3.1 Memperbaiki
dasar pendidikan negara untuk membangunkan ekonomi kaum.
Dasar Pendidikan negara perlulah dirancang dan dilaksanakan dengan
matlamat untuk melahirkan individu yang berilmu dan berkemahiran yang akhirnya
mampu untuk bersaing dalam pelbagai bidang pada masa akan datang terutamanya
bidang ekonomi. Dalam sudut ekonomi ini,
jurang ekonomi yang jauh berbeza antara kaum di negara ini menyulitkan kerajaan
mencapai agenda perpaduan. Melalui
pendidikan, pengenalan identiti kaum mengikut jenis pekerjaan juga dapat
dihilangkan. Untuk menilai sama ada berjaya atau tidak matlamat dan
hasrat kerajaan, ianya boleh dilihat dari sudut kejayaan mengurangkan jurang
ekonomi di antara kaum dan kejayaan menghapuskan pengenalan identiti kaum
melalui bidang ekonomi.
Kita juga memahami bahawa jurang ekonomi yang besar akan
menyukarkan agenda perpaduan dan integrasi kaum. Di negara ini, kaum Cina
mendominasi bidang ekonomi. Keadaan ini menimbulkan rasa iri hati kaum lain
terhadap kaum Cina. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan melalui dasar
pendidikan hendaklah melahirkan ramai golongan terpelajar dalam bidang ekonomi.
Justeru itu, ia akan membawa kepada kemunculan individu-individu daripada
pelbagai kaum untuk menyaingi kaum cina dalam bidang ekonomi khususnya bidang
perniagaan.
Pada masa yang sama, kerajaan perlu memikirkan satu cara
untuk meletakkan murid-murid daripada pelbagai kaum disatu sekolah yang sama
supaya matlamat dasar pendidikan iaitu untuk menyatu dan mengintegrasikan kaum
dapat dicapai. Penempatan murid daripada pelbagai kaum dalam satu sekolah atau
kawasan mungkin dapat dilaksanakan sekiranya selepas kemerdekaan, kerajaan
dapat mengubah keadaan ekonomi iaitu mewujudkan pelbagai pekerjaan yang
menghapuskan pengenalan kerja mengikut kaum.
Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa, dasar
pendidikan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan boleh membantu melahirkan
golongan yang terpelajar dan berilmu daripada pelbagai kaum. Golongan
terpelajar ini pastinya berupaya merubah corak kehidupan dan ekonomi di negara
ini. Tiada lagi monopoli ekonomi oleh suatu kaum sahaja, bahkan ekonomi
Malaysia terbuka luas untuk diterokai oleh semua kaum. Melalui corak ekonomi
yang lebih terbuka ini, jurang ekonomi di antara kaum dapat dikurangkan.
3.2 Menjadikan
aktiviti sukan sebagai agen pengerat hubungan antara etnik
Negara kita telah mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan.
Contohnya sukan skuasy, badminton, bola sepak dan sebagainya. Pelbagai
lapisan masyarakat dan kaum telah menunjukkan semangat patriotik dengan bersatu
memberikan sokongan kepada ahli-ahli sukan negara dan juga peserta-peserta yang
terlibat. Kemenangan sama-sama diraikan dan kekalahan turut sama dirasai. Ini
menunjukkan kejayaan aktiviti sukan dan permainan dalam institusi pendidikan
dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang.
Usaha kerajaan mencapai perpaduan melalui ko-kurikulum di
peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi menampakkan
hasil yang positif. Melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti kebudayaan,
keseniaan dan sukan, ianya menampakkan semangat perpaduan yang positif diantara
pelajar-pelajar pelbagai kaum. Aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan
membangkitkan semangat tolong-menolong, semangat setiakawan dan saling
percaya-mempercayai di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terlibat.
Penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang ko-kurikulum akan melahirkan
individu pelajar yang berfikiran terbuka dan matang dalam perhubungan dan
bersosial.
