Saturday 27 April 2013

Keistimewaan Ulum Al Quran



Keistimewaan Ulum Al Quran

Skop atau perbahasan yang terdapat dalam ilmu ulum Al Quran telah menjadikan ulum Al Quran ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Sebagai contoh, Ilmu Tafsir dan Takwil. Ilmu ini merupakan ilmu yang mula-mula dibincangkan yang mana sejarah kemunculannya dapat dikesan bermula pada abad ke-2 Hijrah. Selepas kemunculan ilmu ini, maka selepas itu lahir pula ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengan Al-Quran. Ulama yang muncul dan bertindak mengkaji serta menyusun ilmu Tafsir berasaskan riwayat daripada sahabat ialah :

1. Syu’bah Ibn Al-Hajjaj yang meninggal pada tahun 160 Hijrah.
2. Sufyan bin Uyainah yang meninggal pada tahun 198 Hijrah.
3. Waqi’ Al-Jarrah yang meninggal dunia pada tahun 197 Hijrah.
4. Ibn Jarir Al-Tabari yang meninggal dunia pada tahun 310 Hijrah. Kitab karangan Ibn Jarir Al-Tabari ini merupakan salah sebuah kitab yang unggul dan terkenal dan berkekalan sebagai rujukan penting hingga kini. 

            Pada peringkat awal perkembangan dan penulisan ilmu Tafsir berlangsung pada abad ke-3  Hijrah, bentuk Tafsir yang muncul dapat dibahagikan kepada dua bentuk: (a) Al-Tafsir Bi Al-Ma’thur atau Al-Tafsir Bi Al-Manqul. (b) Al-Tafsir Bi Al-Ra’yi atau Al-Tafsir Bi Al Ma’qul :

            Selain itu, Ilmu I’rab Al Quran pula memiliki keistimewaanya tersendiri. Sejarah awal yang dapat dikesan serta orang yang memainkan peranan sebagai pelopor dan meletakkan batu asas terhadap perkembangan ilmu yang berkaitan dengan I’rab Al-Quran ialah Saidina Ali bin Abu Talib. Saidina Ali telah menyarankan dan menyuruh Abu Aswad Al-Du’ali yang meninggal dunia pada tahun 69 Hijrah supaya membuat kaedah-kaedah bahasa Arab demi menjaga kesucian dan ketinggian bahasa Al Quran. Namun begitu, pada masa itu sehingga penghujung abad ke-4 Hijrah masih belum wujud kitab lengkap dan tersusun yang dihasilkan berkaitan dengan I’rab Al-Quran.

            Walaubagaimanapun, pada abad ke-5 Hijrah telah muncul kitab yang disusun berkaitan dengan I’rab Al-Quran. Antara tokoh terlibat dan kitab yang dihasilkan ialah yang pertama Abu Amar Al-Dani. Beliau telah Berjaya menghasilkan kitab yang berkaitan denganI’rab berjudul: Al-Taisir Bi Al-Qira’at Al-Sab’I dan kitab Al-Muhkam Fi Al-Nuqat.yang kedua pula ialah Ali bin Ibrahim Ibn Sa’id Al-Khaufi. Beliau telah menyusun semula kitab I’rab Al-Quran.

            Dalam Ilmu Qiraat, orang pertama yang telah menyusun kitab berkaitan ‘Ilmu Qira’at ialah Abu ‘Ubaid Al-Qasim IbnSalam. Sejarah awal tentang kitab Nasikh dan Mansukh yang dapat dikesan ialah bermula abad ke-3 Hijrah. Tokoh ulama yang telah bertanggungjawab menyusun kitab berkaitan dengan‘Ilmu Nasikh Dan Mansukh ialah Abu ‘Ubaid Al-Qasim Ibn Salam. Ilmu sebab Nuzul telah bermula pada abad ke-3 Hijrah. Orang yang menjadi pelopor kepada penyusunan dan pembukuan kitab berkaitan dengan ilmu Asbab Al-Nuzul ialah Ali Ibn Al-Madini yang meninggal dunia pada tahun 34 Hijrah.

            Ilmu Makki dan Madani pula telah dibincangkan secara khusus bermula abad ke-3 Hijrah. Penyusunan ilmu ini dipelopori oleh Muhammad Ibn Ayyub Al-Darris yang meninggal dunia pada tahun 294Hijrah. Ilmu Fada’il Al Quran merupakan Ilmu yang membincangkan tentang kelebihan Al-Quran. Antara tokoh utama yang membincangkan ilmu ini ialah pertama Abu ‘Ubaid Al-Qasim Ibn Salam, dan yang kedua Abu Bakar Muhammad Ibn Al-Qasim Al-Anbari yang telah meninggal dunia pada tahun328 Hijrah. Beliau merupakan penyusun kitab ‘Aja’ib Al-Quran. Apa yang menjadikan Ilmu Nuzul Al Quran begitu istimewa ialah ilmu ini membincangkan tentang cara-cara dan bentuk serta peringkat penurunan Al-Quran kepada Nabi. Ilmu ini telah dipelopori dan dibahaskan oleh Abu Bakar Muhammad Ibn Al-Qasim Al-Anbari di dalam kitabnya ‘Aja’ib Al-Quran. Antara lain beliau juga telah membincangkan di dalam kitabnya itu tentang penurunan Al-Quran dengan Tujuh Huruf, Penulisan Mashaf, Bilangan Surah, Ayat serta Kalimah dan sebagainya.

            Dalam Ilmu Gharib Al Quran, Ilmu ini telah dibincangkan secara langsung dan ulama pertama yang menyusun kitab berkaitan dengan Gharib Al-Quran ialah Abu Bakar Al-Sijistani dalam kitabnya Gharib Al-Quran. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 330 Hijrah. Ilmu Amthal Al-Quran pula membicarakan tentang perumpamaan serta perbandingan yang terdapat di dalam Al-Quran. Antara tokoh ulama terkemuka yang membicarakan tentang ilmu ini ialah Al-Mawardi yang meninggal dunia pada tahun 450 Hijrah.

            Ulama yang telah menjadi pelopor dan menyusun kitab pertama berkaitan Ilmu Majaz Al-Quran adalah Ibn Abd Al-Salam yang telah menyusun kitab Majaz Al-Quran. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 665Hijrah. Ilmu Ayat Muhkamat dan Mutasyabihat telah muncul secara khusus pada akhir abad ke-7 Hijrah. Ilmu ini membahaskan tentang ayat-ayat Muhkam dan ayat-ayat Mutasyabih yang terdapat dalam Al-Quran serta perbezaan antara kedua-duanya menurut gaya bahasa Arab.

            Ilmu Jidal Al-Quran pula telah muncul pada akhir kurun ke-7 Hijrah. Ilmu ini membincangkan tentang hujah dan dalil yang telah digunakan di dalam Al-Quran dalam menetapkan sesuatu menurut gaya bahasa Arab. Ulama yang menjadi pelopor dan penyusun kepada ilmu ini ialah Najmuddin Al-Tufi yang telah meninggal dunia pada tahun 716 Hijrah. Mengenai Ilmu Aqsam Al-Quran, ia telah muncul secara lansung pada penghujung kurun ke-7 Hijrah. Ilmu ini membicarakan tentang jenis-jenis sumpah Allah yang terdapat di dalam Al-Quran. Pelopor kepada ilmu ini yang telah menyusun kitab berkaitan dengan Aqsam Al-Quran ialah Ibn Al-Qayyim yang meninggal dunia pada tahun 752 Hijrah.


No comments:

Post a Comment