Tafsir surah juzuk amma
1. Al Fatihah
2. Al Nas
3. Al Falaq
4. Al Alaq
5. Al Qadar
6. Al Kafirun
1.
Surah al-Fatihah
Maksud
Ayat:
1)
Dengan nama Allah,
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
2)
Segala puji tertentu
bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
3)
Yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
4)
Yang Menguasai
pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
5)
Engkaulah sahaja (Ya
Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan.
6)
Tunjukilah Kami jalan
Yang lurus.
7)
Iaitu jalan
orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan)
orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang Yang
sesat.
Pengenalan Surah:
- Ibnu Kathir
menjelaskan, dinamakan surah al-Fatihah kerana kedudukan surah ini
sememangnya teletak di permulaan al-Quran dan pembuka bacaan pada setiap
solat. Di kalangan majoriti ulama, ia dikenali dengan ummul Kitab. Ibnu
Jarir menyatakan orang Arab menyebut “umm” untuk semua perkara yang mempunyai
pendahuluan dan diikuti oleh perkara lain kemudiannya seperti Umm al-Ra’s
sebutan untuk kulit yang menutupi otak (kepala). Mereka menyebut bendera
dan panji tempat berkumpulnya pasukan dengan umm.
- Kota Makkah disebut
“ummul Qura’” kerana kedudukannya lebih awal daripada kota-kota lain. Surah
ini juga dinamakan al-Hamdu, Assyifak, al-ruqyah, al-Waqiah, al-Kafiyah
dan lain-lain lagi nama. Az-Zamakhshari menamakannya surah solat dan
perbendaharaan.
- Berdasarkan
pendapat yang kuat al-Fatihah diturunkan di Makkah, ia terdiri daripada tujuh ayat
sebagaimana menurut kebanyakkan para Qurra’ Kufah dan pendapat sebahagian
sahabat dan Tabi’in. Hal ini tidak ada yang menyangkal. Namun terdapat
kelainan pendapat tentang basmalah, apakah dianggap ayat tersendiri atau
sama sekali tidak dianggap ayat surah al-Fatihah.
- Ibnu Kathir menukilkan
pendapat dengan mengatakan bahwa al-Fatihah terdiri daripada dua puluh
lima perkataan. Hurufnya pula terdiri daripada seratus tiga belas huruf.
Huraian Ayat:
- Memandangkan surah
ini adalah pembuka al-Quran maka di dalam surah ini terkumpul maksud dan
makna al-Quran keseluruhan. Surah ini dimulai dengan menyentuh masalah
akidah “Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan Yang memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam” “Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan
(hari Akhirat).”
- Kemudian disusuli
dengan dengan masalah ibadat “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami
sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan”
- kemudian diikuti
pula dengan sistem kehidupan “Tunjukilah Kami jalan Yang lurus, Iaitu
jalan orang-orang Yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan
(jalan) orang-orang Yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan)
orang-orang Yang sesat.”
- Pada asasnya
al-Quran merupakan dakwah kepada aqidah,kemudian kepada ibadah dan setelah
itu kepada sistem kehidupan. Pengertian ini terbina secara tersusun dalam
surah al-Fatihah.
- Dalam islam aqidah
bukan setakat kepercayaan. Ia mempunyai impak dan hasil yang dapat
dilihat. Apabila anda tahu Allah adalah Rabb yang maha pengasih dan anda
menyedari bahawa kelak akan ada perhitungan, maka itu menuntut anda untuk
berbuat dan memikul tanggungjawab. Sebab itulah surah ini dimulai dengan
pujian terhadap Allah. Kemudian ia kita ke mana harus kita beribadat minta
tolong dan minta petunjuk.
- Surah ini
menegaskan kepada kita Allah adalah tuhan semesta alam dan kita
hamba-hambanya. Asas utama dalam islam ialah mengenal Allah. Sebab itu
surah ini mengenalkan Allah kepada kita di awal di tengah dan di akhir.
Allah tuhan semesta alam, maha pengasih lagi maha penyayang maha penolong
dan pemberi petunjuk.
- Asas ibadah pula
adalah ketulusan ibadah kepada Allah. Jalan terbaik menuju Allah adalah
mencontohi para nabi, siddiqin, shuhada dan orang saleh. Manakala sumber penyimpangan
adalah kecontohan yang buruk.
- Cara ibadah pada
asasnya berbagai-bagai menurut perbezaan agama dan waktu. Semuanya
disasarkan untuk mengingatkan manusia kepada kekuasaan yang maha agung dan
kepada kerajaannya yang maha tinggi. Sasarannya juga untuk membetulkan
akhlak yang terpesong dan membersihkan jiwa manusia.
- Jika tujuannya
tidak berbekas, maka ia bukan ibadah yang dimaksudkan syariat. Contohnya dalam
solat Allah memerintahkan kepada kita agar melakukan solat secara lengkap
dan sempurna. Bukti kekesanan ibadat ialah terhindar perbuatan mungkar
samada zahir atau batin. Hakikat
solat adalah menghadap hati kepada Allah secara khusyuk dan merendah diri
terhadap keagungan Allah.
- Al-Quran sebagai
sebuah kitab suci bukan sahaja menjelaskan tentang akidah dan ibadah semata-mata,
bahkan merangkumi seluruh sistem kehidupan manusia amnya. Surah al-Fatihah
dimulai dengan menyebut yang layak dipuji dan disanjung, disembah dan
menjadi tempat bergantung sekelian makhluk lalu manusia meminta kepada
Allah s.w.t supaya menunjukkan diri masing-masing ke arah jalan yang
lurus. Iaitu, jalan yang telah Allah s.w.t tunjukki jalannya kepada mereka
yang datang dan pergi secara silih berganti sebelum ini dengan mengikuti
kehidupan secara sistematik sehingga mereka berjaya menemui jalan yang
lurus. Sistem ini sebenarnya berlaku secara berkesinambungan dan wajib
diikuti oleh sekalian hambanya yang ingin mencari kebenaran.
Pengajaran Surah
1) Allah s.w.t, mengucapkan ucapan alhamdulillah merupakan pujian yang
disampaikan Allah s.w.t untuk diri-Nya sendiri. Justeru itu, adalah menjadi
kewajipan kepada setiap hamba Allah s.w.t memuji keagungan Allah s.w.t dalam
setiap masa dan keadaan.
2)
Sesungguhnya Allah s.w.t bersifat ar-rahman ke atas
sekalian makhluk ciptaan-Nya dengan memberikan segala nikmat. Sedangkan Allah
s.w.t bersifat ar-rahim ke atas orang-orang yang beriman dan bertakwa.
3)
Allah s.w.t adalah
pemilik segala makhluk. Justeru itu, seluruh makhluk ciptaan-Nya akan
dikembalikan kepada kekuasaan Allah s.w.t pada hari akhirat nanti.
4)
Manusia hendaklah melepaskan diri dari segala sifat-sifat
musyrik dan segera berusaha mengabdi serta berserah diri kepada Allah s.w.t.
