Wednesday, 9 July 2014

Teori perkembangan moral Lawrence Kohlberg


Teori yang dikemukakan oleh Lawrence Kohlberg ialah lanjutan daripada teori Jean Piaget (ahli psikologi Swiss) dan ahli falsafah John Dewey.  Menurut Kohlberg, pada tahap perkembangan tertentu, kanak-kanak akan mempelajari apa yang betul dan apa yang salah. Daripada kajian beliau, Kohlberg (1983) menyarankan tiga tahap utama perkembangan moral dan tiap-tiap tahap boleh dibahagikan kepada dua peringkat.

            Tahap 1 ialah Pra-Konvensional.  Merupakan tahap yang paling bawah dalam penakulan moral.  Pada tahap ini perlakuan dinilai berdasarkan ganjaran dan hukuman yang akan diterima akibat perlakuan tersebut. Peringkat 1 merupakan orientasi kepatuhan dan hukuman.  Kepatuhan kanak-kanak kepada orang dewasa adalah untuk mengelakkan dendaan.  Peringkat 2 pula ialah Orientasi ganjaran peribadi.  Peringkat ini lebih menumpukan kepada kehendak dan perasaan sendiri.  Sesuatu perkara itu dinilai baik atau jahat adalah berdasarkan penilaian terhadap kesan ke atas mereka.

            Tahap 2 ialah Konvensional.  Ia merupakan tahap pertengahan di dalam teori perkembangan moral Kohlberg.  Dalam tahap ini, individu sudah mula mengaplikasi peraturan berdasarkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh ibubapa, guru dan komuniti.  Tahap ini mengandungi dua peringkat iaitu orientasi perlakuan baik dan akur kepada sistem sosial.  Peringkat 3 merupakan Orientasi perlakuan baik.  Individu pada tahap ini menolong orang supaya beliau dianggap sebagai orang yang baik.  Peringkat 4 pula ialah akur kepada sistem sosial dan etika peraturan.  Individu pada peringkat ini menghormati undang-undang di atas rasa keyakinan beliau terhadap undang-undang yang ada dan sanggup pula memperjuangkannya.

            Tahap 3 ialah Pos-Konvensional.  Tahap penaakulan moral ini adalah yang paling tinggi dalam perkembangan moral Kohlberg.  Pada tahap ini, individu rnula meneroka pilihan, memilih alternatif-alternatif lain dalam penaakulan moral.  Mereka mula mempunyai kod moral dan etika yang tersendiri.  Dua peringkat yang terdapat pada tahap ini ialah etika kontrak sosial dan hak individu dari etika prinsip sejagat.  Peringkat 5 merupakan Etika kontrak sosial dan hak individu.  Tingkah laku moral adalah berteraskan kepada kepentingan sosial dan perjuangan ke arah kedaulatan masyarakat.  Individu pada peringkat ini menghormati undang-undang tetapi percaya bahawa undang-undang perlu diubah suai untuk kesejahteraan umat atau manusia.  Peringkat 6 pula ialah Etika prinsip sejagat.  Pada peringkat ini, individu menunjukkan ciri-ciri tingkah laku moral berasaskan kesedaran kendiri yang meletakkan nyawa manusia, keadilan dan maruah pada peringkat tertinggi.  Mereka juga sanggup menerima hukuman di atas kesalahan yang dilakukan dengan rela kerana menghormati undang-undang yang telah ditetapkan.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Dalam usaha bagi mengaplikasikan teori perkembangan moral Lawrence Kohlberg pada peringkat awal kanak-kanak, guru perlu lebih bersifat mendidik mereka, bukannya bersifat menghukum.  Hal ini kerana, mereka perlu dididik untuk bersifat dengan akhlak yang baik kerana hanya dengan didikan yang betul daripada guru, kanak-kanak akan berusaha untuk berkelakuan baik.  Sebagai contoh, jika mereka melakukan kesalahan, guru hendaklah tidak bersikap terburu-buru dengan memberikan hukuman  kepada mereka.  Sebaliknya, guru perlu mendengar penjelasan daripada mereka dahulu.  Jika mereka didapati bersalah, guru perlu menjelaskan dengan memberi sebab mengapa sesuatu perkara tidak boleh dilakukan.  Dengan cara ini, perkara ini secara tidak langsung dapat membantu mereka dalam memperkembang tingkah laku mereka ke tahap yang baik dengan bantuan dan sokongan moral daripada guru.

