Sunday 13 April 2014

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru

Falsafah Pendidikan Kebangsaan
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
            Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Falsafah Pendidikan Guru
Falsafah pendidikan guru telah digubal berasaskan model konseptual pendidikan guru.  Berdasarkan model tersebut, karakter seorang guru berkait rapat dengan tiga dimensi utama iaitu ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri. Bagi elemen ketuhanan, ia berkaitan peningkatan ilmu, penghayatan dan amalan individu berteraskan kepercayaan dan kepatuhan kepada ajaran agama. Seterusnya menerusi kemasyarakatan, model ini memberi penekanan mengenai peranan guru sebagai pendidik, pemimpin dan agen perubahan. Manakala aspek kendiri memberi penekanan pembinaan daya kefahaman dan patriotisme, pemupukan budaya ilmu serta pembentukan sahsiah murni dan berpekerti mulia. 
            Berhubung model konseptual pendidikan guru ini juga, ia turut menekankan matlamat mengembangkan potensi guru secara seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Keempat-empat aspek ini juga adalah selaras dengan matlamat falsafah pendidikan kebangsaan. Aspek yang dititikberatkan ini adalah penting kerana seorang pendidik itu haruslah terlebih dahulu mempunyai unsur dalaman yang stabil agar berupaya pula  melahirkan generasi seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan falsafah pendidikan negara kita. 
            Justeru, dapatlah disimpulkan disini mengikut model konseptual guru ini bahawa seseorang guru itu perlulah mengukuhkan terlebih dahulu aspek dasar iaitu ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri. Langkah seterusnya ialah memantapkan unsur rohani, jasmani, intelek dan nilai. Selepas itu, memupuk serta mengekalkan aspek kemahiran, pengetahuan serta nilai seorang guru. Bersatunya kesemua unsur-unsur dalam model konseptual ini dapat memantapkan lagi unsur akauntabiliti seorang guru.  


No comments:

Post a Comment