Sunday 13 April 2014

Analisis Elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan

2.0       Analisis Elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan
2.1       Pengenalan
Falsafah pendidikan Kebangsaan sememangnya sangat penting kepada setiap guru sebagai panduan bagi mereka dalam membantu mereka menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran.  Sehubungan dengan itu, pentingnya seseorang guru untuk memahami Falsafah Pendidikan Kebangsaan secara terperinci supaya hasrat kerajaan bagi melahirkan guru-guru yang berupaya menjayakan falsafah ini dapat dilaksanakan.  Namun, persoalannya disini, adakah kakitangan guru sekarang betul-betul memahami setiap elemen dalam FPK?  Dibawah ini merupakan analisis setiap elemen penting yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

2.2       Pendidikan merupakan suatu usaha berterusan
Pendidikan merupakan suatu proses dalam memperoleh ilmu, yang mana pemindahan kemahiran serta unsur unsur seperti nilai-nilai murni dalam diri setiap individu cuba untuk diterapkan semasa dalam proses menerima pendidikan. Proses ini mungkin sahaja berlaku secara langsung atau tidak langsung kerana manusia sentiasa menerima pendidikan secara berterusan sejak dari kecil lagi hingga ke akhir hayat.  Pendidikan boleh dibahagikan kepada dua iaitu Pendidikan Tidak Formal dan Pendidikan Formal. Pendidikan Tidak Formal bermula di rumah manakala pendidikan formal pula merupakan satu bentuk pendidikan yang mempunyai sukatan pelajaran, mempunyai sistem peperiksaan serta lain-lain lagi. 
            Usaha kerajaan yang mengalakkan guru-guru untuk terus belajar bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyambung pelajaran ke tempat yang lebih tinggi menunjukkan bahawa kerajaan sangat menekankan budaya belajar sepanjang hayat. Pendidikan yang berterusan adalah sangat penting kerana ia dapat membantu individu dalam menyesuaikan diri dengan sesuatu perubahan yang berlaku di dalam kehidupan.  Bukan itu sahaja, pendidikan awal kanak-kanak adalah amat penting bagi membentuk sahsiah dalam diri individu. Hal ini kerana, pendidikan yang baik sejak kanak-kanak adalah sangat membantu dalam membina sahsiah seseorang individu.  Bertitik tolak daripada itu, sahsiah seseorang akan terus berkembang dari semasa ke semasa sehingga membawa kepada kelahiran individu yang berpendidikan serta mempunyai sahsiah yang baik.  

2.2       Perkembangan potensi individu
Umum bersetuju, setiap individu sememangnya mempunyai potensi yang tersendiri. Namun, tidak semua orang mengetahui potensi diri masing-masing.  Oleh itu, individu yang sudah mengenal pasti potensi dirinya hendaklah perlu berusaha mencungkil dan mengasah bakat yang ada dengan daya dan usaha yang berterusan. Sebenarnya, bakat, potensi dan kebolehan akan wujud melalui interaksi sosial dengan orang sekeliling dan alam sekitar. 
            Melalui pendidikan, masyarakat akan berpeluang dalam mengembang dan meningkatkan potensi yang ada dalam diri.  Di sekolah misalnya, terdapat banyak aktiviti kokurikulum yang telah diwujudkan bagi memberi keseimbangan dalam akademik dan aktiviti luar.  Penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum boleh kita perhatikan dalam kegiatan sukan, kelab, persatuan dan pakaian seragam. Daripada kegiatan ini juga, seseorang pelajar akan dapat mengembangkan diri mereka dalam pelbagai bidang. Semasa kegiatan ini dijalankan, mereka akan diasah mengikut kebolehan mereka dengan bimbingan guru.  Maka, disinilah peranan guru dalam mencari dan memperkembangkan bakat pelajar amat diperlukan. (Omardin Ashaari, 1998).
            Sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi penekanan kepada unsur JERI, ianya membantu dalam memberi tumpuan kepada daya berfikir secara kritis dan kreatif.  Malah, potensi yang berjaya digilap menyebabkan seseorang berupaya memberi tumpuan kepada perkembangan anggota tubuh badan dengan cekap dan sihat.  Hal ini seterusnya membantu seseorang memiliki perasaan dalaman jiwa yang sihat serta berupaya memperkembang kecerdasan emosi ke tahap yang optimum. 