Peringkat pertengahan kanak-kanak

Pada peringkat ini, guru-guru boleh menerapkan nilai-nilai murni terutamanya melalui kurikulum dalam subjek Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.  Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, unsur seperti nilai-nilai murni sangat penting bagi membantu mereka dalam menterjemah tingkah laku mereka berasaskan nilai-nilai murni yang dipelajari disekolah.  Sebagai contoh, murid yang mempelajari adab terhadap jiran dalam subjek pendidikan Islam semasa di sekolah dapat menterjemah kefahaman mereka melalui penerapan nilai-nilai murni yang dipelajari di sekolah dengan sentiasa berbuat baik terhadap jiran mereka.  Dalam peringkat ini, guru perlulah mendidik murid dengan kasih sayang supaya mereka rasa dihargai.  Perkara ini sangat penting kerana ia membantu dalam mengubah tingkah laku mereka ke arah yang lebih baik kerana mereka sedar ada guru yang sentiasa mengambil berat terhadap diri mereka.

Teori kecerdasan emosi


Kecerdasan emosi meliputi cara seseorang individu mengawal emosi diri dan persekitaran.  Hal ini dapat dilihat apabila individu tersebut dapat menghadapi kegagalan dengan tenang dan positif.  Menurut Daniel Goleman (1995) seperti yang dinyatakan oleh Haliza Hamzah (2009) menyatakan bahawa 80% kejayaan seseorang bergantung kepada kecerdasan emosi (EQ) manakala 20% lagi kejayaan disebabkan oleh kecerdasan mental (IQ).  Goleman telah menyatakan lima elemen yang perlu diberi perhatian dalam kecerdasan emosi.  Antaranya ialah, memahami emosi kendiri, kebolehan mengendalikan emosi, memotivasikan diri, menyedari emosi orang lain dan elemen yang terakhir ialah mengendalikan hubungan dengan orang lain.

            Pada peringkat awal kanak-kanak, emosi yang berbentuk kesedaran kendiri seperti rasa bangga, malu dan rasa bersalah bermula pada sekitar umur dua setengah tahun.  Sebagai contoh, kanak-kanak akan rasa bangga dengan menunjukkan ekspresi muka yang gembira apabila berjaya melakukan sesuatu perkara.  Selain itu, sifat malu mula timbul apabila kanak-kanak merasakan mereka tidak dapat mencapai apa yang mereka inginkan.  Malah, rasa bersalah juga timbul apabila kanak-kanak mendapati perkara yang mereka lakukan berakhir dengan kegagalan.  Antara ciri-ciri kanak-kanak pada peringkat ini yang mula memahami emosi ialah kita dapat lihat apabila mereka mempunyai peningkatan dalam perbendaharaan emosi.  Mereka juga boleh melabel emosi dengan tepat terhadap dirinya dan juga emosi orang lain.  Disamping itu, mereka juga boleh menggunakan bahasa emosi semasa sedang bermain.

            Semasa di peringkat pertengahan dan akhir kanak-kanak, antara perubahan ynag boleh dilihat pada peringkat ini ialah mereka lebih berkebolehan untuk memahami emosi yang lebih kompleks seperti bangga diri dan malu.  Mereka juga dapat memahami bahawa lebih daripada satu emosi boleh timbul dalam sesuatu keadaan.  Pada masa yang sama, cirri perkembangan yang boleh dilihat pada diri mereka apabila mereka lebih menitikberatkan situasi-situasi yang yang memerlukan perhatian dan juga lebih berjaya mengawal emosi-emosi negatif.  Antara ciri-ciri kefahaman emosi kanak-kanak pada peringkat ini ialah mereka memahami bahawa sesuatu situasi boleh mengakibatkan emosi ynag berlainan pada individu yang berlainan.  Malah, mereka turut menyedari bahawa emosi terhadap sesuatu perkara boleh kekal lama selepas perkara itu berlaku.  Akhir sekali, mereka mereka mula menunjukkan kesedaran tentang cara mengawal dan mengurus emosi berdasarkan keperluan sosial.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Pada peringkat ini, kanak-kanak agak sukar mengawal emosi mereka.  Jadi, guru perlu pandai dalam memujuk mereka ketika mereka sedang marah, sedih dan sebagainya.  Pendekatan guru yang lembut dalam memujuk adalah sangat penting bagi meredakan emosi mereka.  Sebagai contoh, guru perlu mengajar mereka belajar untuk mengawal emosi ketika sedih sekiranya alat permainan mereka hilang.  Selain itu juga, guru juga boleh menayangkan mereka video cerita kartun yang banyak menggunakan emosi seperti marah, sedih, gembira dan sebagainya.  Dalam hal ini, kita dapat melihat emosi mereka berkembang secara tidak langsung melalui reaksi atau ekspreasi muka yang ditunjukkan oleh mereka.  Perkara ini sangat berkesan bagi menilai dan mengukur kecerdasan mereka dari aspek emosi.

