Saturday 15 November 2014

Tafsir Surah Juzuk Amma

Tafsir surah juzuk amma

1.    Al Fatihah
2.    Al Nas
3.    Al Falaq
4.    Al Alaq
5.    Al Qadar
6.    Al Kafirun

1.    Surah al-Fatihah

Maksud Ayat:

1)    Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
2)    Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
3)    Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
4)    Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
5)    Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.
6)    Tunjukilah Kami jalan Yang lurus.
7)    Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.

Pengenalan Surah:

  • Ibnu Kathir menjelaskan, dinamakan surah al-Fatihah kerana kedudukan surah ini sememangnya teletak di permulaan al-Quran dan pembuka bacaan pada setiap solat. Di kalangan majoriti ulama, ia dikenali dengan ummul Kitab. Ibnu Jarir menyatakan orang Arab menyebut “umm” untuk semua perkara yang mempunyai pendahuluan dan diikuti oleh perkara lain kemudiannya seperti Umm al-Ra’s sebutan untuk kulit yang menutupi otak (kepala). Mereka menyebut bendera dan panji tempat berkumpulnya pasukan dengan umm.
  • Kota Makkah disebut “ummul Qura’” kerana kedudukannya lebih awal daripada kota-kota lain. Surah ini juga dinamakan al-Hamdu, Assyifak, al-ruqyah, al-Waqiah, al-Kafiyah dan lain-lain lagi nama. Az-Zamakhshari menamakannya surah solat dan perbendaharaan.
  • Berdasarkan pendapat yang kuat al-Fatihah diturunkan di Makkah,  ia terdiri daripada tujuh ayat sebagaimana menurut kebanyakkan para Qurra’ Kufah dan pendapat sebahagian sahabat dan Tabi’in. Hal ini tidak ada yang menyangkal. Namun terdapat kelainan pendapat tentang basmalah, apakah dianggap ayat tersendiri atau sama sekali tidak dianggap ayat surah al-Fatihah.
  • Ibnu Kathir menukilkan pendapat dengan mengatakan bahwa al-Fatihah terdiri daripada dua puluh lima perkataan. Hurufnya pula terdiri daripada seratus tiga belas huruf.
 
Huraian Ayat:

  • Memandangkan surah ini adalah pembuka al-Quran maka di dalam surah ini terkumpul maksud dan makna al-Quran keseluruhan. Surah ini dimulai dengan menyentuh masalah akidah “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam” “Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).”
  • Kemudian disusuli dengan dengan masalah ibadat “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan”
  • kemudian diikuti pula dengan sistem kehidupan “Tunjukilah Kami jalan Yang lurus, Iaitu jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang sesat.”
  • Pada asasnya al-Quran merupakan dakwah kepada aqidah,kemudian kepada ibadah dan setelah itu kepada sistem kehidupan. Pengertian ini terbina secara tersusun dalam surah al-Fatihah.
  • Dalam islam aqidah bukan setakat kepercayaan. Ia mempunyai impak dan hasil yang dapat dilihat. Apabila anda tahu Allah adalah Rabb yang maha pengasih dan anda menyedari bahawa kelak akan ada perhitungan, maka itu menuntut anda untuk berbuat dan memikul tanggungjawab. Sebab itulah surah ini dimulai dengan pujian terhadap Allah. Kemudian ia kita ke mana harus kita beribadat minta tolong dan minta petunjuk.
  • Surah ini menegaskan kepada kita Allah adalah tuhan semesta alam dan kita hamba-hambanya. Asas utama dalam islam ialah mengenal Allah. Sebab itu surah ini mengenalkan Allah kepada kita di awal di tengah dan di akhir. Allah tuhan semesta alam, maha pengasih lagi maha penyayang maha penolong dan pemberi petunjuk.
  • Asas ibadah pula adalah ketulusan ibadah kepada Allah. Jalan terbaik menuju Allah adalah mencontohi para nabi, siddiqin, shuhada dan orang saleh. Manakala sumber penyimpangan adalah kecontohan yang buruk.
  • Cara ibadah pada asasnya berbagai-bagai menurut perbezaan agama dan waktu. Semuanya disasarkan untuk mengingatkan manusia kepada kekuasaan yang maha agung dan kepada kerajaannya yang maha tinggi. Sasarannya juga untuk membetulkan akhlak yang terpesong dan membersihkan jiwa manusia.
  • Jika tujuannya tidak berbekas, maka ia bukan ibadah yang dimaksudkan syariat. Contohnya dalam solat Allah memerintahkan kepada kita agar melakukan solat secara lengkap dan sempurna. Bukti kekesanan ibadat ialah terhindar perbuatan mungkar samada zahir atau batin.  Hakikat solat adalah menghadap hati kepada Allah secara khusyuk dan merendah diri terhadap keagungan Allah.
  • Al-Quran sebagai sebuah kitab suci bukan sahaja menjelaskan tentang akidah dan ibadah semata-mata, bahkan merangkumi seluruh sistem kehidupan manusia amnya. Surah al-Fatihah dimulai dengan menyebut yang layak dipuji dan disanjung, disembah dan menjadi tempat bergantung sekelian makhluk lalu manusia meminta kepada Allah s.w.t supaya menunjukkan diri masing-masing ke arah jalan yang lurus. Iaitu, jalan yang telah Allah s.w.t tunjukki jalannya kepada mereka yang datang dan pergi secara silih berganti sebelum ini dengan mengikuti kehidupan secara sistematik sehingga mereka berjaya menemui jalan yang lurus. Sistem ini sebenarnya berlaku secara berkesinambungan dan wajib diikuti oleh sekalian hambanya yang ingin mencari kebenaran.

Pengajaran Surah

1)    Allah s.w.t, mengucapkan ucapan alhamdulillah merupakan pujian yang disampaikan Allah s.w.t untuk diri-Nya sendiri. Justeru itu, adalah menjadi kewajipan kepada setiap hamba Allah s.w.t memuji keagungan Allah s.w.t dalam setiap masa dan keadaan.
2)    Sesungguhnya Allah s.w.t bersifat ar-rahman ke atas sekalian makhluk ciptaan-Nya dengan memberikan segala nikmat. Sedangkan Allah s.w.t bersifat ar-rahim ke atas orang-orang yang beriman dan bertakwa.
3)    Allah s.w.t adalah pemilik segala makhluk. Justeru itu, seluruh makhluk ciptaan-Nya akan dikembalikan kepada kekuasaan Allah s.w.t pada hari akhirat nanti.
4)    Manusia hendaklah melepaskan diri dari segala sifat-sifat musyrik dan segera berusaha mengabdi serta berserah diri kepada Allah s.w.t.
5)    Hendaklah sentiasa memohon hidayah dan taufik dari Allah s.w.t supaya kehidupan di dunia ini sentiasa ditunjukkan jalan yang lurus dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
6)    Mohonlah keampunan dari Allah s.w.t supaya diri tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang tidak memiliki ilmu pengetahuan, sesat serta tidak menemui kebenaran.