5)
Hendaklah sentiasa memohon hidayah dan taufik dari Allah
s.w.t supaya kehidupan di dunia ini sentiasa ditunjukkan jalan yang lurus
dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
6)
Mohonlah keampunan dari Allah s.w.t supaya diri tidak
termasuk dalam kalangan orang-orang yang tidak memiliki ilmu pengetahuan, sesat
serta tidak menemui kebenaran.
2.
Surah al-Nas
Maksud Ayat;
1. Katakanlah: "Aku berlidung kepada Tuhan
(yang memelihara dan menguasai) manusia.
2. Raja manusia.
3. Sembahan manusia.
4. Dari kejahatan (bisikan) syaitan
yang biasa bersembunyi,
5. Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia, dari (golongan) jin
dan manusia.
6. Dari (golongan) jin dan manusia.
Pengenalan Surah
- Surah al-Nas merupakan surah yang
terakhir daripada Al-Quran. Surah
ini merupakan surah yang dikategorikan sebagai surah Makkiyah (diturunkan
sebelum berlakunya hijrah). Surah ini dengan surah sebelumnya diturunkan
oleh Allah SWT untuk mengajar Rasullullah SAW cara-cara berlindung
daripada kejahatan makhluk.
Huraian Ayat:
- Allah s.w.t memulakan surah ini dengan suatu
perintah agar manusia memohon perlindungan daripada-Nya, Tuhan yang memelihara,
membimbing dan menjaga.
- Al-Rabb dalam surah ini membawa maksud yang luas
termasuk yang mengarah, menjaga, membimbing, memelihara dan melindung.
Dengan kefahaman ini, membolehkan manusia merasakan betapa dekatnya diri
dengan Allah s.w.t.
- Sesungguhnya, Allah s.w.t amat mengenali diri
manusia lebih daripada manusia mengenali dirinya sendiri. Sebagai manusia
biasa, mereka hendaklah memiliki rasa takut terhadap kekuasaan-Nya yang tidak
ditabir atau terbatas dengan apa sahaja.
- Sebagai penguasa ke atas sekalian makhluk, manusia
sentiasa diberi harapan oleh Allah s.w.t supaya sentiasa berada dalam
keadaan mendapat rahmat dari-Nya sepanjang masa.
- Allah s.w.t adalah Malik, iaitu penguasa
ke atas seluruh manusia. Dalam kaedah bahasa, sekiranya kalimat malik itu
dibaca secara tidak dipanjangkan bacaan mim (tidak dengan madd,
panjang dua alif menurut ilmu tajwid), bermaksud penguasa atau raja,
pemerintah tertinggi atau sultan. Tetapi kalau malik dibaca dengan
dipanjangkan dua alif pada mim, bermaksud kembali kepada Allah
s.w.t.
- Allah s.w.t adalah Penguasa mutlak
ke atas diri manusia, manusia mesti menurut peraturan yang telah
ditentukan-Nya sebagaimana yang disebut sunnatullah. Semasa dilahirkan ke
dunia, manusia hanya berasal dari setitis mani, begitu pula bila manusia
hendak diwafatkan, manusia pasti mati. Adakalanya manusia merasakan nyawa
ini dia sendiri yang memilikinya. Namun pada hakikatnya, nyawa bukanlah milik
manusia. Justeru itu, jelaslah bahawa Allah s.w.t adalah Malik bagi
manusia keseluruhannya.
- Apabila Allah s.w.t menjelaskan bahawa
seluruh manusia tertakluk di bawah penguasaan-Nya, di sini juga Allah
s.w.t menjelaskan bahawa bukan sahaja manusia secara keseluruhannya yang
berada di bawah naungan-Nya bahkan juga termasuk tuhan-tuhan ciptaan
manusia yang dibanggakan oleh manusia sebenarnya tidak mempunyai apa-apa nilai
bahkan jauh kedudukannya jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah s.w.t.
Justeru itu, apabila manusia mengaku tunduk di bawah satu kuasa, maka
tidak ada kuasa lain lagi yang boleh dijadikan tempat sandaran, memohon
rahmat dan keampunan.
- Hanya Dia Pemelihara dan hanya Dia
Penguasa, maka hanya Dia pulalah yang Tuhan yang wajar disembah dan dipuja
dan kepada Allah s.w.t kembali segala persembahan dan segala pemujaan.
- Seterusnya Allah meletakkan satu
sikap yang ada dalam diri manusia iaitu perasaan was-was yang datang dari
bisikan pengintai-peluang. Biasanya pengintai peluang hanya akan mengambil
kesempatan ke atas mereka yang berlengah. Apabila tiba masanya, makhluk
tersebut akan berpeluang membisik-bisikkan sesuatu ke dalam hati
manusia. Makhluk ini akan masuk ke
dalam dada manusia secara halus sekali, menumpang dalam aliran darah dan darah
pula berpusat ke jantung yang terletak dalam dada. Tanpa disedari, manusia
akan terpengaruh dengan bisikan tersebut.
- Makhluk yang bijak memainkan
peranan dan mencuri peluang tersebut tidak lain adalah terdiri darpada
kalangan jin dan manusia sendiri. Qatadah menjelaskan; "kedua-duanya
ada syaitan, di kalangan jin ada syaitan-syaitan, di kalangan manusia pun
ada syaitan-syaitan."
- Tafsir dari Ustazul Imam
Syaikh Muhammad Abduh lebih menjelaskan, "yang membisikkan perasaan
(was-was) ke dalam hati manusia itu adalah yang disebut jin, iaitu makhluk
yang tidak dapat dilihat dan diketahui tetapi pengaruhnya meresap ke dalam
hati. Di samping itu, sejenis makhluk lagi ialah perayu yang kasar
sifatnya, iaitu dari kalangan manusia yang mengajak dan menganjurkan kepada
jalan yang salah."
- Imam Ghazali di dalam
kitabnya "Ihya' Ulumiddin" mengingatkan manusia supaya di dalam melakukan
sembahyang jangan sampai Khannas memasukkan pengaruhnya ke dalam
dada manusia.
- Begitulah kelebihan surah ini dalam menceritakan
kedudukan syaitan iaitu musuh manusia yang pada asalnya adalah lemah.
Bagaimanapun, sebenarnya syaitan adalah lebih kuat dan mampu merobek
hati-hati manusia yang berusaha mengenal “Rabb”nya. Hakikatnya, syaitan
tidak mampu berbuat kerosakan, melainkan hanya mampu membisikkan kalimah-kalimah
busuk serta melemparkan hasutan ke dalam hati manusia yang mudah alpa. Manusia sememangnya
mudah terpengaruh lalu melakukan kerosakan dengan tangan mereka
masing-masing.
- Syaitan adalah makhluk yang bijak mencuri peluang,
makhluk ini akan muncul dalam hati mereka yang goyah serta tidak teguh
imannya, merasa lazat dengan perlakuan maksiat berterusan serta tidak
yakin akan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t sebagai penguasa ke atas hari
pengadilan. Iaitu, suatu masa yang tidak ada seorangpun yang dapat
membantu mereka lagi kecuali amal ibadah sebagai bekalan. Hanya mereka
yang teguh hati, mantap keimanan serta tinggi sifat takwanya sahaja yang
mampu menghadapi godaan syaitan.
