Falsafah Pendidikan Kebangsaan
"Pendidikan di Malaysia adalah satu
usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan
rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab,
berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara."
Falsafah pendidikan yang menjadi
panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan
adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke
kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas
yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang
paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK
menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua
tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan
bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik.
Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik,
seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang
paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.
Falsafah Pendidikan Guru
Falsafah
pendidikan guru telah digubal berasaskan model konseptual pendidikan guru. Berdasarkan model
tersebut, karakter seorang guru berkait rapat dengan tiga dimensi utama iaitu
ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri. Bagi elemen ketuhanan, ia berkaitan
peningkatan ilmu, penghayatan dan amalan individu berteraskan kepercayaan dan
kepatuhan kepada ajaran agama. Seterusnya menerusi kemasyarakatan, model ini
memberi penekanan mengenai peranan guru sebagai pendidik, pemimpin dan agen
perubahan. Manakala aspek kendiri memberi penekanan pembinaan daya kefahaman
dan patriotisme, pemupukan budaya ilmu serta pembentukan sahsiah murni dan berpekerti
mulia.
Berhubung model
konseptual pendidikan guru ini juga, ia turut menekankan matlamat mengembangkan
potensi guru secara seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Keempat-empat aspek ini juga adalah selaras dengan matlamat falsafah pendidikan
kebangsaan. Aspek yang dititikberatkan ini adalah penting kerana seorang
pendidik itu haruslah terlebih dahulu mempunyai unsur dalaman yang stabil agar
berupaya pula melahirkan generasi seimbang jasmani, emosi, rohani dan
intelek selaras dengan falsafah pendidikan negara kita.
Justeru, dapatlah disimpulkan disini
mengikut model konseptual guru ini bahawa seseorang guru itu perlulah
mengukuhkan terlebih dahulu aspek dasar iaitu ketuhanan, kemasyarakatan dan
kendiri. Langkah seterusnya ialah memantapkan unsur rohani, jasmani, intelek
dan nilai. Selepas itu, memupuk serta mengekalkan aspek kemahiran, pengetahuan
serta nilai seorang guru. Bersatunya kesemua unsur-unsur dalam model konseptual
ini dapat memantapkan lagi unsur akauntabiliti seorang guru.
No comments:
Post a Comment