Friday, 26 April 2013

Bentuk bacaan yang diharuskan dan bentuk bacaan yang ditegah semasa membaca al quran



Bentuk bacaan yang diharuskan dan
bentuk bacaan yang ditegah semasa membaca al quran




Islam menggalakkan umatnya sentiasa membaca al quran bagi mendapat keredhaan daripada Allah dan mengambil ibroh bagi setiap ayat al quran yang dibaca, justeru itu, islam telah menggariskan panduan mengenai bentuk-bentuk bacaan yang diharuskan semasa membaca al quran,antaranya ialah dengan membaca al quran dengan perlahan (tartil) dan tidak cepat agar dapat menghayati ayat al quran yang dibaca. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siapa sahaja yang membaca al-Quran (khatam) kurang dari tiga hari, bererti dia tidak memahami.” (Hadis Riwayat: Ahmad dan penyusun Kitab Sunan). Sebahagian kelompok daripada generasi pertama membenci pengkhataman al-Quran sehari semalam berdasarkan hadis di ini. Rasulullah memerintahkan Abdullah Ibnu Umar untuk mengkhatamkan al-Quran setiap satu minggu (tujuh hari) (Muttafaq Alaih). Ini dilakukan Abdullah bin Mas’ud, Uthman bin Affan, Zaid bin Tsabit. Mereka mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu.                             

            Selain itu, membaca al-Quran secara khusyuk dengan menangis kerana sentuhan pengaruh ayat yang dibaca yang menyentuh jiwa dan perasaan juga dibolehkan. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran dan menangislah, apabila kamu tidak menangis maka usahakan menangis kerana ayat yang engkau baca.” (Hadis Riwayat: Al-Bazzar). Allah s.w.t juga menjelaskan sebahagian daripada sifat hamba-Nya yang soleh dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Surah Al-Isra’: Ayat 109). Rasulullah bersabda: “Pada akhir zaman atau pada umat ini, akan lahir segolongan manusia yang membaca Al-Quran, namun Al-Quran itu tidak sampai menerusi tengkuk mereka atau leher mereka.” Hadis ini menujukkan bahawa kita hendaklah memahami ayat al quran yang dibaca sehingga membuat hati kita tersentuh dengan ayat al quran yang dibaca.                                                               

            Malah, kita juga diharuskan mengelokkan bacaan ketika membaca al quran, sebagaimana sabda Rasulullah, زينوا القرآن بأصوا تكم yang bermaksud: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu.” (Hadis Riwayat: Ahmad, Ibnu Majah & Al-Hakim). Dalam hadis lain dijelaskan: “Tidak termasuk umatku orang yang tidak melagukan al-Quran.” (Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim) . Maksud hadis ini ialah membaca al-Quran dengan susunan bacaan yang jelas dan terang makhraj hurufnya, panjang pendeknya bacaan, tidak sampai keluar daripada ketentuan kaedah Tajwid.

            Selanjutnya, membaca al-Quran dimulai dengan isti’adzah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bila kamu akan membaca al-Quran, maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada (godaan-godaan) syaitan yang terkutuk.” (Surah An-Nahl: Ayat 98). Apabila ayat yang dibaca dimulai dari awal surah, selepas isti’adzah bolehlah terus membaca Basmalah dan apabila tidak di awal surah cukuplah sekadar membaca isti’adzah. Khusus untuk surat At-Taubah, walaupun dibaca mulai awal surat tidak perlu membaca Basmalah. Cukup sekadar dengan membaca isti’adzah sahaja.                                        
            Disamping itu juga, membaca al-Quran dengan berusaha mengetahui ertinya dan memahami intipati daripada ayat yang dibaca dengan beberapa kandungan ilmu yang ada di dalamnya. Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad: Ayat 24). Ayat ini menyeru kita agar menumpukan hati dan pemikiran terhadap makna-makna yang terkandung dalam ayat-ayat yang dibaca. Allah Subhanuwata’ala juga telah berfirman: “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu yang penuh berkat supaya kamu memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. (Surah Sad: 29)                                               

