3.0 Implikasi Falsafah Pendidikan
Kebangsaan terhadap Peranan Guru
menurut Falsafah Pendidikan Guru
menurut Falsafah Pendidikan Guru
3.1 Pengenalan
Falsafah pendidikan guru berperanan untuk melahirkan guru
yang berkualiti dari segi sosial. Guru perlulah mempunyai bijak bergaul dengan
semua masyarakat sekeliling tidak kira dalam kawasan sekolah mahupun dengan
masyarakat luar. Ini kerana, ke mana sahaja seseorang guru itu pergi dia akan
membawa imej seorang guru. Guru juga perlu mempunyai penguasaan terhadap
ilmu dan kemahiran keguruan. Seseorang guru itu bukan hanya perlu memberikan
didikan akademik, tetapi dia juga perlu menyelitkan nilai-nilai murni dalam
proses pengajaran dan pembelajaran seharian.
3.2 Falsafah
Pendidikan Guru
Sepertimana
yang telah dinyatakan sebelum ini, Falsafah pendidikan guru telah digubal
berasaskan model konseptual pendidikan guru. Maka, potensi guru secara seimbang dari aspek
jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah sangat ditekankan. Aspek yang
dititikberatkan ini adalah penting kerana seorang pendidik itu haruslah
terlebih dahulu mempunyai unsur dalaman yang stabil agar berupaya pula
melahirkan generasi seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan
falsafah pendidikan negara kita. Dibawah
ini telah saya nyatakan implikasi FPK terhadap guru yang mana ia sangat berkait
rapat dengan FPG.
3.3 Mengamalkan ilmu dan bersedia menjadi
pelajar seumur hidup.
Sememangnya, sebagai pengamal ilmu, seseorang guru perlu
mempraktikkan budaya ilmu seperti membaca, berfikir, memerhati, berkarya,
bertukar fikiran serta mencari pengalaman baru. Dalam proses pengajaran
contohnya, guru hendaklah memindahkan ilmu yang baik dan seharusnya meninggikan
adab murid sebagai seorang pengamal ilmu.
Hal ini kerana, budaya ilmu haruslah dibentuk semasa menuntut ilmu dan
ianya hendaklah dipupuk dalam diri seorang guru supaya dia dapat menjadi contoh
dan teladan yang baik bagi para pelajarnya.
Hal ini pastinya akan membawa kepada kelahiran generasi yang mencintai
ilmu pengetahuan dan seterusnya menjadi teras dan tunjang dalam amalan
pendidikan seumur hidup.
3.4
Mengamalkan kemahiran professional.
Umum bersetuju, guru merupakan tenaga
ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik
murid-murid di sekolah. Oleh itu, guru yang mempunyai kemahiran professional sangat
memainkan peranan yang besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan,
berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak. Peranan ini penting bagi membawa
pendidikan negara Malaysia ke arah pendidikan yang bertaraf dunia. Para pelajar mestilah dididik menggunakan
kemahiran berfikir aras tinggi untuk melahirkan pelajar yang terdidik untuk
belajar sepanjang hayat dan mempunyai intelektual yang tinggi dalam menghadapi
era globalisasi.
3.5 Peka
dengan segala perkembangan dalam bidang pendidikan.
Untuk menjadi pendidik yang profesional,
seorang guru perlu peka terhadap keperluan pendidikan yang terkini. Guru yang menjadikan Falsafah pendidikan Guru
sebagai panduan juga sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian
lampau dan terkini bagi mengemas kini pengetahuan dan kemahiran mereka. Mok Soon Sang (2007), menegaskan bahawa guru
hendaklah melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran menggunakan internet
untuk memperolehi maklumat tentang perkembangan terhadap pedagogi pengajaran
masa kini di samping membimbing murid-murid menggunakan internet sebagai satu
proses pembelajaran.
3.6 Cenderung
mengamalkan pengajaran yang efektif
Guru yang efektif sentiasa mengenalpasti
ciri-ciri pengajaran efektif dari segi perancangan, pelaksanaan, dan juga dari
segi penilaian pengajaran. Perancangan
pengajaran Clarke dan Cutler (1990) menyatakan bahawa keberkesanan
pengajaran bergantung kepada perancangan, pelaksanaan dan penilaian terhadap
proses dan objektif pembelajaran. Cohn et al, (1987) juga telah menyokong
pendapat ini dengan menyatakan guru haruslah membuat refleksi kendiri untuk
menilai objektif pengajarannya setelah selesai melaksanakan pengajaran.
3.7 Dapat
menentukan cara setiap murid belajar dengan kaedah yang sesuai
Dalam perkara ini, guru harus mempunyai
kemahiran dalam memilih strategi p&p yang sesuai kerana ia merupakan suatu
rancangan untuk melaksanakan aktiviti dalam p&p. Setiap guru hendaklah mahir dalam penggunaan
kaedah dan teknik mengajar untuk menyampaikan isi pelajaran dengan cara yang
berkesan, kerana pemilihan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai akan menjamin
keberkesanan pengajaran serta pencapaian objektifnya secara optimum. Pada masa yang sama, guru juga perlu membuat
penilaian dan menghargai perbezaan setiap individu kerana setiap perbezaan
itulah yang akan menentukan cara setiap individu itu belajar sehingga memberi
pengalaman pembelajaran kepada setiap pelajar yang mempunyai kepelbagaian dalam
proses pembelajaran.
