Sunday 28 September 2014

Teori Pembelajaran Behavioris, Kognitif. Konstruktivitis, Sosial dan Humanis

2.0       Teori Pembelajaran
Ahli-ahli psikologi sentiasa berusaha mengkaji cara-cara bagaimana mereka boleh membantu manusia memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai yang memberi manfaat kepada mereka pada masa kini dan di hari kemudian kelak.  Ini menyebabkan ahli psikologi mengkaji dan membina teori pembelajaran yang berbeza untuk menerangkan bagaimana manusia (dan organisma) belajar.  Teori pembelajaran memberi penjelasan tentang cara manusia dan haiwan belajar dan memberi cadangan cara menyelesaikan masalah pembelajaran (Noriati, Boon & Sharifah, 2009).  Lima teori pembelajaran, iaitu, teori behavioris, teori kognitif, teori konstruktivis, teori pembelajaran sosial dan teori humanis adalah seperti dibawah.

2.1       Teori Pembelajaran Behavioris
Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Pendekatan behavioris terhadap pembelajaran memberi tumpuan kepada perubahan tingkah laku yang boleh diperhatikan dan pengaruhnya persekitaran terhadap perubahan tersebut.  Pelaziman diertikan sebagai satu proses pembentukan tingkah laku di mana tindak balas organisma menjadi lebih kerap atau lebih mudah diramal akibat daripada latihan atau peneguhan.  Terdapat dua jenis pelaziman untuk menerangkan pembelajaran, iaitu, pelaziman klasik dan pelaziman operan.  Tokoh-tokoh pelaziman klasikal terdiri daripada Ivan Pavlov dan J. B. Watson.  Manakala tokoh-tokoh pelaziman operan merupakan Edward Thorndike dan B. F. Skinner.  Mereka berpendapat kecenderungan-kecenderungan tingkah laku termasuk trait-trait, bakat, nilai-nilai, kepercayaan–kepercayaan, aspirasi dan lain-lain adalah dipelajari.

2.2       Teori Pembelajaran Kognitif
Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Menurut psikologis ini, dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam ‘ingatan’. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal.  Ahli psikologi kognitif atau gestalt mempercayai bahawa pembelajaran adalah satu tugas mental atau proses dalaman yang melibatkan kebolehan seseorang untuk mengaitkan berbagai maklumat sehinggalah ia memperolehi pengetahuan baru atau dapat menyelesaikan sesuatu masalah.

2.3       Teori Pembelajaran Konstruktivisme
Konstruktivisime merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan tidak dapat dipindahkan daripada guru kepada pelajar dalam bentuk yang serba sempurna. Pelajar perlu membina sesuatu pengetahuan mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha pelajar itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk pelajarnya. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan merupakan satu skema iaitu aktiviti mental yang digunakan oleh pelajar sebagai bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan. Fikiran pelajar tidak wujud secara terasing daripada persekitaran. Pelajar sebenarnya telah mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap persekitaran mereka.

2.4       Teori Pembelajaran Sosial
Albert Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku melalui proses peniruan. Bandura berpendapat, kita belajar melalui pemerhatian dan meniru orang lain serta dengan melihat kesan tingkah laku orang lain. Bandura berpendapat bahawa, Pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya.  Prinsip asas teori pembelajaran sosial adalah berdasarkan kepada pendirian bahawa pembelajaran merupakan proses kognitif dan afektif berdasarkan pemerhatian tingkah laku orang lain (model) dan meniru tingkah laku yang boleh memberi manfaat kepadanya.

2.5       Teori Pembelajaran Humanis

Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran, pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Antara prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas tindakannya. Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka dia perlu berusaha mencapainya ke arah itu. Setiap murid juga mempunyai keperluan mengembangkan potensinya ke tahap maksimum.  Berdasarkan teori belajar humanis, tujuan belajar adalah untuk memanusiakan seorang manusia. Kegiatan belajar dianggap berjaya apabila si pelajar memahami lingkungannya dan dirinya. Murid dalam proses belajar harus berusaha agar secara perlahan dia mampu mencapai aktualisasi diri dengan baik. Teori belajar humanis ini berusaha memahami perilaku belajar dari sudut pandang pelaku yang belajar, tidak dari sudut pandang pengamatan.

No comments:

Post a Comment