2.   Surah al-Nas

Maksud Ayat;

1.  Katakanlah: "Aku berlidung kepada Tuhan (yang memelihara dan menguasai) manusia.
2.  Raja manusia.
3.  Sembahan manusia.
4.  Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi,
5. Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin dan manusia.
6.  Dari (golongan) jin dan manusia.

Pengenalan Surah

  • Surah al-Nas merupakan surah yang terakhir daripada Al-Quran.  Surah ini merupakan surah yang dikategorikan sebagai surah Makkiyah (diturunkan sebelum berlakunya hijrah). Surah ini dengan surah sebelumnya diturunkan oleh Allah SWT untuk mengajar Rasullullah SAW cara-cara berlindung daripada kejahatan makhluk.

Huraian Ayat:

  • Allah s.w.t memulakan surah ini dengan suatu perintah agar manusia memohon perlindungan daripada-Nya, Tuhan yang memelihara, membimbing dan menjaga.
  • Al-Rabb dalam surah ini membawa maksud yang luas termasuk yang mengarah, menjaga, membimbing, memelihara dan melindung. Dengan kefahaman ini, membolehkan manusia merasakan betapa dekatnya diri dengan Allah s.w.t.
  • Sesungguhnya, Allah s.w.t amat mengenali diri manusia lebih daripada manusia mengenali dirinya sendiri. Sebagai manusia biasa, mereka hendaklah memiliki rasa takut terhadap kekuasaan-Nya yang tidak ditabir atau terbatas dengan apa sahaja.
  • Sebagai penguasa ke atas sekalian makhluk, manusia sentiasa diberi harapan oleh Allah s.w.t supaya sentiasa berada dalam keadaan mendapat rahmat dari-Nya sepanjang masa.
  • Allah s.w.t adalah Malik, iaitu penguasa ke atas seluruh manusia. Dalam kaedah bahasa, sekiranya kalimat malik itu dibaca secara tidak dipanjangkan bacaan mim (tidak dengan madd, panjang dua alif menurut ilmu tajwid), bermaksud penguasa atau raja, pemerintah tertinggi atau sultan. Tetapi kalau malik dibaca dengan dipanjangkan dua alif pada mim, bermaksud kembali kepada Allah s.w.t.
  • Allah s.w.t adalah Penguasa mutlak ke atas diri manusia, manusia mesti menurut peraturan yang telah ditentukan-Nya sebagaimana yang disebut sunnatullah. Semasa dilahirkan ke dunia, manusia hanya berasal dari setitis mani, begitu pula bila manusia hendak diwafatkan, manusia pasti mati. Adakalanya manusia merasakan nyawa ini dia sendiri yang memilikinya. Namun pada hakikatnya, nyawa bukanlah milik manusia. Justeru itu, jelaslah bahawa Allah s.w.t adalah Malik bagi manusia keseluruhannya.
  • Apabila Allah s.w.t menjelaskan bahawa seluruh manusia tertakluk di bawah penguasaan-Nya, di sini juga Allah s.w.t menjelaskan bahawa bukan sahaja manusia secara keseluruhannya yang berada di bawah naungan-Nya bahkan juga termasuk tuhan-tuhan ciptaan manusia yang dibanggakan oleh manusia sebenarnya tidak mempunyai apa-apa nilai bahkan jauh kedudukannya jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah s.w.t. Justeru itu, apabila manusia mengaku tunduk di bawah satu kuasa, maka tidak ada kuasa lain lagi yang boleh dijadikan tempat sandaran, memohon rahmat dan keampunan.
  • Hanya Dia Pemelihara dan hanya Dia Penguasa, maka hanya Dia pulalah yang Tuhan yang wajar disembah dan dipuja dan kepada Allah s.w.t kembali segala persembahan dan segala pemujaan.
  • Seterusnya Allah meletakkan satu sikap yang ada dalam diri manusia iaitu perasaan was-was yang datang dari bisikan pengintai-peluang. Biasanya pengintai peluang hanya akan mengambil kesempatan ke atas mereka yang berlengah. Apabila tiba masanya, makhluk tersebut akan berpeluang membisik-bisikkan sesuatu ke dalam hati manusia.  Makhluk ini akan masuk ke dalam dada manusia secara halus sekali, menumpang dalam aliran darah dan darah pula berpusat ke jantung yang terletak dalam dada. Tanpa disedari, manusia akan terpengaruh dengan bisikan tersebut.
  • Makhluk yang bijak memainkan peranan dan mencuri peluang tersebut tidak lain adalah terdiri darpada kalangan jin dan manusia sendiri. Qatadah menjelaskan; "kedua-duanya ada syaitan, di kalangan jin ada syaitan-syaitan, di kalangan manusia pun ada syaitan-syaitan."
  • Tafsir dari Ustazul Imam Syaikh Muhammad Abduh lebih menjelaskan, "yang membisikkan perasaan (was-was) ke dalam hati manusia itu adalah yang disebut jin, iaitu makhluk yang tidak dapat dilihat dan diketahui tetapi pengaruhnya meresap ke dalam hati. Di samping itu, sejenis makhluk lagi ialah perayu yang kasar sifatnya, iaitu dari kalangan  manusia yang mengajak dan menganjurkan kepada jalan yang salah."
  • Imam Ghazali di dalam kitabnya "Ihya' Ulumiddin" mengingatkan manusia supaya di dalam melakukan sembahyang jangan sampai Khannas memasukkan pengaruhnya ke dalam dada manusia.
  • Begitulah kelebihan surah ini dalam menceritakan kedudukan syaitan iaitu musuh manusia yang pada asalnya adalah lemah. Bagaimanapun, sebenarnya syaitan adalah lebih kuat dan mampu merobek hati-hati manusia yang berusaha mengenal “Rabb”nya. Hakikatnya, syaitan tidak mampu berbuat kerosakan, melainkan hanya mampu membisikkan kalimah-kalimah busuk serta melemparkan hasutan ke dalam  hati manusia yang mudah alpa. Manusia sememangnya mudah terpengaruh lalu melakukan kerosakan dengan tangan mereka masing-masing.
  • Syaitan adalah makhluk yang bijak mencuri peluang, makhluk ini akan muncul dalam hati mereka yang goyah serta tidak teguh imannya, merasa lazat dengan perlakuan maksiat berterusan serta tidak yakin akan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t sebagai penguasa ke atas hari pengadilan. Iaitu, suatu masa yang tidak ada seorangpun yang dapat membantu mereka lagi kecuali amal ibadah sebagai bekalan. Hanya mereka yang teguh hati, mantap keimanan serta tinggi sifat takwanya sahaja yang mampu menghadapi godaan syaitan.  
  • Seterusnya, Allah s.w.t mengingatkan manusia dalam surah ini bahawa terdapat juga di kalangan syaitan dalam kalangan manusia. Antara karakteristik manusia tersebut ialah manusia yang suka melakukan kezaliman terhadap orang lain, pengumpat dan pemfitnah yang tidak pernah kenyang memamah daging saudara sendiri serta mereka yang tenggelam dalam nafsu mereka masing-masing.

