Monday, 12 May 2014

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA HINGGA KINI

Zaman Kerajaan Melayu Melaka
           
            Kedatangan Islam ke Alam Melayu berlaku di sekitar  tahun 630 Masehi, iaitu di Zaman hayat Rasulullah SAW atau dipertengahan abad  ke 7 Masehi yang dibawa oleh saudagar-saudagar Arab dengan alasan bahawa hubungan perdagangan antara saudagar-saudagar Arab dengan Nusantara telah pun berlaku sebelum daripada itu.  Dengan semangat dakwah Islamiah yang membara dan memikul tanggungjawab sebagai umat Islam, saudagar-saudagar tersebut tidak ketinggalan  memperkenalkan  Islam di rantau ini.  Jika ditinjau sejarah kedatangan Islam ke Nusantara amnya dan ke Tanah Melayu khususnya ahli sejarah berselisih pendapat  tentang tarikh yang tepat kedatangannya.  Begitu juga dengan daerah di Tanah Melayu yang mula-mula didatangi  atau menerima Agama Islam

Dalam konteks Pendidikan Islam di Tanah Melayu ia telah bermula sejak terdirinya Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke 15 Masehi, iaitu dari Zaman Kesultanan Melaka  di mana tenaga pengajar terdiri daripada  guru-guru agama  dari golongan pedagang, pengembara, pendakwah,  utusan raja dan para tentera keturunan sayid dan sheikh. Mereka datang dari   serata pelusuk seperti Mesir, Cina, India Jawa dan Parsi.   Kedatangan mereka  ke Tanah Melayu untuk singgah atau berdagang.  Kehadiran mereka ini telah membantu  golongan istana dan penduduk tempatan dengan hal-hal yang berkaitan dengan Agama Islam khasnya dalam Hukum Fiqh dan Pengajaran al Quran

Pendidikan Islam di negara ini   bermula dari rumah imam atau guru kemudian berkembang ke pondok-pondok selepas itu menjadi madrasah dan akhirnya menjadi sekolah-sekolah agama.

Haron Din dan  Sobri Salamon (1988) menyatakan bahawa secara kasarnya perkembangan Pendidikan Agama Islam  di Semenanjung Tanah Melayu mengalami empat tahap, iaitu;
            i           Institusi Rumah Imam / Guru 
            ii           Institusi Pondok
            iii          Institusi Madrasah
iv         Sistem sekular           

Sistem Pendidikan Islam di zaman ini telah mantap dari segi sifatnya, sukatan pelajarannya dan institusinya.  Termasuklah para guru dan pelajar. Sekali pun Tulisan Jawi menjadi dasar dan bahasa pengantar.  Kedatangan penjajah (Belanda , Portugis, Inggeris, Jepun) telah menganggu corak Pendidikan Islam.   Penampilan pendidikan sekular  Barat dan Jepun telah memaksa masyarakat Melayu khususnya Pendidikan Islam menerima pengaruh-pengaruh luar yang tidak selaras dengan akidah dan keimanan Islam

Zaman Penjajahan

Penghakisan Pendidikan Islam oleh penjajah khususnya di Tanah Melayu di buat secara halus melalui  pengenalan Pendidikan Sekular bermula sejak tahun 1816 dengan penubuhan Penang Free School. Kewujudan Sekolah Inggeris kurang dirasakan oleh orang-orang Islam kerana Pendidikan Madrasah atau Sekolah Arab masih kuat pengaruhnya. 

Sekolah Inggeris yang ditadbirkan oleh mubaligh Kristian.  Sekolah Melayu diproduk oleh British berpandukan kepada Sistem Grama yang telah diubahsuai.  Sekolah Melayu yang ditaja oleh missionary bermatlamatkan sekular menghasilkan petani dan nelayan yang boleh mengenal angka dan huruf.   Pada masa yang sama juga wujud sekolah pondok yang bertujuan untuk melahirkan imam-imam dan ulama-ulama . 

Sepanjang zaman penjajah, sistem Pendidikan Islam di Tanah Melayu sentiasa mengalami konflik dengan pendidikan missionary.  Berbagai isu kontroversi dan prejudis sentiasa memecahkan masyarakat Melayu dalam hal-hal yang berkaitan  akidah dan budaya hidup yang tulin.  Pertelagahan ini timbul dalam masalah menyediakan tenaga profesional, teknokrat dan ulama sehingga mewujudkan satu pertembungan dualisme pendidikan antara agama dan dunia.