Peringkat pertengahan kanak-kanak
Ketika di sekolah rendah, seseorang guru perlu memberi layanan yang sama rata kepada setiap murid.  Hal ini kerana, jika seseorang guru membandingkan murid yang lemah dengan murid yang pandai, murid yang lemah akan berasa kecil hati dan tidak bersemangat untuk belajar.  Jadi, pentingnya peranan guru disini bagi membantu mereka supaya emosi murid pada peringkat ini berada dalam keadaan yang baik.  Sebagai contoh, guru boleh membuat aktiviti lakonan bagi menunjukkan emosi yang sesuai dalam sesuatu situasi.  Dalam aktiviti ini, guru boleh meminta murid bagi meneka emosi yang dilakonkan oleh rakan mereka.  Setelah itu, guru boleh meminta murid yang lain bagi memberikan cadangan bagi menghadapi dan menangani situasi yang dilakonkan tadi.  Maka, disinilah perkembangan mereka terhadap dalam menilai situasi yang berlaku membantu dalam memperkembang kecerdasan emosi mereka.

Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura


Teori pembelajaran sosial telah dipelopori oleh Albert Bandura, seorang ahli psikologi yang berkhidmat di Universiti Stanford.  Menurut beliau, manusia secara semula jadinya belajar melalui proses peniruan atau pemerhatian, iaitu dengan cara melihat orang bertingkah laku dalam kehidupan seharian seperti berjalan, makan, minum, mendapat penghargaan, pujian atau menerima hukuman.  Persoalannya, bagaimanakah kanak-kanak meniru perlakuan orang dewasa dan bagaimana persekitaran mempengaruhi kehidupan dan perlakuan kanak-kanak?

            Teori Pembelajaran Sosial yang dikemukakan oleh Bandura telah memberi penekanan tentang bagaimana perilaku kita dipengaruhi oleh persekitaran melalui peneguhan (reinforcement) dan observational learning, pandangan dan cara berfikir yang kita miliki terhadap sesuatu maklumat dan juga sebaliknya, iaitu bagaimana tingkah laku kita mempengaruhi persekitaran dan menghasilkan peneguhan (reinforcement) dan peluang untuk diperhatikan oleh orang lain (observational opportunity). 

            Menurut Bandura, pembentukan sesebuah tingkah laku boleh berlaku melalui beberapa cara, iaitu meniru secara langsung.  Kanak-kanak melihat model sendiri atau secara tidak langsung dengan menonton filem, video, mendengar huraian atau melihat gambar foto.  Contohnya, kanak-kanak meniru ibu bapa atau guru dari segi pakaian, pertuturan, gaya berjalan dan sebagainya.