Pengajaran Surah

1)    Allah s.w.t mengingatkan hambaNya supaya mencari perlindungan semata-mata kepada Allah s.w.t daripada kejahatan makhluk.
2)    Manusia sememangnya mudah terpengaruh lalu melakukan kerosakan dengan tangan mereka masing-masing. Syaitan adalah makhluk yang bijak mencuri peluang, makhluk ini akan muncul dalam hati mereka yang goyah serta tidak teguh imannya, merasa lazat dengan perlakuan maksiat berterusan serta tidak yakin akan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t sebagai penguasa ke atas hari pengadilan.
3)    Allah s.w.t adalah Penguasa mutlak ke atas diri manusia, manusia mesti menurut peraturan yang telah ditentukan-Nya sebagaimana yang disebut sunnatullah.
4)    Apabila manusia mengaku tunduk di bawah satu kuasa, maka tidak ada kuasa lain lagi yang boleh dijadikan tempat sandaran, memohon rahmat dan keampunan
5)    Syaitan adalah makhluk yang bijak mencuri peluang, makhluk ini akan muncul dalam hati mereka yang goyah serta tidak teguh imannya, merasa lazat dengan perlakuan maksiat berterusan serta tidak yakin akan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t

3.    Surah al-Falaq
É
Maksud Ayat
1)    Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh,
2)    Dari kejahatan makhluk-Nya,
3)    Dan dari kejahatan malam apabila Telah gelap gelita,
4)    Dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul*
5)    Dan dari kejahatan pendengki bila ia dengki."

*Digunakan oleh tukang-tukang sihir untuk melakukan sihirnya, mereka membuat buhul-buhul daripada tali lalu membaca jampi-jampi dan menghembuskannya ke arah buhul tersebut.

Pengenalan Surah

  • Surah ini merupakan surah kedua terakhir yang diturunkan di Mekah.
  • Surah al-Falaq dari ayat 1 hingga 5 menceritakan tentang kewajipan mencari perlindungan kepada Allah s.w.t dari sebarang kejahatan.
  • Pada zaman Rasulullah s.a.w terdapat seorang Arab Yahudi yang bernama Lubaid bin A’shan, beliau adalah seorang munafik. Lubaid bin A’shan telah mengenakan ilmu sihir kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan cara mengambil rambut Rasulullah s.a.w lalu membuat sebelas simpulan ikatan. Simpulan itu diletakkan di bawah sebuah batu berhampiran sebuah perigi yang bernama Zarwan.
  • Akibatnya, Nabi Muhammad s.a.w mengalami satu keadaan luar biasa iaitu baginda ditimpa penyakit was-was terhadap sesuatu perkara yang dilakukannya sehingga baginda menjadi keliru antara perkara yang sudah atau belum dilakukannya.
  • Walaupun sifat was-was tersebut tidak sampai mempengaruhi sifat kenabian baginda, namun gangguan dari sihir tersebut sedikit sebanyak mengganggu kehidupan baginda. Dalam keadaan tersebut, malaikat Jibril turun menghadap baginda s.a.w dan memberitahu perkara sebenar dan selepas itu, Jibril menyampaikan kepada baginda dua surah iaitu surah al-Falaq dan surah al-Nas.
  • Nabi Muhammad s.a.w bersama para sahabat pergi ke perigi tersebut dan mengalihkan simpulan rambut tersebut. Setiap kali surah ini dibaca, simpulan itu terurai dengan sendirinya dan ketika simpulan ke sebelas terurai, baginda merasakan terbebas dari pengaruh ilmu hitam tersebut.(Ruj: Tafsir Ibn Kathir&Ma’rif al-Qur’an)
Huraian Ayat:

