Saturday, 4 January 2014

Hak-Hak Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syarak.


2.1 Hak-Hak Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syarak.

a) Nasab Keturunan dan Penamaan
Dia tidak harus dibin atau dibintikan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Dia juga tidak boleh dibin atau dibintikan kepada ibunya kerana mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada anak tersebut. Dia hendaklah dibin atau dibintikan kepada salah satu nama Asma` al-Husna atau sifat-sifat Allah yang berpangkalkan Abdul.  Hal ini telah dirakamkan didalam Surah al-Ahzab ayat 5 : Maksudnya : “ Panggilah anak-anak angkat itu Dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah ”.
Rasulullah SAW telah memutuskan (qadha) di antara suami dan isteri yang telah berli`an bahawa anak perempuan (isteri) itu tidak dibin atau dibintikan kepada ayahnya (suami).

            Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali pertama pada 28-29 Januari 1981 telah memutuskan “ anak zina atau anak luar nikah (anak tak sahtaraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua-dua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah ”.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan : Garis Panduan Mengenai Anak Tak Sah Taraf Menurut Hukum Syara’ Sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara’ ialah:

1.    Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau
melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syarak.
2.    Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat. 
3.    Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara’.[13] ( Warta pada 28hb April 2005 )

b) Kewajipan Memberi Nafkah
Segala nafkah dan sara hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ibunya. Ini kerana anak tersebut dinasabkan kepada ibunya dan bukan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

c) Hak Mewarisi Harta Pusaka
Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan dengan ibunya. Maka kedua-duanya boleh mewarisi antara satu sama lain. Sekiranya ibunya meninggal dunia, maka ia mempunyai hak untuk mewarisi harta pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitulah sebaliknya jika ia meninggal terlebih dahulu. Seseorang anak tak sah taraf tidak boleh sama sekali mewarisi harta pusaka orang yang menyebabkan kelahirannya (bapanya yang tak sah taraf) kerana ia bukan ahli waris, begitu juga sebaliknya bapa itu tidak berhak untuk mewarisi harta pusakanya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

[13]  Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara` (FATWA) Negeri Selangor Ke - 3/2004 pada 9hb. Mei 2004

d) Hak Perwalian dalam Perkahwinan dan Penjagaan
Wali kepada anak tak sahtaraf secara amnya adalah terletak kepada ibunya. Walau bagaimanapun perwalian dalam pernikahan anak perempuan tak sahtaraf ditetapkan kepada wali hakim. Ini kerana seseorang perempuan tisak sah menjadi wali di dalam urusan perkahwinan. Lelaki yang menyetubuhi ibunya sebelum akad nikah yang sah, samada ia (lelaki) berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu, tetap tidak sah menjadi walinya. Berhubung dengan penjagaan anak tak sah taraf adalah dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada ibu dan saudara mara sebelah ibunya kerana tiada bukti yang boleh disabitkan siapakah sebenarnya lelaki yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Walau bagaimanapun perkahwinan seseorang anak tak sah taraf (perempuan) dengan seseorang lelaki biasa adalah sah.

e) Hubungan Mahram
Perhubungan anak tak sah taraf dengan anak-anak dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang satu. Tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga bapanya yang tidak sah itu.

Jika dia seorang perempuan maka wuduknya dan wuduk suami ibunya tidak batal apabila bersentuhan. Pergaulan antaranya dan suami ibunya adalah pergaulan anak tiri dengan bapa tirinya.

f) Kematian dan Perkara yang Berkaitan
Seseorang anak tak sahtaraf yang belum baligh adalah mengikut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang beragama Islam. Dengan demikian, mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang Islam maka ia dihukum sebagai seorang yang bukan beragama Islam, sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya itu seorang Islam. ( berlainan sedikit dengan anak temuan, al-Laqiit ).

g) Amal Kebajikan / Perlindungan
Jika semasa hidupnya dia telah melakukan amal soleh samada untuk dirinya atau untuk masyarakat, maka segala manfaatnya dari segi pahala atau lain-lain akan kembali kepada dirinya. Tidak ada bezanya di antara dirinya dengan diri orang-orang soleh yang lain.

            Kalau dia berilmu tinggi dia harus memegang apa sahaja jawatan yang diberikan kepadanya, samada yang berkaitan dengan urusan agama atau urusan-urusan lainnya.

            Seorang anak tak sah taraf hendaklah diberi perlindungan dan juga nafkah sama seperti anak-nak lain dari sudut agama dan undang-undang. Dia juga berhak mendapat perlindungan sepenuhnya daripada ibunya, keluarga ibunya dan pemerintah.

h) Anak Tiada Identiti
Jika seseorang anak yang tidak dikenalpasti identitinya (anak pungut) dan tidak dapat ditentukan keturunannya iaitu samada Islam ataupun bukan Islam, maka adalah menjadi tanggungjawab pihak pemerintah Islam/pentadbir (kerajaan) membesarkannya menerusi rumah kebajikan dalam menjaga kebajikannya serta mendidiknya menurut agama Islam.

No comments:

Post a Comment