- Seterusnya, Allah s.w.t mengingatkan manusia dalam
surah ini bahawa terdapat juga di kalangan syaitan dalam kalangan manusia.
Antara karakteristik manusia tersebut ialah manusia yang suka melakukan kezaliman
terhadap orang lain, pengumpat dan pemfitnah yang tidak pernah kenyang
memamah daging saudara sendiri serta mereka yang tenggelam dalam nafsu mereka
masing-masing.
Pengajaran Surah
1)
Allah s.w.t
mengingatkan hambaNya supaya mencari perlindungan semata-mata kepada Allah
s.w.t daripada kejahatan makhluk.
2) Manusia
sememangnya mudah terpengaruh lalu melakukan kerosakan dengan tangan mereka
masing-masing. Syaitan adalah makhluk yang bijak mencuri peluang, makhluk ini
akan muncul dalam hati mereka yang goyah serta tidak teguh imannya, merasa
lazat dengan perlakuan maksiat berterusan serta tidak yakin akan keagungan dan
kekuasaan Allah s.w.t sebagai penguasa ke atas hari pengadilan.
3) Allah
s.w.t adalah Penguasa mutlak ke atas diri manusia, manusia mesti menurut
peraturan yang telah ditentukan-Nya sebagaimana yang disebut sunnatullah.
4) Apabila
manusia mengaku tunduk di bawah satu kuasa, maka tidak ada kuasa lain lagi yang
boleh dijadikan tempat sandaran, memohon rahmat dan keampunan
5) Syaitan adalah
makhluk yang bijak mencuri peluang, makhluk ini akan muncul dalam hati mereka
yang goyah serta tidak teguh imannya, merasa lazat dengan perlakuan maksiat
berterusan serta tidak yakin akan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t
3.
Surah al-Falaq
É
Maksud Ayat
1)
Katakanlah: "Aku
berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh,
2)
Dari kejahatan
makhluk-Nya,
3)
Dan dari kejahatan
malam apabila Telah gelap gelita,
4)
Dan dari kejahatan
wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul*
5)
Dan dari kejahatan
pendengki bila ia dengki."
*Digunakan
oleh tukang-tukang sihir untuk melakukan sihirnya, mereka membuat buhul-buhul
daripada tali lalu membaca jampi-jampi dan menghembuskannya ke arah buhul
tersebut.
Pengenalan Surah
- Surah ini merupakan surah kedua terakhir
yang diturunkan di Mekah.
- Surah al-Falaq dari ayat 1 hingga 5
menceritakan tentang kewajipan mencari perlindungan kepada Allah s.w.t
dari sebarang kejahatan.
- Pada zaman Rasulullah s.a.w terdapat
seorang Arab Yahudi yang bernama Lubaid bin A’shan, beliau adalah seorang
munafik. Lubaid bin A’shan telah mengenakan ilmu sihir kepada Nabi
Muhammad s.a.w. dengan cara mengambil rambut Rasulullah s.a.w lalu membuat
sebelas simpulan ikatan. Simpulan itu diletakkan di bawah sebuah batu
berhampiran sebuah perigi yang bernama Zarwan.
- Akibatnya, Nabi Muhammad s.a.w mengalami
satu keadaan luar biasa iaitu baginda ditimpa penyakit was-was terhadap
sesuatu perkara yang dilakukannya sehingga baginda menjadi keliru antara
perkara yang sudah atau belum dilakukannya.
- Walaupun sifat was-was tersebut tidak
sampai mempengaruhi sifat kenabian baginda, namun gangguan dari sihir
tersebut sedikit sebanyak mengganggu kehidupan baginda. Dalam keadaan
tersebut, malaikat Jibril turun menghadap baginda s.a.w dan memberitahu
perkara sebenar dan selepas itu, Jibril menyampaikan kepada baginda dua
surah iaitu surah al-Falaq dan surah al-Nas.
- Nabi Muhammad s.a.w bersama para sahabat pergi ke perigi tersebut dan mengalihkan simpulan rambut tersebut. Setiap kali surah ini dibaca, simpulan itu terurai dengan sendirinya dan ketika simpulan ke sebelas terurai, baginda merasakan terbebas dari pengaruh ilmu hitam tersebut.(Ruj: Tafsir Ibn Kathir&Ma’rif al-Qur’an)
Huraian Ayat:
- Allah s.w.t memerintahkan seluruh umat
Islam supaya mencari perlindungan
semata-mata hanya kepada Allah s.w.t daripada sebarang unsur yang
menakutkan manusia sama ada yang nyata atau yang ghaib. Allah s.w.t
sentiasa memberi ruang yang seluas-luasnya terhadap hamba kerana Dia
sahaja yang Maha Mengetahui tentang sifat-sifat lemah yang ada pada
hambaNya sedangkan musuh-musuh mereka sangat ramai disekelilingnya.
- Menyedari keadaan tersebut, Allah s.w.t
telah memulai ayat ini dengan mengatakan “Katakanlah’ aku berlindung
kepada Tuhan yang menguasai subuh dari kejahatan makhluk. Uqbah bin Amir r.a mengatakan Rasulullah
s.a.w bersabda; “Tahukah kamu ayat-ayat yang diturunkan pada malam tadi
adalah ayat yang tiada tandingan dengannya iaitu “Qul A’uzubirabbil….
Banyak hadis-hadis yang menerangkan tentang kelebihan surah ini
sebagaimana yang diriwayatkan oleh Malik, Muslim, Tarmizi, Abu Daud dan
al-Nasa’ (Rujuk Sahih Muslim).
- Dalam kitab-kitab tafsir yang dirujuk,
perkataan al-Falaq membawa maksud waktu subuh. Ini merujuk kepada
munculnya sesuatu pada waktu subuh seperti tumbuhan-tumbuhan dan bijian (al-An’am:95).
Begitu juga dengan munculnya matahari (al-An’am:96)
- Dalam ayat berikutnya, Allah s.w.t
menjelaskan ada di antara makhluk ciptaanNya yang mempunyai sifat-sifat
kejahatan serta saling berhubung antara satu sama lain dalam pelbagai
keadaan. Oleh itu, Allah s.w.t memerintahkan kepada hambanya supaya
sentiasa berwaspada terhadap tipu daya mereka kerana musuh-musuh ini akan
datang kepada manusia tanpa diduga dalam apa juga keadaan dan suasana.
- Seterusnya Allah s.w.t menjelaskan
tentang aktiviti manusia pada waktu malam, perkataan “al-ghasiq” menurut
bahasa bermaksud tumpah dan mengalir dengan laju. Sementara “waqab”
bermaksud gunung yang mengalirkan air. Keadaan ini bagi menjelaskan maksud
waktu malam yang mempunyai situasi yang pelbagai.
- Sesuai dengan naluri manusia, apabila
datang waktu malam yang gelap gelita maka timbullah rasa takut dalam hati
manusia. Ini kerana pada waktu itu ada di antara benda-benda tersembunyi
yang tidak diketahui seperti haiwan ganas, manusia jahat, bisikan-bisikan,
perasaan sedih dalam diri juga akan datang pada waktu malam. Pada waktu
malam juga nafsu shahwat manusia akan bangkit akibat kedinginan dan ketika
itulah masa yang paling kondusif bagi para syaitan memainkan peranan untuk
meracuni pemikiran dan menghembuskan bisikan kejahatan dalam diri manusia.
