Thursday 21 August 2014

TANGGUNGJAWAB KETUA KELUARGA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


Seperti mana yang kita ketahui institusi keluarga adalah merupakan asas sebuah masyarakat dan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kejayaan dan keharmonian dalam sesebuah keluarga adalah bermula dari ketua keluarga. Maka ketua keluarga atau bapa mempunyai peranan yang besar bagi memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah S.W.T untuk memastikan tkeluarganya berada dalam keadaan aman dan sentiasa melaksanakan perintah yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. Peranan sebagai seorang ketua keluarga itu adalah merujuk kepada sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:                                    .

Maksudnya:
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin Negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya”                                      .

            Justeru itu, bagi merealisasikan hasrat untuk melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh dalam sebuah institusi keluarga maka bapa atau suami selaku pemimpin keluarga hendaklah melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab terhadap perkara berikut menurut perspektif Islam:                       

            Tanggungjawab pertama yang besar kepada bapa iaitu sebagai ketua keluarga ialah menyuburkan akhlak hasanah dan menjadi qudwah kepada anak-anak.  Menginginkan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni adalah impian semua manusia. Perlulah diingatkan bahawa sebagai ibu atau bapa kita terlebih dahulu perlu memiliki akhlak yang mulia. Dengan  akhlak yang dapat dicontohi, ibu bapa menjadi teladan kepada anakanak. Namun sekiranya ibu bapa sendiri yang ketandusan akhlak mulia seperti pengasih, penyanyang, bersopan santun, berbudi pekerti mulia bagaimana untuk mereka ‘mengeksport’ kemuliaan itu kepada orang lain khususnya kepada anak-anak.  Keadaan ini dengan jelas dapat dilihat dalam tamadun Barat yang telah berjaya memakmurkan bumi dan memanfaatkan sumber yang dimilikinya. Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Barat misalnya telah berjaya mewujudkan sesuatu yang belum pernah terlintas dalam benak generasi sebelumnya. Segala yang bersifat material diagungkan, manakala yang bersifat spiritual dipandang remeh. Kemajuan yang dicapai hanya diukur dengan jumlah banyaknya kuantiti produk dan kualiti perkhidmatan yang dihasilkan. Keperluan untuk memenuhi tuntutan nafsu dilakukan, walaupun terpaksa mengorbankan nilai dan akhlak. Kesannya kemajuan atau tamadun yang dibina ini, rohnya kosong meskipun jasadnya besar, dan cahayanya padam meskipun bara apinya tetap ada. Akibatnya mereka menjadi sombong dan berbangga diri. Kesombongan inilah yang membuatkan mereka beranggapan bahawa ia berkuasa di atas segalanya di dunia ini. 


            Justeru, sebagai seorang ketua keluarga mereka perlulah mempamerkan contoh atau tauladan yang baik dalam keluarga untuk diikuti atau dicontohi oleh anak-anak dan isteri serta menjiwai dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah. Namun pada hari ini kita sering melihat gejala sosial dan keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak kian meruncing akibat daripada masyarakat yang kurang menjiwai dan menjaga akhlak sepertimana yang telah dianjurkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. lantaran itu, anak-anak yang tiada contoh yang terbaik untuk diikuti dan mudah terpengaruh dengan budaya sekeliling yang tidak baik. Bahkan penekanan tentang adab yang baik serta budi bahasa yang kurang ditekankan mengakibatkan kita sering mendengar bahasa kesat, lucah dan kasar dipertuturkan dalam komunikasi seharian mereka serta dijadikan bahan gurauan. Maka peranan sebagai ketua keluarga tidak perlu dipandang enteng dan sangat besar dalam menjadi Qudwah Hasanah (contoh yang baik) bagi menjamin kebahagiaan dalam keluarga. Sepertimana yang telah disarankan oleh Rasulullah s.a.w, “Muliakanlah anak-anak mu dan tunjukkanlah kepada mereka adab adab yang baik”.                                                                

            Selain itu, tanggungjawab ketua keluarga yang kedua pula ialah memberi didikan agama yang sempurna kepada anak-anak.  Mempelajari Pendidikan Agama Islam adalah amat penting bagi seorang suami, bapa atau sebagai ketua keluarga untuk mendidik dan membimbing isteri dan anak-anak dengan mengajar ilmu fardu ain, seperti al-Quran, hadis, hukum halal haram, bersuci dan ibadat agar mereka berpegang dengan syariat Allah. Seandainya dia tidak berkesempatan untuk mengajar sendiri, dia wajib mencari guru yang dapat mengajar isteri dan anak-anaknya. Jika sesebuah keluarga itu dibina tanpa berpandukan tiang agama maka nescaya keluarga itu akan mudah goyang, berpecah belah atau rosak.  selain itu, tanpa didikan agama juga seseorang atau sesebuah keluarga itu akan terpesong jauh dari matlamat institusi kekeluargaan yang telah disyariatkan oleh Allah. Oleh itu jelaslah betapa pentingnya didikan agama kepada diri seorang ketua dan ahli keluarganya, sepertimana dalam Firman Allah dalam Surah At-Tahrim ayat 6:                                           


Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya adalah malaikat yang kasar dan keras dan mereka tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.