  • Allah s.w.t memerintahkan seluruh umat Islam supaya mencari perlindungan  semata-mata hanya kepada Allah s.w.t daripada sebarang unsur yang menakutkan manusia sama ada yang nyata atau yang ghaib. Allah s.w.t sentiasa memberi ruang yang seluas-luasnya terhadap hamba kerana Dia sahaja yang Maha Mengetahui tentang sifat-sifat lemah yang ada pada hambaNya sedangkan musuh-musuh mereka sangat ramai disekelilingnya.
  • Menyedari keadaan tersebut, Allah s.w.t telah memulai ayat ini dengan mengatakan “Katakanlah’ aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh dari kejahatan makhluk.  Uqbah bin Amir r.a mengatakan Rasulullah s.a.w bersabda; “Tahukah kamu ayat-ayat yang diturunkan pada malam tadi adalah ayat yang tiada tandingan dengannya iaitu “Qul A’uzubirabbil…. Banyak hadis-hadis yang menerangkan tentang kelebihan surah ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Malik, Muslim, Tarmizi, Abu Daud dan al-Nasa’ (Rujuk Sahih Muslim).
  • Dalam kitab-kitab tafsir yang dirujuk, perkataan al-Falaq membawa maksud waktu subuh. Ini merujuk kepada munculnya sesuatu pada waktu subuh seperti tumbuhan-tumbuhan dan bijian (al-An’am:95). Begitu juga dengan munculnya matahari (al-An’am:96)
  • Dalam ayat berikutnya, Allah s.w.t menjelaskan ada di antara makhluk ciptaanNya yang mempunyai sifat-sifat kejahatan serta saling berhubung antara satu sama lain dalam pelbagai keadaan. Oleh itu, Allah s.w.t memerintahkan kepada hambanya supaya sentiasa berwaspada terhadap tipu daya mereka kerana musuh-musuh ini akan datang kepada manusia tanpa diduga dalam apa juga keadaan dan suasana.
  • Seterusnya Allah s.w.t menjelaskan tentang aktiviti manusia pada waktu malam, perkataan “al-ghasiq” menurut bahasa bermaksud tumpah dan mengalir dengan laju. Sementara “waqab” bermaksud gunung yang mengalirkan air. Keadaan ini bagi menjelaskan maksud waktu malam yang mempunyai situasi yang pelbagai.
  • Sesuai dengan naluri manusia, apabila datang waktu malam yang gelap gelita maka timbullah rasa takut dalam hati manusia. Ini kerana pada waktu itu ada di antara benda-benda tersembunyi yang tidak diketahui seperti haiwan ganas, manusia jahat, bisikan-bisikan, perasaan sedih dalam diri juga akan datang pada waktu malam. Pada waktu malam juga nafsu shahwat manusia akan bangkit akibat kedinginan dan ketika itulah masa yang paling kondusif bagi para syaitan memainkan peranan untuk meracuni pemikiran dan menghembuskan bisikan kejahatan dalam diri manusia.
  • Dalam ayat seterusnya Allah s.w.t menjelaskan tentang kejahatan wanita-wanita tukang sihir. Tukang sihir akan menggunakan ilmu sihirnya untuk mempengaruhi inderawi, jiwa dan perasaan manusia, di antara mereka ada yang menggunakan tali, benang dan sapu tangan dengan membaca mentera dan jampi-jampian lalu memintal tali tersebut untuk ditujukan kepada seseorang yang ingin disihirnya.
  • Hakikatnya, sihir yang dilakukan oleh manusia itu sebenarnya tidak mampu mengubah hakikat sesuatu tetapi ia akan menjadikan manusia khayal, imaginasinya mengikut kehendak perasaan sebagaimana yang dikehendaki oleh tukang sihir tersebut. Keadaan perilaku tukang sihir ini dijelaskan oleh Allah s.w.t sebagaimana yang berlaku terhadap Nabi Allah Musa a.s dengan tukang sihir Firaun. (Rujuk: Tafsir Surah Taha : 66-69)
  • Kisah tukang sihir ini, sebagaimana yang diceritakan dalam asbab al-nuzul di atas berkaitan dengan Lubaid bin A’shan yang melakukan sihir terhadap nabi Muhammad s.a.w selama beberapa hari dan setengah riwayat menyatakan sebulan. Di sebabkan peristiwa tersebut, maka Allah s.w.t telah menurunkan ayat al-Falaq dan al-Nas bagi melepaskan diri baginda dari pengaruh sihir.
  • Walaupun dalam perkara ini dilihat satu perkara yang bertentangan dengan perinsip “ishmah nubuwwah” (maksum) kerana setiap tindakan nabi Muhammad s.a.w adalah gerak wahyu dari Allah s.w.t, namun terdapat beberapa riwayat sahih menceritakan keadaan tersebut. Apa yang dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada setiap individu muslim dari peristiwa tersebut sangat besar faedahnya kepada mereka. Ini kerana, peristiwa tersebut dapat dijadikan iktibar tentang adanya makhluk Allah s.w.t yang berperilaku jahat serta mencari kesempatan memusnahkan kehidupan orang lain serta pentingnya mencari perlindungan dari Allah s.w.t sepanjang masa dari kejahatan tersebut. 
  • Selanjutnya, dalam ayat terakhir surah al-Falaq ini Allah s.w.t menjelaskan satu lagi sifat buruk manusia sehingga ada di antara mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi menjatuh dan memburuk-burukkan orang lain. Sifat itu ialah hasad dengki, iaitu suatu sikap yang ada dalam diri manusia yang merasa tidak suka dengan nikmat yang telah Allah s.w.t berikan kepada orang lain.
  • Hasad dengki adalah akhlak yang tercela, ia bukan sahaja dimiliki oleh mereka yang tidak mempunyai ilmu bahkan sifat ini juga ada dalam diri orang-orang yang berpelajaran tinggi, para pekerja bawahan, peniaga, penjawat awam sehingga menjangkiti sesetengah golongan intelek. Sedangkan sepatutunya golongan inilah yang paling utama perlu menjauhi sifat-sifat tersebut.
  • Disinilah letaknya peringatan Allah s.w.t kepada makhluknya, di samping manusia disaran menjaga diri daripada hasutan syaitan, kejahatan daripada amalan sihir yang dilakukan semata-mata untuk merosakkan kehidupan orang lain bahkan juga Allah s.w.t memberi ingatan kepada manusia terhadap kejahatan sifat dengki dan irihati terhadap manusia lain sehingga dengan sifat dengki tersebut akan melahirkan pelbagai natijah negatif serta implikasi yang sangat besar terhadap diri sendiri dan kehidupan orang lain.
  • Surah al-Falaq ini sebagaimana yang dinyatakan di atas mempunyai banyak kelebihan, di samping menjadi peringatan kepada manusia tentang kemungkinan berlakunya amalan sihir yang dilakukan oleh individu terhadap individu yang lain, surah ini juga boleh dijadikan amalan bagi setiap individu.
  • Imam Bukhari meriwayatkan dengan isnadnya dari Aisyah r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w apabila naik ke tempat tidur pada setiap malam, beliau menadah kedua-dua belah tapak tangan kemudian meniup keduanya lalu membaca surah Qul, Qul `auzubirrabinnaas dan Qul a`u zubirabbilfalaq. Setelah itu, baginda mengusapkan kedua belah tapak tangan tersebut ke seluruh badan yang dimulai dari bahgian kepala wajah, dan seterusnya ke bahagian-bahagian badannya yang lain.  Baginda melakukan hal sebanyak tiga kali.

Pengajaran Ayat:

1)    Allah s.w.t memerintahkan seluruh umat Islam supaya mencari perlindungan semata-mata hanya kepada Allah s.w.t daripada sebarang unsur kejahatan sama ada yang nyata atau yang ghaib.
2)    Waktu malam adalah masa yang sangat kondusif bagi nafsu, kejahatan, aktiviti tidak sihat serta godaan syaitan untuk meracuni dan menggoda manusia.
3)    Sihir adalah amalan tercela yang dilakukan untuk mengalihkan perhatian dan seterusnya memusnahkan karier seseorang.
4)    Peristiwa sihir ke atas baginda s.a.w dapat dijadikan iktibar tentang adanya makhluk Allah s.w.t yang berperilaku jahat serta mencari kesempatan memusnahkan kehidupan orang lain serta pentingnya mencari perlindungan dari Allah s.w.t sepanjang masa dari kejahatan tersebut. 
5)    Hasad dengki ialah sifat mazmumah yang ada dalam diri manusia yang merasa tidak senang dengan nikmat yang telah Allah s.w.t berikan kepada orang lain lalu berusaha menyainginya dengan cara negatif.

Surah Al-Alaq 

1)    Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian       makhluk)
2)    Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku
3)    Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah
4)    Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan
5)    Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
6)    Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),
7)    Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.
8)    (Ingatlah) Sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan).
9)    Adakah Engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang)
10) Seorang hamba Allah apabila ia mengerjakan sembahyang?
11) Adakah Engkau nampak (buruknya) jika ia berada di atas jalan yang betul?
12) Atau ia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)?
13) Adakah Engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika ia mendustakan (Apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadaNya) serta ia berpaling ingkar?
14) Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)?
15) Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi Sesungguhnya jika dia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke Dalam neraka),
16) Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.
17) Kemudian biarlah dia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya),
18) Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!
19) Ingatlah! janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!