- Dalam ayat seterusnya Allah s.w.t
menjelaskan tentang kejahatan wanita-wanita tukang sihir. Tukang sihir
akan menggunakan ilmu sihirnya untuk mempengaruhi inderawi, jiwa dan
perasaan manusia, di antara mereka ada yang menggunakan tali, benang dan
sapu tangan dengan membaca mentera dan jampi-jampian lalu memintal tali
tersebut untuk ditujukan kepada seseorang yang ingin disihirnya.
- Hakikatnya, sihir yang dilakukan oleh
manusia itu sebenarnya tidak mampu mengubah hakikat sesuatu tetapi ia akan
menjadikan manusia khayal, imaginasinya mengikut kehendak perasaan
sebagaimana yang dikehendaki oleh tukang sihir tersebut. Keadaan perilaku
tukang sihir ini dijelaskan oleh Allah s.w.t sebagaimana yang berlaku
terhadap Nabi Allah Musa a.s dengan tukang sihir Firaun. (Rujuk: Tafsir
Surah Taha : 66-69)
- Kisah tukang sihir ini, sebagaimana yang
diceritakan dalam asbab al-nuzul di atas berkaitan dengan Lubaid bin
A’shan yang melakukan sihir terhadap nabi Muhammad s.a.w selama beberapa
hari dan setengah riwayat menyatakan sebulan. Di sebabkan peristiwa
tersebut, maka Allah s.w.t telah menurunkan ayat al-Falaq dan al-Nas bagi
melepaskan diri baginda dari pengaruh sihir.
- Walaupun dalam perkara ini dilihat satu
perkara yang bertentangan dengan perinsip “ishmah nubuwwah” (maksum)
kerana setiap tindakan nabi Muhammad s.a.w adalah gerak wahyu dari Allah
s.w.t, namun terdapat beberapa riwayat sahih menceritakan keadaan
tersebut. Apa yang dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada setiap
individu muslim dari peristiwa tersebut sangat besar faedahnya kepada
mereka. Ini kerana, peristiwa tersebut dapat dijadikan iktibar tentang
adanya makhluk Allah s.w.t yang berperilaku jahat serta mencari kesempatan
memusnahkan kehidupan orang lain serta pentingnya mencari perlindungan
dari Allah s.w.t sepanjang masa dari kejahatan tersebut.
- Selanjutnya, dalam ayat terakhir surah
al-Falaq ini Allah s.w.t menjelaskan satu lagi sifat buruk manusia
sehingga ada di antara mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi menjatuh
dan memburuk-burukkan orang lain. Sifat itu ialah hasad dengki, iaitu
suatu sikap yang ada dalam diri manusia yang merasa tidak suka dengan nikmat
yang telah Allah s.w.t berikan kepada orang lain.
- Hasad dengki adalah akhlak
yang tercela, ia bukan sahaja dimiliki oleh mereka yang tidak mempunyai
ilmu bahkan sifat ini juga ada dalam diri orang-orang yang berpelajaran
tinggi, para pekerja bawahan, peniaga, penjawat awam sehingga menjangkiti
sesetengah golongan intelek. Sedangkan sepatutunya golongan inilah yang
paling utama perlu menjauhi sifat-sifat tersebut.
- Disinilah letaknya peringatan Allah s.w.t kepada
makhluknya, di samping manusia disaran menjaga diri daripada hasutan
syaitan, kejahatan daripada amalan sihir yang dilakukan semata-mata untuk
merosakkan kehidupan orang lain bahkan juga Allah s.w.t memberi ingatan
kepada manusia terhadap kejahatan sifat dengki dan irihati terhadap
manusia lain sehingga dengan sifat dengki tersebut akan melahirkan
pelbagai natijah negatif serta implikasi yang sangat besar terhadap diri
sendiri dan kehidupan orang lain.
- Surah al-Falaq ini
sebagaimana yang dinyatakan di atas mempunyai banyak kelebihan, di samping
menjadi peringatan kepada manusia tentang kemungkinan berlakunya amalan
sihir yang dilakukan oleh individu terhadap individu yang lain, surah ini
juga boleh dijadikan amalan bagi setiap individu.
- Imam Bukhari meriwayatkan
dengan isnadnya dari Aisyah r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w apabila naik ke
tempat tidur pada setiap malam, beliau menadah kedua-dua belah tapak
tangan kemudian meniup keduanya lalu membaca surah Qul, Qul
`auzubirrabinnaas dan Qul a`u zubirabbilfalaq. Setelah itu, baginda
mengusapkan kedua belah tapak tangan tersebut ke seluruh badan yang dimulai
dari bahgian kepala wajah, dan seterusnya ke bahagian-bahagian badannya
yang lain. Baginda melakukan hal sebanyak
tiga kali.
Pengajaran Ayat:
1) Allah s.w.t memerintahkan seluruh umat Islam supaya
mencari perlindungan semata-mata hanya kepada Allah s.w.t daripada sebarang
unsur kejahatan sama ada yang nyata atau yang ghaib.
2)
Waktu malam adalah
masa yang sangat kondusif bagi nafsu, kejahatan, aktiviti tidak sihat serta
godaan syaitan untuk meracuni dan menggoda manusia.
3)
Sihir adalah amalan
tercela yang dilakukan untuk mengalihkan perhatian dan seterusnya memusnahkan
karier seseorang.
4)
Peristiwa sihir ke
atas baginda s.a.w dapat dijadikan iktibar tentang adanya makhluk Allah s.w.t
yang berperilaku jahat serta mencari kesempatan memusnahkan kehidupan orang
lain serta pentingnya mencari perlindungan dari Allah s.w.t sepanjang masa dari
kejahatan tersebut.
5)
Hasad dengki ialah
sifat mazmumah yang ada dalam diri manusia yang merasa tidak
senang dengan nikmat yang telah Allah s.w.t berikan kepada orang lain lalu berusaha
menyainginya dengan cara negatif.
Surah Al-Alaq
1)
Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang
menciptakan (sekalian makhluk)
2)
Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku
3)
Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah
4)
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan
5)
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
6)
Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas
(yang sepatutnya atau yang sewajibnya),
7)
Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang
dihajatinya.
8)
(Ingatlah) Sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali
(untuk menerima balasan).
9)
Adakah Engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan
menghalang)
10)
Seorang hamba Allah apabila ia mengerjakan sembahyang?
11)
Adakah Engkau nampak (buruknya) jika ia berada di atas jalan
yang betul?
12)
Atau ia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)?
13)
Adakah Engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika ia
mendustakan (Apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadaNya) serta ia
berpaling ingkar?
14)
Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala
amal perbuatannya dan membalasnya)?
15)
Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi Sesungguhnya jika dia
tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap
ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke Dalam neraka),
16)
Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.
17)
Kemudian biarlah dia memanggil kumpulannya (untuk
menyelamatkannya),
18)
Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk
menyeksanya)!
19)
Ingatlah! janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menurut
kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah
(dengan taat dan beramal soleh)!