            Selain itu, peniruan dapat dilihat melalui sekatlakuan dan tak sekatlakuan.  Sekatlakuan merupakan sekatan tingkah laku yang sesuai di dalam situasi A tetapi tidak sesuai dalam situasi B.  Contohnya, murid yang boleh bersorak-sorak di kantin ketika memanggil rakan tidak melakukannya di dalam bilik darjah.  Ini dipelajari oleh murid-murid disebabkan adanya peraturan-peraturan bilik darjah yang boleh menyebabkan hukuman jika amalan itu berlaku.  Murid-murid juga meniru melalui tak sekatlakuan.  Ini bermakna murid-murid akan terus meniru amalan di dalam sesuatu situasi.  Contohnya, kalau dia telah mempelajari bahawa tindakan sorak-menyorak tidak sesuai di dalam kelas tetapi kali ini dengan guru yang baru, amalan itu tidak dihukum, murid-murid berkenaan akan bermula dengan menjeritkan jawapan.  Perkara ini merupakan peniruan melalui tak sekatlakuan.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Bagi peringkat awal kanak-kanak, guru hendaklah menjadi role model bagi mereka.  Dalam hal ini, guru perlu mempunyai tingkah laku yang positif supaya pelajar dapat menirunya.  Hal ini kerana, segala tindakan yang ditunjukkan oleh guru hendaklah yang boleh dicontohi oleh pelajarnya.  Sebagai contoh, guru boleh menunjukkan teladan yang baik seperti bersopan santun dan tidak meninggikan suara di dalam bilik darjah.  Sekiranya guru ingin mengubah tingkah laku murid yang kurang menyenangkan seperti keadaan yang bising di kelas kepada keadaan yang terkawal, guru terlebih dahulu perlu menunjukkan kepada mereka contoh yang terbaik.  Selain itu juga, guru perlu tunjukkan kepada pelajar dalam kalangan rakan-rakan mereka ada yang menunjukkan contoh sebagai pelajar yang baik dari segi penghasilan kerja mereka.  Dengan berbuat demikian, pelajar boleh belajar daripada rakan-rakan dan meniru idea-idea yang berkualiti yang terdapat dalam kerja-kerja mereka.  Guru juga boleh menggunakan pelajar  yang berjaya untuk menunjukkan tingkah laku model yang baik dalam kelas.  Hal ini sangat membantu pelajar yang lain untuk turut sama berkelakuan dengan tingkah laku yang baik.

Peringkat pertengahan kanak-kanak

Dalam usaha bagi mengaplikasikan teori pembelajaran sosial Bandura, guru perlu menyediakan persekitaran sosial yang kondusif telebih dahulu agar modeling boleh berlaku.  Guru perlu memberi mereka sokongan moral bagi menggalakkan berlakunya tingkahlaku yang baik dalam kalangan murid-murid pada masa kini.  Bagi membantu keberkesanan dalam p&p, persembahan pengajaran seseorang guru seharusnya dapat menarik minat dan perhatian murid-murid serta dapat dijadikan model untuk diikuti oleh mereka.  Malah, guru perlu mahir dalam berkomunikasi agar mereka dapat memahami pembelajaran dengan baik. Contohnya, jika guru mengajar cara-cara untuk menghasilkan lukisan, guru mestilah menerangkan dahulu langkah-langkahnya agar ia dapat diikuti oleh murid yang lain secara mudah.  Guru juga boleh menjemput seorang murid agar menjadi contoh kepada murid lain berdasarkan kerjanya yang bagus ataupun untuk membuat demonstrasi mengenai hasil kerja yang dihasilkannya yang terbaik itu.  

Teori Perkembangan Bahasa (Chomsky)


Menurut Naom Chomsky (1957), seperti yang dinyatakan oleh Haliza Hamzah (2009) menyatakan bahawa setiap individu telah diprogramkan secara genetik untuk belajar bahasa.  Beliau turut menyatakan bahawa kanak-kanak telah dilahirkan dengan alat penguasaan bahasa atau LAD (Language Acquisition Device) iaitu satu mekanisme yang membolehkan kanak-kanak mengesan ciri-ciri dan peraturan dalam menggunakan bahasa yang digunakan di persekitaran mereka. 

            Keluarga dan persekitaran sangat mempengaruhi seseorang kanak-kanak dalam berbahasa.  Pengaruh dan sokongan daripada ibu bapa dan guru sangat penting di dalam memperkembang potensi untuk kanak-kanak berbahasa dengan baik.  Menurut kajian daripada Betty Hart dan Todd Risley (Santrock, 2007), mereka mendapati bahawa golongan profesional menyediakan persekitaran berbahasa lebih baik berbanding dengan golongan yang bukan profesional.  Malah, dalam kajian yang lain lagi juga mendapati bahawa ibu yang banyak berkomunikasi dengan anak mereka mempunyai empat kali ganda lebih perbendaharaan  kata berbanding ibu yang pendiam.