Nama Surah

  • Surah ini dinamakan surah Al-Alaq, Surah Iqra`, atau Al-Qalam kerana Allah SWT memulakan surah tersebut dengan firmannya (bermaksud) : ”Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan , Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah.”  (Al-Alaq ,96:1-3). Al-alaq bererti seketul darah beku dalam bentuk haiwan yang kecil.

Kandungan surah

Merupakan surah Makiyyah dan surah yang pertama sekali yang turun kepada baginda. Ia menjelaskan 3 perkara penting :

1)    Menyatakan tentang hikmah kejadian manusia yang dijadikan oleh Allah SWT bermula dari lemah hingga kuat. Ia juga menjelaskan tentang kepentingan membaca dan menulis untuk membezakan manusia dengan makhluk yang lain.
2)    Menerangkan sifat melampau manusia yang menentang segala perintah Allah SWT.  Manusia selalu bersikap angkuh dengan nikmat Allah SWT.
3)    Mendedahkan sifat jahat Abu Jahal yang menghalang baginda menunaikan ibadah solat. Allah juga menjanjikan janji buruk kepadanya jika dia berterusan dalam kesesatan malah memberi peringatan kepada baginda agar tidak menghiraukan segala ugutan Abu Jahal.

Cara Penurunan Surah

  • Bahagian pertama surah ini turun di peringkat awal penurunan Al-Quran, sementara baki ayat ini turun agak lewat iaitu selepas dakwah mula berkembang dan penentangan Quraish terhadap dakwah semakin meningkat.

Sebab Turun ayat 6

  • Firman Allah yang bermaksud “Ketahuilah! sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas”, Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim ,al Nasai, ibn al Munzir dan beberapa ulama’ yang lain daripada Abu Hurairah bahawa Abu Jahal pernah mengancam dan berkata kepada kaumnya. “ Adakah Muhammad turut melakukan sembahyang bersama kamu?”. Kaumnya menjawab . “Ya”.Lalu Abu Jahal berkata “ Demi Tuhan al-Lata dan al Uzza, jika aku melihat Muhammad sembahyang aku akan memijak lehernya dan aku akan melumatkan wajahnya di tanah. Tidak lama selepas itu, Abu Jahal melihat nabi solat. Namun anehnya dia tidak menghampiri Rasullulah. Sebaliknya ia berundur dan beredar. Maka orang ramai berkata kepadanya. “Mengapa engkau tidak bertindak wahai Al-Hakam?”.  Jawab beliau “ Sesungguhnya di antara aku dan Muhammad ada parit api yang amat dahsyat dan menakutkan.

Sebab Turun ayat 17

  • Firman Allah yang bermaksud “Maka biarlah dia memanggil para penyokongnya  (untuk menolongnya)”.  Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Tarmizi, al Nasai dan Ibn Jarir daripada Ibn Abbas beliau berkata bahawa ketika Rasulullah sedang solat, tiba-tiba datang Abu Jahal, lalu berkata “Tidakkah aku melarang kamu dari mengerjakan amalan ini? Maka Rasulullah mengherdik perbuatan Abu Jahal tersebut. Abu Jahal lantas berkata : “Hai bukankah engkau tahu bahawa Mekah ini tidak ada orang lain yang lebih ramai pengikut dan penyokong daripada aku.” Lantas Allah SWT menurunkan ayat ini.

Tafsir dan Ulasan (ayat 1-8)

  • Firman Allah : “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”. Dalam konteks ini, Allah SWT menyatakan kepada kita bahawa diriNya  sebagai Pencipta untuk mengingatkan manusia nikmatNya yang paling utama.  Maksud ayat ini ialah Allah memerintahkan baginda agar menjadi seorang pembaca dengan kudrat dan iradat Allah yang menciptanya.
  • Dapat diperhatikan bahawa Allah SWT mendedahkan tentang penciptaan makhluk secara umum. Kemudian Allah menyebut tentang kejadian manusia kerana kehebatan penciptaan fitrah manusia itu sendiri.
  • Secara ringkasnya, Allah SWT tidak menggunakan lafz al-jalalah dalam permulaan ayat ini, sebaliknya menggunakan perkataan Rabb kerana lafaz Rabb terdapat penegasan tentang hakikat  bahawa Allah telah mencipta Baginda dan menjaga kepentingan  Baginda.
  • Allah mengulangi perkataan (اقرأ) dengan tujuan untuk menekankan kesungguhan membaca kerana membaca tidak akan dikuasai kecuali dengan kesungguhan mengulang dan latih tubi.
  • Kemudian ayat seterusnya Allah menghubungkaitkan dengan menulis. Firman Allah yang bermaksud “Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam”. (ayat 4). Maksudnya Allah yang mengajar manusia menulis dengan pena dan menunjukkan kepentingan penulisan dalam kehidupan manusia dan dalam perkembangan ilmu pengetahuan.
  • Seterusnya, Allah menjelaskan tentang kelebihan dan nikmat yang telah dikurniakannya melalui firman Allah yang bermaksud “ Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya” (ayat 5). Maksudnya dengan pena Allah mengajar manusia banyak perkara yang tidak diketahui oleh manusia.
  • Kemudian, Allah mengancam manusia yang melampau batas dalam kekayaannya. Firman Allah yang bermaksud “Ketahuilah! sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup “(ayat 6).
  • Allah memberi peringatan tentang balasan hari akhirat.  Firman Allah yang bermaksud “Sesunggunhya hanya kepada Tuhan kamu (akan) kembali “(ayat 8).

Tafsir dan Ulasan (ayat 9-19)

  • Firman Allah yang bermaksud “Apa pendapatmu tentang orang yang melarang hamba (Allah) mengerjakan solat ?” (ayat 9-10). Maksud umum dari ayat tersebut ialah alangkah jahilnya orang yang melarang hamba Allah yang kuat beribadah.  Perbuatan ini amat tidak waras .
  • Kemudian, firman Allah yang bermaksud “ Bagaimana pendapatmu jika orang yang dilarang (iaitu Rasulullah ) itu berada  di atas kebenaran, atau dia menyuruh (orang) bertakwa kepada Allah?” (ayat 11-12). Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ayat ini ditujukan kepada Rasulullah untuk menjadikan ayat sebelumnya selaras.
  • Firman Allah yang bermaksud “ Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu medustakan dan berpaling?” (ayat 13). Para ulama; berkata bahawa ayat ini walaupun diturunkan terhadap Abu Jahal, namun begitu ia juga mengenai sesiapa sahaja yang melarang seseorang dari mentaati Allah.
  • Kemudian,firman Allah yang bermaksud “ Sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh kepadanya , dan (sebaliknya) sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan).” (ayat 19). Maksudnya, berhati-hati wahai Muhammad dari bermuka-muka dengan si taghut ini, jangan taat kepadanya ketika dia menegah kamu bersembahyang.  Kalimah kalla  terdapat ugutan kepada Abu Jahal supaya berhenti dari perangai buruknya.

