Di dalam membaca al-Quran terdapat beberapa martabat atau
tingkatan dalam membacanya berdasarkan kecepatan waktu dan tatacara yang
dibenarkan oleh hukum-hukum Tajwid. Dalam hal ini Ulama Qiraat berbeza pendapat
di dalam membahagi-bahagi martabat tersebut. Menurut `Izzah Ubaid Da`aas di
dalam kitabnya "Fannut Tajwid" beliau membahagikan 3 tingkatan di
dalam membaca Al-Quran iaitu : al-Tartil, al-Tadwir dan al-Hadr.
- Al-Tartil:
Adalah tingkatan bacaan yang paling utama. Cara membacanya perlahan-lahan
dengan penuh tawadhu`, tadabbur (menghayati isi kandungan) dengan memelihara
segala hukum-hukum tajwid. Bacaan inilah sepertimana yang dibacakan oleh
Jibril a.s. ke atas Nabi Muhammad s.a.w. Tempoh masa bacaan ini lebih
kurang 40 hingga 50 minit dalam satu Juzu`.
- At-Tadwir: Adalah tingkatan bacaan yang sederhana dengan erti tidak terlalu cepat dan juga tidak sangat lambat, melainkan membacanya dengan kira-kira batas waktu 20 hingga 40 minit dalam satu Juz`. Bacaan seperti ini adalah sebagaimana bacaannya yang dilakukan oleh Ibnu Amir dan huffaz di dalam mentakrir mengulang-ulang bacaan. Tingkatan bacaan ini juga sentiasa memelihara hukum-hukum tajwid sebagaimana yang telah ditentukan
- Al-Hadr: Adalah tingkatan bacaan yang paling laju tetapi tetap memelihara aturan-aturan hukum tajwid. Pada umumnya bacaan ini memakan masa 10 hingga 30 minit untuk satu Juz`. Tingkatan seperti ini sebagaimana bacaan yang dilakukan oleh Ibnu Khatir dan Abi Amru. Dengan cara inilah dikisahkan bahawa Imam al-Syafi`i, setiap malam Ramadhan solat Tarawih dengan mengkhatamkan al-Quran sekali dalam satu malam. Jadi Beliau telah menunaikan solat Tarawih selama 5 jam atau 6 jam dan Beliau boleh mengkhatamkan Al-Quran.
No comments:
Post a Comment