Saturday 4 January 2014

Kedudukan Anak Tak Sah Taraf Menurut Pandangan Ulamak


1.4 Kedudukan Anak Tak Sah Taraf Menurut Pandangan Ulamak
Para fuqaha’ semua mazhab bersependapat bahawa seseorang anak yang pembenihannya dan kehamilannya itu berlaku sebelum pernikahan kedua ibu bapanya, adalah anak hasil daripada perzinaan dan anak tersebut adalah anak tak sah taraf. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa persoalan yang perlu dilihat secara lebih terperinci.
Mazhab Hanafi berpandangan:
Jika seseorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, kemudian wanita tersebut melahirkan anak dalam tempoh kurang daripada enam bulan dari tarikh pernikahan mereka, anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada lelaki berkenaan kerana pembenihan telah berlaku sebelum nikah, maka ia bukan daripada suaminya. Sekiranya suami tersebut hendak menafikannya, maka ia hendaklah berli’an, kerana nasab boleh disabitkan melalui perkahwinan yang wujud. Li’an hendaklah berdasarkan qazaf tanpa perlu wujudnya anak. [7]
Berdasarkan al-Fatwa al-Zahiriyyah,
Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan yang kemudiannya berlaku pembenihan, apabila ternyata hamil dan lelaki tersebut mengahwininya, maka pernikahan tersebut adalah harus.  Jika anak dalam kandungan tersebut lahir dalam tempoh selepas enam bulan atau lebih, maka anak tersebut boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut.  Sebaliknya, jika dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali jika ia mengaku bahawa anak itu adalah anaknya dan bukan dari hasil perzinaan. [8]

 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[7] Mu’in al-Hukkam, Ala’ al-Din Abi al-Hasan Ali bin Khalil al-Trablusiy, cetakan ke -2, Mesir, Syarikah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladihi, 1973, hal. 332.

[8]Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladihi, 1973, hal. 332.
12 Ibid, hal. 333
Mazhab Syafie [9] berpandangan:

Jika dikahwini seorang wanita yang hamil dari perzinaan, kemudian ia melahirkan anak yang sempurna tempohnya (term baby), maka terdapat empat (4) keadaan mengenainya, iaitu:
1.    Sama ada suami menafikan anak tersebut zahir dan batin tanpa melakukan li’an iaitu anak yang dilahirkan kurang daripada tempoh enam bulan daripada berlaku perhubungan suami isteri selepas akad nikah atau lebih daripada empat tahun dari tarikh terakhir berlaku perhubungan suami isteri.
2.    Sama ada dihubungkan anak dengan suami tersebut dan sabit bagi anak tersebut hukum perwarisan dan selainnya secara zahir, yang sepatutnya menafikannya kerana anak tersebut lahir lebih daripada masa enam bulan dan kurang daripada empat tahun. Suami tersebut mengetahui atau berat sangka bahawa anak itu bukan daripada benihnya kerana ia tidak menyetubuhi isterinya selepas akad dan tidak memasukkan spermanya. Atau anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan dari tempoh perhubungan suami isteri, atau lebih daripada empat tahun daripada perhubungan tersebut, atau lebih daripada enam bulan daripada istibra’ dengan sekali pusingan haid dan ternyata isteri tersebut berzina. Maka dalam keadaan sedemikian, suami tersebut berdosa jika tidak menafikan anak tersebut, malah ia suatu dosa besar.
3.    Sama ada menghubungkan anak tersebut kepada suami secara zahir tetapi tidak perlu menafikannya jika suami sangka bahawa anak tersebut adalah daripada benihnya walaupun tanpa sangkaan yang berat. Telah berlaku istibra’ selepas perhubungan suami isteri dan anak tersebut dilahirkan lebih daripada enam bulan selepas perhubungan suami isteri. Terdapat keraguan mengenai perzinaan isterinya. Dalam keadaan sedemikian, sunat (nadb) menghubungkan anak tersebut dengan suami.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[9]  Bughyah al-Mushtarshidin, al-Sayyid Abd. Rahman bin Muhammad bin Husayn bin Umar, Dar al-Fikr, Beirut, hal. 386.

4.    Sama ada dihubungkan anak tersebut kepada suami dan haram menafikannya jika berat sangkaan anak tersebut adalah dari benihnya. Atau pun terdapat dua perkara yang sama iaitu anak tersebut lahir setelah enam bulan dan lebih sehingga empat tahun daripada berlakunya perhubungan suami isteri serta tidak berlaku istibra’ selepas itu. Atau berlaku istibra’ tetapi anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka dihubungkan melalui firash (perkahwinan yang sah). Terdapat perbezaan pendapat mengenai anak zina yang dilahirkan tanpa firash, maksudnya ibu kepada anak tersebut tidak berada dalam ikatan perkahwinan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa tidak harus disambungkan nasab anak zina dengan bapa biologinya. Segelintir ulama’ yang mengharuskannya seperti Muhammad bin Sirrin dan Ibn Taimiyyah serta diperkukuhkan oleh anak muridnya, Ibn Qayyim. Hassan al-Basry dan Ibrahim al-Nakha’iy berpendapat bahawa harus menghubungkan anak zina dengan bapa zinanya setelah dikenakan hukuman hudud.