Nama Surah
- Surah
ini dinamakan surah Al-Alaq, Surah Iqra`, atau Al-Qalam kerana Allah SWT
memulakan surah tersebut dengan firmannya (bermaksud) : ”Bacalah dengan
(menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan , Dia telah menciptakan manusia
dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah.” (Al-Alaq ,96:1-3). Al-alaq
bererti seketul darah beku dalam bentuk haiwan yang kecil.
Kandungan surah
Merupakan surah Makiyyah dan surah yang
pertama sekali yang turun kepada baginda. Ia menjelaskan 3 perkara penting :
1)
Menyatakan tentang hikmah kejadian manusia yang dijadikan
oleh Allah SWT bermula dari lemah hingga kuat. Ia juga menjelaskan tentang
kepentingan membaca dan menulis untuk membezakan manusia dengan makhluk yang
lain.
2)
Menerangkan sifat melampau manusia yang menentang segala
perintah Allah SWT. Manusia selalu
bersikap angkuh dengan nikmat Allah SWT.
3)
Mendedahkan sifat jahat Abu Jahal yang menghalang baginda
menunaikan ibadah solat. Allah juga menjanjikan janji buruk kepadanya jika dia
berterusan dalam kesesatan malah memberi peringatan kepada baginda agar tidak
menghiraukan segala ugutan Abu Jahal.
Cara Penurunan Surah
- Bahagian
pertama surah ini turun di peringkat awal penurunan Al-Quran, sementara
baki ayat ini turun agak lewat iaitu selepas dakwah mula berkembang dan
penentangan Quraish terhadap dakwah semakin meningkat.
Sebab Turun ayat 6
- Firman
Allah yang bermaksud “Ketahuilah! sesungguhnya manusia benar-benar
melampaui batas”, Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Muslim ,al Nasai, ibn
al Munzir dan beberapa ulama’ yang lain daripada Abu Hurairah bahawa Abu
Jahal pernah mengancam dan berkata kepada kaumnya. “ Adakah Muhammad turut
melakukan sembahyang bersama kamu?”. Kaumnya menjawab . “Ya”.Lalu Abu
Jahal berkata “ Demi Tuhan al-Lata dan al Uzza, jika aku melihat Muhammad
sembahyang aku akan memijak lehernya dan aku akan melumatkan wajahnya di
tanah. Tidak lama selepas itu, Abu Jahal melihat nabi solat. Namun anehnya
dia tidak menghampiri Rasullulah. Sebaliknya ia berundur dan beredar. Maka
orang ramai berkata kepadanya. “Mengapa engkau tidak bertindak wahai
Al-Hakam?”. Jawab beliau “
Sesungguhnya di antara aku dan Muhammad ada parit api yang amat dahsyat
dan menakutkan.
Sebab Turun ayat 17
- Firman
Allah yang bermaksud “Maka biarlah dia memanggil para penyokongnya (untuk menolongnya)”. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al
Tarmizi, al Nasai dan Ibn Jarir daripada Ibn Abbas beliau berkata bahawa
ketika Rasulullah sedang solat, tiba-tiba datang Abu Jahal, lalu berkata
“Tidakkah aku melarang kamu dari mengerjakan amalan ini? Maka Rasulullah
mengherdik perbuatan Abu Jahal tersebut. Abu Jahal lantas berkata : “Hai
bukankah engkau tahu bahawa Mekah ini tidak ada orang lain yang lebih
ramai pengikut dan penyokong daripada aku.” Lantas Allah SWT menurunkan
ayat ini.
Tafsir dan Ulasan (ayat 1-8)
- Firman
Allah : “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan”. Dalam
konteks ini, Allah SWT menyatakan kepada kita bahawa diriNya sebagai Pencipta untuk mengingatkan
manusia nikmatNya yang paling utama. Maksud ayat ini ialah Allah memerintahkan
baginda agar menjadi seorang pembaca dengan kudrat dan iradat Allah yang
menciptanya.
- Dapat
diperhatikan bahawa Allah SWT mendedahkan tentang penciptaan makhluk
secara umum. Kemudian Allah menyebut tentang kejadian manusia kerana
kehebatan penciptaan fitrah manusia itu sendiri.
- Secara
ringkasnya, Allah SWT tidak menggunakan lafz al-jalalah dalam permulaan
ayat ini, sebaliknya menggunakan perkataan Rabb kerana lafaz Rabb
terdapat penegasan tentang hakikat
bahawa Allah telah mencipta Baginda dan menjaga kepentingan Baginda.
- Allah
mengulangi perkataan (اقرأ) dengan
tujuan untuk menekankan kesungguhan membaca kerana membaca tidak akan
dikuasai kecuali dengan kesungguhan mengulang dan latih tubi.
- Kemudian
ayat seterusnya Allah menghubungkaitkan dengan menulis. Firman Allah yang
bermaksud “Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam”. (ayat
4). Maksudnya Allah yang mengajar manusia menulis dengan pena dan
menunjukkan kepentingan penulisan dalam kehidupan manusia dan dalam
perkembangan ilmu pengetahuan.
- Seterusnya,
Allah menjelaskan tentang kelebihan dan nikmat yang telah dikurniakannya
melalui firman Allah yang bermaksud “ Dia mengajarkan manusia apa yang
tidak diketahuinya” (ayat 5). Maksudnya dengan pena Allah mengajar
manusia banyak perkara yang tidak diketahui oleh manusia.
- Kemudian,
Allah mengancam manusia yang melampau batas dalam kekayaannya. Firman
Allah yang bermaksud “Ketahuilah! sesungguhnya manusia benar-benar
melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup “(ayat 6).
- Allah
memberi peringatan tentang balasan hari akhirat. Firman Allah yang bermaksud “Sesunggunhya
hanya kepada Tuhan kamu (akan) kembali “(ayat 8).
Tafsir dan Ulasan (ayat 9-19)
- Firman
Allah yang bermaksud “Apa pendapatmu tentang orang yang melarang hamba
(Allah) mengerjakan solat ?” (ayat 9-10). Maksud umum dari ayat
tersebut ialah alangkah jahilnya orang yang melarang hamba Allah yang kuat
beribadah. Perbuatan ini amat tidak
waras .
- Kemudian,
firman Allah yang bermaksud “ Bagaimana pendapatmu jika orang yang
dilarang (iaitu Rasulullah ) itu berada
di atas kebenaran, atau dia menyuruh (orang) bertakwa kepada
Allah?” (ayat 11-12). Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ayat ini
ditujukan kepada Rasulullah untuk menjadikan ayat sebelumnya selaras.
- Firman
Allah yang bermaksud “ Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang
itu medustakan dan berpaling?” (ayat 13). Para ulama; berkata bahawa
ayat ini walaupun diturunkan terhadap Abu Jahal, namun begitu ia juga
mengenai sesiapa sahaja yang melarang seseorang dari mentaati Allah.
- Kemudian,firman
Allah yang bermaksud “ Sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh
kepadanya , dan (sebaliknya) sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada
Tuhan).” (ayat 19). Maksudnya, berhati-hati wahai Muhammad dari
bermuka-muka dengan si taghut ini, jangan taat kepadanya ketika dia
menegah kamu bersembahyang. Kalimah
kalla terdapat ugutan kepada
Abu Jahal supaya berhenti dari perangai buruknya.
