Saturday, 11 April 2015

Model Akibat Logikal Dreikurs

 2.3       Model Akibat Logikal Dreikurs

Secara umumnya, fokus utama model akibat logikal Dreikurs adalah bagi mewujudkan suasana bilik darjah yang bersifat demokratik supaya mereka rasa dipunyai, Choong (2009).  Guru yang ingin mengawal bilik darjah dengan baik tidak seharusnya menggunakan hukuman.  Sebaliknya, guru perlu mengenal pasti punca salah laku murid terlebih dahulu kerana mereka perlu dibimbing untuk memahami peraturan di dalam bilik darjah.  Justeru, Dreikurs telah mengemukakan empat motif utama salah laku yang sangat penting untuk difahami oleh guru bagi mengawal tingkah laku yang bermasalah di dalam kelas.  Antaranya ialah:
  1.  Inginkan perhatian : Menurut Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2009), sesetengah murid akan cuba mendapatkan perhatian guru dengan cara yang boleh mengundang kemarahan guru.  Contohnya, Ali mengetuk meja dengan sengaja.  Tindakan yang boleh dilakukan bagi mengawal situasi ini ialah, guru boleh mengalihkan tumpuan semua murid dengan melakukan aktiviti yang boleh mengalihkan tumpuan Ali bagi berhenti daripada mengetuk meja.
  2. Mencabar kuasa (konflik) : Apabila murid bertindak mencabar kewibawaan guru seperti enggan menyiapkan tugasan yang diberi, guru perlu bertenang, kaji serta cuba kenal pasti punca kelakuan mereka, tanya dan jumpa mereka secara individu.
  3. Membalas dendam : Murid bertindak membalas dendam untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap sikap guru yang mengongkong atau bersifat tidak adil terhadap murid.  Contohnya, Azman sengaja menyembunyikan buku rakannya kerana dia selalu disisihkan oleh guru kerana tidak pandai dalam matapelajaran matematik.  Bagi murid yang berkelakuan begini, guru boleh mencuba untuk memberikan perhatian dan memberi pujian kepada mereka bagi meningkatkan motivasi mereka untuk belajar.
  4. Menunjukkan kekurangan : Setelah gagal mendapatkan pengiktirafan melalui motif seperti diatas, murid mungkin akan bertindak dengan memencilkan diri.  Contohnya dengan berseorangan dan mengelak dari bercampur dengan rakan sekelas.  Bagi mengelakkan perkara ini, guru perlu memberi peluang kepada murid untuk menunjukkan keupayaan dan menghargai usaha mereka.

            Sebagai kesimpulan, guru perlulah mengenal pasti dan memahami motif murid berkelakuan sedemikian.  Pada masa yang sama, guru perlu memberitahu sebab dan akibat apabila murid menunjukkan tingkah laku yang negatif supaya mereka memahami untuk tidak mempamerkan tingkah laku yang tidak sepatutnya semasa berada didalam kelas.

2.3.1    Sejauh manakah keberkesanan Model Akibat Logikal Dreikurs?

Kekuatan yang boleh dilihat dalam model akibat logikal Dreikurs adalah model ini menurut Choong (2009) dapat membantu guru di dalam memahami motif tingkah laku murid.  Sebagai contoh, guru yang berpengalaman akan mengetahui sesetengah murid yang sengaja untuk membuat tingkah laku bermasalah didalam kelas bagi mendapatkan perhatian guru dengan cara yang salah.  Hal ini akan memudahkan guru untuk mengambil tindakan dengan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah sebegini.  Apabila guru telah berinteraksi dengan murid untuk membincangkan motif tingkah laku bermasalah mereka, secara tidak langsung persekitaran yang kondusif akan muncul hasil daripada sikap tolak ansur murid dengan guru.

            Dari segi kelemahannya pula, menurut Choong (2009) model ini mendatangkan kesukaran kepada guru permulaan bagi mengenal pasti dan memahami tingkah laku murid.  Perkara ini akan menyebabkan guru mungkin sahaja mengambil tindakan yang kurang tepat ketika memberikan hukuman terhadap murid yang melakukan kesalahan disiplin di dalam bilik darjah.

2.3.2    keberkesanan Model Akibat Logikal Dreikurs

Cikgu Faizal telah mempunyai pengalaman mengajar selama 10 tahun.  Danny merupakan murid tahun 6 Merah yang sering kali membuli rakan yang lebih kecil daripadanya.  Cikgu Faizal telah mengenal pasti motif tingkah laku Danny yang inginkan perhatian daripada guru-guru.  Setelah Cikgu Faizal mengadakan perbincangan secara individu dengan Danny, Cikgu Faizal telah membantu Danny untuk memahami motif yang ditunjukkan.  Pada masa yang sama, Cikgu Faizal telah membimbing dan memberi kesedaran kepada Danny bahawa tindakannya yang suka membuli rakannya adalah salah.

            Cikgu Faizal telah memberi pilihan kepada Danny sama ada meneruskan untuk membuli rakannya atau menarik semula ganjaran token yang telah diberikan.  Dalam hal ini, Danny tidak boleh dipaksa untuk mengikuti arahan Cikgu Faizal.  Sebaliknya, guru harus memberi pilihan kepada Danny bagi membetulkan tingkah laku Danny supaya menjadi lebih bertanggungjawab.  Cikgu Faizal juga telah menerangkan akibat sekiranya Danny masih lagi membuli rakan yang lebih kecil daripadanya.  Memandangkan Danny sering kali dinasihati oleh Cikgu Faizal dengan cara yang baik, akhirnya Danny memahami bahawa dia perlu bertanggungjawab ke atas tindakannya dan seterusnya dia perlu menghormati rakan-rakannya yang lain.

No comments:

Post a Comment