2.3       Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu
Ramai yang bersetuju, bakat, potensi dan kebolehan yang ada dalam diri seseorang adalah sangat berkait rapat antara satu sama lain. Potensi-potensi yang ada pada seseorang individu haruslah dikembangkan secara bersepadu dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Sebagai contohnya potensi dari sudut intelek tidak boleh dipisahkan dengan potensi kerohanian.  Hal ini kerana, pelajar yang bijak tidak akan seimbang tanpa wujudnya norma-norma kemanusiaan seperti kasih sayang dan nilai menghormati orang lain.
            Begitu juga dengan potensi yang lain seperti potensi rohani dan jasmani dalam satu-satu aktiviti tidak boleh dipisahkan dengan kemahiran bersosial seperti sifat-sifat kerjasama dalam permainan dalam satu pasukan. Semua potensi ini seharusnya berkembang secara menyeluruh dan bersepadu untuk membentuk pelajar yang sempurna. 
            Elemen perkembangan secara menyeluruh dan bersepadu ini sebenarnya membawa maksud kepada perkembangan dan peningkatan seseorang individu hendaklah merangkumi keempat-empat aspek iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani.  Melalui perkembangan yang merangkumi keempat-empat aspek inilah yang akan melahirkan individu yang seimbang dari segala aspek.  