“Berjayalah sesiapa yang menyimpan keimanan yang ikhlas dalam hatinya, orang yang mempunyai hati yang sihat, lidah yang benar dan jiwa yang tenang serta akhlak yang lurus dan mulia”.   
                                                             
            Malah, Sebagai bapa iaitu ketua kepada keluarga, bapa perlu memastikan rezeki yang diperolehi dan nafkah yang hendak diperuntukkan adalah dari sumber yang halal lagi baik.Dalam hal ini, seorang ketua keluarga mestilah mencari rezeki yang halal untuk anak-anak dan isteri. Setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak dan isteri akan menjadi darah daging, jika makanan itu adalah daripada sumber yang tidak halal samaada makanan itu sendiri yang tidak halal atau dibeli dengan duit yang tidak halal maka ia akan merosakkan jiwa kita, anak-anak dan isteri.  Berpunca daripada makanan yang tidak halal jugalah akan menyebabkan perangai anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa dan berlakunya gejala sosial, mencuri, pukul, bunuh dan sebagainya. Oleh itu amat penting bagi ketua keluarga atau ibu bapa menjaga punca rezeki serta makanan mereka agar cahaya keimanan mudah masuk ke dalam hati sanubari dan terpelihara daripada azab api neraka sepertimana dalam Sabda Rasulullah : “Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”                                                                  .                    
            Tanggungjawab yang keempat pula bagi seorang ketua keluarga ialah memperuntukan masa untuk bersama ahli keluarga dan memberi sepenuh kasih sayang.  Meluangkan masa untuk anak-anak dan isteri adalah amat penting dalam institusi rumah tangga, ini kerana dengan kita memberi masa yang secukupnya kepada keluarga maka kita akan dapat memahami antara satu sama lain dan mengetahui segala masalah yang berlaku dirumah kita. Masa juga penting untuk kita mengambil berat tentang anak-anak supaya mereka tidak merasa kesunyian ketika mereka menghadapi masalah pada pelajaran, persekitaran dan sebagainya.selain itu sebagai ketua keluarga boleh juga meluangkan masa dengan cara makan bersama, berkelah atau bercuti ketempat peranginan bersama keluarga agar kemesraan dan silaturrahim akan terjalin.  

            Berkongsilah pengalaman dan membina kasih sayang dengan memahami dan membimbing kemahuan mereka. Bantulah mereka dalam mencari keyakinan diri dan sentiasa menggalak serta mengasah potensi diri mereka. Yakinkanlah mereka bahawa bapa sebagai insan tempat dijadikan rujukan terbaik. Sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti persekolahan mereka di samping sentiasa cuba tahu dan mengenali rakan mereka. Sesungguhnya dewasa ini peranan seorang ketua keluarga amat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi serta pengetahuan yang mendalam. Suami juga mesti meluangkan masa yang sebaiknya untuk isteri supaya mereka rasa disayangi dan dihargai.suami isteri juga boleh berbincang tentang masalah-masalah yang timbul dalam rumahtangga agar masalah itu dapat diselesaikan dengan baik.                                                   

Marilah kita menanamkan azam dan menguatkan tekad untuk kita menjadi ketua keluarga yang cemerlang yang sentiasa melaksanakan kewajipan terhadap perintah Allah. Insafilah bahawa kewajipan dan tanggung jawab terhadap keluarga adalah merupakan suatu amanah Allah yang melibatkan soal dosa dan pahala. Mereka yang mencuaikan amanah tersebut akan dihukum dan diseksa dengan seksaan yang amat berat di akhirat nanti.  Amat menyedihkan sekali apabila sejak akhir-akhir ini ramai ketua keluarga gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik, isteri dan anak ditinggalkan tanpa sebarang nafkah, anak-anak menjadi mangsa perceraian kedua ibu bapa, pendidikan anak terabai tanpa pengawasan, ibu-bapa lebih mementingkan kerjaya dari memikirkan soal keluarga.  

           Sebahagian mereka lebih mementingkan hawa nafsu dengan menjalinkan hubungan dengan orang ketiga yang menyebabkan urusan rumah tangga porak-perana.  Maka adalah mustahil akan lahir sebuah masyarakat yang bermoral apabila institusi keluarga tidak dipastikan keharmoniannya. Oleh itu, marilah kita kembali menghayati tugas dan peranan kita sebagai ketua keluarga demi menjamin keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga dalam Firman Allah yang berbunyi: Maksudnya:“Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan Kami anugerahkanlah kami isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa”. (Surah Al-Furqan, ayat 74)



No comments:

Post a Comment