STRATEGI
Strategi pengajaran ialah kepandaian guru membuat perancangan dan pelaksanaannya terhadap
semua aspek pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuklah pemilihan dan pelaksanaan kaedah,
teknik, akitiviti, bahan dan masa yang digunakan .
Jenis Strategi
Antara jenis-jenis strategi yang biasa digunakan dalam
pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam
ialah :
- Strategi
berpusatkan
guru
- Strategi berpusatkan
murid
- Strategi berpusatkan
bahan
Strategi berpusatkan guru
Strategi ini melibatkan guru
yang memainkan peranan yang utama. Di dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
guru mengurus dan mengawal kelas, memberi penerangan, manakala murid hanya
bertindak sebagai pendengar.
Terdapat beberapa ciri di
dalam strategi ini, iaitu;
1. Komunikasi antara guru dan
murid adalah sehala.
2. Kepimpinan guru adalah
bersifat autokratik.
Strategi ini lebih
mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru dan penyebaran ilmu pengetahuan
lebih diutamakan berbanding penyebaran nilai murni dan perkembangan emosi.
Selain itu, perkara yang diutamakan ialah pencapaian murid dalam keputusan peperiksaan dan ujian serta
teknik pengajaran guru ditumpukan kepada penyampaian fakta secara menghafaz.
Oleh yang demikian, murid tidak dapat membuat interpretasi sendiri dan mereka
menjadi kurang pasif serta sifat-sifat sosial yang positif kurang dapat
dipupuk.
Kaedah yang menjadi
pertimbangan asas apabila guru menggunakan strategi ini adalah kaedah-kaedah
seperti berikut;
- Demontrasi.
- Syarahan/ Kuliah.
- Bercerita.
- Penerangan.
Strategi berpusatkan murid
Murid memainkan peranan penting dan utama dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Murid digalakkan untuk bergiat aktif dalam proses
P&P dan guru hanya sebagai pemimpin untuk membimbing murid dalam
menjalankan aktiviti sama ada secara berkumpulan atau individu. Dalam proses
pengajaran dan pembelajaran lebih banyak masa diperlukan bagi aktiviti
pembelajaran murid. Isi kandungan yang disampaikan perlulah sesuai dengan aras
kebolehan dan kontektual murid. Aktiviti-aktiviti perlulah melibatkan murid
secara aktif.
Kaedah yang menjadi
pertimbangan asas apabila guru menggunakan strategi ini adalah kaedah-kaedah
seperti berikut;
- Kumpulan.
- Inkuiri penemuan.
- Perbincangan.
- Penyelesaian masalah.
- Bermain.
- Simulasi.
- Sumbangsaran.
- Projek.
- Main peranan.
- Penyoalan.
Perkembangan murid adalah
seimbang dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial
(JERIS). Selain
itu, ujian formatif ditekankan dan keputusan ujian kerap kali digunakan untuk
mengesan kelemahan murid. Penyampaian guru pula ditumpukan kepada pengajaran
yang bermakna supaya murid memahami maklumat yang disampaikan dan mereka
berupaya membuat kesimpulan sendiri. Di bawah strategi ini, murid dapat
melibatkan diri secara aktif serta menunjukkan sifat kreatif dan berinisiatif.
Strategi berpusatkan bahan
Strategi ini
menjadikan guru sebagai fasilitator yang menekankan kepada penggunaan bahan
bantu mengajar (BBM) seperti slaid, video, gambar, kaset, radio, model,
komputer dan sebagainya. Dalam strategi ini, guru menggunakan BBM tersebut
ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Ia bertujuan supaya
proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan penyampaian
maklumat dapat dilakukan secara berkesan. Murid-murid juga dapat belajar dengan
bersemangat sekiranya guru pandai menggunakan BBM yang sesuai.
BBM memainkan
peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan menggunakan
strategi ini guru dapat menyampaikan pengajaran dengan lebih mudah, menarik dan
berkesan. Murid pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakan serta boleh
menjalankan aktiviti pembelajaran secara individu datau secara kumpulan tanpa
kehadiran guru. Bahan-bahan yang digunakan perlulah memenuhi ciri-ciri seperti
berikut;
- Ketepatan
- Kejelasan
- Keluasan
- Kepelbagaian
Strategi
yang dirancang perlulah:
- Dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran
- Bersifat fleksible -- mengikut situasi dan keadaan
murid pelbagai aras kebolehan
- Berpusatkan
murid.
- Memberi penekanan kepada pengajaran yang bermakna, kreatif
dan inovatif.
- Menggalakkan Inkuiri penemuan dan penyelesaian
masalah.
- Pengajaran
secara kumpulan dan individu digalakkan
Kaedah yang menjadi
pertimbangan asas apabila guru menggunakan strategi ini adalah kaedah-kaedah
seperti berikut;
- Audio-visual.
- Pengajaran terancang.
- Penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran.
- Modul.
- Penggunaan buku teks dan rujukan.
PENDEKATAN
Pendekatan
merujuk kepada cara guru mengurus isi pelajaran supaya objektif jangka panjang dapat dicapai . Ia
adalah satu bingkai yang besar di dalamnya mengandungi strategi, kaedah dan teknik.
