1.8 Perbezaan Anak Sah taraf dan Anak Tak Sah taraf Menurut Undang-undang dan Syarak
Menurut undang-undang Malaysia, anak yang
lahir hasil dari persetubuhan haram lebih dikenali sebagai anak tidak sah taraf
atau anak luar nikah dan anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa
biologi kanak-kanak itu menurut hukum syarak kerana ia lahir bukan daripada
perkahwinan yang sah. Ia juga tidak mempunyai hak perwalian dan hak untuk
mendapatkan harta pusaka (Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989).
Menurut AUKI 1984, ‘anak tak sah
taraf’ bermaksud anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari
persetubuhan yang syubhah. Perkataan syubhah membawa erti keraguan atau
kesamaran yang menimbulkan was-was terhadap sesuatu perkara dan tidak dapat
dipastikan halal atau haramnya perkara tersebut. (Dr. Zaleha Kamaruddin & Raihanah
Abdullah, 2002).
Para fuqaha’ semua mazhab berpendapat
bahawa seorang anak yang pembenihannya dan kehamilan berlaku sebelum pernikahan
kedua ibu bapanya adalah anak hasil perzinaan dan anak tersebut adalah
merupakan anak tak sah taraf. Walau bagaimanapun, anak yang lahir setelah enam
bulan atau lebih dari tarikh pernikahan akan dikira sebagai anak yang sah (Dr.
Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989).
Di Malaysia, masih belum ada sebarang
peruntukan dalam undang-undang keluarga Islam yang seragam mewajibkan kepastian
bapa kandung bagi seorang anak yang tak sah taraf. Malahan dalam Undang-Undang
Kesalahan Jenayah Syariah juga tidak menetapkan kewajipan memastikan bapa
kandung seorang anak yang dilahirkan luar nikah. Justeru, hukuman bagi
kesalahan itu terkena kepada wanita sahaja, kerana qarinah lebih mudah
diperolehi daripada wanita. Kecuali jika
terdapat keterangan berlakunya persetubuhan haram maka pasangan lelakinya boleh
dihukum.
1.9 Tempoh Minimum Kehamilan
Tempoh paling minimum adalah enam bulan (
Qamariyyah) dan dua lahzah. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat
15 : Maksudnya : “ Tempoh mengandungnya
beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan
”. Firman Allah di dalam Surah
al-Baqarah :
والوالدات يرضعن أولادهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم الرضاعة
Maksudnya : “ Dan ibu-ibu yang
menyuskan anaknya selama dua tahun (sempurna) bagi sesiapa yang ingin
menyempurnakan penyusuan ”. Berdasarkan
dua ayat inilah para Fuqaha` menentukan bahawa tempoh minimum kehamilan ialah
enam bulan qamariyyah dan dua lahzah. Iaitu lahzah percantuman benih suami
isteri dan lahzah berlakunya kelahiran.
Pendapat Fuqaha` berkenaan al-Dukhul
al-Haqiqiyy atau Imkan al-Dukhul :
1) Imam Abu Hanifah :
Sesungguhnya nasab itu disabitkan dengan
semata-mata akad nikah yang sahih walaupun suami dan isteri tidak sempat
berjumpa ( Dukhul). Sekiranya suami di barat dan isteri di tiumr bernikah dan
kemudiannya mendapat zuriat, maka anak tersebut dinasabkan kepadanya (suami)
sekalipun tidak sempurna pertemuan (dukhul) di antara keduanya selepas akad.[10]
2) Imam al-Syafie, Malik dan Ahmad ( salah satu qaul Ahmad ) :
Sesungguhnya nasab disabitkan dengan akad
nikah yang sahih bersama dengan Imkan al-Dukhul dan al-Talaaqi. [11]
3)Pendapat Imam Ahmad ( qaul lain)
Nasab disabitkan dengan akad nikah yang
sahih bersama dukhul haqiqiyy.[12]
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[10] al-Sarakhsi: al-Mabsut 17/156,
al-Kasaani: al-Bada`ei` 3/212, ibn `Abidin: al-Haasyiyah 3/547.
[11] al-Syirazi: al-Tanbih ms 190, al-Syirazi: al-Muhazzab 2/120, al-Bahuti: Kashf al-Qinaa` 5/406.
[11] al-Syirazi: al-Tanbih ms 190, al-Syirazi: al-Muhazzab 2/120, al-Bahuti: Kashf al-Qinaa` 5/406.
[12] al-Mardaawi : al-Ansaf 9/258.
2.0 Tempoh dan keadaan untuk Menafikan
Nasab
Berkata Imam Malik, al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal rahimahumullah :
Seseorang lelaki boleh dan hendaklah menafikan kandungan isterinya semasa hari kandungannya dan melakukan penafian dengan meli`an isterinya di Mahkamah.
Imam Malik juga berpendapat bahawa
sekiranya seseorang lelaki berada di samping isterinya semasa isterinya sedang
mengandung, maka tempoh untuk menafikan anak tersebut bermula dari isteri mula
mengandung sehingga bersalin. Tidak ada penafian lagi selepas isteri melahirkan
anak tersebut.
Adapun sekiranya seseorang suami bermusafir atau ghaib semasa isterinya mengandung sehinggalah melahirkan anak tersebut, maka baginya (suami) menafikan anak tersebut apabila ia (suami) mengetahuinya.
Para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang lelaki mengingkari nasab anaknya, maka wajib melakukan li`an di antaranya dan isterinya. Begitu juga para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang suami telah menerima anaknya sebelum daripada menafikan nasabnya, samada penerimaannya sebelum itu adalah secara sorih (lafaz yang jelas) atau dengan perbuatan yang menunjukkan penerimaannya seperti menerima ucapan tahniah, memberi didikan atau mengasihani anak tersebut seperti selayaknya seorang bapa mengasihi anaknya, maka tidak ada lagi baginya selepas itu hak menafikan bahawa anak tersebut bukan dari keturunannya.
Sekiranya seseorang suami menafikan nasab anak tersebut selepas penerimaannya (lafaz sorih atau melalui perbuatan dan tindak tanduknya), maka wajib ke atasnya Had Qazaf.
No comments:
Post a Comment