Pengajaran ayat (1-8)

1)    Menjelaskan tentang kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan makhluk, al khaliq. Ayat ini juga mengingatkan tentang asal kejadian manusia dari alaq seketul darah beku dan lembut. Ayat ini juga adalah ayat yang pertama turun daripada Allah kepada baginda.
2)    Allah SWT memerintahkan rasulNya supaya membaca Al-Quran dengan menyebut nama Tuhannya yang telah menciptakan dan yang telah mengajar manusia dalam perkara yang tidak diketahui oleh mereka.
3)    Allah SWT juga memerintahkan baginda membaca dan menulis kerana keduanya adalah alat untuk mengenal ilmu agama, wahyu, dan asas untuk kemajuan ilmu pengetahuan dan perkembangan tamadun manusia.
4)    Ayat ini menunjukkan sifat Allah yang Pemurah kepada manusia dengan Allah SWT telah mengajar manusia dengan ilmu yang belum pernah dipelajarinya.
5)    Allah SWT juga mendedahkan tentang sifat buruk manusia iaitu terlalu gembira, angkuh dan melampau batas apabila melihat menjadi kaya.Maka Allah mengancam sikap mereka dengan mengingatkan mereka bahawa kesemua harta yang mereka miliki pasti akan dihitung semula akan kegunaannya.
6)    Pada peringkat awal surah ini adalah memuji ilmu. Manakala penghujungnya pula mencela harta dunia. Maka manusia diharapkan agar berpegang teguh dengan agama dan menjauhkan dari bencana dunia dan harta.

Pengajaran ayat (9-19)

1)    Allah SWT menggambarkan tentang Abu Jahal dan sekutunya adalah dari kalangan manusia taghut yang liar dan sombong.  Mereka melarang baginda beribadat kepada Allah SWT tetapi menyuruh baginda menyembah berhala. Sesunggunhya Abu Jahal dan kumpulannya adalah golongan yang mendustakan Al-Quran.
2)    Allah SWT juga mengugut Abu Jahal dengan hari Mahsyar dan kebangkitan.  Walaupun ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal, namun ia ditujukan juga kepada sesiapa sahaja yang menghalang orang lain dari mentaati Allah SWT. Mereka ini akan tergolong dalam kumpulan yang sama dengan Abu Jahal dalam menerima azab Allah.
3)    Allah SWT mengukuhkan ancaman dan janji buruknya kepada Abu Jahal dan orang sepertinya, jika mereka tidak menghentikan sikap buruknya terhadap baginda, Allah akan memerintahkan malaikat merentap ubun-ubunnya dan mengheretnya ke dalam api neraka.
4)    Allah SWT juga mencabar Abu Jahal di samping mencelanya dengan sinis kerana beliau beria-ia untuk mendapatkan bantuan dan sokongan dan para penyokong dan ahli keluarganya. Namun jika dia melakukannya, maka Allah SWT berkuasa untuk menghantar malaikat Zabaniyyah yang keras untuk melontar Abu Jahal serta kuncu-kuncunya ke dalam neraka.
5)    Allah SWT juga menempelak keras sikap takabbur Abu Jahal iaitu menafikan sama sekali kemampuan dan keupayaan untuk melaksanakan ancamannya terhadap baginda. Allah SWT juga membayangkan arahan ibadah solat kepada baginda melalui firmannya (واسجد). Ini kerana sujud dengan meletakkan dahi di lantai adalah kemuncak ubudiyyah sikap merendahkan diri kepada Allah.

Surah Al-Qadr

1)    Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2)    Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3)    Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4)    Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)
5)    Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Nama Surah

  • Surah ini dinamakan surah Al-Qadr kerana ia membicarakan tentang kebesaran dan kemuliaan malam Al-Qadr. Pada malam tersebut, Allah SWT turunkan Al-Quran. Firman Allah SWT (bermaksud): “sesungguhnya Kami yang menurunkan (Al-Quran) pada malam kemuliaan (Al-Qadr).” (Al-Qadr, 97:1). Ia bermaksud pada malam yang penuh dengan kebesaran dan kemuliaan.

Kandungan Surah

  • Surah Makkiyah ini menjelaskan sejarah permulaan turunnya Al-Quran. Surah ini juga menyatakan kelebihan malam Al-Qadr berbanding malam-malam dan bulan-bulan yang lain. Para malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut membawa cahaya, fadhilat, keberkatan dan kebajikan terhadap hamba-hamba Allah yang mukmin lagi soleh. Turunnya semua itu daripada Allah SWT tuhan yang Maha Pemurah untuk diagih-agihkan kepada siapa yang Dia mahu.

Pengertian Nuzul Al-Quran pada malam Al-Qadr

  • Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun dimana penurunnya bermula pada malam Al-Qadr. Manakala perutusan Rasullulah S.A.W juga berlaku pada bulan Ramadhan. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman di dalam surah ini (bermaksud): “sesungguhnya Kami yang menurunkan (Al-Quran) pada malam kemuliaan (Al-Qadr)” (Al-Qadr. 97:1).
  • Di dalam surah Al-Baqarah, Allah berfirman (bermaksud) : “(beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran…(Al-Baqarah, 2: 185). Ini menunjukkan bahawa Al-Quran mula diturunkan pada bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Sebab Turun Ayat 1

  • Diriwayatkan oleh al-Imam al-Tarmizi, al-Hakim, Ibn Jarir daripada al-Hassan Ibn Ali bahawa al-Qadr adalah lebih baik dari seribu bulan. Turunnya surah ini adalah disebabkan buruknya pemerintahan Bani Umayyah yang berlarutan selama seribu bulan. Namun begitu, kedudukan hadith ini adalah gharib dan ditolak.
  • Abu Hathim, al-Wahidi dari Mujahid meriwayatkan bahawa Rasullulah S.A.W menceritakan kisah seorang laki-laki dari Bani Israil yang memakai senjata dan berjuang di jalan Allah selama seribu bulan, lalu orang Islam terpegun dengan cerita tersebut. Maka Allah SWT menurunkan ayat (bermaksud): “sesungguhnya Kami yang menurunkan (Al-Quran) pada malam kemuliaan (al-Qadr). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan (al-Qadr) itu lebih baik dari seribu bulan.”(al-Qadr,97:1-3), yakni dari bulan-bulan perjuangan lelaki Bani Israil tersebut.

