Tuesday, 29 April 2014

PERWAKILAN VISUAL DATA

Data mentah biasanya dalam bentuk yang berselerak, tidak teratur, dan tidak dapat menunjukkan apa-apa ciri dan sifat. Oleh itu, data perlu dikumpul dan perlu dibentangkan dalam bentuk-bentuk yang lebih bermakna supaya dapat difahami. Contoh-contoh persembahan data yang biasa digunakan ialah jadual kekerapan, Histogram, Poligon Kekerapan, Ogif, Carta Pai, Graf, Carta Palang, Carta Palang Berganda dan Carta Palang Berkomponen.

            Jadual Kekerapan merupakan kaedah yang yang senang untuk membentangkan data mentah. Dua faktor yang perlu dipertimbangkan semasa membina suatu jadual kekerapan ialah bilangan kelas yang perlu digunakan dan selang bagi setiap kelas.

        Histogram adalah graf yang paling mudah dan sesuai digunakan di dalam penganalisaan data graf histogram.  Untuk membina graf histogram kita perlu menentukan bahawa setiap kelas adalah bersambungan di antara satu sama lain. Situasi ini dapat dilakukan dengan mewujudkan sempadan kelas bagi setiap kelas. Contohnya, 34.5 - 44.5, 44.5 - 54.5, 54.5 – 64.5, 64.5 – 74.5, 74.5 – 84.5 dan seterusnya.  Kelas yang dinyatakan tadi mempunyai selang yang sama iaitu 10. Keadaan ini diperlukan untuk memudahkan pembinaan graf atau histogram dan seterusnya  membuat penganalisaan terhadap graf tersebut.

            Poligon Kekerapan menggambarkan bentuk populasi sesuatu data.  Melalui gambar rajah poligon kekerapan, kita dapat mengenal pasti sama ada data yang dikumpul mempunyai bentuk yang pencong ke kanan, pencong ke kiri atau simetri. Setiap bentuk ini memberikan maklumat yang tertentu tentang populasi data yang dikumpul. Poligon kekerapan dapat dibina dengan menyambungkan titik-titik tengah di atas setiap palang histogram dengan satu garis lurus.
            Di samping taburan kekerapan atau gambar rajah histogram atau polygon, terdapat kaedah yang boleh mempersembahkan data dan membuat pengiraan statistik iaitu Ogif.  Ogif juga dikenali sebagai taburan kekerapan melonggok yang mana ia memerlukan kekerapan melonggok sebelum kelok ogif tersebut dapat dibina.  Ogif dibina dengan menggunakan dua pendekatan iaitu, pendekatan ogif ke atas dan pendekatan ogif ke bawah.

            Walau bagaimanapun, bagi data yang lain dan dengan bentuk yang lebih menarik, Graf boleh menjelaskan beberapa faktor penting terutamanya kepada golongan pembaca tertentu.  Graf mudah yang menekankan aspek-aspek yang diminati adalah lebih berkesan.  Terdapat pelbagai kaedah perwakilan visual yang dipanggil graf antaranya graf turus, graf garis, graf bulatan dan kelok Lorenz.

            Graf Turus/Graf Bar dikenali sebagai graf carta.  Ia mempunyai bentuk seperti dalam rajah.  Panjang atau tingginya satu-satu turus menunjukkan ukuran, dalam unit tertentu, bagi objek atau kumpulan berkenaan.

            Graf Garis merupakan Kaedah yang berguna terutama apabila perhubungan antara dua ukuran satu-satu objek dipamerkan.  Paksi tegak dan paksi mengufuk perlu ditetapkan terlebih dahulu.  masing-masing mewakili ukuran-ukuran objek tersebut.

            Carta Pai merupakan satu bulatan yang dibahagikan kepada sektor yang luasnya adalah menurut kadar kekerapan kelasnya dalam ukuran sudut atau peratusan.  Untuk membina carta pai, darabkan 360 dengan kekerapan relatif setiap kategori bagi mendapat saiz sudut setiap sektor.

No comments:

Post a Comment