            Perkembangan bahasa boleh dibahagikan kepada beberapa peringkat.  Antaranya ialah peringkat bayi.  Pada peringkat ini, bayi sentiasa mengeluarkan bunyi-bunyian untuk menarik perhatian orang-orang yang disekitarnya.  Selalunya mereka akan mula menyebut perkataan dalam lingkungan usia 10-15 bulan.  Perkataan-perkataan mudah seperti “mama”, “papa”, “susu” dan sebagainya adalah antara perkataan biasa yang boleh dilihat dalam usia bayi.  Setelah menjangkau usia 18-24 bulan, bayi sudah mula menggunakan dua patah perkataan yang disertai dengan isyarat badan dan juga intonasi suara.

            Peringkat yang seterusnya pula ialah peringkat kanak-kanak.  Pada waktu ini, terutamanya ketika peringkat prasekolah (4 hingga 6 tahun), kanak-kanak sudah mula mematuhi peraturan-peraturan tatabahasa dan menguasai lebih banyak perbendaharaan kata.  Kebanyakan kanak-kanak yang berusia 4 tahun sudah boleh menulis nama sendiri manakala kanak-kanak yang berusia 5 tahun pula boleh menulis semula perkataan yang yang diberikan.  Namun, mereka masih belum dapat menulis dengan baik kerana kemahiran motor halus mereka belum berkembang dengan baik dan memerlukan latihan yang berterusan.  Kanak-kanak yang sudah melangkah ke alam sekolah rendah sudah boleh menggunakan bahasa untuk menterjemahkan kehendak dan keperluan mereka.  Selain itu, mereka juga boleh mengolah idea dan menterjemahkannya dalam bentuk tulisan.  Di akhir peringkat kanak-kanak, mereka juga boleh merangka, menyemak tulisan dan juga membuat karangan.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Bagi membantu perkembangan bahasa kanak-kanak pada usia ini, guru haruslah berperanan dalam membantu mereka mempelajari banyak bahasa.  Hal ini boleh dilakukan dengan menyebut perkataan-perkataan dalam pelbagai bahasa supaya mereka terbiasa dengan perkataan-perkataan yang selalu mereka dengar.  Pada tahap ini, perkembangan kanak-kanak untuk mempelajari bahasa sangat pesat.  Guru boleh menggunakan flash card bagi menunjukkan mereka perkataan-perkataan baharu.  Hal ini perlu dilakukan secara kerap supaya mereka boleh mengingat kembali perkataan-perkataan yang kita tunjukkan.  Selain itu, guru juga boleh menggunakan bahan maujud supaya mereka boleh melihat dengan jelas apa yang hendak kita cuba tunjukkan kepada mereka.  Guru perlulah menyoal kembali perkataan-perkataan yang sudah diajar kepada mereka.  Hal ini bagi membantu mereka menyimpan perkataan-perkataan yang sudah mereka ketahui ke dalam memori jangka masa panjang.

Peringkat pertengahan kanak-kanak
Setelah mereka masuk ke alam sekolah rendah, guru boleh membantu mereka dengan menggalakkan mereka dengan menggunakan bahasa.  Sekiranya mereka tidak mengetahui sesuatu perkataan, guru perlu membantu mereka untuk memahami perkataan tersebut.  Hal ini bagi membantu mereka supaya menggunakan banyak perkataan bagi membantu memperkembang kemahiran berbahasa mereka.  Sebagai contoh, guru boleh menggunakan strategi bercerita semasa proses pengajaran dan pembelajaran.  Semasa bercerita, guru boleh menyoal kembali cerita yang telah disampaikan tadi.  Mereka akan cuba memberitahu kembali perkataan yang mereka dengar dari cerita tersebut.  Dalam hal ini, guru perlu bijak mengesan kesalahan mereka dalam berbahasa dan seterusnya membetulkan pemahaman mereka mengenai perkataan-perkataan yang mereka gunakan.



Teori Perkembangan kognitif Jean Piaget


Menurut Jean Piaget, kemampuan kognitif manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui.  Perubahan daripada satu peringkat ke satu peringkat yang seterusnya hanya akan berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sesuai dan terdedah kepada pengalaman yang relevan.  Tanpa pengalaman-pengalaman tersebut, kanak-kanak dianggap tidak mampu mencapai tahap perkembangan kognitif yang tinggi.  Piaget telah mengenalpasti empat faktor yang saling berkait yang boleh mempengaruhi proses pemikiran individu iaitu kematangan biologi, interaksi individu dengan persekitaran, pengalaman sosial dan keseimbangan.  Jean Piaget telah membahagikan tahap-tahap perkembangan kepada empat peringkat.

