Saturday 4 January 2014

ANAK TAK SAH TARAF DALAM ISLAM

       Fenomena anak tak sah taraf di Malaysia seakan-akan sudah menjadi masalah sosial yang lumrah dan tidak asing lagi kepada masyarakat kita. Ini kerana perkara ini sudah terlalu kerap berlaku. Kisah-kisah tentang pembuangan bayi terpampang di dada akhbar, sementara kes ibu hamil tanpa nikah yang berada di pusat pemulihan semakin bertambah dari semasa ke semasa.  Berdasarkan laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara, sejak tahun 2008 hingga 2012, terdapat lebih 167,073 bayi yang direkodkan kelahirannya tanpa bapa telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Ini bermakna, secara purata: 33,415 orang bayi dilahirkan dalam tempoh setahun.  2,784 orang bayi dilahirkan dalam tempoh sebulan.  93 orang bayi dilahirkan dalam tempoh sehari manakala 4 orang bayi telah dilahirkan  dalam tempoh sejam. 

            Statistik atau fakta yang dipaparkan ini sebenarnya lebih tinggi daripada yang sedia ada sekiranya mengambil kira kes-kes yang melibatkan pengguguran haram atau pembuangan bayi yang dipaparkan di media dan tidak direkodkan.  Walaubagaimanapun, dalam perkara seperti ini, terdapat kemungkinan ianya berlaku disebabkan kesan atau akibat daripada ibu bapa yang telah bercerai serta anak tersebut sukar dipelihara atas faktor kemiskinan dan sebagainya.  Persoalan yang sering ditimbulkan adalah bagaimana hendak mengatasi perbuatan seperti ini? Terdapat pandangan yang mengatakan supaya dilaksanakan hukuman hudud. Sebaliknya, ada pula yang menyarankan supaya diwujudkan tempat atau sebuah pusat penyerahan bagi bayi yang tidak dikehendaki.  Jika dipilih cara yang pertama, maka bagi orang yang ragu akan berkata: Adakah mudah untuk memperolehi empat (4) orang saksi seperti mana yang disyaratkan? Sedangkan bayi yang tidak berdosa terus dilahirkan di luar nikah, adakalanya ia dibuang malahan ada pula yang dibunuh.

            Sekiranya kita memilih cara yang kedua, jika tersilap langkah atau pertimbangan maka ia boleh dan bakal menjadi galakan kepada berleluasanya perbuatan zina kerana para penzina tidak perlu risau jika berlaku hamil luar nikah, sebab sudah tersedia ruang dan tempat bagi menempatkan bayi yang tidak dikehendaki.

            Penyelesaian kepada permasalahan sosial yang berlaku tidak boleh diambil melalui jalan yang singkat dan semudah seperti yang disangka. Ia perlu dilihat dari keseluruhan aspek dengan melibatkan pendekatan agama, pembangunan insan serta pembentukan masyarakat yang beretika dan baik.  Dalam Kanun Keseksaan, tidak terdapat tafsiran mengenai perbuatan zina.  Oleh itu, perzinaan dianggap bukanlah suatu jenayah kerana terdapat unsur kerelaan. Ia berbeza dengan perbuatan rogol yang dianggap sebagai satu kesalahan dan jenayah kerana terdapat unsur paksaan serta wujudnya mangsa dalam perbuatan tersebut.

1.  KONSEP ANAK TAK SAH TARAF DALAM ISLAM

1.1 Definisi Anak Tak Sah Taraf

              Anak tak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut walad al-zina[1] yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah (suatu ketika dahulu masyarakat di kampung menggelarkannya sebagai anak gampang). Berdasarkan perbincangan para fuqaha’ tentang nasab seseorang anak, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah atau pun persetubuhan syubhah. [2]

            Anak Tak Sah Taraf ialah anak yang dilahirkan dari perhubungan yang tidak sah di sisi Hukum Syarak (Luar Nikah) samada akibat daripada zina atau rogol dan anak tersebut lahir kurang dari enam bulan Hijrah dari tarikh perkahwinan atau seseorang anak yang dilahirkan selepas empat tahun pembubaran perkahwinan disebabkan kematian suami atau perceraian dan ianya tidak berkahwin semula.

