Wednesday 22 May 2013

ULAMA DALAM BIDANG ILMU TAFSIR



ULAMA DALAM BIDANG ILMU TAFSIR

1. Imam At Tabari (225-310H/839M-923M)

Beliau ialah Abu Jaafar Muhammad bin Jarir At Tabari, tetapi beliau terkenal dengan nama At Tabari atau Ibn Jarir At Tabari. Beliau dilahirkan pada 225H/ 839M di Amul, Tabaristan, Iran tetapi beliau lebih banyak menghabiskan masanya di Kota Baghdad. Ketika menulis kitab tafsirnya, Jami’eu Al Bayan Fi Tafsir Al Quran atau dikenali sebagai Tafsir At Tabari, beliau telah menggunakan kaedah menafsiran Tafsir Bi Al Ma’sur iaitu penafsiran Al Quran dengan Al Quran, dengan hadith dan ijtihad para sahabat. Kitab itu mengandungi penemuan hukum akidah dan fiqh yang disimpulkan daripada Al Quran. Karya sejarah beliau yang terkenal ialah Tarikh Ar Rusul Wa Al Muluk atau dikenali dengan nama Tarikh At Tabari. Kitab itu dianggap sebagai kitab sejarah Islam yang paling lengkap. Dalam kitab itu dimuatkan maklumat yang tidak pernah ditulis oleh sejarawan sebelumnya. Isi kitab itu terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi sejarah Arab, Parsi dan Rom sebelum Islam, manakala bahagian kedua mengandungi sejarah pasca-Islam. Imam At Tabari meninggal dunia ketika berusia 85 tahun di Baghdad pada 310H/923 M.

2. Imam Ibn Kathir (701-774H)

Beliau ialah Abu Al Fida’ Imaduddin Ismail bin Umar bin Kathir Al Qurasyi Al Bushrawi Ad Dimasyqi, lebih dikenal dengan nama Ibn Kathir. Beliau lahir pada tahun 701H di sebuah desa Kota Bashra di Syam. Kitab beliau dalam bidang tafsir ialah Tafsir Al Qur’an Al ‘Azim yang lebih dikenali sebagai Tafsir Ibn Kathir. Kitab tersebut menjadi kitab tafsir yang terbaik di samping kitab Tafsir At Tabari. Para ulama mengatakan bahawa Tafsir Ibn Kathir adalah sebaik-baik kitab tafsir kerana memiliki pelbagai keistimewaan, beliau menggunakan kaedah Tafsir Bi Al Ma’sur iaitu menafsiran Al Qur’an dengan Al Qur’an, menafsirkan Al Qur’an dengan As Sunnah, kemudian dengan perkataan para shahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’ein, kemudian dengan kaedah-kaedah tatabahasa Arab. Selain tafsir, beliau juga menulis kitab-kitab lain yang sangat bermutu di antaranya adalah Al Bidayah Wa An Nihayah, Jami’eu Al Masanid, Ikhtisar ‘Ulum Al Hadith, Risalah Fi Al Jihad dan banyak lagi. Ibn Kathir meninggal dunia pada tahun 774H di Damsyiq dan dikuburkan di sebelah makam gurunya, Syeikhul Islam Ibn Taimiyah.

3. Imam Al Qurtubi (871H/1214-1273M)[1]

Beliau ialah Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr bin Farh Al Ansari Al Khazraji Al Andalusi Al Qurtubi, seorang ahli tafsir dari Cordova, Andalusia.  Kitab tafsirnya yang terkenal ialah Al Jami’ei Li Ahkam Al Qur’an yang dikenali sebagai Tafsir Imam Al Qurtubi. Keistimewaan kitab ini kerana di dalamnya diulas tentang hukum-hakam yang terkandung dalam sesuatu ayat Al Qur’an secara panjang lebar, dibawa hadith-hadith yang ditakhrij oleh beliau dan diungkapkan pula para perawinya. Dalam kaedah metodologi penulisan kitab tafsir, Imam Al Qurtubi banyak merujuk kitab-kitab tafsir yang dikarang sebelumnya dan menggunakan kaedah tafsir bil ma’tsur, qira’at, lughah, nahu, balaghah, fiqh, kajian hukum dan sebagainya. Beliau wafat pada malam Isnin, 9 Syawal tahun 871H, dimakamkan di Al Muniya terletak di sebelah timur Sungai Nil2]. Semoga Allah merahmati roh beliau, amin.


4. Imam Zamaksyari (467-538H)

Beliau ialan Abu Al Qasim Mahmud bin Umar bin Muhammad bin Ahmad bin Umar Al Khawarizmi Az Zamakhsyari, dilahirkan pada hari Rabu 27 Rejab 467H di Zamakhsyar, suatu tempat di Khawarizmi terletak di wilayah Turkistan, Rusia. Imam Az Zamakhsyari hidup dalam keadaan membujang sebatang kara dan dikatakan faktor-faktor beliau berada dalam keadaan demikian ialah kerana dilanda kemelut kemiskinan, ketidakstabilan hidupn dan beliau adalah seorang yang cacat jasmani. Ditambah pula dengan kesibukannya mencari ilmu dan kecintaannya terhadap ilmu pengetahuan serta terlibat dalam penulisan menyebabkan beliau tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal perkahwinan. Dalam persoalan fiqh, beliau berpegang kepada Mazhab Hanafi, tetapi dalam persoalan akidah, beliau bermazhab Mu’tazilah bermatian-matian membela mazhab tersebut. Imam Adz Dzahabi pernah berkata dalam kitabnya Al Mizan[3] bahawa Az Zamakhsyari adalah seorang yang layak diambil hadith, tetapi dia seorang penyeru kepada aliran Mu’tazilah, semoga Allah melindungi kita, oleh itu berhati-hati terhadap kitab Kasyaf karyanya. Sebagai seorang penulis, Az Zamakhsyari meninggalkan beberapa karya dalam beberapa bidang ilmu, di antaranya ialah Tafsir Al Kasyaf, Diwan Al Adab, Rabi’ Al Abrar, Asas Al Balaghah, A’jab Al‘Ajab Fi Syarh Lamiyat Al‘Arab, Al Anmudzaj Fi Al Nahwi, An Nashaih As Shighar, Al Fa’iq Fi Garib Al Hadith, Maqamaat Al Zamakhsyari dan Nawabi’ Al Kalam Fi Al Lughah[4]. Kitab tafsir beliau terkenal ialah Tafsir Al Kasyaf ‘An Haqa’iqit Tanzil Wa ‘Unuyil Aqawil Fi Wujuhit Ta’wil atau dikenali sebagai Tafsir Az Zamakhsyari. Kitab tafsir beliau adalah salah satu kitab tafsir yang menggunakan kaedah Tafsir Bi Al Ra’yi yang terkenal, yang dalam pembaHassannya menggunakan pendekatan bahasa dan sastera. Penafsirannya terkadang ditinjau dari sudut mufradat dengan merujuk kepada ucapan-ucapan syair arab, nahu dan balaghah. Beliau wafat pada 538H, di Jurjaniyah Khawarizm setelah kembali dari Mekah, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, amin.







No comments:

Post a Comment