Dalam
pengajaran pembelajaran Pendidikan Islam anda boleh menggunakan apa jua jenis
pendekatan asalkan ia mengandungii ciri-ciri berikut :
§ Memberi
ilmu - kognitif
§ Menanam
kepercayaan dan pegangan kepada akidah Islamiah- afektif
§ Membina kemahiran dan amalan - psikomotor
§ Memupuk dan menanam penghayatan –
afektif
§ Membentuk pandangan, sikap dan akhlak –
afektif
§ Mewujudkan hubungan mesra di antara
guru dengan murid
§
Menyepadukan faktor dan nilai
§ Merentas
kurikulum
§ Menggabungjalin kemahiran, isi dan
nilai
§ Memotivasikan murid dalam pembelajaran
Jenis-jenis Pendekatan
Berikut
adalah jenis pendekatan yang sering
digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam.
Pendekatan Bersepadu
Dalam
pendekatan ini, guru melaksanakan semua
unsur-unsur yang terdapat di dalam kurikulum secara bercantum atau bersatu. Semua
ilmu diajar dengan cara saling berkaitan di antara satu sama lain.
Di bawah rancangan KBSR konsep kesepaduan
diamalkan mengggunakan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Ianya
bertujuan untuk menjalin dan mengadunkan
unsur-unsur ilmu, nilai, kemahiran belajar dan penggunaan bahasa yang
baik.
Pendekatan
Induktif
Pendekatan ini menggunakan cara pengajaran dengan
memperlihatkan bahagian-bahagian kecil (khusus) sampai kepada
perkara-perkara besar atau umum. Contohnya : Guru akan meminta
murid- murid menyenaraikan jenis air yang mereka tahu. Kemudian meminta
mereka untuk mengkategorikannya pula
mengikut jenis-jenis yang asli dengan yang tidak. Contoh air milo dengan
air paip. Kemudian kita membimbing
murid mengaitkan air yang asli dengan air mutlak dan hukumnya.
Ciri-ciri pendekatan induktif:
1. Bermatlamatkan pembentukan kebiasaan
2.
Mengutamakan
pengaantaraan deria untuk mendapatkan pengetahuan
3. Kekerapan ulangan
diperlukan dalam pelbagai konteks bagi menguasai sesuatu kemahiran
4. Menekankan pengajaran yang berbentuk konkrit
5. Murid-murid berpeluang sepenuhnya belajar di bawah
bimbingan guru
6. Mengutamakan penglibatan murid secara aktif dan
aspek lisan
7. Mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik dan
berkesan.
Pendekatan deduktif
Cara pengajaran
yang menggunakan pendekatan deduktif adalah berlawanan dengan pendekatan
induktif. Pendekatan ini bermula dengan guru memberikan rumus-rumus atau teori
yang berkaitan contoh hukum halal, haram, rukhsah, azimah dan kemudiannya murid-murid dikehendaki
memberikan contoh atau huraian daripada rumus atau teori yang dikatakan.
Ciri-ciri
pendekatan deduktif:
1.
Mementingkan
pengetahuan yang akan diperolehi
2.
Menggunakan
pengantara fikiran untuk mendapatkan ilmu
3.
Memulakan
penyusunan isi daripada keseluruhan yang lebih kompleks
4.
Pembelajaran
dengan kefahaman adalah lebih kekal daripada menghafal
Pendekatan Eklektik
Pendekatan eklektik ialah cara pengajaran dengan
menggunakan kedua-dua pendekatan (induktif dan deduktif) secara serentak. Ia merupakan gabungan pendekatan-pendekatan
yang digunakan untuk melaksanakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Dalam
pendekatan ini pengajaran dan pembelajran boleh bermula menggunakan pendekatan
induktif iaitu dengan mencari contoh ataupun huraian, kemudiannya diikuti
dengan pembinaan konsep dan seterusnya membuat huraian atau contoh yang
berkaitan. Pendekatan eklektik ini
amat sesuai digunakan dalam situasi pelajar yang mempunyai ragam
belajar yang berbeza.
Pendekatan Pemusatan Murid
Guru dan murid bersama-sama memainkan peranan dalam
proses pengajaran–pembelajaran. Murid
aktif menyertai aktiviti pembelajaran.
Komunikasi berbentuk dua hala .
Guru menyoal dan murid menjawab dan sebaliknya. Suasana
kepimpinan bersifat demokratik. Dalam
pendekatan ini, pencapaian objektif
pembelajaran murid diutamakan.
Pendekatan Tematik
Pengajaran
tematik bermaksud suatu pengajaran yang disampaikan melalui ideayang besar.
Contoh tema-tema seperti solat, perkara –perkara yang berkaitan dengan bersuci
dan lain-lain. satu-satu tema kemudian dipecahkan kepada komponan-komponan yang
kecil dalamm setiap komponan terdapat lagi topik kecil yang boleh dibincangkan.Dalam
pendekatan ini guru mengenal pasti tema-tema yang hendak dijadikan idea utama
pengajaran bagi suatu jangka masa. Tema-tema yang dipilih perlulah sesuai
dengan peringkat umur pelajar. Daripada tema yang dipilih, guru perlu
menyenaraikan beberapa tajuk kecil yang berkaitan dengan tema tersebut.
Qudwah hasanah
Guru menjadi model
kepada murid. Tugas guru bukan sahaja
sekadar mengajar dan mendidik bakal-bakal pemimpin negara malah mereka juga
merupakan model bagi para pelajarnya (role model). Pelajar akan
mencontohi sikap guru yang ditonjolkan, jika baik maka baiklah jadinya begitu
juga bagi keadaan sebaliknya (Najib, 2005). Sikap guru memainkan peranan yang sangat penting bagi
menghasilkan kesan pengajaran kepada pelajar. Oleh itu guru perlulah sentiasa mempamerkan perilaku
yang baik.
No comments:
Post a Comment