            Peringkat yang pertama ialah tahap Sensorimotor (sejak lahir sehingga 2 tahun).  Pada tahap ini, perkembangan mental sangat berkembang dengan pesat.  Pada masa yang sama, bayi juga mampu untuk mengorganisasikan dan mengkoordinasi deria melalui gerakan-gerakan dan tindakan-tindakan fizikal.  Pada akhir tahap ini ketika anak berusia sekitar 2 tahun, pola-pola sensori motor mereka semakin kompleks dan mulai mengadaptasi suatu sistem simbol yang primitif.

            Tahap Praoperasi bermula pada usia 2 hingga 7 tahun.  Pada peringkat ini, kanak-kanak menggunakan simbol untuk mewakili objek-objek yang dilihat di sekelilingnya.  Kanak-kanak mula bertutur tetapi pertuturannya bersifat egosentrik, iaitu dia bercakap sendiri.  Mereka juga tidak berminat untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain.  Topik perbualan berkisar tentang dirinya.  Kanak-kanak belum memperoleh konsep pengekalan.  Konsep transformasi juga belum diperoleh.

            Tahap Operasi Konkrit bermula apabila anak-anak itu mencapai umur 7 hingga 11 tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak hanya dapat menyelesaikan satu-satu masalah yang melibatkan peristiwa atau objek yang konkrit (perkara yang boleh dilihat atau disentuh). Walau bagaimanapun, keupayaan untuk memanipulasikan konsep dan idea pada tahap ini adalah terhad serta bergantung pada objek yang boleh dilihat atau disentuh sahaja. 

            Tahap yang keempat pula peringkat operasi formal yang bermula pada usia 11 tahun ke atas.  Pada waktu ini, pemikiran mereka tidak lagi terikat kepada bahan-bahan konkrit.  Mereka juga boleh berfikir secara abstrak dan membuat hipotesis walaupun ianya bukan realiti.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Cadangan saya bagi mengimplementasi p&p pada peringkat awal kanak-kanak ialah dengan memberikan mereka permainan kanak-kanak berbentuk hands on seperti patung (soft toys).  Hal ini kerana, kanak-kanak banyak menggunakan sensori motor (seperti memegang) untuk berinteraksi dan memahami apa-apa yang ada di sekitarnya. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menekan butang pada patung (aktiviti motor) ianya akan menghasilkan bunyi (pengalaman kederiaan).  Bagi kanak-kanak yang berada pada peringkat akhir awal kanak-kanak, kita boleh mengajar mereka dengan kaedah bermain sambil belajar.  Sebagai contoh, permainan menyusun puzzle.  Dengan memberikan permainan sebegini, secara tidak langsung, keupayaan kognitif kanak-kanak boleh berkembang kerana mereka berusaha ingin mengetahui gambar yang mereka cuba susun dan juga menguji ketepatan mereka dalam menyusun gambar tersebut supaya sempurna.

Peringkat pertengahan kanak-kanak
Bagi membantu perkembangan peringkat pertengahan kanak-kanak dari segi kognitif, guru boleh membahagikan murid-murid di dalam kelas mengikut tahap kognitif yang hampir sama.  Guru boleh mengadakan aktiviti dalam kumpulan berdasarkan alat bantu mengajar yang sesuai.  Sebagai contoh, guru membantu pelajar untuk memahami konsep besi boleh mengembang ketika panas.  Para pelajar hanya dapat memahami konsep ini hanya melalui pengalaman konkrit.  Jadi, pentingnya peranan guru disini agar menggunakan kaedah yang boleh menarik minat pelajar supaya mereka dapat belajar dengan aktif.  Hal ini bagi memastikan mereka benar-benar memahami konsep tersebut. 