Pengajaran ayat (1-8)
1)
Menjelaskan tentang kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan
makhluk, al khaliq. Ayat ini juga mengingatkan tentang asal kejadian
manusia dari alaq seketul darah beku dan lembut. Ayat ini juga adalah
ayat yang pertama turun daripada Allah kepada baginda.
2)
Allah SWT memerintahkan rasulNya supaya membaca Al-Quran
dengan menyebut nama Tuhannya yang telah menciptakan dan yang telah mengajar
manusia dalam perkara yang tidak diketahui oleh mereka.
3)
Allah SWT juga memerintahkan baginda membaca dan menulis
kerana keduanya adalah alat untuk mengenal ilmu agama, wahyu, dan asas untuk
kemajuan ilmu pengetahuan dan perkembangan tamadun manusia.
4)
Ayat ini menunjukkan sifat Allah yang Pemurah kepada manusia
dengan Allah SWT telah mengajar manusia dengan ilmu yang belum pernah
dipelajarinya.
5)
Allah SWT juga mendedahkan tentang sifat buruk manusia iaitu
terlalu gembira, angkuh dan melampau batas apabila melihat menjadi kaya.Maka
Allah mengancam sikap mereka dengan mengingatkan mereka bahawa kesemua harta
yang mereka miliki pasti akan dihitung semula akan kegunaannya.
6)
Pada peringkat awal surah ini adalah memuji ilmu. Manakala
penghujungnya pula mencela harta dunia. Maka manusia diharapkan agar berpegang
teguh dengan agama dan menjauhkan dari bencana dunia dan harta.
Pengajaran ayat (9-19)
1)
Allah SWT menggambarkan tentang Abu Jahal dan sekutunya
adalah dari kalangan manusia taghut yang liar dan sombong. Mereka melarang baginda beribadat kepada
Allah SWT tetapi menyuruh baginda menyembah berhala. Sesunggunhya Abu Jahal dan
kumpulannya adalah golongan yang mendustakan Al-Quran.
2)
Allah SWT juga mengugut Abu Jahal dengan hari Mahsyar dan
kebangkitan. Walaupun ayat ini diturunkan
kepada Abu Jahal, namun ia ditujukan juga kepada sesiapa sahaja yang menghalang
orang lain dari mentaati Allah SWT. Mereka ini akan tergolong dalam kumpulan
yang sama dengan Abu Jahal dalam menerima azab Allah.
3)
Allah SWT mengukuhkan ancaman dan janji buruknya kepada Abu
Jahal dan orang sepertinya, jika mereka tidak menghentikan sikap buruknya
terhadap baginda, Allah akan memerintahkan malaikat merentap ubun-ubunnya dan
mengheretnya ke dalam api neraka.
4)
Allah SWT juga mencabar Abu Jahal di samping mencelanya
dengan sinis kerana beliau beria-ia untuk mendapatkan bantuan dan sokongan dan
para penyokong dan ahli keluarganya. Namun jika dia melakukannya, maka Allah
SWT berkuasa untuk menghantar malaikat Zabaniyyah yang keras untuk melontar Abu
Jahal serta kuncu-kuncunya ke dalam neraka.
5)
Allah SWT juga menempelak keras sikap takabbur Abu Jahal
iaitu menafikan sama sekali kemampuan dan keupayaan untuk melaksanakan
ancamannya terhadap baginda. Allah SWT juga membayangkan arahan ibadah solat
kepada baginda melalui firmannya (واسجد). Ini kerana sujud dengan meletakkan
dahi di lantai adalah kemuncak ubudiyyah sikap merendahkan diri kepada Allah.
Surah Al-Qadr
1)
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam
Lailatul-Qadar,
2)
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran
malam Lailatul-Qadar itu?
3)
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
4)
Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan
mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun
yang berikut)
5)
Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Nama Surah
- Surah
ini dinamakan surah Al-Qadr kerana ia membicarakan tentang kebesaran dan
kemuliaan malam Al-Qadr. Pada malam tersebut, Allah SWT turunkan Al-Quran.
Firman Allah SWT (bermaksud): “sesungguhnya Kami yang menurunkan
(Al-Quran) pada malam kemuliaan (Al-Qadr).” (Al-Qadr, 97:1). Ia bermaksud
pada malam yang penuh dengan kebesaran dan kemuliaan.
Kandungan Surah
- Surah
Makkiyah ini menjelaskan sejarah permulaan turunnya Al-Quran. Surah ini
juga menyatakan kelebihan malam Al-Qadr berbanding malam-malam dan
bulan-bulan yang lain. Para malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut
membawa cahaya, fadhilat, keberkatan dan kebajikan terhadap hamba-hamba
Allah yang mukmin lagi soleh. Turunnya semua itu daripada Allah SWT tuhan
yang Maha Pemurah untuk diagih-agihkan kepada siapa yang Dia mahu.
Pengertian Nuzul Al-Quran pada malam Al-Qadr
- Al-Quran
diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun dimana penurunnya
bermula pada malam Al-Qadr. Manakala perutusan Rasullulah S.A.W juga
berlaku pada bulan Ramadhan. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman di dalam
surah ini (bermaksud): “sesungguhnya Kami yang menurunkan (Al-Quran) pada
malam kemuliaan (Al-Qadr)” (Al-Qadr. 97:1).
- Di
dalam surah Al-Baqarah, Allah berfirman (bermaksud) : “(beberapa hari yang
ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan
(permulaan) Al-Quran…(Al-Baqarah, 2: 185). Ini menunjukkan bahawa Al-Quran
mula diturunkan pada bulan Ramadhan Al-Mubarak.
Sebab Turun Ayat 1
- Diriwayatkan
oleh al-Imam al-Tarmizi, al-Hakim, Ibn Jarir daripada al-Hassan Ibn Ali
bahawa al-Qadr adalah lebih baik dari seribu bulan. Turunnya surah ini
adalah disebabkan buruknya pemerintahan Bani Umayyah yang berlarutan
selama seribu bulan. Namun begitu, kedudukan hadith ini adalah gharib
dan ditolak.
- Abu
Hathim, al-Wahidi dari Mujahid meriwayatkan bahawa Rasullulah S.A.W
menceritakan kisah seorang laki-laki dari Bani Israil yang memakai senjata
dan berjuang di jalan Allah selama seribu bulan, lalu orang Islam terpegun
dengan cerita tersebut. Maka Allah SWT menurunkan ayat (bermaksud): “sesungguhnya
Kami yang menurunkan (Al-Quran) pada malam kemuliaan (al-Qadr). Dan
tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan (al-Qadr) itu
lebih baik dari seribu bulan.”(al-Qadr,97:1-3), yakni dari bulan-bulan
perjuangan lelaki Bani Israil tersebut.
