Saturday, 11 April 2015

Model Disiplin Asertif Canter

2.2       Model Disiplin Asertif Canter

Lee dan Marlene Canter telah menubuhkan Canter Associates pada tahun 1976 dan telah menerbitkan buku mengenai disiplin asertif.  Model ini lebih menekankan penetapan dan penguatkuasaan peraturan serta memastikan murid-murid mematuhi peraturan tersebut dengan tegas, (Haliza Hamzah & Samuel, J.N.  2009).  Model ini digunakan bagi melatih murid untuk menerima konsekuen terhadap tindakan mereka. 

            Beberapa perkara asas yang perlu diketahui dalam model Asertif Canter adalah tingkah laku yang wajar perlulah diberi pengukuhan. Seterusnya, guru perlu merangka sistem ganjaran dan dendaan serta bersifat asertif bagi mengawal bilik darjah.  Pada masa yang sama, guru dan murid sememangnya mempunyai hak masing-masing.  Hal ini bermakna, guru berhak mengajar tanpa gangguan manakala murid pula berhak belajar dalam suasana yang tenang, (Haliza Hamzah & Samuel, J.N. 2009).

            Guru perlu bijak memberi respon kepada murid mengikut sesuatu situasi sama ada bersifat asertif, tidak asertif atau agresif.  Contoh bersifat tidak asertif seperti menyuruh murid berhenti bercakap.  Contoh bagi bersifat asertif adalah seperti guru menarik balik token sekiranya murid masih meneruskan tingkah laku negatif.  Bagi respon yang berbentuk agresif pula adalah seperti guru mengancam bertindak kasar pada sesuatu situasi.  Selanjutnya, menurut Choong, (2009).  Ganjaran dalam bentuk pengukuh sama ada dari segi sosial (pujian), grafik (bintang), aktiviti (masa rehat) dan fizikal (hadiah) adalah wajar diberikan kepada murid yang menunjukkan tingkah laku yang positif.

            Menurut Choong (2009), pelan Model Disiplin Asertif perlulah dirangka bagi mengurus disiplin bilik darjah supaya dalam keadaan terkawal.  Hal ini kerana, sekiranya perkara sebegini tidak diendahkan, berkemungkinan besar menurut Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2009) guru tersalah memilih konsekuen yang difikirkan wajar yang membawa kepada ketidakadilan kepada murid.  Oleh sebab itulah guru perlu menyediakan pelan disiplin sewaktu hari pertama guru masuk ke kelas.  Suatu perkara yang perlu ditegaskan oleh guru ialah, guru perlu menyediakan peraturan bersama-sama dengan murid dan perlu mendapat persetujuan oleh murid.  Peraturan tersebut hendaklah difahami oleh murid dan tidak bias kepada sesetengah murid yang lain yang berkemungkinan mempunyai perbezaan dari segi status, kedudukan dan latar belakang yang berbeza.

2.2.1    Sejauh manakah keberkesanan Model Disiplin Asertif Canter?

Kekuatan yang boleh dilihat daripada model disiplin asertif Canter ialah model ini penting menurut Choong (2009) sebagai rujukan bagi guru mengenai pelan disiplin.  Sebaik sahaja mendapat kelulusan pihak pentadbir di sekolah, pelan ini akan memudahkan guru bagi menangani masalah disiplin dalam bilik darjah.  Malah, ia juga memudahkan guru untuk mengambil tindakan yang tepat.  Hal ini kerana, murid akan menerima hukuman yang setimpal seperti mana yang telah dipersetujui di dalam peraturan yang telah dibentuk bersama-sama dengan murid.

            Namun, kelemahan model ini ialah apabila murid berjaya dicegah dari melakukan kesalahan disiplin, mungkin sahaja sebenarnya mereka takut dikenakan tindakan disiplin.  Oleh yang demikian, guru perlulah membimbing murid agar berkelakuan baik supaya murid tidaklah mematuhi peraturan semata-mata bagi mengelak dikenakan tindakan disiplin.

2.2.2    Contoh keberkesanan Model Disiplin Asertif Canter

Bagi menunjukkan keberkesanan model ini, saya akan memberikan contoh mengenai pelan pengurusan disiplin kelas tahun 5 Alfa dibawah kendalian Cikgu Ros.  Persetujuan bersama-sama murid mengenai peraturan yang telah dirangka oleh Cikgu Ros telah mendapat kata putus dari semua murid.  Disebabkan mereka telah memahami peraturan tersebut dengan jelas, mereka bersedia untuk menerima hukuman sekiranya mereka melanggar peraturan.  Pembentukan pelan disiplin tersebut telahpun mendapat kelulusan daripada guru besar.

            Apabila John mengganggu rakannya, masalah perlulah ditangani secara tenang dan pantas menurut Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2009) sepertimana yang terdapat dalam hierarki tindakan pembetulan Canter.  John telah diberi amaran untuk kali yang pertama dan dikenakan time out dibelakang kelas kerana masih mengganggu rakannya.  Namun, John telah menunjukkan tingkah laku yang melampau dengan menumbuk rakannya yang menyebabkan Cikgu Ros terus membawa John berjumpa dengan guru besar untuk ditangani dengan segera.


            Disebabkan semua murid kelas 5 Alfa telah berkelakuan baik, Cikgu Ros telah melekatkan serpihan puzzle yang ditampal didalam kelas sebagai pengukuhan positif.  Mereka telah memahami bahawa, sekiranya puzzle tersebut telah lengkap dilekat, mereka akan menerima ganjaran iaitu Cikgu Ros berjanji akan mengadakan jamuan bersama dengan mereka.  Namun, serpihan puzzle tersebut tidak akan dilekatkan sekiranya ada dikalangan mereka melakukan kesalahan disiplin.

No comments:

Post a Comment