Sekolah-sekolah Inggeris samada oleh kerajaan atau mubaligh telah membuka pintu seluas-luasnya kepada anak-anak Melayu khususnya anak-anak orang berada di bandar-bandar.  Proses  pensekularisasi pendidikan anak-anak  Melayu terus berlaku dengan pesat dan radikal.  Pengajian Agama Islam dan al-Quran di Sekolah Melayu  telah diketepikan dari jadual rasmi sekolah dan diarah supaya diajar pada waktu petang.  Maka wujudlah jurang pemisah antara golongan moden dengan golongan tradisional. Golongan moden berpengaruh dan berkuasa sementara golongan tradisional  sebaliknya. 

Dalam situasi kemajuan sekolah sekular, sekolah-sekolah agama terbiar. Pihak penjajah dengan taktik ‘ hal-hal agama adalah hak Raja-raja Negeri’ telah melupakan samasekali  kewujudan sekolah-sekolah agama atau Arab.  Sekolah-sekolah ini bergantung kepada pembiayaan Majlis atau Jabatan-Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.  Akibatnya kemudahan belajar terhad, biasiswa tidak diberikan dan kurikulum berbeza.  Peperiksaan dikendalikan secara persendirian.  Pengiktirafan sijil juga berbeza.

Sistem Pendidikan Pondok 

Institusi pengajian pondok asalnya dimulai oleh sistem pengajian di rumah tok guru yang  kebanyakkanya tamat pengajian agama di Mekah. Setelah terdapat banyak peningkatan pelajar maka tempat pengajiannya dipindahkan ke masjid atau pun surau.

Sistem Pendidikan Islam dari Mesir, Madinah serta negara-negara Arab lainnya dijadikan model dalam sistem Pendidikan Islam di Tanah Melayu.  Pelajar-pelajar yang tamat pengajiannya melalui sistem pondok telah melanjutkan pelajarannya ke negara-negara Timur Tengah dan apabila balik menubuhkan pondok-pondok dan kemudiannya menjadi sebagai sekolah Agama Arab atau Madrasah.  Terdapat juga yang masih meneruskan sistem pondok dan enggan menukar namanya sebagai Sekolah Agama Arab . Contohnya Pengajian Pondok di Masjid al-Muhammadi, di Kota Baharu  telah berkembang menjadi Ma’ahad al-Muhamadi (1915), Maahad Mahmud di Kedah asalnya Madrasah Al-Hamidiah (1936), Sekolah Menengah Agama Arab Sungai Bakap, yang dahulunya Sekolah Pondok.

Para pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Arab, pondok dan madrasah boleh menyambung pelajarannya  ke peringkat yang lebih tinggi dalam dan luar negeri.

Selepas merdeka kerajaan Tanah Melayu telah merancang untuk membina kembali corak pendidikan Negara  yang telah diruntuhkan oleh penjajah.  Maka Resolusi Pendidikan telah dibentuk. Hasilnya penubuhan satu Sistem Pendidikan Kebangsaan, yang kemudian  lahirlah pelbagai bentuk Laporan, Penyata, Ordinan, Akta dan Jawatankuasa Pelajaran untuk  memenuhi tujuan tersebut.  Implikasi dari itu  lahirlah Pendidikan Islam dalam Dasar Pendidikan Negara. 

Pendidikan Islam telah berjalan di zaman penjajahan selama lebih 400 tahun sehinggalah wujudnya Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960). Dalam kedua-dua  penyata tersebut, Pendidikan Islam telah dibicarakan untuk diletakkan bersama di dalam sistem Pendidikan Kebangsaan. Akta Pelajaran (1961), telah memasukkan matapelajaran Agama Islam di dalam jadual waktu.

Jawatankuasa khas telah dibentuk bagi menyusun dan melaksanakan Dasar  Pelajaran Kebangsaan pada bulan Ogos 1955.    Dasar ini bertujuan menyatu padukan kaum-kaum di Tanah Melayu di samping menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta mengkaji semula sistem pelajaran, termasuk Undang-undang Pelajaran Tahun 1952 .  Jawatankuasa Khas ini di pengerusikan oleh Datuk Abd.Razak Hussin yang terkenal dengan Laporan / Penyata  Razak   pada tahun 1957 .