Melalui ko-kurikulum, bakat murid dapat diasah dan
diperkembangkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi. Malah, minat murid dalam bidang sukan dan kesenian
dapat ditanam dan diperkembangkan. Kejayaan
seperti ini pastinya menjadikan kerajaan lebih ghairah dalam memperkenalkan
dasar baru agar semua murid terlibat dalam aktiviti sebegini. Penubuhan sekolah
sukan dan sekolah seni merupakan antara titik tolak usaha kerajaan dalam memperkasakan
perpaduan kaum di Malaysia. Dasar 1 Murid 1 Sukan juga telah dilaksanakan
bermula tahun 2011 untuk memastikan perpaduan kaum dapat dicapai.
3.3 Penerapan kewujudan
pelbagai etnik dalam subjek PSV
Dalam subjek pendidikan seni, murid-murid dididik supaya meminati
seni dari peringkat sekolah rendah lagi. Melalui kesenian, murid-murid diajar
tentang kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Malaysia. Pendidikan
kesenian ini akan membuka dan mematangkan minda murid-murid. Mereka boleh
menerima dan akan menghormati budaya orang lain. Minat yang disemai dari
peringkat awal lagi akan melahirkan insan-insan seni dalam pelbagai bidang
seperti seni lakonan, seni tarian, nyanyian, seni lukis dan sebagainya.
Insan-insan seni
yang memahami kebudayaan dan sensitiviti bangsa lain akan melahirkan
karya-karya yang bercorak perpaduan. Melalui karya-karya sebegini, ia akan
membantu membuka minda individu lain ke arah kecemerlangan perpaduan. Sebagai
contohnya seorang pengarah filem menghasilkan filem yang bercorak patriotik
akan memberi kesan yang positif dan prasangka baik di kalangan penonton.
3.4 Perkahwinan campur
Perkahwinan berlainan bangsa bukan lagi menjadi perkara baru bahkan
kebanyakkannya direstui oleh keluarga kedua-dua pihak. Senario ini banyak
berlaku di negeri Sabah yang mana bilangan etniknya berjumlah 42 etnik. Jika
pada suatu masa dahulu perkahwinan sebegini boleh menimbulkan persengketaan
antara kedua-dua etnik, tetapi pada masa kini ianya sudah menjadi kebiasaan
hasil daripada sifat tolak ansur dan menghormati antara satu sama lain.
Pelbagai kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia
mula difahami dan diterima oleh kaum lain selagi ianya tidak menyebabkan
kehilangan identiti asal kaum. Sebagai contoh, budaya bertukar-tukar makanan di
kalangan jiran, sambutan perayaan bersama-sama, pemberian duit raya dan
sebagainya
3.5 Menjadikan guru
sebagai agen penyemai perpaduan kaum
Guru merupakan agen kerajaan untuk menyampaikan dan melaksanakan
dasar pendidikan kepada murid dan masyarakat.
Aspek guru juga menjadi cabaran untuk mencapai perpaduan dan integrasi
kaum. Guru perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup dan lengkap
untuk menghadapi pelbagai situasi di sekolah dan masyarakat sekitarnya. Malah, guru perlu memahami misi, objektif dan
matlamat akhir sesuatu dasar pendidikan supaya hasrat perlaksanaan sesuatu
dasar itu terlaksana.
Jika seseorang guru itu cetek ilmu dan malas untuk
mengambil tahu isu semasa, ia akan menimbulkan masalah dalam proses pengajaran
dan pembelajaran seterusnya membawa murid-murid ke arah matlamat yang salah
menyebabkan salah satu matlamat iaitu mencapai perpaduan dan integrasi antara
kaum tidak dapat dicapai.
Jelaslah bahawa, pihak kerajaan perlu memberi latihan dan
kefahaman kepada setiap guru apabila melaksanakan sesuatu dasar yang baru
supaya segala perancangan mengikut landasan yang betul dan generasi yang akan
datang lahir sebagai individu yang mempunyai sifat cinta dan membudayakan
perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat.