Sebab Turun Ayat 3

  • Diriwayatkan dari Ibn Jarir dari Mujahid, beliau berkata bahawa pada suatu masa dahulu terdapat seorang lelaki dari kalangan Bani Israil yang bangun beribadat di malam hari sehingga ke fajar, kemudian berjihad menentang musuh di siang hari hingga ke petang, dia telah melakukan amalan tersebut selama seribu bulan. Maka Allah SWT pun menurunkan ayat (bermaksud) “Malam kemuliaan (al-Qadr) itu lebih baik dari seribu bulan,” (al-Qadr, 97: 3) yakni dari bulan amal lelaki Israil tersebut.

Tafsir dan Ulasan

  • Firman Allah SWT (bermaksud):“Sesungguhnya Kami yang menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan (al-Qadr).” Iaitu satu malam yang penuh keberkatan. Ayat ini sejajar dengan firman Allah SWT (bermaksud):“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada satu malam yang diberkati”.  (al-Dukhan, 44:3), iaitu diturunkan pada bulan Ramadhan, ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran…”(al-Baqarah, 2: 185). Kemudian Allah telah sempurnakan penurunan dan keadaan tertentu, semuanya sebagai menjelaskan hukum-hakam Allah SWT. Al-Zamakhshari berkata: Allah SWT telah mengagungkan al-Quran dengan tiga cara:
ü  Pertama : Disandarkan penurunan al-Quran  kepada diriNya dan dijadikan kitab Al-Quran sebagai kitab khusus kepunyaanNya.
ü  Kedua : Dia diungkapkan disini dengan hanya menyebutkan ganti nama (dhamir) bukan dengan nama zahirnya. Ini sebagai bukti betapa hebatnya Al-Quran sehingga tidak perlu pengenalan tentangnya.
ü  Ketiga : Allah mengangkat dan mengagungkan masa atau tempoh awal penurunan al-Quran itu.
  • Kemudian Allah SWT menjelaskan mengenai kelebihan malam al-Qadr: “Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan (Al-Qadr) itu lebih baik dari seribu bulan.” (al-Qadr, 92: 1-3). Soalan ini adalah bertujuan untuk menyatakan betapa besar dan mulianya malam al-Qadr.
  • Dinamakan sebagai al-Qadr ialah kerana Allah SWT telah menetapkan pada malam tersebut apa yang dikehendakiNya sehingga ke tahun yang akan datang atau mungkin juga disebabkan oleh keagungan dan kemuliaan malam tersebut.
  • Al-Zamakhshari berkata: “Malam al-Qadr bererti malam penetapan dan penentuan segala perkara dan perjalanannya. Ini berasaskan kepada firman Allah SWT (bermaksud):” Pada malam itu ditentukan segala urusan dengan penuh hikmah.” (al-Dukhan, 44:4).  Antara ketentuan yang memuliakan malam itu ialah bahawa beramal pada malam tersebut adalah lebih baik dari beramal selama seribu bulan.
  • Disebut satu hadith dalam sahih Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah bahawa Rasullulah S.A.W bersabda:
"من  قام ليلة القدر إيمانا واحتسابا، غفرله ما تقدم من ذنبه"
Maksudnya : “Barangsiapa yang mendirikan solat (qiam al-layl) pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan kesungguhan, maka akan diampunkan dosa yang telah dilakukannya”.

·         “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril turun dari langit untuk mengatur segala urusan.” (al-Qadr, 97: 4). Para malaikat dan Jibril turun dari langit ke Bumi menurut perintah dan segala ketentuan yang telah ditentukan pada malam al-Qadr. Rasullulah S.A.W bersabda (maksudnya):
" إن الله يقدر في ليلة البراءة، فإذا كان ليلة القدر يسلمها إلى أربابها"
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menentukan satu ketentuan yang khusus pada malam al-Bara’ah (malam melupuskan). Apabila tiba malam al-Qadr maka Allah sampaikan ketentuan khusus itu kepada malaikat pelaksananya.”

·         Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (al-Qadr, 97: 5). Ini adalah malam yang diliputi dengan segala kebaikan disebabkan turunnya al-Quran dan para malaikat sebagai saksi. Malam ini malam yang serba selamat, aman, baik dan berkat. Tidak ada sebarang keburukan; bermula dari gelincir matahari sehinggalah terbit fajar. Pada malam tersebut akan diturunkan kebaikan dan keberkatan tidak putus-putus, malaikat rahmat turun secara berkumpulan sehingga fajar menyingsing.

Pedoman Hidup dan Hukum-Hakam

1)    Penurunan al-Quran bermula pada malam al-Qadr iaitu pada bulan Ramadhan al-Mubarak.
2)    Malam al-Qadr adalah malam yang agung, penuh kemuliaan, malam yang penuh hikmah dan ketentuan dari Allah SWT. Allah membuat segala ketentuan dari masa ke masa, bermula dari urusan ajal maut, rezeki dan selainnya.
3)    Beramal dan berbuat kebajikan pada malam al-Qadr adalah lebih baik dari beramal dalam seribu bulan yang tidak ada malam al-Qadr, kerana pada malam tersebut Allah SWT menyediakan kebaikan yang banyak yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.
4)    Para malaikat akan turun dari tujuh petala langit dan dari Sidrah al-Muntaha, begitu juga malaikat Jibril akan turun dari tempat tinggal perdananya ke Bumi.
5)    Malam al-Qadr adalah malam kesejahteraan dan keselamatan, malam kebaikan dan keberkatan dari Allah SWT dalam menjelaskan perkara ini, terdapat satu riwayat yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad daripada Ubadah Ibn al-Samit bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:
 " ليلة القدر في العشر البوقي، من قامهن ابتغاء حسبتهن، فان الله يغفر له ما تقدم من ذنبه وما تأخر، وهي ليلة وتر: تسع أو سبع أو خامسة أو ثالثة أو اخر ليلة"
Maksudnya : “malam al-Qadr berlaku pada sepuluh malam terakhir. Barangsiapa yang menghayati (dan memakmurkan) malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah lalu dan akan datang. Malam al-Qadr berlaku pada malam yang witir : malam kesembilan, malam ketujuh, malam kelima atau ketiga atau malam terakhir.”

Tanda-Tanda Malam al-Qadr

  • Di antara tanda-tanda malam al-Qadr ialah munculnya matahari pada waktu paginya dalam keadaan yang putih dan redup. Abu Daud al-Tayalisi meriwayatkan daripada Ibn Abbas ra bahawa Rasullulah S.A.W telah bercerita tentang malam al-Qadr. Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat malam al-Qadr tetapi aku lupa masanya. Ia berlaku (sekitar) sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.  Ia adalah satu malam yang tenang, nyaman, tidak terlalu panas dan juga tidak terlalu sejuk. Malamnya cerah bagaikan berbulan. Para syaitan tidak keluar pada malam tersebut sehinggalah cahaya fajar menyingsing.”