1.5 Syarat Pensabitan Nasab Anak Menurut Syarak dan AUKI 1984

Penentuan nasab anak ditentukan melalui status perkahwinan pasangan. Sekiranya anak yang dikandung itu hasil daripada perkahwinan yang sah, maka nasab anak adalah kepada bapanya. Asas penentuan ini adalah diambil daripada sebuah hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Anak yang lahir dari hubungan suami isteri yang sah dinasabkan kepada bapa, dan dia tidak berhak terhadap anak yang lahir dari hubungan zina.” (Hadis Riwayat Muslim)
Namun demikian, sekiranya berlaku syubhah maka penentuan nasab anak perlu ditentukan dengan teliti dan syarak telah menetapkannya melalui beberapa kaedah:
1- Penyaksian (syahadah)
Penyaksian dalam penentuan nasab anak hendaklah disaksikan oleh dua orang lelaki yang memenuhi syarat saksi pernikahan (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Justeru, penyaksian perempuan tidak diiktiraf oleh syarak sebagai saksi yang mempunyai otoriti dalam mengesahkan status anak sah taraf.
2- Pengakuan (iqrar)
Menurut mazhab as-syafie, pengakuan seorang bapa ke atas anaknya adalah dianggap sah oleh syarak sebagai kaedah dalam mensabitkan nasab anak (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Namun demikian, pengakuan tersebut perlu menepati beberapa peraturan berikut:
i)             Umur yang munasabah antara seorang bapa dan anak.
ii)            Tiada penafian oleh masyarakat umum tentang pengakuan tersebut
iii)           Persetujuan orang yang didakwa (mengiyakan ikrar) atas pengakuan pendakwa
 3- Perakuan masyarakat (istifadah)
Penyaksian dan perakuan masyarakat juga merupakan kaedah ketiga dalam menentukan nasab seseorang. Ianya diperaku oleh syarak melalui amalan Baginda S.A.W dan para sahabat R.A. Baginda dan para sahabat berpada dengan penerimaan kaum keluarga dan masyarakat (dengan kuantiti yang ramai) terhadap suatu pensabitan nasab (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Ini adalah kerana masyarakat atau kaum keluarga yang menyaksikan suatu perkahwinan, mereka berkelayakan untuk memperakukan nasab anak hasil daripada perkahwinan yang mereka telah saksikan.
            Selain itu, seksyen 114 AUKI 1984 juga meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sekiranya seseorang itu mengaku bahawa seseorang yang lain ialah anaknya yang sah iaitu:
a. Tiada orang lain disifatkan sebagai bapa kepada anak itu;
b. Perbezaan umur antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak;
c. Jika anak itu telah akil baligh, di mana dia boleh membuat keputusan anak itu telah mempersetujui tentang dia diakui sebagai anak;
d. Lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;
e. Pengakuterimaan itu bukannya semata-mata mengakui anak itu sebagai anaknya tetapi mengaku anak itu sebagai anak sah tarafnya;
f. Lelaki itu adalah berkeupayaan membuat kontrak;
g.Pengakuterimaan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi kesahtarafan;
h. Pengakuterimaan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu adalah diakui sebagai anak kandungnya.

