Saturday, 11 April 2015

Maksud model disiplin dalam pengurusan bilik darjah

Pendahuluan

Pada zaman yang dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi ini, guru banyak berhadapan dengan pelbagai ragam dan tingkah laku murid yang bermasalah yang boleh mengundang kepada masalah disiplin yang lebih besar.  Bertitik tolak daripada itu, Implementasi guru terhadap pengetahuan mengenai model disiplin adalah sangat penting bagi memastikan kelas dapat diuruskan dengan baik dan berada di dalam suasana yang kondusif. 

          Sekiranya seseorang guru tidak dapat menguruskan kelas dengan baik, apakah yang akan terjadi dengan keadaan dan suasana di dalam sesebuah kelas?  Maka, sudah pastinya ia akan memberi tekanan kepada guru setiap kali melangkah masuk ke dalam kelas apabila berhadapan dengan suasana kelas yang tidak menggalakkan dan merangsang murid untuk belajar. 

            Sebelum perkara ini berakar umbi, pengurusan disiplin bilik darjah yang efektif haruslah difikirkan dan dilaksanakan dengan segera dengan menggunakan pelbagai model disiplin bilik darjah yang sesuai.  Pendekatan yang digunakan oleh guru bagi mengurangkan tingkah laku negatif di dalam bilik darjah haruslah sesuai mengikut keadaan murid.  Hal ini kerana, jika guru tersalah mengambil langkah dalam memberi hukuman, besar kemungkinan timbul pula masalah lain yang mendatangkan kesukaran kepada guru.

            Justeru, pemilihan dan langkah yang bijak dalam memberi hukuman juga adalah penting yang harus difikirkan oleh seseorang guru sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap murid.  Oleh yang demikian,  kebijaksanaan seseorang guru dalam mengaplikasikan teori-teori dalam model disiplin amatlah diperlukan bagi mewujudkan bilik darjah yang cemerlang dan kondusif.

Model Disiplin

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, istilah pengurusan diertikan sebagai perihal mengurus sesuatu.  Manakala bagi istilah disiplin pula diertikan sebagai latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib.  Bagi istilah bilik darjah pula kita sedia maklum bahawa istilah tersebut membawa makna ruang tempat belajar. Perkataan disiplin berasal daripada perkataan Latin disciplina yang bermaksud mengajar. Secara umumnya, disiplin boleh didefinisikan sebagai latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh kepada tatatertib. (Kamus Dewan edisi keempat). Selain itu, Choong (2009) menyatakan bahawa disiplin adalah pencegahan dan pemulihan atau secara keterangannnya adalah latihan yang dijangkakan menghasilkan watak yang khusus atau pada tingkah laku.

                Pengurusan disiplin bilik darjah bermaksud tindakan ke atas masalah tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid (Haliza Hamzah & Samuel J.N). Tindakan atau langkah yang diambil perlulah ke arah mendatangkan manfaat kepada murid dan untuk menyedarkan murid akan kesilapan atau salah laku yang dilakukannya. Dalam konteks sekolah, Mok (2014) mengaitkan disiplin dengan kemampuan pelajar mematuhi peraturan sebagai suatu mekanisme kawalan tingkah laku melalui ganjaran dan hukuman.  Kesimpulannya, pengurusan disiplin bilik darjah adalah cara bagaimana guru mengurus atau mentadbir bilik darjahnya daripada berlaku sebarang masalah disiplin. Pengurusan disiplin bilik darjah yang baik akan menjamin keberhasilan pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan.  Hal ini kerana, ia amat penting dalam menentukan keberhasilan dan kejayaan sesebuah pengajaran.

Model disiplin dalam pengurusan bilik darjah

Dalam konteks bilik darjah, disiplin merupakan satu set peraturan yang dikenakan kepada murid-murid untuk mengawal dan mendapatkan tingkah laku yang diingini.  Disiplin merupakan salah satu aspek semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat lima model pengurusan disiplin bilik darjah yang boleh dijadikan rujukan kepada guru-guru sekolah bagi membentuk bilk darjah yang kondusif.  Model-model tersebut ialah Model Modifikasi Tingkah Laku B.F. Skinner, Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat Logikal Dreikurs, Model Pengurusan Kelompok Kounin dan  Model Terapi Realiti Glasser


No comments:

Post a Comment