkan kepada buku teks semata-mata.

3.13    Berusaha menjadi contoh teladan yang baik
Tingkah laku guru adalah contoh teladan kepada para pelajar.  Oleh itu, guru haruslah mempunyai sifat-sifat terpuji yang boleh menjadi teladan kepada pelajar dan juga masyarakat. Sebagaimana yang kita ketahui, tugas seorang guru tidaklah terhad kepada proses mengajar atau menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata.  Namun, tanggungjawab guru juga adalah untuk memastikan pembentukan sahsiah pelajar termasuk pembentukan dan perkembangan dalam aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi supaya para pelajar berupaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, bermoral tinggi, harmonis dan juga seimbang.  Dengan adanya usaha seperti ini, pastinya masyarakat kita akan memandang tinggi kerjaya seorang guru.
           


No comments:

Post a Comment