            Anak tak sah taraf juga bukan anak daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan atau anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah daripada tarikh akad nikah. [3]   Anak tersebut (TST) dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah (tahun qamariyyah) dari waktu “Imkan al-Dukhul” dan ia bukan daripada persetubuhan syubhah.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[1]  Hans Wehr, A Dictionary of Modern Written Arabic, Library Du Liban, Beirut, 1980. 

[2] Al-Nasab wa Atharuhu, Muhammad Yusuf Musa, Edisi 2, Dar al-Ma’rifah, Kaherah 1967, hal. 7-20.  Persetubuhan syubhah adalah merujuk kepada persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah. Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bayt al-Muslim fi al- Syariah al-Islamiyyah, Dr. Abd. Karim Zaydan, Vol. 9, Muassasah al-Risalah, t.tp, t.t, hal. 341-344.

[3] Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke - 57 bertarikh 10hb. Jun 2003 telah membuat keputusan 6 bulan 2 lahzah mengikut Taqwim Qamariyyah daripada tarikh Tamkin (persetubuhan)

            Manakala anak tersebut juga (TST), boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya dengan syarat lelaki tersebut tidak menafikan yang anak tersebut bukan daripada hasil hubungannya dengan ibu kepada anak berkenaan. Disamping itu juga tidak berlaku penafian oleh kedua-dua belah pihak iaitu ibu dan bapa kepada anak tersebut, juga pengisytiharan penafiannya tidak dihebahkan kepada orang ramai, dan anak tersebut lahir setelah enam bulan atau lebih daripada tarikh pernikahan, maka anak tersebut dikira sebagai anak yang sah taraf menurut pandangan Islam walaupun anak tersebut terhasil sebelum dari akad nikah yang sah dan lelaki tersebut menanggung segala yang telah diperakukannya.[4] 

         Seksyen 2(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 [En. 17/2003] menakrifkan anak “tak sah taraf” ertinya seseorang anak yang dilahirkan dari hasil luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.

            Anak tak sah taraf juga dipanggil sebagai “anak haram” atau “anak luar nikah”. Yang bermakna anak tersebut tidak dilahirkan di dalam perkahwinan yang sempurna tempohnya yang diiktiraf oleh fuqaha dan perundangan.

     Dalam kertas kerja berjudul “Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syara’’ yang dibentangkan oleh Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid,  anak tidak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut 'walad al-zina' yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah.  Para Fuqaha’ bersepakat bahawa anak zina merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah (persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah). Oleh itu, kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda: “(Kesahtarafan) seorang kanak-kanak berpunca daripada tempat tidur (kedua ibu bapanya yang sah) dan seorang penzina adalah layak ditahan.” (HR Al-Bukhari)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[4]  Garis panduan mengenai anak tak sah taraf menurut hukum syara` - Dato` Setia Hj. Mohd Tamyes bin Abdul Wahid, Dato` Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor.

            Berdasarkan perbincangan para fuqaha tentang nasab seseorang anak, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah atau pun persetubuhan syubhah.  Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga mempunyai peruntukan yang sama.  Terdapat juga peruntukan yang sama dalam Enakmen Undang undang Keluarga Islam di negeri-negeri lain di Malaysia, contohnya di Kelantan, Melaka, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.  Hal ini bermakna, pengertian anak tak sah taraf dalam peruntukan undang-undang negeri di Malaysia adalah selari dengan definisi anak tak sah taraf mengikut hukum syarak.

            Peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 2 mentafsirkan anak tidak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah sepertimana berikut: ”tak sah taraf’, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.”

            Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor pula menyatakan istilah anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan pada anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sama. Peruntukan undang-undang menyatakan bahawa : tak sah taraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.

            Berdasarkan peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 2 mentafsirkan anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah sepertimana berikut : tak sah taraf, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah; Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MKI) kali ke-64 pada 27 Julai 2004 menyatakan bahawa Anak tak sah taraf ialah:

1.     Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak  perhambaan.
2.     Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).
3.    Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada waktu tamkin (setubuh) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut Hukum Syarak. [5]

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[5] Warta Kerajaan Negeri Selangor No. 9, Jil. 58, [Mufti Sel. 500-2; PU. Sel. AGM. 0007 Jld.2].


No comments:

Post a Comment