Teori Perkembangan Robert Havighurst

Teori Perkembangan Robert Havighurst

Menurut Robert Havighurst, faktor persekitaran boleh mempengaruhi perkembangan seseorang kanak-kanak.  Perkara ini penting dalam proses pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.  Beliau telah memfokuskan faktor persekitaran sebagai faktor yang paling besar dalam mempengaruhi perkembangan seseorang ketika kanak-kanak.  Menurut Robert Havighurst di dalam buku psikologinya, Human Development and Education (1953) seperti yang dinyatakan oleh Mok Soon Sang (2009), dia menyatakan bahawa contoh persekitaran yang mempengaruhi kanak-kanak dapat dilihat dari segi pemakanan, rakan sebaya, guru, bahan bacaan dan internet.  Havighurst telah membahagikan peringkat perkembangan awal kanak-kanak kepada tiga peringkat. 

            Peringkat yang pertama bermula sejak lahir sehingga berumur 6 tahun.  Dalam peringkat ini, kanak-kanak sudah mula bertutur namun masih bersifat egosentrik iaitu bercakap mengenai diri sendiri.  Ketika berusia 6 tahun pula, kanak-kanak sudah mampu bertolak ansur dan menerima pendapat orang lain.  Pada tahap ini, kanak-kanak sudah memiliki kemampuan untuk membezakan yang betul dan salah.  Walaubagaimanapun, kanak-kanak pada peringkat ini masih belum dapat menguasai konsep pengekalan dan transformasi. 

            Seterusnya ialah peringkat kedua yang bermula pada usia 6 hingga 12 tahun.  Pada usia ini, kanak-kanak sudah menguasai beberapa kemahiran termasuk kemampuan untuk bersosial dan bergaul dengan orang di sekeliling mereka.  Mereka juga mula belajar untuk membentuk sikap mengakui hak, keupayaan dan kelemahan individu.

            Peringkat yang ketiga pula ialah pada usia 12 hingga 18 tahun.  Pada tahap ini, remaja akan mencapai tahap kematangan fizikal seperti tinggi yang maksimum.  Dari segi kognitif pula, mereka berada pada peringkat operasi formal.  Dari segi emosi, wujudnya berbagai emosi dalam diri remaja seperti ingin berjaya dan mereka mampu untuk mengawal emosi. Remaja pada peringkat ini akan membentuk kumpulan rakan sebaya dan mula tertarik pada jantina yang berlawanan.

Implementasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran

Peringkat awal kanak-kanak
Antara aktiviti yang boleh dibuat bagi mengimplementasikan teori perkembangan Robert Havighurst pada peringkat ini ialah dengan menunjukkan mereka video mengenai perkara-perkara yang boleh dilakukan bagi membantu ibu bapa dirumah.  Pada pendapat saya, dengan menunjukkan video seperti ini, pengetahuan mereka lebih cepat berkembang kerana kanak-kanak sangat terpengaruh dengan apa yang mereka lihat.  Dengan memaparkan video seperti ini semasa proses pengajaran dan pembelajaran, perkara ini secara tidak langsung akan menyebabkan mereka dapat mengaplikasikan apa yang mereka lihat di dalam video tadi dengan membantu ibu bapa mereka dirumah.  Sebagai contoh, apabila mereka membantu ibu bapa seperti membasuh kereta dan memotong cili misalnya, kemahiran motor halus dan kasar mereka telah berkembang secara tidak langsung.  Malah, perkembangan motor halus dan kasar ini boleh ditingkatkan lagi apabila mereka sering membantu ibu bapa mereka di rumah.

Peringkat pertengahan kanak-kanak

Cadangan saya untuk peringkat ini pula ialah dengan menggalakkan mereka bercakap ketika aktiviti berkumpulan.  Sebagai contoh, guru boleh memberikan aktiviti lakonan semasa proses pembelajaran di kelas.  Aktiviti lakonan ini sebenarnya sangat membantu bagi meningkatkan perkembangan kemahiran sosial mereka.  Pada waktu inilah perkembangan sosial harus dipupuk kerana jika ia tidak dipupuk pada peringkat ini, kemungkinan besar ia akan menyukarkan mereka untuk bersosial apabila melangkah masuk ke sekolah menengah nanti.  Selain itu, guru juga boleh mengambil peluang untuk memperkembang kemahiran motor kasar mereka semasa mengajar subjek pendidikan jasmani dengan mengajar mereka kemahiran menendang, mengelecek dan menjaringkan bola.