Sebab Turun Ayat 3
- Diriwayatkan
dari Ibn Jarir dari Mujahid, beliau berkata bahawa pada suatu masa dahulu
terdapat seorang lelaki dari kalangan Bani Israil yang bangun beribadat di
malam hari sehingga ke fajar, kemudian berjihad menentang musuh di siang
hari hingga ke petang, dia telah melakukan amalan tersebut selama seribu
bulan. Maka Allah SWT pun menurunkan ayat (bermaksud) “Malam kemuliaan
(al-Qadr) itu lebih baik dari seribu bulan,” (al-Qadr, 97: 3) yakni
dari bulan amal lelaki Israil tersebut.
Tafsir dan Ulasan
- Firman
Allah SWT (bermaksud):“Sesungguhnya Kami yang menurunkan (al-Quran)
pada malam kemuliaan (al-Qadr).” Iaitu satu malam yang penuh
keberkatan. Ayat ini sejajar dengan firman Allah SWT (bermaksud):“Sesungguhnya
Kami menurunkan al-Quran pada satu malam yang diberkati”. (al-Dukhan, 44:3), iaitu diturunkan pada
bulan Ramadhan, ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: “Bulan Ramadhan,
bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran…”(al-Baqarah, 2:
185). Kemudian Allah telah sempurnakan penurunan dan keadaan tertentu,
semuanya sebagai menjelaskan hukum-hakam Allah SWT. Al-Zamakhshari
berkata: Allah SWT telah mengagungkan al-Quran dengan tiga cara:
ü Pertama : Disandarkan penurunan al-Quran kepada diriNya dan dijadikan kitab Al-Quran
sebagai kitab khusus kepunyaanNya.
ü Kedua : Dia diungkapkan disini dengan hanya menyebutkan ganti
nama (dhamir) bukan dengan nama zahirnya. Ini sebagai bukti betapa hebatnya
Al-Quran sehingga tidak perlu pengenalan tentangnya.
ü Ketiga : Allah mengangkat dan mengagungkan masa atau tempoh awal
penurunan al-Quran itu.
- Kemudian Allah SWT menjelaskan mengenai
kelebihan malam al-Qadr: “Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?
Malam kemuliaan (Al-Qadr) itu lebih baik dari seribu bulan.” (al-Qadr, 92:
1-3). Soalan ini adalah bertujuan untuk menyatakan betapa besar dan
mulianya malam al-Qadr.
- Dinamakan sebagai al-Qadr ialah kerana
Allah SWT telah menetapkan pada malam tersebut apa yang dikehendakiNya
sehingga ke tahun yang akan datang atau mungkin juga disebabkan oleh
keagungan dan kemuliaan malam tersebut.
- Al-Zamakhshari berkata: “Malam al-Qadr
bererti malam penetapan dan penentuan segala perkara dan perjalanannya.
Ini berasaskan kepada firman Allah SWT (bermaksud):” Pada malam itu
ditentukan segala urusan dengan penuh hikmah.” (al-Dukhan, 44:4).
Antara
ketentuan yang memuliakan malam itu ialah bahawa beramal pada malam
tersebut adalah lebih baik dari beramal selama seribu bulan.
- Disebut
satu hadith dalam sahih Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah bahawa
Rasullulah S.A.W bersabda:
"من قام ليلة القدر
إيمانا واحتسابا، غفرله ما تقدم من ذنبه"
Maksudnya : “Barangsiapa yang mendirikan solat (qiam
al-layl) pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan kesungguhan, maka akan
diampunkan dosa yang telah dilakukannya”.
·
“Pada malam itu turun malaikat-malaikat
dan malaikat Jibril turun dari langit untuk mengatur segala urusan.” (al-Qadr,
97: 4). Para malaikat dan Jibril turun dari langit ke Bumi menurut perintah dan
segala ketentuan yang telah ditentukan pada malam al-Qadr. Rasullulah S.A.W
bersabda (maksudnya):
" إن الله
يقدر في ليلة البراءة، فإذا كان ليلة القدر يسلمها إلى أربابها"
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menentukan satu
ketentuan yang khusus pada malam al-Bara’ah (malam melupuskan). Apabila tiba
malam al-Qadr maka Allah sampaikan ketentuan khusus itu kepada malaikat
pelaksananya.”
·
“Malam itu (penuh) kesejahteraan
sampai terbit fajar.” (al-Qadr, 97: 5). Ini adalah malam yang diliputi
dengan segala kebaikan disebabkan turunnya al-Quran dan para malaikat sebagai
saksi. Malam ini malam yang serba selamat, aman, baik dan berkat. Tidak ada
sebarang keburukan; bermula dari gelincir matahari sehinggalah terbit fajar.
Pada malam tersebut akan diturunkan kebaikan dan keberkatan tidak putus-putus, malaikat
rahmat turun secara berkumpulan sehingga fajar menyingsing.
Pedoman Hidup dan Hukum-Hakam
1)
Penurunan al-Quran bermula pada malam
al-Qadr iaitu pada bulan Ramadhan al-Mubarak.
2)
Malam al-Qadr adalah malam yang agung,
penuh kemuliaan, malam yang penuh hikmah dan ketentuan dari Allah SWT. Allah
membuat segala ketentuan dari masa ke masa, bermula dari urusan ajal maut,
rezeki dan selainnya.
3)
Beramal dan berbuat kebajikan pada
malam al-Qadr adalah lebih baik dari beramal dalam seribu bulan yang tidak ada
malam al-Qadr, kerana pada malam tersebut Allah SWT menyediakan kebaikan yang
banyak yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.
4)
Para malaikat akan turun dari tujuh
petala langit dan dari Sidrah al-Muntaha, begitu juga malaikat Jibril akan
turun dari tempat tinggal perdananya ke Bumi.
5)
Malam al-Qadr adalah malam kesejahteraan
dan keselamatan, malam kebaikan dan keberkatan dari Allah SWT dalam menjelaskan
perkara ini, terdapat satu riwayat yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad
daripada Ubadah Ibn al-Samit bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:
" ليلة القدر في العشر البوقي، من قامهن ابتغاء حسبتهن، فان
الله يغفر له ما تقدم من ذنبه وما تأخر، وهي ليلة وتر: تسع أو سبع أو خامسة أو
ثالثة أو اخر ليلة"
Maksudnya : “malam al-Qadr berlaku
pada sepuluh malam terakhir. Barangsiapa yang menghayati (dan memakmurkan)
malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan segala dosa
yang telah lalu dan akan datang. Malam al-Qadr berlaku pada malam yang witir :
malam kesembilan, malam ketujuh, malam kelima atau ketiga atau malam terakhir.”
Tanda-Tanda Malam
al-Qadr
- Di
antara tanda-tanda malam al-Qadr ialah munculnya matahari pada waktu
paginya dalam keadaan yang putih dan redup. Abu Daud al-Tayalisi
meriwayatkan daripada Ibn Abbas ra bahawa Rasullulah S.A.W telah bercerita
tentang malam al-Qadr. Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya
aku telah melihat malam al-Qadr tetapi aku lupa masanya. Ia berlaku
(sekitar) sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ia adalah satu malam yang tenang, nyaman,
tidak terlalu panas dan juga tidak terlalu sejuk. Malamnya cerah bagaikan
berbulan. Para syaitan tidak keluar pada malam tersebut sehinggalah cahaya
fajar menyingsing.”
