Saturday, 11 April 2015

Model Modifikasi Tingkah Laku B.F. Skinner

2.1       Model Modifikasi Tingkah Laku B.F. Skinner

Burrhus Frederic Skinner (1904-1990) seperti dalam Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2009) berpendapat bahawa tingkah laku boleh dipengaruhi sebaik sahaja ia telah ditunjukkan.  Ahli behavioris bersetuju bahawa pengukuhan adalah sangat berkesan dalam mengajar tingkah laku yang wajar dan mengubah tingkah laku yang kurang wajar.  Menurut Choong (2009), terdapat dua jenis peneguhan, iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif.

            Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2009) menyatakan bahawa peneguhan positif berlaku apabila rangsangan diberikan seperti hadiah, pujian, dan sebagainya adalah bertujuan untuk meningkatkan tingkah laku murid yang diingini.  Manakala, peneguhan negatif berlaku apabila rangsangan seperti komik dikeluarkan supaya murid-murid kembali menunjukkan tingkah laku yang diingini.  Oleh itu, untuk mendapat tingkah laku yang diingini, peneguhan atau ganjaran perlu diberi selepas seseorang menunjukkan tingkah laku tersebut. 

       Bertitik tolak daripada itu, tingkah laku yang diiringi dengan peneguhan maka kebarangkaliannya untuk berulang adalah tinggi (Akhiar Pardi & Shamsina Shamsuddin, 2013).  Berbanding dengan murid yang diberi hukuman, mungkin sahaja tingkah laku tersebut menjadi kurang kerap atau langsung tidak akan berlaku.  Malah, tingkah laku boleh juga terhapus sekiranya ia tidak diteguhkan oleh guru.  Hal ini bermakna, tingkah laku murid memerlukan pengukuhan samada secara serta merta atau berkala.  Perlulah diingatkan bahawa, pengukuhan mungkin sahaja boleh berjaya dengan sekali pengukuhan. Namun demikian, sesetengah tingkah laku juga memerlukan pengukuhan secara berperingkat-peringkat.

            Skinner dalam Choong (2009) juga berpendapat bahawa kita harus memahami teori behavioral bahawa sebenarnya tingkah laku adalah boleh dipelajari.  Hal ini kerana, kita cenderung mengulangi tingkah laku yang telah diperkukuhkan dan akan mengelak tingkah laku yang boleh mendatangkan hukuman.  Bukan itu sahaja, tingkah laku juga boleh diajar, diubah serta diubah suai.  Pendek kata, ibu bapa dan guru bolehlah mengajar tingkah laku baru serta mengubah suai tingkah laku yang sedia ada.  Disamping itu, menurut Choong (2009), perubahan tingkah laku hendaklah berfokus pada “kini dan di sini”.  Hal ini memberi maksud bahawa, fokus haruslah diberikan kepada perkara yang berlaku semasa peristiwa tersebut.  Bukannya menekankan kepada perkara lepas yang telah berlaku.  Sebagai kesimpulan, apa-apa tingkah laku yang diteguhkan oleh guru sama ada berbentuk positif atau negatif digunakan bertujuan untuk meneguhkan atau meningkatkan tingkah laku yang diingini.

2.1.1    Sejauhmanakah keberkesanan Model modifikasi tingkah laku B.F.Skinner?

Jika dilihat dari sudut kebaikan, hasil daripada aktiviti peneguhan dilihat sangat memberi kesan yang pantas.  Selain itu, menurut Choong (2009), strategi modifikasi tingkah laku ini telah disokong melalui hasil penyelidikan yang meluas.  Perkara ini telah menjadikan ianya mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.  Bukan itu sahaja, guru juga akan menjadi lebih peka mengenai apa-apa situasi yang berlaku didalam kelas.  Hal ini akan menjadikan guru berupaya bagi mengambil tindakan yang tepat semasa menyelesaikan masalah yang berlaku. 

            Namun, dari segi kelemahannya pula, peneguhan yang diterima oleh murid menjadikan mereka hanya melakukan sesuatu untuk mengharapkan ganjaran yang hanya memenuhi keperluan ekstrinsik mereka (Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. 2009).  Sekiranya tiada ganjaran, murid berkemungkinan tidak akan menunjukkan tingkah laku yang diingini.  Bahkan, perkara ini boleh mengubah motif murid yang sepatutnya untuk belajar untuk mendapatkan ilmu bertukar kepada hanya belajar untuk mendapatkan ganjaran semata-mata.

2.1.2    Contoh keberkesanan Model modifikasi tingkah laku B.F.Skinner

Saya bawakan satu contoh mengenai seorang murid bernama Amar.  Dia seorang pelajar tahun 4 Dedikasi yang sering lambat menyiapkan tugasan dalam matapelajaran Matematik.  Sebelum guru mengambil apa-apa tindakan, guru perlu menganalisa terlebih dahulu seperti dalam Choong (2009) mengapa Amar bersikap sedemikian.  Rupa-rupanya Amar tidak suka akan matapelajaran matematik disebabkan kaedah pengajaran gurunya sebelum ini di tahun 3 dahulu yang sukar difahami.    Dalam hal ini, guru perlulah membuat pelan modifikasi tingkah laku dengan menyenaraikan tingkah laku Amar yang memerlukan perhatian yang khusus. 


            Oleh kerana guru telah pun mengenal pasti sikap Amar yang sering lambat menyiapkan tugasan Matematik, maka guru boleh merancang untuk menggunakan peneguhan positif bagi menggalakan Amar menunjukkan tingkah laku yang diingini.  Peneguhan positif seperti dalam Haliza Hamzah dan Samuel, J.N. (2009) yang boleh digunakan adalah seperti guru memberikan hadiah, pujian, ganjaran dan sebagainya.  Sebagai contoh, sekiranya Amar berjaya menyiapkan latihan Matematik dalam tempoh masa yang diberikan, guru akan memberikan Amar satu pelekat bintang untuk ditampal didalam kelas.  Jika Amar berjaya menjawab soalan yang dikemukakan semasa didalam kelas, guru perlu memuji Amar seperti “tahniah Amar, kamu berjaya menjawab soalan ini dengan betul”.  Hal ini pastinya dapat mengubah tingkah laku Amar yang sering lambat menyiapkan latihan apabila diberi peneguhan.

No comments:

Post a Comment