            Malah, kita juga harus membaca al-Quran dengan tidak mengganggu orang sedang solat, dan tidak perlu membacanya dengan suara yang terlalu keras atau di tempat yang banyak orang. Sebaliknya, bacalah dengan suara atau dalam hati secara khusyuk. Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang yang terang-terangan (di tempat orang banyak) membaca al-Quran, sama dengan orang yang terang-terangan dalam sedekah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, dan Ahmad). Dalam hadis lain dijelaskan: “Ingatlah bahawa setiap hari dari kamu munajat kepada Rabbnya, maka janganlah salah satu daripada kamu mengganggu yang lain, dan salah satu daripada kamu tidak boleh mengangkat suara atas yang lain di dalam membaca (al-Qur'an).” (Hadis Riwayat: Abu Dawud, Nasa'i, Baihaqi dan Hakim)

            Pada masa yang sama, membaca dengan saling bergantian juga adalah diharuskan. Membaca al-Quran, boleh dilakukan secara bergantian dan yang mendengarnya haruslah dengan khusyuk dan tenang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun atas mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh rahmat (Allah), malaikat menyertai mereka, dan Allah membanggakan mereka di kalangan (malaikat) yang ada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat: Abu Dawud).                                                            
            Perkara harus yang boleh kita lakukan juga ialah dengan membaca Al-Quran dengan suara yang jelas (jahr) kerana ia lebih diutamakan. Pembacaan yang jelas dan boleh didengari akan membangkitkan semangat orang yang mendengar, di samping memudahkan para pendengar untuk memikir, memperhati dan merenungkan ayat-ayat Allah. Walaubagaimana pun jika suara yang jelas (jahr) itu dikhuatiri menimbulkan rasa riyak atau mengganggu orang lain seperti mengganggu orang yang sedang solat, maka membaca Al-Quran dengan suara yang rendah lebih diutamakan.Rasulullah bersabda (yang bermaksud): “Allah tidak mendengar sesuatu selain suara Nabi yang membaca Al-Quran dengan suara yang jelas (jahar).”                                                                      

            Selain daripada itu juga, kita diharuskan membaca Al-Quran dengan hati yang tawaduk, menjauhkan diri daripada bersifat sombong dan mengelakkan diri daripada berasa lebih baik daripada orang lain. Rasulullah bersabda:
يخرج فيكم قوم يحقرون صلاتكم مع صلاتهم وصيامكم مع صيامهم وعملكم مع عملهم ويقرؤن القرأن لا يجاور حناجرهم يمرقون من الدين كما يمرق السهم من الرمية“. Maksudnya: Akan muncul di antara kalian, sekelompok orang yang memandang rendah solat kalian bersama solat mereka, puasa kalian bersama puasa mereka dan amal kalian bersama amal mereka. Mereka membaca Al-Quran, tetapi Al Quran itu tidak sampai menerusi tengkuk mereka, mereka keluar dari Islam seperti keluarnya anak panah dari busurnya.”

            Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan adalah harus semasa membaca al quran. Sebagai contoh, seorang imam hendaklah membaca surah mengikut tertib seperti yang ada didalam al quran seperti membaca surah al insan dalam rakaat yang pertama dan membaca surah al ikhlas dalam rakaat yang kedua.

Apabila islam telah menggariskan bacaan-bacaan yang telah diharuskan semasa membaca al quran, jadi pasti ada juga bentuk-bentuk bacaan yang ditegah semasa kita membaca al quran. Jadual dibawah menunjukkan perkara-perkara yang ditegah semasa membaca al quran.



Bentuk bacaan yang ditegah
Huraian
Tatrib
Iaitu membaca dengan merengek-rengek suara dan memanjangkan bukan pada tempatnya.
Tamtit
Iaitu bacaan dengan melebih-lebihkan harakah pada hukum mad.
Tarkis
Iaitu bacaan dengan melenggokkan nada suara sehingga melebihkan harakat huruf mad bertujuan menyelesaikan rentak.
Tahzin
Bacaan dengan nada yang amat sedih yang menjejaskan tajwid dan membaca dengan sifat riyak.
Tarid
Bacaan yang menggentarkan suara keterlaluan seperti orang kesejukan atau ditimpa sakit.
Membaca bersama alat muzik
Membaca al quran bersama iringan alat muzik seperti gitar, piano dan sebagainya

No comments:

Post a Comment