2.4       Insan yang seimbang dan harmonis
Insan yang seimbang membawa maksud bahawa semua keperluan manusia iaitu pertumbuhan akal, perkembangan rohani, emosi dan jasmani secara sihat dan bersepadu berada di tahap yang baik. Harmonis pula bermaksud unsur-unsur rohani, intelek, emosi dan jasmani dalam diri manusia adalah dalam keadaan serasi dan sesuai.  Keadaan ini akan membawa hubungan baik antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam sekitar dan juga manusia dengan Tuhan.
            Falsafah Pendidikan Kebangsaan berperanan dalam melahirkan masyarakat yang seimbang dan harmonis seperti mempunyai ilmu, sahsiah yang baik, percaya kepada Tuhan serta mempunyai akhlak yang baik dan juga kesihatan diri yang baik.  Hal ini boleh berlaku apabila masyarakat dapat mengamalkan keempat-empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek sehinggakan mereka mampu hidup secara harmoni terhadap diri sendiri dan juga dengan orang lain.  
            Sekiranya keempat-empat aspek ini diamalkan dengan baik dalam kehidupan seharian, mereka akan berupaya menghadapi sebarang dugaan dan cabaran hidup dengan lebih mudah disamping berupaya menangani pelbagai kesukaran apabila berhadapan dengan segala macam masalah.  Hal ini seterusnya membawa kepada lahirnya seseorang insan yang berfikiran matang dan berjiwa tenteram serta bersikap positif.  
               Intelek sangat berkait rapat dengan pemikiran dan juga keupayaan kognitif seseorang individu. Mereka yang mempunyai daya  intelek yang tinggi mampu berfikir secara kritis, kreatif, dan juga reflektif. Penguasaan kemahiran asas 3M iaitu kemahiran membaca, menulis, dan juga mengira adalah sangat ditekankan dalam unsur intelek.  Kebanyakan rakyat Malaysia menganggap bahawa intelek merupakan kunci utama kejayaan seseorang individu. Persepsi rakyat kita yang berfikiran sebegini haruslah diubah.
            Aspek intelek yang dimaksudkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga membawa maksud bahawa kejayaan intelek bukanlah bermaksud cemerlang di dalam peperiksaan semata-mata, tetapi kejayaan dari segi intelek juga adalah kejayaan yang merangkumi keupayaan seseorang berfikir bagi meneruskan hidup dan berdikari. Contohnya, apalah guna cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat straight A tetapi tidak mampu hidup berdikari dan kurang bijak dalam membuat keputusan yang rasional bagi menentukan hala tuju sendiri. Individu yang memiliki daya intelek yang tinggi juga akan sentiasa berkongsi maklumat dan berupaya dalam memberikan bantuan dan memberi pendapat yang bernas.  Malah, individu seperti ini juga tidak kedekut untuk menyebarkan ilmunya kepada sesiapa. Mereka yang mempunyai intelek yang baik akan cenderung dalam memperbaiki diri dan akan terus berusaha untuk mengembangkan ilmu yang ada dalam diri. 
            Rohani merujuk kepada pembentukan dan pembinaan watak dan jati diri kita sebagai seorang manusia.  Sistem pendidikan yang baik akan melahirkan watak dan jati diri yang sesuai menurut agama, adat dan sosio-budaya Malaysia, sebagaimana yang termaktub dalam Rukun Negara.  Jika nilai rohani dan nilai-nilai moral tidak ada dalam diri seseorang, maka peribadi yang baik tidak akan wujud dalam diri kita. Sebab itulah kerajaan telah memantapkan matapelajaran agama Islam di sekolah kebangsaan dengan memperkenalkan program Jawi, Quran, Arab dan Fardu Ain (J-QAF).
            Bagi pelajar yang bukan Islam pula, penghayatan secara praktikal dalam matapelajaran Pendidikan Moral haruslah ditekankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya ianya dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.  Sekiranya unsur rohani wujud dalam jiwa seseorang, mereka pasti akan menyedari akan kewujudan Tuhan. Mereka akan bersyukur dengan segala nikmat dan kurniaan tuhan yang telah diberikan kepada mereka.  Disamping itu, mereka juga akan berasa takut untuk melakukan sesuatu perbuatan yang menyalahi hukum-hukum syarak. Bahkan, pegangan yang kuat dalam unsur rohani sangat membantu seseorang dalam mengamalkan nilai-nilai murni serta berakhlak mulia dalam kehidupan seharian.  
            Penghayatan terhadap unsur emosi akan menjamin perasaan yang sihat dan matang serta memiliki sifat kasih sayang untuk mencintai perpaduan dan keamanan serta perasaan positif yang lain. Seseorang yang sihat tubuh badan tetapi tidak dapat mengawal emosi akan cepat berputus asa apabila menghadapi ujian atau dugaan sehingga membawa kepada kes bunuh diri. Keadaan ini berlaku kerana ketidakstabilan seseorang dalam mengawal emosi. Bagi pelajar yang mempunyai masalah emosi, guru kaunseling bertanggungjawab dalam memberi nasihat dan panduan supaya konflik emosi dalam diri pelajar dapat diselesaikan dengan baik. 
            Kewujudan Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di setiap sekolah yang terdiri daripada kalangan pelajar di sesebuah sekolah bagi berperanan dalam membantu segelintir pelajar-pelajar yang mempunyai konflik emosi dalam diri mereka adalah sangat perlu diwujudkan di setiap sekolah. Individu yang mengamalkan unsur ini juga akan memiliki perasaan kasih sayang, simpati dan empati bukan sahaja kepada sesama manusia malah turut kepada haiwan dan alam sekitar. Mereka juga dilihat mampu dalam mengurus serta mengawal emosi dengan stabil dan lebih matang.  Pada masa yang sama, sifat kekitaan yang wujud dalam diri mereka akan menyebabkan mereka cenderung menunjukkan sifat perpaduan serta mudah untuk bantu-membantu dan bekerjasama dalam melakukan sesuatu aktiviti. Hal ini seterusnya akan membantu mereka dalam menangkis dan mengawal perasaan-perasaan negatif apabila berhadapan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan. 
            Unsur Jasmani memberi tumpuan kepada perkembangan angota-angota tubuh badan dengan cekap dan sihat.  Walaupun merujuk tubuh badan, ia bukanlah merujuk kepada penjagaan tubuh badan semata-mata, ia juga perlu kepada penjagaan emosi kerana emosi juga mempengaruhi kesihatan tubuh badan.  Unsur jasmani adalah sesuatu yang sangat penting dan perlulah diterapkan dalam diri setiap individu terutamanya golongan remaja.  Hal ini kerana, mereka bukan sahaja mendapat tubuh badan yang  sihat di usia yang muda. Malah, mereka berkemampuan bagi mengembangkan bakat dan kemahiran teknikal, manipulatif serta sosial dalam diri mengikut keupayaan individu masing-masing. 
            Sekiranya unsur jasmani ini diterapkan di setiap sekolah dengan berkesan, mereka akan lebih menyedari tentang kepentingan melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam dan bersukan.  Perkara ini seterusnya membantu mereka dalam menggalakkan mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa kepada wujudnya insan yang mempunyai fizikal dan mental yang sihat.  Hal ini seterusnya sedikit sebanyak membantu mereka dalam menggunakan segala kemahiran fizikal yang ada untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.