Dengan penguatkuasaan  penyata tersebut lahirlah satu institusi baru yang beraliran kebangsaan terkenal sebagai ‘ Sekolah Menengah Kebangsaan’.  Institusi ini juga tidak ketinggalan memberi peruntukan bagi mendaulatkan pelajaran Agama Islam.  Dalam konteks ini Jawatankuasa Pelajaran 1956 telah membuat cadangan seperti berikut  ;

Dalam seksyen 49 Ordinan  Pelajaran 1957 itu juga dinyatakan secara terperinci kedudukan agama Islam di sekolah-sekolah :

i           Di mana dalam sebuah sekolah bantuan kerajaan, didapati 15 orang murid atau lebih  yang beragama Islam, murid-murid itu hendaklah diajar Agama Islam
ii           Pelajaran Agama Islam hendaklah diajar sekurang-kurangnya dua jam seminggu dalam waktu pengajaran am  sekolah-sekolah
iii         Guru-guru Agama yang mengajar Agama Islam hendaklah terdiri daripada mereka yang dibenarkan oleh pihak berkuasa negeri
iv         Lembaga Pengurus atau Pengelola Sekolah hendaklah membuat persediaan yang sepatutnya bagi mengadakan pelajaran Agama Islam
dengan syarat Lembaga Pengurus atau Pengelola dua buah sekolah atau lebih boleh membuat persediaan-persediaan bersama bagi pengajaran tersebut kepada murid-murid yang beragama Islam dalam sekolah-sekolah mereka 

Matapelajaran Pengetahuan Agama Islam dicadangkan supaya dimasukkan kedalam  senarai matapelajaran untuk Sijil Rendah Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu .  Peruntukan khas tentang pelajaran agama Islam dalam Laporan tersebut merupakan suatu langkah baru  yang praktikal bagi menyusuli peruntukan khas tentang agama Islam dalam Perlembagaan Persekuatuan Tanah Melayu. 

Dari segi kenyataan Ordinan   Pelajaran 1957  memperkukuhkan kedudukan pelajaran Agama Islam  di sekolah bantuan kerajaan tetapi dari segi perlaksanaannya, Seksyen 49 itu menghadapi kesulitan.   Oleh itu perlaksanaannya tidak dapat berjalan dengan licin.

Walaupun secara tidak teratur pengajaran Agama Islam diperingkat sekolah rendah dan menengah menurut syor penyata Razak, terdapat sedikit perubahan dan diberikan perhatian oleh kerajaan. 

Menurut  Akta  1961  Seksyen 36 yang dikekal dan diguna pakai dalam Akta 1996 : Guru  Agama yang telah mendapat kebenaran layak dan bertanggungjawab mengajar Agama Islam.  Namun bilangan yang beragama Islam harus berjumlah 15 orang murid atau lebih.  Tempoh masa minimum yang diperuntukkan untuk mengajar matapelajaran tersebut ialah dua jam seminggu. Mata pelajaran tersebut biasanya diajar pada waktu persekolahan.  Pengajaran pada  waktu yang lain  hanya akan dibenarkan dengan mendapatkan kelulusan daripada Menteri  Pelajaran. 


Menurut seksyen 50 (1), pengajaran Agama Islam  oleh guru yang diluluskan  oleh pihak berkuasa negeri akan dijalankan apabila terdapat 5 orang murid atau lebih yang menganut Agama Islam.

Pengajaran dilakukan sekurang-kurangnya selama dua jam seminggu pada waktu pengajaran biasa atau waktu lain yang ditetapkan oleh Menteri Pendidikan dalam hal atau  keadaan tertentu [ seksyen 50(2) ]. Seksyen 51 pula menyatakan bahawa pengelola bagi sesebuah institusi pendidikan bantuan kerajaan boleh mengadakan pengajaran agama selain Agama Islam tertakluk kepada syarat aktiviti pengajaran tersebut tidak boleh dibiayai dengan wang yang diperuntukkan oleh Parlimen [seksyen 51(a)].  Selain itu, mengikut  [seksyen 51(b)] tiada murid yang boleh mengikuti pengajaran agama selain agama yang dianutinya kecuali dengan kebenaran bertulis ibubapanya.    

Hasil daripada Pendidikan Islam (Pengetahuan Agama Islam) dalam dasar pendidikan negara telah mewujudkan satu golongan pelajar yang kemudiannya mendesak supaya matapelajaran agama ditambah dan diajar di maktab-maktab perguruan.  Pelajaran Agama Islam / Tamadun Islam juga perlu diajar di pusat-pusat pengajian tinggi.  Universiti Islam hendaklah diwujudkan dan mata pelajaran Agama Islam  wajib diambil dalam peperiksaan awam