Hikmah di Sebalik Kerahsiaan Malam al-Qadr

  • Di antara rahmat Allah SWT tidak menyatakan secara tepat bilakah berlakunya malam al-Qadr adalah supaya manusia tidak melakukan maksiat secara sengaja pada malam tersebut agar mendapat keampunan dari Allah. Bahkan ini adalah supaya setiap mukallaf akan sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah SWT bersungguh-sungguh dalam amal ibadah, tidak lupakan Allah dan tidak malas dalam beribadah.

Kelebihan Malam al-Qadr

  • Malam al-Qadr adalah malam yang penuh dengan kebaikan. Allah SWT telah merumuskan kelebihan malam al-Qadr melalui firmanNya yang ringkas (bermaksud): “Malam kemuliaan (al-Qadr) itu lebih baik dari seribu bulan.” (al-Qadr, 97: 3) dan juga firman Allah SWT (bermaksud): “Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril.” (al-Qadr, 97: 4).

Surah al-Kafirun

1)    Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!
2)    "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
3)    "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
4)    "Dan aku tidak akan beribadat seperti kamu beribadat.
5)    "Dan kamu pula tidak mahu beribadat seperti aku beribadat.
6)    "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".

Nama surah

  • Surah ini dinamakan al-Kafirun kerana Allah memerintahkan Nabi Muhammad supaya menegaskan kepada orang-orang kafir bahawa baginda tidak akan menyembah apa yang mereka sembah seperti patung-patung dan berhala. Nama lain bagi surah ini adalah al-Munabazah, al-Ikhlas dan al-Muqasyqasyah.

Kandungan surah

  • Surah ini mengisytiharkan pembebasan diri mukmin daripada meniru amalan orang-orang musyrikin. Ia menyarankan supaya manusia melakukan sesuatu ikhlas kepada Allah. Ia menggariskan sempadan pemisah antara iman dan kufur. Ketika orang musyrikin mengesyorkan al-muhadanah (tolak ansur) daripada Rasullullah agar Nabi Muhammad menyembah tuhan mereka selama setahun dan mereka menyembah tuhan Nabi Muhammad selama setahun, maka turunah ayat ini bagi memintas keinginan buruk orang-orang kafir tersebut.

Sebab Turun

  • Al-Tabrani dan Ibn Abi Hatim telah mentakhrijkan hadis daripada Ibn Abbas bahawa orang-orang Quraisy telah menawarkan kepada Rasullullah untuk memberi Baginda harta benda sehingga Baginda menjadi orang yang paling kaya di Mekah. Mereka juga berjanji untuk mengahwinkan Baginda dengan mana-mana wanita yang diingini dengan syarat tertentu. Mereka berkata, “Wahai Muhammad, ini adalah untuk engkau dengan syarat engkau berhenti daripada mencerca tuhan-tuhan kami dan memburuk-burukkannya. Kalau engkau tidak mahu (pilihan ini), maka sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun.” Rasullullah menjawab,“tunggulah sehingga aku melihat perintah tuhanku”, lalu Allah menurunkan ayat 1 surah Al-Kafirun.
  • Al-Naisaburi mengatakan bahawa surah ini diturunkan kepada satu kumpulan orang Quraisy, di mana mereka berkata, “Wahai Muhammad, sudilah mengikut agama kami dan kami juga akan mengikut agama engkau. Engkau menyembah tuhan kami selama setahun dan selepas itu kami akan menyembah tuhan kamu selama setahun. Sekiranya apa yang engkau bawa adalah lebih baik daripada pegangan kami, maka kami dapat berkongsi dengan engkau mengenai perkara itu, jika pegangan (agama) kami adalah lebih baik daripada agama pegangan engkau, maka perkara itu engkau boleh kongsi dengan kami dan engkau masih boleh mengambil bahagian kamu.” Rasullullah menjawab, “Aku memohon perlindungan Allah dari mensyirikkan Allah dengan yang lain. Kemudian Allah menurunkan ayat 1 Surah al-Kafirun.    

Tafsiran ayat

  • Ayat 1 dan 2 : Ayat ini menegaskan supaya Rasullullah mengatakan kepada orang kafir, “ Wahai orang-orang kafir, aku sama sekali tidak akan menyembah apa yang kamu sembah samada patung-patung mahupun berhala-berhala. Aku tidak akan menyembah tuhan kamu bila-bila masa sekalipun.
  • Ayat 3 : Ayat ini bermaksud bahawa orang kafir  yang syirik dan kufur tidak akan menjadi penyembah Allah iaitu tuhan yang disembah oleh Nabi Muhammad sepertimana yang diminta oleh baginda.
  • Ayat 4 dan 5 : Ayat ini membawa pengertian iaitu aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah iaitu aku tidak akan mengikutinya dan tidak akan tunduk kepada tuhan palsu. Sesungguhnya aku (Muhammad s.a.w) hanya menyembah Allah mengikut cara yang disukai dan diredhai Allah sahaja. Kamu tidak akan tunduk kepada perintah Allah dan syariatnya bahkan kamu mencipta sesuatu mengikut kehendak nafsu sahaja. Sedangkan ibadah Rasul s.a.w dan para pengikutnya ikhlas kepada Allah dan tidak sedikit pun menyekutuinya.
  • Di samping itu, al-Zamakhsyari mentafsirkan ayat tersebut, “Dan aku pada masa sekarang atau di zaman jahiliyyah dahulu tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah. Lalu bagaimana mungkin kamu mengharapkanaku berbuat demikian di zaman Islam ini? Dan kamu juga tidak pernah menyembah apa yang aku sembah.
  • Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa di dalam ayat tersebut terdapat beberapa pengulangan bertujuan untuk memberi pengukuhan dan penegasan iaitu untuk memberi kata putus yang muktamad mengenai permohonan mereka agar Rasullullah menyembah tuhan mereka.
  • Ayat 6 : Maksudnya, orang kafir tetap dengan sifat syirik dan kufur mereka manakala aku tetap dengan agamaku yang berteraskan tauhid dan keikhlasan kepada Allah. Ulama’ berpendapat, “bahawa agama merupakan pembalasan. Ini memberi pengertian bahawa bagi kamu terdapat pembalasan di dalam agama kamu.  Manakala bagiku terdapat pembalasan di dalam agama Islam, agama yang aku anuti. Agama juga bermakna ibadah.”

Pengajaran

  • Kesemua kekufuran menentang Islam.
  • Perbezaan antara Nabi Muhammad atau orang mukmin dengan orang kafir adalah dari sudut tauhid dan keikhlasan ibadah. Orang islam mengabdikan diri dengan ikhlas kepada Allah manakala orang kafir menyembah unsur-unsur yang jelas menunjukkan kesyirikan yang mana dicipta sendiri oleh mereka mengikut hawa nafsu. 
  • Rujukan
  • Dr. Wahbah Zuhaily, Tafsir al-Munir



No comments:

Post a Comment