2.5       Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan
Kepercayaan kepada Tuhan adalah elemen yang ketujuh dalam Pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dimana kalau kita lihat kepentingannya, semua pelajar Islam diwajibkan mengambil mata pelajaran Pendidikan Islam dalam peperiksaan awam. Kewajipan ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pentingnya bagi setiap pelajar bagi mengamalkan percaya kepada Tuhan.
            Elemen ini sangat membantu dalam memberi impak yang positif dalam diri setiap individu iaitu percaya dan mengakui akan kewujudan pencipta-Nya. Mereka dilihat cenderung dalam mengamalkan segala ajaran agama dan bersikap takut untuk melakukan segala perbuatan yang menyalahi ajaran agama.
            Mereka juga akan mensyukuri segala pemberian nikmat dan kurniaan-Nya ke atas mereka.  Hal ini membawa mereka kepada menyedari bahawa segala hukum-hukum dan fenomena alam semesta ini merupakan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Bukan itu sahaja, Mereka juga akan lebih menyedari bahawa setiap individu bertanggungjawab ke atas diri sepenuhnya kepada segala tindakan yang telah mereka lakukan sama ada baik mahupun buruk.

2.6       Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan
Membentuk rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan adalah elemen yang sangat ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Elemen ini memberi saranan kepada rakyat untuk membudayakan sikap suka membaca, cintakan ilmu pengetahuan serta menggunakannya untuk memberi manfaat kepada diri dan orang lain. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan juga merupakan rakyat yang memiliki ciri seperti berfikiran terbuka. Sekiranya elemen ini betul-betul diamalkan di sekolah, para pelajar akan lebih mengetahui tujuan mereka ke sekolah dan kepentingan ilmu pengetahuan itu sendiri.
            Mereka akan bersikap lebih mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya akan membawa diri mereka ke arah yang lebih berfikiran jauh dan berwawasan. Selain itu, mereka akan berusaha memperkasakan ilmu yang diperolehi dan mengamalkannya ke arah yang lebih bermanfaat bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi juga kepada orang lain.  Mereka juga akan cenderung untuk memupuk budaya ilmu dan budaya membaca dalam kalangan rakan-rakan mereka sendiri.  Pada masa yang sama, mereka juga bersikap lebih berpandangan jauh dalam mencari jalan bagi menyelesaikan sesuatu masalah

2.7       Rakyat Malaysia yang berketerampilan
Menurut Ee Ah Meng, 1990, keterampilan membawa maksud bagaimana seseorang dapat berhubung dengan insan yang lain.  Ia juga meliputi beberapa aspek seperti pemikiran, kepercayaan dan perasaan.  Hasrat yang ingin dicapai dalam elemen ini ialah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran dan kecekapan dalam menjalankan sesuatu tugas atau amanah. 
            Seterusnya, ketrampilan juga melihat bagaimana elemen ini memberi pandangan seseorang terhadap diri sendiri dan juga orang lain.  Hal ini berkait rapat dengan aspek positif atau negatif pemikiran seseorang itu terhadap diri mereka dan juga orang lain.  Hal ini akan menyebabkan seseorang mempunyai keyakinan diri yang tinggi.  Bertitik tolak daripada itu, para pelajar yang berketerampilan sangat berkebolehan dalam menjalankan sesuatu tugas dengan sempurna sekiranya elemen ini betul-betul diamalkan dalam sesuatu organisasi pendidikan.
            Elemen ini juga sangat membantu dalam memupuk pembawaan diri yang baik dalam diri masing-masing.  Dengan mengamalkan elemen berketrampilan, mereka akan lebih berpandangan jauh dan mempunyai sifat inisiatif yang tinggi sekiranya berhadapan dengan sesuatu masalah dalam diri mereka. Bukan itu sahaja, mereka akan memiliki kecekapan dan kompetensi yang tinggi dalam diri mereka. Kompetensi yang ada dalam diri inilah yang akan membantu mereka dalam mengasah sesuatu bakat atau kemahiran yang ada dalam diri mereka

2.8       Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia
Masyarakat yang berakhlak mulia di sini bermaksud bahawa masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni seperti bersopan santun, berbudi bahasa, jujur, amanah, berintergriti dan sebagainya. Unsur ini merupakan perkara utama yang ditekankan supaya rakyat Malaysia mampu untuk berfikir, bertindak dan menilai mana satu yang baik dan mana satu yang buruk. Kesan daripada pembudayaan elemen ini akan menjadikan para pelajar berupaya mengamalkan nilai-nilai murni dan budi pekerti yang mulia sekiranya elemen ini diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
            Antara nilai murni yang perlu diterapkan ialah nilai perpaduan, hormat-menghormati, bersabar, toleransi dan semangat kekitaan yang perlu ada dalam diri setiap individu. Kesemua nilai-nilai murni ini sangat penting dan perlu diterapkan kepada rakyat Malaysia sejak dari peringkat sekolah lagi supaya ia sebati di dalam jiwa rakyat Malaysia.  Kesannya, mereka akan menunjukkan perwatakan yang baik serta akan dijadikan contoh dan role model  kepada orang lain. Mereka juga pastinya akan disegani dan dihormati oleh orang lain.  