 Jika Akhir tahun 1980 an merupakan tahun-tahun reformasi dan penjelmaan kembali Pendidikan Islam dalam sistem Pendidikan Negara.  Falsafah Pendidikan Negara dengan berani telah menjadikan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan sebagai teras dan dasar penjurusan segala aktiviti pendidikan.  Malah tidak keterlaluan dikatakan Falasah Pendidikan Negara  telah mendukung cita-cita  dan hasrat  falsafah Pendidikann Islam.  Bertolak dari Falsafah Pendidikan Negara, keseluruhan struktur kurikulum Pendidikan Kebangsaan telah diubah suai agar setiap mata pelajaran sama-sama mendokong cita-cita FPN  dengan menerapkan nilai-nilai murni sejagat ( yang mana keseluruhan nilai-nilai tersebut adalah nilai atau ajaran Islam).  Malah dari segi pendekatan pengajarannya, terdapat beberapa matapelajaran  (Sains dan Geografi umpamanya) telah diterapkan  dengan Akidah dan Syariat Islamiah )

 
Institusi Pendidikan Islam di Malaysia Selepas Merdeka

Satu kajian yang dibuat oleh Lembaga Penasihat Penyelarasan Pembelajaran dan Pendidikan Islam (LEPAI), melaporkan  bahawa pada keseluruhannya Sekolah Agama di negara ini terletak di bawah tanggungjawab pihak–pihak berkuasa yang berlainan.  Dari segi pentadbiran, Sekolah Agama di Malaysia selepas merdeka terbahagi kepada tiga jenis iaitu :
·         Sekolah Agama Kementerian Pendidikan (SMKA)
·         Sekolah Agama Kerajaan Negeri (SAN)
·         Sekolah Agama Rakyat (SAR)

SMKA, terletak di bawah pengawasan Kementerian Pendidikan.
SAN terletak di bawah penguasaan dan kelolaan Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri manakala SAR dikendalikan oleh rakyat dari segi pentadbiran, kewangan, pengurusan, sukatan pelajaran dan lain-lain.

Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kementerian (SMKA)

SMKA terletak di bawah pengawasan dan kelolaan Kementerian Pendidikan. Sekolah-sekolah ini hanya  bermula di peringkat  menengah sahaja iaitu mulai dari tingkatan satu. Semua urusan dan keperluan SMKA ditadbirkan mengikut susunan tertentu melalui Pejabat  Pendidikan dari peringkat daerah hingga ke peringkat negeri dan pusat. Keputusan-keputusan utama dan dasar-dasar dibuat oleh kementerian.  Di samping itu terdapat pegawai-pegawai yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sekolah-sekolah ini.  Manankala pengetua sekolah-sekolah tersebut juga diberi latihan bukan sahaja dalam bidang pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam bidang pentadbiran dan pengurusan.

SAN  terletak di bawah pengawasan dan kelolaan Majlis atau  Jabatan Agama Islam Negeri.  Ada juga di bawah kelolaan badan-badan tertentu seperti  Lembaga Pendidikan Islam Melaka dan Yayasan  Islam Kelantan Sekolah-sekolah ini ditadbir oleh Kerajaan Negeri . Oleh yang demikian terdapat perbezaan di antara sekolah-sekolah tersebut .   Sejak tahun 1963  SAN  telah menerima  Sukatan Pelajaran Kementerian Pendidikan dengan mengadakan  peperiksaan SRP (1963) dan SPM (1965), dan seterusnya Tingkatan Enam Aliran Agama (1968) untuk  memasukki Fakulti Pengajian Islam di UKM

Sekolah Agama Rakyat (SAR)

SAR dikendalikan oleh rakyat dari segi pentadbiran, kewangan, pengurusan, sukatan pelajaran dan lain-lain.  Pentadbirannya di bawah kelolaan Lembaga atau Jawatankuasa sekolah masing-masing .  Tidak ada sebuah badan berkuasa  yang mewakili kerajaan menjalankan peranan sebagai penentu dan  mengawal perjalanan sekolah-sekolah tersebut.    SAR  tertakluk kepada undang-undang pentadbiran Agama Islam   Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri.  Oleh itu SAR digalakkan supaya mendaftar dengan Majlis atau Jabatan Agma Islam Negeri .  Pendaftaran ini bertujuan memudahkan pihak kerajaan ( negeri dan pusat) menyalurkan apa-apa bantuan dan nasihat.  Walau bagaimanapun ada beberapa buah negeri yang menyerapkan kurikulum pelajran agama dari negeri lain.  Ini dilakukan kerana  sijil yang dikeluarkan oleh sekolah berkenaan telah diiktiraf oleh beberapa buah institusi pengajian agama dari dalam dan luar negeri

No comments:

Post a Comment