Sunday 13 April 2014

Definisi Falsafah

Falsafah (Philosophy) berasal dari dua perkataan Yunani iaitu philo dan sophia. Philo bermakna mencintai dan sophia bermakna kebijaksanaan atau kehikmahan. Oleh itu, falsafah bermaksud mencintai kebijaksanaan atau kehikmahan. Mencari kebenaran adalah satu aktiviti penting yang dilakukan oleh manusia dalam kehidupannya dan kebijaksanaan adalah diperlukan dalam mencari kebenaran. Justeru, manusia berfalsafah dalam usaha mencari kebenaran. Namun demikian, aktiviti ini hanya dapat dilakukan dengan beberapa pertimbangan iaitu seseorang itu perlulah memiliki akal fikiran yang tajam, ilmu pengetahuan yang mantap dan nilai-nilai yang teguh.  Menurut Kamus Dewan, maksud falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu tertinggi atau sebagai dasar kepada ilmu-ilmu lain.  Falsafah juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki.

            Dalam Islam, falsafah ditafsirkan kepada hikmah, walaupun konteks hikmah adalah lebih luas daripada falsafah itu sendiri. Kedudukan hikmah dalam Al-Quran mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada falsafah (Abdul Fatah, 2003). Sayidina Ali Bin Abi Talib r.a pernah berkata “ Hikmah itu ialah sesuatu yang hilang dan dicari-cari oleh orang yang beriman”.  Dari aspek sejarah pula, perkataan falsafah berasal daripada perkataan Greek (Yunani) Philosophia yang bermaksud cinta kepada kebijaksanaan, kearifan atau kehikmahan.  Pengertian falsafah dikembangkan lagi oleh tokoh-tokoh falsafah barat dan Islam seperti Socrates, Plato, Aristotle, Al Kindi, Al Farabi dan sebagainya. Falsafah mempunyai cabang-cabang ilmu yang utama, iaitu metafizik, epistemologi, aksiologi yang mempunyai etika dan estetika serta logik. 

No comments:

Post a Comment