Saturday, 11 April 2015

Model Pengurusan Kelompok oleh Jacob S. Kounin

Model Pengurusan Kelompok oleh Jacob S. Kounin

Jacob Kounin dalam Choong (2009) ialah seorang ahli teoris dalam bidang pengurusan bilik darjah yang sangat terkenal dengan ‘Konsep Riak’ yang mana apabila seorang murid akur kepada arahan, murid lain juga akan ikut bersama.  Menurut Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2009), pengawasan dan penyeliaan guru yang teliti adalah sangat penting didalam bilik darjah.  Maka, Kounin telah mengesyorkan lima teknik pengurusan bilik darjah yang boleh diaplikasikan oleh guru bagi mengawal disiplin murid.  Lima teknik tersebut ialah :

  1. Merangkumi semua (Withitness) :  Ia merujuk kepada kepekaan guru mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh murid pada setiap masa.  Dengan kepekaan ini, guru dapat menjangka masalah yang akan timbul dan seterusnya menghalang masalah tersebut daripada menjadi lebih serius, (Haliza Hamzah & Samuel, J.N. 2009).
  2. Pertindanan (Overlapping) : Menurut Choong (2009), pertindanan merujuk kepada keupayaan guru menangani lebih daripada satu situasi secara serentak.  Contohnya guru berupaya menulis di papan tulis sambil mengawasi murid yang berada di barisan belakang.  Hal ini akan menjadikan bilik darjah berada di dalam keadaan yang terkawal.
  3. Momentum (Momentum) : Ia merujuk kepada kebolehan guru untuk meneruskan pengajaran dengan lancar dan cekap melakukan peralihan sesuatu aktiviti.  Hal ini akan membantu murid bersedia melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
  4. Kelancaran (Smoothness) : Menurut Haliza Hamzah & Samuel, J.N. (2009), bagi memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti bilik darjah, guru perlulah mengelakkan penerangan yang meleret, mengulangi perkara yang tidak perlu dan melakukan fragmentasi.  Hal ini perlu dilakukan supaya peralihan dua aktiviti dalam pembelajaran menjadi lebih licin.
  5. Kepekaan kelompok (Group Focus) : Kebolehan ini diperlukan bagi mengekalkan penglibatan aktif murid dan mewujudkan minat mereka, Choong (2009).  Perkara ini dapat dilakukan apabila guru berupaya mengemukakan soalan yang boleh mencetuskan minat dan sifat ingin tahu murid.

        Tuntasnya, guru mestilah mengambil kira aspek minat, kebolehan, dan perkembangan murid.  Setiap akitiviti yang dirancang perlulah menarik dan mencabar.  Hal ini sangat penting supaya pengajaran yang membosankan, tiada kepelbagaian dan sebagainya dapat dielakkan kerana perkara ini boleh mendorong kepada berlakunya salah laku murid.

2.4.1    Sejauh manakah keberkesanan Model Pengurusan Kelompok Kounin?

Model pengurusan kelompok Kounin ini mempunyai kekuatan yang tersendiri.  Antaranya ialah menurut Choong (2009), ianya memberi peluang kepada murid untuk terlibat dengan aktif.  Hal ini kerana, pembelajaran secara koperatif adalah lebih berpusatkan kepada murid dan bahan.  Malah, aktiviti secara hands on dapat menperkembang hubungan sosial antara murid.  Perkara ini seterusnya dapat menjadikan persekitaran bilik darjah menjadi lebih kondusif

            Namun demikian, terdapat beberapa kelemahan telah dikenal pasti dalam model ini.  Antaranya ialah guru memerlukan kemahiran dalam mengurus setiap kelompok kerana guru berkemungkinan besar perlu mengurus beberapa perkara dalam satu masa.   Malah, model ini kurang memberi tumpuan kepada pembentukan nilai seperti pembentukan diri individu kerana pembelajaran adalah secara berkumpulan.

2.4.2    Keberkesanan Model Pengurusan Kelompok Kounin

Cikgu Dismah merupakan guru cemerlang Bahasa Melayu.  Semasa mengajar murid tahun 4 Bijak, dia akan memastikan kelas 4 Bijak berada dalam keadaan yang terkawal.  Kepekaannya dalam teknik withitness menyebabkan Cikgu Dismah peka terhadap apa-apa suasana yang berlaku di dalam kelas.  Hal ini menjadikan dia lebih sensitif untuk mengesan tingkah laku disruptif murid untuk mengelakkannya daripada menjadi lebih serius. 

            Keupayaannya menangani lebih daripada satu situasi secara bertindan menjadikan dia berupaya mengajar Sarah sambil mengawasi Raju yang berada di barisan belakang.  Momentum Cikgu Dismah dalam meneruskan pengajaran dengan lancar serta cekap melakukan peralihan sesuatu aktiviti sangat membantu semua murid tahun 4 Bijak bersedia bagi melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Hal ini akan menjadikan bilik darjah berada di dalam keadaan yang terkawal.


            Cikgu Dismah juga bijak mengelakkan penerangan yang berbunga-bunga.  Malah, kebijaksanaan beliau untuk tidak mengulangi perkara yang tidak perlu menjadikan peralihan dua aktiviti dalam pembelajaran menjadi lebih licin dan sempurna.  Bukan itu sahaja, Cikgu Dismah mempunyai kepekaan kelompok yang sangat baik.  Hal ini dapat mengekalkan penglibatan aktif murid 4 Bijak.  Malah, semua murid menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang dilaksanakan setelah Cikgu Dismah mencetuskan minat dan sifat ingin tahu murid terhadap tajuk menarik yang diajar oleh Cikgu Dismah pada hari tersebut.

No comments:

Post a Comment