2.9       Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab
Seseorang individu sudah tentu akan lebih dipercayai dan dihormati sekiranya elemen ini diamalkan oleh setiap orang. Bertanggungjawab yang dimaksudkan disini bukanlah bererti bertanggungjawab ke atas tugasan pekerjaan sahaja malahan ianya meliputi pelbagai aspek tanggungjawab seperti tanggungjawab terhadap agama dan keluarga, tanggungjawab terhadap perlembagaan undang-undang, tanggungjawab terhadap keamanan sejagat dan sebagainya. 
            Dengan mengetahui tugas dan tanggungjawab masing-masing, rakyat Malaysia pastinya mampu untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang warganegara yang berwibawa, disegani dan dihormati.  Mereka juga akan menyedari bahawa tanggungjawab dan tugas yang telah diberikan merupakan suatu amanah dan perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Hal ini seterusnya akan membantu mereka untuk  berusaha menjalankan segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan cekap dan sempurna  walaupun terdapat halangan dan dugaan. Perkara ini juga turut menyebabkan merekamematuhi segala peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dengan lebih baik.   

2.10      Rakyat Malaysia yang berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
Elemen ini lebih menekankan kepada konsep  ketahanan diri iaitu mampu untuk menghadapi segala dugaan dan halangan yang dihadapi. Berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri di sini bermaksud seseorang individu yang berupaya menangani apa-apa sahaja masalah di dalam hidupnya.  Mereka juga mampu untuk berfikir secara waras apabila menghadapi sebarang situasi seperti menilai kesan dan akibat baik dan buruk sesuatu yang dipertimbangkan. Di samping itu juga, mencapai kesejahteraan hidup ini juga meliputi keupayaan seseorang individu mempunyai tubuh badan yang sihat dan mempunyai kemahiran dalam menjalin perhubungan yang baik dengan orang lain. 
            Mereka juga akan lebih berfikiran waras dan berjiwa tenang dalam sesuatu  keadaan. Mereka juga tidak mudah berputus asa dalam menghadapi sesuatu cabaran mahupun kekalahan hidup. Dugaan dan halangan ini dianggap sebagai satu cabaran hidup yang akan mematangkan diri.  Individu seperti ini juga berkeupayaan mengharungi segala liku-liku hidup dan mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi dalam diri.  

2.11    Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap   keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara
Sekiranya elemen ini diamalkan dalam sesuatu organisasi, seseorang individu akan berusaha untuk mempertahankan diri, maruah, bangsa, agama dan negara daripada sebarang ancaman luarMereka juga akan berusaha mengekalkan ekonomi dan kestabilan politik di negara sendiri agar terbela dan sentiasa terjamin. Mereka juga akan berusaha untuk memupuk nilai-nilai nurni dalam diri terutamanya semangat perpaduan, hormat-menghormati, semangat kekitaan dan bertimbang rasa. Bukan itu sahaja, mereka juga akan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ada di negara ini supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan makmur dan harmoni. 
            Seseorang yang benar-benar menghayati elemen ini akan menjadikan Rukun negara sebagai pegangan dan juga amalan hidup. Perasaan kekitaan dan cintakan negara juga akan wujud dalam diri setiap individu lantas menyebabkan mereka akan berusaha untuk mencapai kehidupan yang lebih bermakna dan bermatlamat. Dengan wujudnya rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan kepada negara, ia sebenarnya telah membantu proses pembangunan negara ke arah sebuah negara maju. Bukan itu sahaja, rakyat Malaysia yang berjaya di dalam memberikan sumbangan kepada keluarga akan menambahkan lagi keharmonian dan kemakmuran di dalam sesebuah keluarga bahkan juga kepada masyarakat. Kesannya, pastinya kita akan dapat menyaksikan kelahiran masyarakat yang berguna kepada keluarga, agama dan bangsa. 


No comments:

Post a Comment