2.0 Teori Pembelajaran
Ahli-ahli psikologi sentiasa berusaha mengkaji cara-cara bagaimana
mereka boleh membantu manusia memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai yang
memberi manfaat kepada mereka pada masa kini dan di hari kemudian kelak. Ini menyebabkan ahli psikologi mengkaji dan
membina teori pembelajaran yang berbeza untuk menerangkan bagaimana manusia
(dan organisma) belajar. Teori pembelajaran memberi penjelasan tentang cara manusia
dan haiwan belajar dan memberi cadangan cara menyelesaikan masalah pembelajaran
(Noriati, Boon & Sharifah, 2009).
Lima teori pembelajaran, iaitu, teori behavioris, teori kognitif, teori
konstruktivis, teori pembelajaran sosial dan teori humanis adalah seperti
dibawah.
2.1 Teori Pembelajaran
Behavioris
Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran
sebagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku. Pendekatan behavioris terhadap
pembelajaran memberi tumpuan kepada perubahan tingkah laku yang boleh
diperhatikan dan pengaruhnya persekitaran terhadap perubahan tersebut. Pelaziman diertikan sebagai satu proses
pembentukan tingkah laku di mana tindak balas organisma menjadi lebih kerap
atau lebih mudah diramal akibat daripada latihan atau peneguhan. Terdapat dua jenis pelaziman untuk
menerangkan pembelajaran, iaitu, pelaziman klasik dan pelaziman operan. Tokoh-tokoh pelaziman klasikal terdiri
daripada Ivan Pavlov dan J. B. Watson.
Manakala tokoh-tokoh pelaziman operan merupakan Edward Thorndike dan B.
F. Skinner. Mereka berpendapat
kecenderungan-kecenderungan tingkah laku termasuk trait-trait, bakat,
nilai-nilai, kepercayaan–kepercayaan, aspirasi dan lain-lain adalah dipelajari.
2.2 Teori Pembelajaran
Kognitif
Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia
mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan
mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan
pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Menurut
psikologis ini, dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif dalam
ingatannya. Setiap kali murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan
menyimpannya dalam ‘ingatan’. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal. Ahli psikologi kognitif atau gestalt mempercayai bahawa
pembelajaran adalah satu tugas mental atau proses dalaman yang melibatkan
kebolehan seseorang untuk mengaitkan berbagai maklumat sehinggalah ia
memperolehi pengetahuan baru atau dapat menyelesaikan sesuatu masalah.
2.3 Teori
Pembelajaran Konstruktivisme
Konstruktivisime
merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun
dalam minda manusia. Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan tidak
dapat dipindahkan daripada guru kepada pelajar dalam bentuk yang serba
sempurna. Pelajar perlu membina sesuatu pengetahuan mengikut pengalaman
masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha pelajar itu sendiri dan
guru tidak boleh belajar untuk pelajarnya. Blok binaan asas bagi ilmu pengetahuan
merupakan satu skema iaitu aktiviti mental yang digunakan oleh pelajar sebagai
bahan mentah bagi proses renungan dan pengabstrakan. Fikiran pelajar tidak
wujud secara terasing daripada persekitaran. Pelajar sebenarnya telah mempunyai
satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur kognitif terhadap
persekitaran mereka.
2.4 Teori Pembelajaran
Sosial
Albert Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu
pembelajaran berlaku melalui proses peniruan. Bandura berpendapat, kita belajar
melalui pemerhatian dan meniru orang lain serta dengan melihat kesan tingkah
laku orang lain. Bandura berpendapat bahawa, Pembelajaran dan tingkah laku
manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang individu itu terhadap individu
lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan sebagainya. Prinsip
asas teori pembelajaran sosial adalah berdasarkan kepada pendirian bahawa pembelajaran
merupakan proses kognitif dan afektif berdasarkan pemerhatian tingkah laku
orang lain (model) dan meniru tingkah laku yang boleh memberi manfaat
kepadanya.
2.5 Teori Pembelajaran
Humanis
Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada
diri seseorang seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan
fikiran, pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau
kejadian itu. Antara prinsip teori humanis ini adalah, seseorang murid itu
bertanggungjawab ke atas tindakannya. Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka
dia perlu berusaha mencapainya ke arah itu. Setiap murid juga mempunyai
keperluan mengembangkan potensinya ke tahap maksimum. Berdasarkan teori belajar humanis, tujuan
belajar adalah untuk memanusiakan seorang manusia. Kegiatan belajar dianggap
berjaya apabila si pelajar memahami lingkungannya dan dirinya. Murid dalam
proses belajar harus berusaha agar secara perlahan dia mampu mencapai
aktualisasi diri dengan baik. Teori belajar humanis ini berusaha memahami
perilaku belajar dari sudut pandang pelaku yang belajar, tidak dari sudut
pandang pengamatan.
No comments:
Post a Comment