3.8 Berusaha
meningkatkan penguasaan bidang ilmu dan kemahiran
Setiap guru semestinya perlu menguasai
kandungan ilmu dalam mata pelajaran yang diajar, mahir mengaplikasikan teori
pertumbuhan dan perkembangan manusia dan berupaya menjadi fasilitator yang
baik. Hal ini akan menjadikan mereka
berusaha sebaik mungkin untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu
pengetahuan, ilmu pedagogi dan sebagainya.
Perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka meningkatkan
kemahiran yang ada pada diri demi meningkatkan prestasi masing-masing untuk
menjadi seorang guru yang berkaliber.
3.9 Terdorong
untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.
Dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang
baik, pastinya proses dalam mendidik para pelajar akan menjadi lebih
mudah. Penerokaan ilmu melalui internet
dalam bahasa inggeris secara tidak langsung akan menjadikan seseorang guru
bersifat lebih terbuka dan dapat mengakses pelbagai ilmu yang pelbagai. Hal ini menjadikan seseorang guru itu
berfikiran luas sehinggakan dapat meningkatkan keyakinan dirinya untuk mengajar
dalam bahasa inggeris dengan baik.
Dengan adanya guru yang sebegini, pastinya hasrat kerajaan untuk
melahirkan ramai golongan intelektual dalam negara kita dapat dilaksanakan
kerana ia telah pun bermula daripada seseorang guru itu sendiri.
3.10 Berupaya
memberi sumbangan dalam komuniti
Guru adalah satu organisasi penting yang
sering diharapkan sebagai pemimpin kepada masyarakat. Sebagai warganegara
Malaysia, guru perlu melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan komitmen yang
tinggi kerana inilah sumbangan yang perlu dilakukan oleh setiap guru. Disamping itu, golongan guru agama seperti
ustaz-ustaz yang menyampaikan ilmu kepada masyarakat melalui penyampaian kuliah
maghrib di masjid menunjukkan mereka sangat mengambil berat terhadap keperluan
masyarakat islam untuk mempelajari ilmu agama.
Inilah sumbangan dalam komuniti yang lahir hasil daripada implikasi FPK
terhadap guru yang sepertimana menurut FPG.
3.11 Berpegang
teguh kepada agama.
Seseorang guru hendaklah menjaga
perkataan dan lidahnya iaitu tidak memfitnah dan mengumpat sebaliknya berkata
yang benar. Bukan itu sahaja, guru yang
berpegang teguh dengan ajaran agama sentiasa mengajar hanya untuk mendapatkan keredhaan
dan keberkatan semasa hidup di dunia dan juga akhirat. Guru yang mengajar ala kadar atau sekadar
mengajar cukup-cukup makan menunjukkan dia seorang yang tidak mengambil peduli
tuntutan yang disarankan dalam agama.
Jadi, pentingnya setiap guru berpegang teguh kepada agama kerana ia secara
tidak langsung akan menyebabkan seseorang guru sedar akan tanggungjawab yang
telah diamanahkan sehingga boleh menerapkan nilai-nilai rohani pada setiap
murid supaya mempraktikkan ajaran agama dengan baik.
3.12 Berusaha
meningkatkan penguasaan dalam bidang ICT.
ICT dalam pendidikan bermaksud penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan
dan pentadbiran pendidikan, p&p serta pendidikan sepanjang hayat.
Penggunaan ICT oleh guru dan pelajar dalam proses p&p boleh meningkatkan
kefahaman dan penguasaan dalam pembelajaran. Ia juga membolehkan pelajar
mengakses maklumat dan bagi mencari maklumat dengan pantas dan terkini. Hal ini pasti akan membuatkan pelajar berasa
seronok untuk belajar, tidak jemu, tidak malas dan tidak mengantuk.
Jika guru sentiasa mengaplikasikan
penggunaan ICT di dalam p&p, pastinya pembelajaran menjadi lebih bermakna
dan seterusnya sikap pelajar untuk mencintai ilmu dapat dipupuk di kalangan
pelajar. Hal ini seterusnya akan
menyebabkan pelajar mempunyai keupayaan untuk belajar, mengubah tingkah laku
dan tabiat serta mengambil iktibar dan pengajaran daripada ilmu baru. Jadi, pentingnya kesediaan dan kesanggupan
seseorang guru untuk belajar supaya dapat menguasai teknologi maklumat dan komunikasi
agar sistem pembelajaran pelajar tidak berpusatkan kepada buku teks
semata-mata.
3.13 Berusaha
menjadi contoh teladan yang baik
Tingkah laku guru adalah contoh teladan
kepada para pelajar. Oleh itu, guru
haruslah mempunyai sifat-sifat terpuji yang boleh menjadi teladan kepada
pelajar dan juga masyarakat. Sebagaimana yang kita ketahui, tugas seorang guru
tidaklah terhad kepada proses mengajar atau menyampaikan ilmu pengetahuan
semata-mata. Namun, tanggungjawab guru
juga adalah untuk memastikan pembentukan sahsiah pelajar termasuk pembentukan
dan perkembangan dalam aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi supaya para
pelajar berupaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, bermoral tinggi,
harmonis dan juga seimbang. Dengan
adanya usaha seperti ini, pastinya masyarakat kita akan memandang tinggi
kerjaya seorang guru.
No comments:
Post a Comment