2.3 Implikasi Anak Tak Sah Taraf Dalam Islam
Terdapat beberapa implikasi berhubung
kedudukan anak taksah taraf dalam Islam. Implikasi-implikasi tersebut ialah:
i. Penamaan dan Nasab.
Jika seseorang anak lahir tanpa ada
ikatan perkahwinan yang sah di antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya
dan bukanpersetubuhan syubhah, maka anak tersebut tidak boleh dibin atau
dibintikan kepada bapa zina. Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan
Abdullah atau lain-lain nama ”Asma’ ul-Husna” yang berpangkalkan Abdul.
Kedudukan ini berbeza dengan anak yang bukan beragama Islam. Kesahtarafan anak
akan dikira dari tarikh ibu dan bapa anak tersebut memeluk Islam.
ii. Pergaulan dan Hubungan.
Dalam Islam, anak tidak sah taraf bebas
menjalin apa-apa hubungan atau aktiviti sepertimana yang dilakukan oleh
kanak-kanak Islam yang sah tarafnya. Hukum pergaulan anak tidak sah taraf
dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya adalah sama dengan
lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram) kecuali lelaki
tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah sebagai ayah tiri. Perhubungan
antara anak tidak sah taraf dengan anak-anak di sebelah ibunya yang sah taraf
dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang
sah. Namun, perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah
bapanya yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.
iii. Nafkah.
Tanggungjawab nafkah dan saraan hidup
anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Ini adalah kerana anak tidak sah
taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya.
Peruntukan mengenai tanggungjawab nafkah ini juga terdapat dalam Akta
Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 80 (1) iaitu: Jika
seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang
tidak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan
seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu
dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun
bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.
iv. Penjagaan.
Hubungan nasab (keturunan) anak
tidak sah taraf dengan ibu serta ahli keluarganya tidak terputus. Oleh itu
tanggungjawab menjaga anak tidak sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli
keluarga di sebelah ibunya. Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303)
seksyen 85 memperuntukkan bahawa: Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf
adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu. Peruntukan ini selaras dengan kehendak Hukum
Syarak yang menetapkan hubungan nasabnya (keturunan) hanya dengan
ibunya sahaja. Kedudukan ini sudah tentu
memberikan hak penjagaan kepada ibunya atau ahli keluarga ibunya.
v. Harta Pusaka.
Anak tidak sah taraf tidak terputus
hubungan kekeluargaan dengan ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan
kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka
antara satu sama lain. Seseorang anak tidak sah taraf tidak boleh mempusakai
harta bapanya yang tidak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak
tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.
vi. Perwalian.
Hak perwalian diri anak tidak sah taraf
terletak kepada ibunya.. Walaubagaimanapun, wali
perkahwinan bagi seseorang anak tidak sah taraf perempuan dipegang
oleh Wali Hakim (iaitu Yang DiPertuan Agong/Sultan/Raja atau individu
yang diberi tauliah). Ini adalah kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi
wali di dalam apa jua perkahwinan. Sabda Rasulullah SAW: “Sultan adalah wali
kepada sesiapa yang tidak mempunyai wali.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi). Begitu juga lelaki yang menyetubuhi
ibunya tanpa akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan
ibunya selepas itu juga tidak sah menjadi walinya.
vii. Perkahwinan
Keraguan berhubung kesahihan perkahwinan
seorang anak tidak sah taraf perlu dikikis kerana agama tidak pernah
membezakannya dengan kanak-kanak lain. Mereka juga seperti insan-insan yang
lain. Kesalahan yang berlaku sehingga mereka dilahirkan bukanlah dosanya tetapi
hasil perbuatan ibu dan lelaki yang menyetubuhi ibunya. Oleh itu perkahwinan
anak tidak sah taraf perempuan adalah sah, walaupun ada pendapat yang
mengatakan bahawa lelaki yang baik nasabnya tidak digalakkan mengahwininya.
viii. Kematian.
Kematian seorang anak tidak sah taraf
yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama
Islam, maka dia dihukum sebagai seorang Islam. Oleh itu mayatnya hendaklah
diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang yang beragama
Islam, maka dia dihukum sebagai bukan seorang beragama Islam sekalipun lelaki
yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.
ix. Pertukaran Status Anak Tidak Sah
Taraf
Seseorang anak tidak sah taraf boleh
bertukar sifatnya apabila dia dibuang oleh ibunya dan dijumpai oleh orang lain.
Pada ketika itu statusnya akan bertukar menjadi anak laqit (iaitu
anak pungut). Dia akan menjadi anak angkat kepada sesiapa yang memungut dan
diberi tanggungjawab memeliharanya berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada
seorang anak angkat.
x. Amal Kebajikan.
Amal kebajikan anak tidak sah taraf sama
ada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat adalah sama seperti anak-anak yang
lain. Anak tidak sah taraf adalah seorang yang suci dan bersih dari sebarang
dosa ibu dan bapanya.
Firman Allah SWT: “... dan tiadalah
(kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah
sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan
memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)...” (QS
al-An’am: 164)
Firman Allah SWT lagi:
"Katakanlah: ”Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang
kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu
kerjakan.” (QS Saba’: 25)
Amal kebajikan mereka tetap akan
mendapat ganjaran di sisi Allah SWT sama seperti amal kebajikan orang Islam
yang lain. Firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarrah,
nescaya akan dilihatnya. Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarrah, nescaya
akan dilihatnya.” (QS al-Zalzalah: 7~8)
No comments:
Post a Comment