3.6 Media massa memberi
pendedahan kebudayaan dalam pelbagai etnik
Media massa bukan hanya membekalkan fakta dan data tertentu. Ia
juga memberikan maklumat tentang matlamat, maksud dan kesignifikanan sesuatu
peristiwa. Media massa ini pula perlu
peka dalam menyampaikan sesuatu dasar, lebih-lebih lagi jika isu tersebut
menyentuh isu-isu sensitif supaya tidak menimbulkan konflik dikalangan
masyarakat. Melalui matlamat yang tepat, masyarakat akan dapat memahami
kehendak dan matlamat kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.
3.7 Bersifat Setia dan cinta
akan negara
Setiap daripada kita hendaklah berbangga menjadi rakyat Malaysia
tanpa mengira warna kulit, bahasa dan kepercayaan. Semua rakyat perlu mempertahankan nama baik
negara dan berusaha untuk mengharumkan nama negara. Dengan memiliki sikap
berbangga sebagai rakyat Malaysia, kita akan sentiasa berusaha mengekalkan
hubungan kita dengan rakyat Malaysia yang lain, walaupun berlainan kaum,
kebudayaan dan kepercayaan. Pendek kata, sikap ‘di mana bumi dipijak, di situ
langit dijunjung’ perlu diamalkan dan dijiwai sepenuhnya.
Setiap
daripada kita haruslah mempunyai sifat setia dan sayang akan negara dengan
menghormati dan menunjukkan taat setia kepada raja dan para pemimpin
negara. Selain itu, kita juga mesti sayang dan hormat kepada lambang-lambang
negara kita seperti Jalur Gemilang, Lagu Negaraku, Parlimen, Rukun Negara dan
institusi lain yang berkaitan. Elakkkan sikap yang boleh menghina, menjejaskan
dan menimbulkan provokatif terhadap lambang-lambang negara kita kerana ini akan
memperlihatkan sejauh mana sikap patriotisme kita sebagai warganegara Malaysia.
3.8 Bersikap Kekitaan
Dalam kehidupan seharian, kita hendaklah menunjukkan keikhlasan
kita dalam menjalin hubungan dengan jiran dan anggota masyarakat yang berbeza
warna kulit, kebudayaan dan agama. Dengan mengamalkan sikap kekitaan sesama
kita, kita sebenarnya mewujudkan satu suasana hidup yang baik dan boleh
menguntungkan kita semua di samping dapat memelihara soal keselamatan hidup
setempat. Kesediaan kita dalam mengamalkan sikap kekitaan ini akan menjadi
contoh yang baik kepada generasi muda hari ini dan mereka juga akan terdorong
untuk mengamalkannya. Hal ini tentunya akan dapat menjalin semangat perpaduan
yang utuh dalam kalangan rakyat di negara ini. Lama kelamaan benteng prasangka
dan prejudis yang bersarang di dada kita tentunya dapat dirobohkan.
3.9 Menjadikan rukun
negara sebagai panduan
Pematuhan terhadap peraturan, undang-undang dan rukun negara,
menunjukkan kita bersedia bersikap adil terhadap kaum lain dan menghormati
amalan dan kepercayaan mereka serta hak mereka untuk hidup di negara ini. Kita hendaklah menunjukkan bahawa kita
mahukan yang terbaik untuk kaum lain sebagaimana kita mahukan yang terbaik
untuk diri kita. Hal ini akan mendorong kita untuk lebih bersikap
bertolak ansur dan cuba memahami hak kaum lain. Kita tidak akan memperjuangkan
hak untuk kaum kita semata-mata dengan menindas atau membelakangkan hak yang
sepatutnya turut diterima oleh kaum lain. Kita juga akan sentiasa bersedia
untuk berkongsi dalam sesuatu perkara yang dibenarkan oleh budaya kita tanpa
mengorbankan prinsip undang-undang dan keadilan selaras dengan prinsip rukun
negara.