Hikmah di Sebalik Kerahsiaan Malam al-Qadr
- Di
antara rahmat Allah SWT tidak menyatakan secara tepat bilakah berlakunya
malam al-Qadr adalah supaya manusia tidak melakukan maksiat secara sengaja
pada malam tersebut agar mendapat keampunan dari Allah. Bahkan ini adalah
supaya setiap mukallaf akan sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah SWT
bersungguh-sungguh dalam amal ibadah, tidak lupakan Allah dan tidak malas
dalam beribadah.
Kelebihan Malam al-Qadr
- Malam al-Qadr adalah malam yang penuh dengan kebaikan. Allah SWT telah merumuskan kelebihan malam al-Qadr melalui firmanNya yang ringkas (bermaksud): “Malam kemuliaan (al-Qadr) itu lebih baik dari seribu bulan.” (al-Qadr, 97: 3) dan juga firman Allah SWT (bermaksud): “Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril.” (al-Qadr, 97: 4).
Surah al-Kafirun
1)
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir!
2)
"Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.
3)
"Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.
4)
"Dan aku tidak akan beribadat seperti kamu beribadat.
5)
"Dan kamu pula tidak mahu beribadat seperti aku
beribadat.
6)
"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".
Nama surah
- Surah
ini dinamakan al-Kafirun kerana Allah memerintahkan Nabi Muhammad supaya
menegaskan kepada orang-orang kafir bahawa baginda tidak akan menyembah
apa yang mereka sembah seperti patung-patung dan berhala. Nama lain bagi
surah ini adalah al-Munabazah, al-Ikhlas dan al-Muqasyqasyah.
Kandungan surah
- Surah
ini mengisytiharkan pembebasan diri mukmin daripada meniru amalan
orang-orang musyrikin. Ia menyarankan supaya manusia melakukan sesuatu
ikhlas kepada Allah. Ia menggariskan sempadan pemisah antara iman dan
kufur. Ketika orang musyrikin mengesyorkan al-muhadanah (tolak ansur)
daripada Rasullullah agar Nabi Muhammad menyembah tuhan mereka selama
setahun dan mereka menyembah tuhan Nabi Muhammad selama setahun, maka
turunah ayat ini bagi memintas keinginan buruk orang-orang kafir tersebut.
Sebab Turun
- Al-Tabrani
dan Ibn Abi Hatim telah mentakhrijkan hadis daripada Ibn Abbas bahawa
orang-orang Quraisy telah menawarkan kepada Rasullullah untuk memberi
Baginda harta benda sehingga Baginda menjadi orang yang paling kaya di
Mekah. Mereka juga berjanji untuk mengahwinkan Baginda dengan mana-mana
wanita yang diingini dengan syarat tertentu. Mereka berkata, “Wahai
Muhammad, ini adalah untuk engkau dengan syarat engkau berhenti daripada
mencerca tuhan-tuhan kami dan memburuk-burukkannya. Kalau engkau tidak
mahu (pilihan ini), maka sembahlah tuhan-tuhan kami selama setahun.”
Rasullullah menjawab,“tunggulah sehingga aku melihat perintah tuhanku”,
lalu Allah menurunkan ayat 1 surah Al-Kafirun.
- Al-Naisaburi
mengatakan bahawa surah ini diturunkan kepada satu kumpulan orang Quraisy,
di mana mereka berkata, “Wahai Muhammad, sudilah mengikut agama kami dan
kami juga akan mengikut agama engkau. Engkau menyembah tuhan kami selama
setahun dan selepas itu kami akan menyembah tuhan kamu selama setahun.
Sekiranya apa yang engkau bawa adalah lebih baik daripada pegangan kami,
maka kami dapat berkongsi dengan engkau mengenai perkara itu, jika
pegangan (agama) kami adalah lebih baik daripada agama pegangan engkau,
maka perkara itu engkau boleh kongsi dengan kami dan engkau masih boleh
mengambil bahagian kamu.” Rasullullah menjawab, “Aku memohon perlindungan
Allah dari mensyirikkan Allah dengan yang lain. Kemudian Allah menurunkan
ayat 1 Surah al-Kafirun.
Tafsiran ayat
- Ayat
1 dan 2 : Ayat ini
menegaskan supaya Rasullullah mengatakan kepada orang kafir, “ Wahai
orang-orang kafir, aku sama sekali tidak akan menyembah apa yang kamu
sembah samada patung-patung mahupun berhala-berhala. Aku tidak akan
menyembah tuhan kamu bila-bila masa sekalipun.
- Ayat
3 : Ayat ini bermaksud bahawa orang
kafir yang syirik dan kufur tidak
akan menjadi penyembah Allah iaitu tuhan yang disembah oleh Nabi Muhammad
sepertimana yang diminta oleh baginda.
- Ayat
4 dan 5 : Ayat ini
membawa pengertian iaitu aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah
iaitu aku tidak akan mengikutinya dan tidak akan tunduk kepada tuhan
palsu. Sesungguhnya aku (Muhammad s.a.w) hanya menyembah Allah mengikut
cara yang disukai dan diredhai Allah sahaja. Kamu tidak akan tunduk kepada
perintah Allah dan syariatnya bahkan kamu mencipta sesuatu mengikut
kehendak nafsu sahaja. Sedangkan ibadah Rasul s.a.w dan para pengikutnya
ikhlas kepada Allah dan tidak sedikit pun menyekutuinya.
- Di
samping itu, al-Zamakhsyari mentafsirkan ayat tersebut, “Dan aku pada masa
sekarang atau di zaman jahiliyyah dahulu tidak pernah menyembah apa yang
kamu sembah. Lalu bagaimana mungkin kamu mengharapkanaku berbuat demikian
di zaman Islam ini? Dan kamu juga tidak pernah menyembah apa yang aku
sembah.
- Sebahagian
ulama’ berpendapat bahawa di dalam ayat tersebut terdapat beberapa
pengulangan bertujuan untuk memberi pengukuhan dan penegasan iaitu untuk
memberi kata putus yang muktamad mengenai permohonan mereka agar Rasullullah
menyembah tuhan mereka.
- Ayat
6 : Maksudnya, orang kafir tetap
dengan sifat syirik dan kufur mereka manakala aku tetap dengan agamaku
yang berteraskan tauhid dan keikhlasan kepada Allah. Ulama’ berpendapat,
“bahawa agama merupakan pembalasan. Ini memberi pengertian bahawa bagi
kamu terdapat pembalasan di dalam agama kamu. Manakala bagiku terdapat pembalasan di
dalam agama Islam, agama yang aku anuti. Agama juga bermakna ibadah.”
Pengajaran
- Kesemua kekufuran menentang Islam.
- Perbezaan antara Nabi Muhammad atau orang mukmin dengan orang kafir adalah dari sudut tauhid dan keikhlasan ibadah. Orang islam mengabdikan diri dengan ikhlas kepada Allah manakala orang kafir menyembah unsur-unsur yang jelas menunjukkan kesyirikan yang mana dicipta sendiri oleh mereka mengikut hawa nafsu.
- Rujukan
- Dr. Wahbah Zuhaily, Tafsir al-Munir
No comments:
Post a Comment