1.6 Cara Sabitan Nasab

       Sebelum memperkatakan tentang keadaan anak taksah taraf, perlulah  diketahui dahulu tentang nasab dan cara sabitannya. Setiap anak yang dilahirkan secara automatik dinasabkan (dihubungkan keturunannya) kepada ibunya, kecuali di dalam keadaan tertentu yang memenuhi syarat-syarat, barulah seseorang anak itu dinasabkan kepada bapanya.
       Sabitan nasab bermaksud menentukan nasab seseorang individu samada kepada bapanya disebutkan sebagai (ثبوت الأبوة) atau kepada saudara maranya yang disebutkan sabitan persaudaraan (ثبوت الأخوة).
       Tujuan sabitan nasab adalah memelihara maruah seseorang serta melindungi hak-hak peribadinya seperti perwalian, nafkah, hadhanah dan perwarisan. Selain itu untuk menghindarkan ibu dari sebarang tuduhan liar dan prasangka buruk.
       Di atas tujuan ini, ulama’ menjelaskan cara-cara yang tertentu di dalam menentukan nasab. Dan ianya ada dan masih digunakan di dalam perundangan kita. Malah penentuan nasab juga menerima kaedah baru yang diperkenalkan iaitu firash.
Firash
Pada pendapat Dr. Wahbah firash bermaksud wanita yang digauli dan dinikmati oleh seorang lelaki. Al-Jurjaniy pula berpandangan bahawa firash ialah perempuan yang ditentukan untuk melahirkan anak bagi seseorang tertentu.
       Kaedah firash terbahagi kepada firash isteri, firash hamba sahaya dan shibhu firash. Di dalam ini hanya disentuh firash isteri. Yang membawa maksud sebagai isteri dari perkahwinan yang sah, iaitu ikatan pernikahan berlaku di antara lelaki dan perempuan semasa kehamilan bermula. Malah, fuqaha bersepakat bahawa anak yang dilahirkan oleh perempuan yang berkahwin secara sah dinasabkan kepada suaminya.
       Tujuan sabitan nasab adalah memelihara maruah seseorang serta melindungi hak-hak peribadinya seperti perwalian, nafkah, hadhanah dan perwarisan. Selain itu untuk menghindarkan ibu dari sebarang tuduhan liar dan prasangka buruk.
Keadaan kaedah ini terpakai di atas syarat seperti berikut:-
1.    Suami berupaya menghamilkan isterinya, yang bermaksud suami adalah sihat, mempunyai anggota kelamin yang sempurna dan tidak cacat.
2.    Suami isteri itu mempunyai kemungkinan bersama setelah bernikah.
3.    Anak yang dilahirkan setelah 6 bulan dari tarikh akad mengikut Hanafi dan dari waktu boleh bersama menurut jumhur ulama’.
Shibhu firash adalah sabitan nasab melalui persetubuhan syubhah yang bukan perzinaan.
Pengakuan nasab disebutkan sebagai dakwaan nasab, terbahagi kepada dua iaitu pengakuan hanya kepada pengaku sahaja dan pengakuan yang melibatkan orang lain.  Pengakuan hanya kepada pengaku sahaja tidak membabitkan orang lain.
Pengakuan
Seorang lelaki jika mengakui seseorang anak adalah anaknya, tertakluk kepada beberapa syarat iaitu:-
1.    Anak tersebut tidak diketahui nasabnya.
2.    Pengakuan itu hendaklah dibenarkan oleh fakta seperti perbezaan umur dan sebagainya.
3.    Pengakuan tersebut dibenarkan oleh orang yang diakui.
4.    Pengakuan tidak melibatkan orang ketiga.
Pengakuan Yang Melibatkan Orang Lain
Iaitu melibatkan orang lain seperti datuk dan sebagainya.  Iaitu perlu kepada pengakuan tambahan bagi menguatkan pengakuan tersebut.
Undang-Undang
       Kes berkaitan tuntutan nasab atau dakwaan sebagai anak seseorang adalah kes terpinggir. Sukar dicari kes tersebut di Mahkamah Syariah. Ini bukan bermakna tiada berlaku di negara kita.
       Sebaliknya kes membabitkan anak tidak sah taraf banyak berlaku di setiap Mahkamah Syariah di Malaysia. Mengikut statistik, paling kurang terdapat satu kes bagi setiap bulan.
       Jika dikaitkan dengan situasi tidak sah taraf, adalah yang memperkatakan keadaan anak tersebut sahaja.  Namun, tidak disentuh pula kepada ibubapanya. Kerana kesalahan ibubapalah menyebabkannya menjadikanya tidak sah taraf. Namun kesannya ditanggung oleh si anak.
       Anak tidak sah taraf tiada hubungan dengan suami ibunya. Nasab anak ini kepada ibu dan keturunannya. Ini bermakna si anak ini tiada bapa dan tidak layak menerima apa-apa daripada lelaki yang bergelar bapa. Sebaliknya terdapat pandangan fuqaha’ yang mengharus atau menghalalkan anak luar nikah jika perempuan untuk berkahwin dengan lelaki yang membuatkan ibunya mengandung.
       Keadaan ini berlaku, kerana Islam hanya mengambil kira setiap anak diakui sebagai ‘anak kandung’ dan ‘anak sah taraf’ yang lahir hanya di dalam perkahwinan di dalam tempoh yang sah.
Amalan Perundangan Semasa
       Undang-undang syariah yang dijalankan sejajar dengan hukum syarak. Di mana anak tidak sah taraf diakui wujud dan diadakan peruntukan berkaitannya.  Amalan ini tidak berlaku sebagaimana yang berlaku di mahkamah awam. Melalui seksyen 112 Akta keterangan 1950 dan Akta Sah Taraf 1961 boleh menghalalkan seseorang anak yang tidak sah taraf. Dengan ibunya berkahwin dan ia dilahirkan di dalam perkahwinan walaupun sehari selepas perkahwinan (atau setelah upacara perkahwinan tersebut).

       Perkara di atas tidak dapat berlaku di Mahkamah Syariah, di mana Islam menetapkan tempoh kiraan-kiraan di atas bagi melayakkan seseorang itu diiktiraf sebagai anak sah taraf ataupun sebaliknya. Ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment