Saturday, 4 January 2014

Implikasi Anak Tak Sah Taraf Dalam Islam


2.3 Implikasi Anak Tak Sah Taraf Dalam Islam

Terdapat beberapa implikasi berhubung kedudukan anak taksah taraf dalam Islam. Implikasi-implikasi tersebut ialah:

i. Penamaan dan Nasab.
Jika seseorang anak lahir tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah di antara ibunya dengan lelaki yang mensetubuhinya dan bukanpersetubuhan syubhah, maka anak tersebut tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa zina. Sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama ”Asma’ ul-Husna” yang berpangkalkan Abdul. Kedudukan ini berbeza dengan anak yang bukan beragama Islam. Kesahtarafan anak akan dikira dari tarikh ibu dan bapa anak tersebut memeluk Islam.
ii. Pergaulan dan Hubungan.
Dalam Islam, anak tidak sah taraf bebas menjalin apa-apa hubungan atau aktiviti sepertimana yang dilakukan oleh kanak-kanak Islam yang sah tarafnya. Hukum pergaulan anak tidak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram) kecuali lelaki tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah sebagai ayah tiri. Perhubungan antara anak tidak sah taraf dengan anak-anak di sebelah ibunya yang sah taraf dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang sah. Namun, perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapanya yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.
 iii. Nafkah.
Tanggungjawab nafkah dan saraan hidup anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya. Ini adalah kerana anak tidak sah taraf dinasabkan kepada ibunya dan tidak kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Peruntukan mengenai tanggungjawab nafkah ini juga terdapat dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 80 (1) iaitu: Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tidak sah taraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.
iv. Penjagaan.
Hubungan nasab (keturunan) anak tidak sah taraf dengan ibu serta ahli keluarganya tidak terputus. Oleh itu tanggungjawab menjaga anak tidak sah taraf menjadi tanggungjawab ibu dan ahli keluarga di sebelah ibunya. Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 85 memperuntukkan bahawa: Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.  Peruntukan ini selaras dengan kehendak Hukum Syarak yang menetapkan hubungan nasabnya (keturunan) hanya dengan ibunya sahaja.  Kedudukan ini sudah tentu memberikan hak penjagaan kepada ibunya atau ahli keluarga ibunya.
v. Harta Pusaka.
Anak tidak sah taraf tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan ibunya. Begitu juga ibu tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan anak tersebut. Oleh itu, kedua-duanya boleh mewarisi pusaka antara satu sama lain. Seseorang anak tidak sah taraf tidak boleh mempusakai harta bapanya yang tidak sah. Begitu juga bapa tidak boleh mewarisi harta anak tersebut kerana kedua-duanya telah terputus hubungan kekeluargaan.
 vi. Perwalian.
Hak perwalian diri anak tidak sah taraf terletak kepada ibunya..  Walaubagaimanapun, wali perkahwinan bagi seseorang anak tidak sah taraf perempuan dipegang oleh Wali Hakim (iaitu Yang DiPertuan Agong/Sultan/Raja atau individu yang diberi tauliah). Ini adalah kerana seseorang perempuan tidak sah menjadi wali di dalam apa jua perkahwinan. Sabda Rasulullah SAW: “Sultan adalah wali kepada sesiapa yang tidak mempunyai wali.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi).  Begitu juga lelaki yang menyetubuhi ibunya tanpa akad nikah yang sah, sama ada dia berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu juga tidak sah menjadi walinya.
vii. Perkahwinan
Keraguan berhubung kesahihan perkahwinan seorang anak tidak sah taraf perlu dikikis kerana agama tidak pernah membezakannya dengan kanak-kanak lain. Mereka juga seperti insan-insan yang lain. Kesalahan yang berlaku sehingga mereka dilahirkan bukanlah dosanya tetapi hasil perbuatan ibu dan lelaki yang menyetubuhi ibunya. Oleh itu perkahwinan anak tidak sah taraf perempuan adalah sah, walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa lelaki yang baik nasabnya tidak digalakkan mengahwininya.
viii. Kematian.
Kematian seorang anak tidak sah taraf yang belum baligh adalah menurut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka dia dihukum sebagai seorang Islam. Oleh itu mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang yang beragama Islam, maka dia dihukum sebagai bukan seorang beragama Islam sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya adalah seorang Islam.
ix. Pertukaran Status Anak Tidak Sah Taraf
Seseorang anak tidak sah taraf boleh bertukar sifatnya apabila dia dibuang oleh ibunya dan dijumpai oleh orang lain. Pada ketika itu statusnya akan bertukar menjadi anak laqit (iaitu anak pungut). Dia akan menjadi anak angkat kepada sesiapa yang memungut dan diberi tanggungjawab memeliharanya berdasarkan peruntukan yang diberikan kepada seorang anak angkat.
x. Amal Kebajikan.
Amal kebajikan anak tidak sah taraf sama ada untuk diri sendiri atau untuk masyarakat adalah sama seperti anak-anak yang lain. Anak tidak sah taraf adalah seorang yang suci dan bersih dari sebarang dosa ibu dan bapanya.
            Firman Allah SWT: “... dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)...” (QS al-An’am: 164)
            Firman Allah SWT lagi: "Katakanlah: ”Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan.” (QS Saba’: 25)
            Amal kebajikan mereka tetap akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT sama seperti amal kebajikan orang Islam yang lain. Firman Allah SWT: “Maka sesiapa berbuat kebajikan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya. Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zarrah, nescaya akan dilihatnya.” (QS al-Zalzalah: 7~8)





Hak-Hak Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syarak.


2.1 Hak-Hak Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syarak.

a) Nasab Keturunan dan Penamaan
Dia tidak harus dibin atau dibintikan kepada lelaki yang menyetubuhi ibunya. Dia juga tidak boleh dibin atau dibintikan kepada ibunya kerana mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada anak tersebut. Dia hendaklah dibin atau dibintikan kepada salah satu nama Asma` al-Husna atau sifat-sifat Allah yang berpangkalkan Abdul.  Hal ini telah dirakamkan didalam Surah al-Ahzab ayat 5 : Maksudnya : “ Panggilah anak-anak angkat itu Dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah ”.
Rasulullah SAW telah memutuskan (qadha) di antara suami dan isteri yang telah berli`an bahawa anak perempuan (isteri) itu tidak dibin atau dibintikan kepada ayahnya (suami).

            Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali pertama pada 28-29 Januari 1981 telah memutuskan “ anak zina atau anak luar nikah (anak tak sahtaraf) sama ada diikuti dengan perkahwinan kedua-dua pasangan ibu bapanya atau tidak hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah ”.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan : Garis Panduan Mengenai Anak Tak Sah Taraf Menurut Hukum Syara’ Sighah berkaitan anak tak sah taraf menurut hukum syara’ ialah:

1.    Anak yang dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau
melalui cara saintifik yang bertentangan dengan hukum syarak.
2.    Anak yang dilahirkan kurang daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat. 
3.    Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah qamariah dari waktu “Imkan ad Dukhul” selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syara’ bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syara’.[13] ( Warta pada 28hb April 2005 )

b) Kewajipan Memberi Nafkah
Segala nafkah dan sara hidup anak tak sah taraf adalah menjadi tanggungjawab ibunya. Ini kerana anak tersebut dinasabkan kepada ibunya dan bukan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

c) Hak Mewarisi Harta Pusaka
Anak tak sah taraf tidak terputus hubungan dengan ibunya. Maka kedua-duanya boleh mewarisi antara satu sama lain. Sekiranya ibunya meninggal dunia, maka ia mempunyai hak untuk mewarisi harta pusaka ibunya bersama-sama ahli waris yang lain. Begitulah sebaliknya jika ia meninggal terlebih dahulu. Seseorang anak tak sah taraf tidak boleh sama sekali mewarisi harta pusaka orang yang menyebabkan kelahirannya (bapanya yang tak sah taraf) kerana ia bukan ahli waris, begitu juga sebaliknya bapa itu tidak berhak untuk mewarisi harta pusakanya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

[13]  Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara` (FATWA) Negeri Selangor Ke - 3/2004 pada 9hb. Mei 2004

d) Hak Perwalian dalam Perkahwinan dan Penjagaan
Wali kepada anak tak sahtaraf secara amnya adalah terletak kepada ibunya. Walau bagaimanapun perwalian dalam pernikahan anak perempuan tak sahtaraf ditetapkan kepada wali hakim. Ini kerana seseorang perempuan tisak sah menjadi wali di dalam urusan perkahwinan. Lelaki yang menyetubuhi ibunya sebelum akad nikah yang sah, samada ia (lelaki) berkahwin atau tidak dengan ibunya selepas itu, tetap tidak sah menjadi walinya. Berhubung dengan penjagaan anak tak sah taraf adalah dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada ibu dan saudara mara sebelah ibunya kerana tiada bukti yang boleh disabitkan siapakah sebenarnya lelaki yang melakukan perbuatan terkutuk itu. Walau bagaimanapun perkahwinan seseorang anak tak sah taraf (perempuan) dengan seseorang lelaki biasa adalah sah.

e) Hubungan Mahram
Perhubungan anak tak sah taraf dengan anak-anak dan ahli keluarga sebelah ibunya yang lain adalah hubungan kekeluargaan yang satu. Tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga bapanya yang tidak sah itu.

Jika dia seorang perempuan maka wuduknya dan wuduk suami ibunya tidak batal apabila bersentuhan. Pergaulan antaranya dan suami ibunya adalah pergaulan anak tiri dengan bapa tirinya.

f) Kematian dan Perkara yang Berkaitan
Seseorang anak tak sahtaraf yang belum baligh adalah mengikut hukum agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka ia dihukum sebagai seorang yang beragama Islam. Dengan demikian, mayatnya hendaklah diurus secara pengurusan jenazah Islam. Jika ibunya bukan seorang Islam maka ia dihukum sebagai seorang yang bukan beragama Islam, sekalipun lelaki yang menyetubuhi ibunya itu seorang Islam. ( berlainan sedikit dengan anak temuan, al-Laqiit ).

g) Amal Kebajikan / Perlindungan
Jika semasa hidupnya dia telah melakukan amal soleh samada untuk dirinya atau untuk masyarakat, maka segala manfaatnya dari segi pahala atau lain-lain akan kembali kepada dirinya. Tidak ada bezanya di antara dirinya dengan diri orang-orang soleh yang lain.

            Kalau dia berilmu tinggi dia harus memegang apa sahaja jawatan yang diberikan kepadanya, samada yang berkaitan dengan urusan agama atau urusan-urusan lainnya.

            Seorang anak tak sah taraf hendaklah diberi perlindungan dan juga nafkah sama seperti anak-nak lain dari sudut agama dan undang-undang. Dia juga berhak mendapat perlindungan sepenuhnya daripada ibunya, keluarga ibunya dan pemerintah.

h) Anak Tiada Identiti
Jika seseorang anak yang tidak dikenalpasti identitinya (anak pungut) dan tidak dapat ditentukan keturunannya iaitu samada Islam ataupun bukan Islam, maka adalah menjadi tanggungjawab pihak pemerintah Islam/pentadbir (kerajaan) membesarkannya menerusi rumah kebajikan dalam menjaga kebajikannya serta mendidiknya menurut agama Islam.

Perbezaan Anak Sah taraf dan Anak Tak Sah taraf Menurut Undang-undang dan Syarak


1.8 Perbezaan Anak Sah taraf dan Anak Tak Sah taraf Menurut Undang-undang dan Syarak
Menurut undang-undang Malaysia, anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram lebih dikenali sebagai anak tidak sah taraf atau anak luar nikah dan anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologi kanak-kanak itu menurut hukum syarak kerana ia lahir bukan daripada perkahwinan yang sah. Ia juga tidak mempunyai hak perwalian dan hak untuk mendapatkan harta pusaka (Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989).
            Menurut AUKI 1984, ‘anak tak sah taraf’ bermaksud anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan yang syubhah. Perkataan syubhah membawa erti keraguan atau kesamaran yang menimbulkan was-was terhadap sesuatu perkara dan tidak dapat dipastikan halal atau haramnya perkara tersebut.  (Dr. Zaleha Kamaruddin & Raihanah Abdullah, 2002).
            Para fuqaha’ semua mazhab berpendapat bahawa seorang anak yang pembenihannya dan kehamilan berlaku sebelum pernikahan kedua ibu bapanya adalah anak hasil perzinaan dan anak tersebut adalah merupakan anak tak sah taraf. Walau bagaimanapun, anak yang lahir setelah enam bulan atau lebih dari tarikh pernikahan akan dikira sebagai anak yang sah (Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989).
            Di Malaysia, masih belum ada sebarang peruntukan dalam undang-undang keluarga Islam yang seragam mewajibkan kepastian bapa kandung bagi seorang anak yang tak sah taraf. Malahan dalam Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah juga tidak menetapkan kewajipan memastikan bapa kandung seorang anak yang dilahirkan luar nikah. Justeru, hukuman bagi kesalahan itu terkena kepada wanita sahaja, kerana qarinah lebih mudah diperolehi daripada wanita.  Kecuali jika terdapat keterangan berlakunya persetubuhan haram maka pasangan lelakinya boleh dihukum.



1.9 Tempoh Minimum Kehamilan
Tempoh paling minimum adalah enam bulan ( Qamariyyah) dan dua lahzah.    Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat 15 :  Maksudnya : “ Tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan ”.  Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah :

والوالدات يرضعن أولادهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم الرضاعة
            Maksudnya : “ Dan ibu-ibu yang menyuskan anaknya selama dua tahun (sempurna) bagi sesiapa yang ingin menyempurnakan penyusuan ”.  Berdasarkan dua ayat inilah para Fuqaha` menentukan bahawa tempoh minimum kehamilan ialah enam bulan qamariyyah dan dua lahzah. Iaitu lahzah percantuman benih suami isteri dan lahzah berlakunya kelahiran. 

Pendapat Fuqaha` berkenaan al-Dukhul al-Haqiqiyy atau Imkan al-Dukhul :

1) Imam Abu Hanifah :
Sesungguhnya nasab itu disabitkan dengan semata-mata akad nikah yang sahih walaupun suami dan isteri tidak sempat berjumpa ( Dukhul). Sekiranya suami di barat dan isteri di tiumr bernikah dan kemudiannya mendapat zuriat, maka anak tersebut dinasabkan kepadanya (suami) sekalipun tidak sempurna pertemuan (dukhul) di antara keduanya selepas akad.[10]

2) Imam al-Syafie, Malik dan Ahmad ( salah satu qaul Ahmad ) :
Sesungguhnya nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dengan Imkan al-Dukhul dan al-Talaaqi. [11] 

3)Pendapat Imam Ahmad ( qaul lain)
Nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dukhul haqiqiyy.[12] 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[10]  al-Sarakhsi: al-Mabsut 17/156, al-Kasaani: al-Bada`ei` 3/212, ibn `Abidin: al-Haasyiyah 3/547.

[11]  al-Syirazi: al-Tanbih ms 190, al-Syirazi: al-Muhazzab 2/120, al-Bahuti: Kashf al-Qinaa` 5/406.

[12]  al-Mardaawi : al-Ansaf 9/258.
2.0 Tempoh dan keadaan untuk Menafikan Nasab

Berkata Imam Malik, al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal rahimahumullah :
Seseorang lelaki boleh dan hendaklah menafikan kandungan isterinya semasa hari kandungannya dan melakukan penafian dengan meli`an isterinya di Mahkamah.

            Imam Malik juga berpendapat bahawa sekiranya seseorang lelaki berada di samping isterinya semasa isterinya sedang mengandung, maka tempoh untuk menafikan anak tersebut bermula dari isteri mula mengandung sehingga bersalin. Tidak ada penafian lagi selepas isteri melahirkan anak tersebut.

            Adapun sekiranya seseorang suami bermusafir atau ghaib semasa isterinya mengandung sehinggalah melahirkan anak tersebut, maka baginya (suami) menafikan anak tersebut apabila ia (suami) mengetahuinya.

            Para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang lelaki mengingkari nasab anaknya, maka wajib melakukan li`an di antaranya dan isterinya. Begitu juga para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang suami telah menerima anaknya sebelum daripada menafikan nasabnya, samada penerimaannya sebelum itu adalah secara sorih (lafaz yang jelas) atau dengan perbuatan yang menunjukkan penerimaannya seperti menerima ucapan tahniah, memberi didikan atau mengasihani anak tersebut seperti selayaknya seorang bapa mengasihi anaknya,  maka tidak ada lagi baginya selepas itu hak menafikan bahawa anak tersebut bukan dari keturunannya.

            Sekiranya seseorang suami menafikan nasab anak tersebut selepas penerimaannya (lafaz sorih atau melalui perbuatan dan tindak tanduknya), maka wajib ke atasnya Had Qazaf.


Kedudukan Anak Tak Sah Taraf Menurut Pandangan Ulamak


1.4 Kedudukan Anak Tak Sah Taraf Menurut Pandangan Ulamak
Para fuqaha’ semua mazhab bersependapat bahawa seseorang anak yang pembenihannya dan kehamilannya itu berlaku sebelum pernikahan kedua ibu bapanya, adalah anak hasil daripada perzinaan dan anak tersebut adalah anak tak sah taraf. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa persoalan yang perlu dilihat secara lebih terperinci.
Mazhab Hanafi berpandangan:
Jika seseorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, kemudian wanita tersebut melahirkan anak dalam tempoh kurang daripada enam bulan dari tarikh pernikahan mereka, anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada lelaki berkenaan kerana pembenihan telah berlaku sebelum nikah, maka ia bukan daripada suaminya. Sekiranya suami tersebut hendak menafikannya, maka ia hendaklah berli’an, kerana nasab boleh disabitkan melalui perkahwinan yang wujud. Li’an hendaklah berdasarkan qazaf tanpa perlu wujudnya anak. [7]
Berdasarkan al-Fatwa al-Zahiriyyah,
Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan yang kemudiannya berlaku pembenihan, apabila ternyata hamil dan lelaki tersebut mengahwininya, maka pernikahan tersebut adalah harus.  Jika anak dalam kandungan tersebut lahir dalam tempoh selepas enam bulan atau lebih, maka anak tersebut boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut.  Sebaliknya, jika dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali jika ia mengaku bahawa anak itu adalah anaknya dan bukan dari hasil perzinaan. [8]

 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[7] Mu’in al-Hukkam, Ala’ al-Din Abi al-Hasan Ali bin Khalil al-Trablusiy, cetakan ke -2, Mesir, Syarikah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladihi, 1973, hal. 332.

[8]Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladihi, 1973, hal. 332.
12 Ibid, hal. 333
Mazhab Syafie [9] berpandangan:

Jika dikahwini seorang wanita yang hamil dari perzinaan, kemudian ia melahirkan anak yang sempurna tempohnya (term baby), maka terdapat empat (4) keadaan mengenainya, iaitu:
1.    Sama ada suami menafikan anak tersebut zahir dan batin tanpa melakukan li’an iaitu anak yang dilahirkan kurang daripada tempoh enam bulan daripada berlaku perhubungan suami isteri selepas akad nikah atau lebih daripada empat tahun dari tarikh terakhir berlaku perhubungan suami isteri.
2.    Sama ada dihubungkan anak dengan suami tersebut dan sabit bagi anak tersebut hukum perwarisan dan selainnya secara zahir, yang sepatutnya menafikannya kerana anak tersebut lahir lebih daripada masa enam bulan dan kurang daripada empat tahun. Suami tersebut mengetahui atau berat sangka bahawa anak itu bukan daripada benihnya kerana ia tidak menyetubuhi isterinya selepas akad dan tidak memasukkan spermanya. Atau anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan dari tempoh perhubungan suami isteri, atau lebih daripada empat tahun daripada perhubungan tersebut, atau lebih daripada enam bulan daripada istibra’ dengan sekali pusingan haid dan ternyata isteri tersebut berzina. Maka dalam keadaan sedemikian, suami tersebut berdosa jika tidak menafikan anak tersebut, malah ia suatu dosa besar.
3.    Sama ada menghubungkan anak tersebut kepada suami secara zahir tetapi tidak perlu menafikannya jika suami sangka bahawa anak tersebut adalah daripada benihnya walaupun tanpa sangkaan yang berat. Telah berlaku istibra’ selepas perhubungan suami isteri dan anak tersebut dilahirkan lebih daripada enam bulan selepas perhubungan suami isteri. Terdapat keraguan mengenai perzinaan isterinya. Dalam keadaan sedemikian, sunat (nadb) menghubungkan anak tersebut dengan suami.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[9]  Bughyah al-Mushtarshidin, al-Sayyid Abd. Rahman bin Muhammad bin Husayn bin Umar, Dar al-Fikr, Beirut, hal. 386.

4.    Sama ada dihubungkan anak tersebut kepada suami dan haram menafikannya jika berat sangkaan anak tersebut adalah dari benihnya. Atau pun terdapat dua perkara yang sama iaitu anak tersebut lahir setelah enam bulan dan lebih sehingga empat tahun daripada berlakunya perhubungan suami isteri serta tidak berlaku istibra’ selepas itu. Atau berlaku istibra’ tetapi anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka dihubungkan melalui firash (perkahwinan yang sah). Terdapat perbezaan pendapat mengenai anak zina yang dilahirkan tanpa firash, maksudnya ibu kepada anak tersebut tidak berada dalam ikatan perkahwinan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa tidak harus disambungkan nasab anak zina dengan bapa biologinya. Segelintir ulama’ yang mengharuskannya seperti Muhammad bin Sirrin dan Ibn Taimiyyah serta diperkukuhkan oleh anak muridnya, Ibn Qayyim. Hassan al-Basry dan Ibrahim al-Nakha’iy berpendapat bahawa harus menghubungkan anak zina dengan bapa zinanya setelah dikenakan hukuman hudud.

1.5 Syarat Pensabitan Nasab Anak Menurut Syarak dan AUKI 1984

Penentuan nasab anak ditentukan melalui status perkahwinan pasangan. Sekiranya anak yang dikandung itu hasil daripada perkahwinan yang sah, maka nasab anak adalah kepada bapanya. Asas penentuan ini adalah diambil daripada sebuah hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Anak yang lahir dari hubungan suami isteri yang sah dinasabkan kepada bapa, dan dia tidak berhak terhadap anak yang lahir dari hubungan zina.” (Hadis Riwayat Muslim)
Namun demikian, sekiranya berlaku syubhah maka penentuan nasab anak perlu ditentukan dengan teliti dan syarak telah menetapkannya melalui beberapa kaedah:
1- Penyaksian (syahadah)
Penyaksian dalam penentuan nasab anak hendaklah disaksikan oleh dua orang lelaki yang memenuhi syarat saksi pernikahan (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Justeru, penyaksian perempuan tidak diiktiraf oleh syarak sebagai saksi yang mempunyai otoriti dalam mengesahkan status anak sah taraf.
2- Pengakuan (iqrar)
Menurut mazhab as-syafie, pengakuan seorang bapa ke atas anaknya adalah dianggap sah oleh syarak sebagai kaedah dalam mensabitkan nasab anak (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Namun demikian, pengakuan tersebut perlu menepati beberapa peraturan berikut:
i)             Umur yang munasabah antara seorang bapa dan anak.
ii)            Tiada penafian oleh masyarakat umum tentang pengakuan tersebut
iii)           Persetujuan orang yang didakwa (mengiyakan ikrar) atas pengakuan pendakwa
 3- Perakuan masyarakat (istifadah)
Penyaksian dan perakuan masyarakat juga merupakan kaedah ketiga dalam menentukan nasab seseorang. Ianya diperaku oleh syarak melalui amalan Baginda S.A.W dan para sahabat R.A. Baginda dan para sahabat berpada dengan penerimaan kaum keluarga dan masyarakat (dengan kuantiti yang ramai) terhadap suatu pensabitan nasab (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Ini adalah kerana masyarakat atau kaum keluarga yang menyaksikan suatu perkahwinan, mereka berkelayakan untuk memperakukan nasab anak hasil daripada perkahwinan yang mereka telah saksikan.
            Selain itu, seksyen 114 AUKI 1984 juga meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sekiranya seseorang itu mengaku bahawa seseorang yang lain ialah anaknya yang sah iaitu:
a. Tiada orang lain disifatkan sebagai bapa kepada anak itu;
b. Perbezaan umur antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak;
c. Jika anak itu telah akil baligh, di mana dia boleh membuat keputusan anak itu telah mempersetujui tentang dia diakui sebagai anak;
d. Lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;
e. Pengakuterimaan itu bukannya semata-mata mengakui anak itu sebagai anaknya tetapi mengaku anak itu sebagai anak sah tarafnya;
f. Lelaki itu adalah berkeupayaan membuat kontrak;
g.Pengakuterimaan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi kesahtarafan;
h. Pengakuterimaan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu adalah diakui sebagai anak kandungnya.

1.6 Cara Sabitan Nasab

       Sebelum memperkatakan tentang keadaan anak taksah taraf, perlulah  diketahui dahulu tentang nasab dan cara sabitannya. Setiap anak yang dilahirkan secara automatik dinasabkan (dihubungkan keturunannya) kepada ibunya, kecuali di dalam keadaan tertentu yang memenuhi syarat-syarat, barulah seseorang anak itu dinasabkan kepada bapanya.
       Sabitan nasab bermaksud menentukan nasab seseorang individu samada kepada bapanya disebutkan sebagai (ثبوت الأبوة) atau kepada saudara maranya yang disebutkan sabitan persaudaraan (ثبوت الأخوة).
       Tujuan sabitan nasab adalah memelihara maruah seseorang serta melindungi hak-hak peribadinya seperti perwalian, nafkah, hadhanah dan perwarisan. Selain itu untuk menghindarkan ibu dari sebarang tuduhan liar dan prasangka buruk.
       Di atas tujuan ini, ulama’ menjelaskan cara-cara yang tertentu di dalam menentukan nasab. Dan ianya ada dan masih digunakan di dalam perundangan kita. Malah penentuan nasab juga menerima kaedah baru yang diperkenalkan iaitu firash.
Firash
Pada pendapat Dr. Wahbah firash bermaksud wanita yang digauli dan dinikmati oleh seorang lelaki. Al-Jurjaniy pula berpandangan bahawa firash ialah perempuan yang ditentukan untuk melahirkan anak bagi seseorang tertentu.
       Kaedah firash terbahagi kepada firash isteri, firash hamba sahaya dan shibhu firash. Di dalam ini hanya disentuh firash isteri. Yang membawa maksud sebagai isteri dari perkahwinan yang sah, iaitu ikatan pernikahan berlaku di antara lelaki dan perempuan semasa kehamilan bermula. Malah, fuqaha bersepakat bahawa anak yang dilahirkan oleh perempuan yang berkahwin secara sah dinasabkan kepada suaminya.
       Tujuan sabitan nasab adalah memelihara maruah seseorang serta melindungi hak-hak peribadinya seperti perwalian, nafkah, hadhanah dan perwarisan. Selain itu untuk menghindarkan ibu dari sebarang tuduhan liar dan prasangka buruk.
Keadaan kaedah ini terpakai di atas syarat seperti berikut:-
1.    Suami berupaya menghamilkan isterinya, yang bermaksud suami adalah sihat, mempunyai anggota kelamin yang sempurna dan tidak cacat.
2.    Suami isteri itu mempunyai kemungkinan bersama setelah bernikah.
3.    Anak yang dilahirkan setelah 6 bulan dari tarikh akad mengikut Hanafi dan dari waktu boleh bersama menurut jumhur ulama’.
Shibhu firash adalah sabitan nasab melalui persetubuhan syubhah yang bukan perzinaan.
Pengakuan nasab disebutkan sebagai dakwaan nasab, terbahagi kepada dua iaitu pengakuan hanya kepada pengaku sahaja dan pengakuan yang melibatkan orang lain.  Pengakuan hanya kepada pengaku sahaja tidak membabitkan orang lain.
Pengakuan
Seorang lelaki jika mengakui seseorang anak adalah anaknya, tertakluk kepada beberapa syarat iaitu:-
1.    Anak tersebut tidak diketahui nasabnya.
2.    Pengakuan itu hendaklah dibenarkan oleh fakta seperti perbezaan umur dan sebagainya.
3.    Pengakuan tersebut dibenarkan oleh orang yang diakui.
4.    Pengakuan tidak melibatkan orang ketiga.
Pengakuan Yang Melibatkan Orang Lain
Iaitu melibatkan orang lain seperti datuk dan sebagainya.  Iaitu perlu kepada pengakuan tambahan bagi menguatkan pengakuan tersebut.
Undang-Undang
       Kes berkaitan tuntutan nasab atau dakwaan sebagai anak seseorang adalah kes terpinggir. Sukar dicari kes tersebut di Mahkamah Syariah. Ini bukan bermakna tiada berlaku di negara kita.
       Sebaliknya kes membabitkan anak tidak sah taraf banyak berlaku di setiap Mahkamah Syariah di Malaysia. Mengikut statistik, paling kurang terdapat satu kes bagi setiap bulan.
       Jika dikaitkan dengan situasi tidak sah taraf, adalah yang memperkatakan keadaan anak tersebut sahaja.  Namun, tidak disentuh pula kepada ibubapanya. Kerana kesalahan ibubapalah menyebabkannya menjadikanya tidak sah taraf. Namun kesannya ditanggung oleh si anak.
       Anak tidak sah taraf tiada hubungan dengan suami ibunya. Nasab anak ini kepada ibu dan keturunannya. Ini bermakna si anak ini tiada bapa dan tidak layak menerima apa-apa daripada lelaki yang bergelar bapa. Sebaliknya terdapat pandangan fuqaha’ yang mengharus atau menghalalkan anak luar nikah jika perempuan untuk berkahwin dengan lelaki yang membuatkan ibunya mengandung.
       Keadaan ini berlaku, kerana Islam hanya mengambil kira setiap anak diakui sebagai ‘anak kandung’ dan ‘anak sah taraf’ yang lahir hanya di dalam perkahwinan di dalam tempoh yang sah.
Amalan Perundangan Semasa
       Undang-undang syariah yang dijalankan sejajar dengan hukum syarak. Di mana anak tidak sah taraf diakui wujud dan diadakan peruntukan berkaitannya.  Amalan ini tidak berlaku sebagaimana yang berlaku di mahkamah awam. Melalui seksyen 112 Akta keterangan 1950 dan Akta Sah Taraf 1961 boleh menghalalkan seseorang anak yang tidak sah taraf. Dengan ibunya berkahwin dan ia dilahirkan di dalam perkahwinan walaupun sehari selepas perkahwinan (atau setelah upacara perkahwinan tersebut).

       Perkara di atas tidak dapat berlaku di Mahkamah Syariah, di mana Islam menetapkan tempoh kiraan-kiraan di atas bagi melayakkan seseorang itu diiktiraf sebagai anak sah taraf ataupun sebaliknya. Ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat.