3.0 Aplikasi
dan keberkesanan teori pembelajaran
Sememangnya setiap teori pembelajaran
mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
Bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif, pelbagai
implementasi yang boleh dilaksanakan bagi memantapkan keberkesanan pdp didalam
bilik darjah.
3.1 Aplikasi
dan keberkesanan teori pembelajaran behavioris
Keberkesanan teori behavioris dapat dilihat
apabila guru telah bersedia menyediakan matlamat, objektif pengajaran dan
analisis tugasan yang spesifik, realistik dan boleh dicapai sebelum aktiviti
pembelajaran dan pengajaran bermula.
Sebagai contoh, guru akan mengajar kemahiran menambah dan menolak sesuai
dengan aras murid yang lemah, sederhana dan tinggi. Guru tersebut akan memperincikan tugasan yang
telah dirancang dengan membantu murid aras sederhana dan lemah bagi menguasai
kemahiran tersebut langkah demi langkah.
Manakala murid aras tinggi pula akan diberi latihan tambahan bagi
memantapkan lagi kemahiran menambah dan menolak. Hal ini sekaligus dapat membantu guru
tersebut bagi mencapai objektif pembelajaran dengan lebih berkesan didalam
pengajaran.
Selain itu, bagi memastikan bagi pembelajaran
akan menjadi lebih efektif, guru yang mengajar step by step, dan
mengaplikasikan teknik peneguhan dan hukum kesediaan dengan betul semestinya
berupaya meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kita ambil contoh seorang guru yang mengajar
kemahiran menulis tulisan jawi. Guru
tersebut akan mengajar kemahiran dari sekecil-kecilnya seperti memegang pensel
sehinggalah kemahiran yang lebih besar seperti boleh menghasilkan tulisan jawi dengan
cantik dan kemas. Kemahiran ini akan
dapat dikuasai oleh murid sekiranya guru berjaya mencungkil rasa ingin tahu
murid untuk belajar sepertimana yang terdapat dalam hukum kesediaan disamping
menggunakan teknik peneguhan yang sesuai sama ada dalam bentuk pujian mahupun
ganjaran dalam bentuk hadiah dan sebagainya sebagai menghargai hasil kerja murid.
Seterusnya, saya melihat bahawa
keberkesanan teori behavioris dapat dilihat apabila seseorang guru dapat
mengaplikasikan hukum latihan, hukum kesan/akibat disamping menyediakan amalan
disiplin bilik darjah yang kondusif.
Saya berikan satu contoh seorang guru yang menyediakan set latihan latih
tubi yang banyak untuk muridnya dan memberi ganjaran bagi yang menjawab kesemua
soalan dengan betul. Hal ini bermakna,
dia telah berupaya mengaplikasikan hukum latihan dan hukum kesan/akibat dengan baik. Tambahan pula, perkara ini dapat dimantapkan
lagi apabila suasana bilik darjah menjadi lebih positif dengan adanya peraturan
kelas dan juga budaya belajar yang baik dalam kalangan pelajar.
3.2 Aplikasi
dan keberkesanan teori pembelajaran kognitif
Seterusnya kita beralih kepada teori
pembelajaran kognitif yang mana sememangnya lebih menekankan kepada proses
mental seperti penyelesaian masalah, ingatan dan bahasa. Jadi, sejauh manakah kita melihat teori ini
sebagai suatu teori yang berkesan yang boleh digunakan di dalam aktiviti
pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah?
Berkesannya teori ini dapat dilihat
sekiranya seseorang guru berupaya mempersembahkan sesuatu maklumat umum tentang
sesuatu topik sebelum masuk kepada maklumat yang lebih khusus. Hal ini sangat perlu supaya murid boleh
mengenal sesuatu konsep di dalam sesuatu topik.
Sebagai contoh, murid perlu memahami konsep jenis haiwan yang hidup di
darat dan air sebelum mengenal haiwan tersebut sama ada berdarah panas atau
sejuk. Bagi mengukuhkan kefahaman murid,
guru boleh mengaitkan pengetahuan sedia ada murid disamping mengimbas kembali
topik pembelajaran yang lepas. Hal ini
penting bagi memastikan murid tersebut tidak tersalah dari segi konsep. Dalam hal ini, guru perlulah membantu pelajar
yang tidak ada pengetahuan terdahulu kerana ianya sangat berkait rapat dengan
pelajaran yang baharu.
Pada masa yang sama, guru kenalah
bertindak sebagai pemudah cara kepada murid-murid untuk belajar. Dalam hal ini guru tidak perlulah memberi
tunjuk ajar seratus peratus. Cukuplah
sekadar menunjukkan jalan kepada mereka.
Contohnya, guru perlulah menyediakan segala alat, bahan dan sebagainya
bagi membantu murid memahami konsep jisim dan berat sama ada ditunjukkan dalam
bentuk gambar, simulasi, lakonan dan sebagainya. Hal ini penting bagi memastikan mereka
benar-benar boleh membezakan kedua-dua konsep tersebut. Oleh itu, penggunaan bahan maujud sangat
diperlukan bagi memudahkan penyampaian pengajaran guru di dalam mengajar murid.
Selanjutnya, teori ini jelas membawa
kepada keberkesanan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran apabila
seseorang guru dapat mengintegrasikan maklumat baru yang dipelajari oleh murid,
melalui perbandingan antara idea baru dengan idea lama. Sebagai contoh, murid telah belajar mengenai
konsep rumah, iaitu ada bilik, tandas dan sebagainya. Kemudian murid telah belajar mengenai
pangsapuri. Konsep rumah tidak perlu diubah
walaupun murid tidak pernah melihat pangsapuri.
Walaubagaimanapun, apabila guru memperkenalkan rumah igloo, konsep rumah
perlu diubah kerana rumah juga boleh diperbuat daripada ais, tidak semestinya
rumah diperbuat daripada simen dan kayu sahaja.
Jelaslah bahawa, jika guru berupaya memperkenalkan dan membantu murid
membuat perbezaan dalam sesuatu konsep, hal ini dapat memastikan keberkesanan
murid untuk mempelajari sesuatu topik yang bakal diajar pada masa akan datang.
3.3 Aplikasi
dan keberkesanan teori pembelajaran konstruktivis
Berbeza dengan teori yang sebelum ini,
teori pembelajaran konstruktivis ini mempunyai kelainannya yang
tersendiri. Pastinya ia membawa kepada
suatu bentuk pendekatan yang berbeza dalam memantapkan lagi aktiviti pengajaran
dan pembelajaran dalam bilik darjah. Namun
sejauh manakah keberkesanannya?
Teori pembelajaran konstruktivis akan
menjadi lebih berkesan sekiranya seseorang guru berupaya memilih pelajar yang
sudah menguasai sesuatu kemahiran dalam sesuatu topik untuk mengajar rakannya
yang lain. Contoh yang boleh
diketengahkan disini ialah guru akan memilih beberapa orang pelajar yang sudah
memahami dan menguasai topik pecahan dalam matematik kepada beberapa kumpulan
untuk membimbing murid yang masih belum menguasai topik pecahan. Pendekatan ini sebenarnya sangat membantu
guru bagi mengukuhkan kemhiran murid.
Hal ini kerana, sesetengah murid mungkin malu atau takut untuk bertanya
dengan guru sekiranya mereka tidak faham.
Sebaliknya, mereka akan lebih selesa apabila bertanya dengan rakan
mereka sendiri. Justeru, cara ini boleh
dipraktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah mengikut
kesesuaian murid.
Bukan itu sahaja, keberkesanan teori
ini boleh dilihat sekiranya guru menggalakkan pelajar melaksanakan tugasan
secara berkumpulan. Hal ini bagi
meluaskan pemikiran mereka disamping menggalakkan perbincangan supaya mereka
dapat berkongsi pendapat dan idea yang pelbagai. Misalnya, guru membahagikan murid kepada
beberapa kumpulan kemudian menyuruh mereka mencari maklumat mengenai tempat
bersejarah di Malaysia. Perkara ini
bukan sahaja menggalakan interaksi sesama mereka. Malah, perkara ini akan menyebabkan mereka
sentiasa berbincang berhubung dengan tugasan yang telah diberikan kepada
mereka. Maka, disinilah keberkesanan
teori ini dapat dilihat apabila guru tersebut berupaya menjayakannya.
Berikutan itu, jika seseorang guru
dapat melaksanakan strategi pengajaran yang pelbagai seperti mengadakan debat
antara kumpulan dan sebagainya, sebenarnya ia merupakan suatu usaha baik yang
boleh dinilai sebagai sesuatu yang berkesan di dalam teori konstruktivis. Sebagai contoh, guru memberikan pelbagai isu
semasa sebagai topik perbincangan untuk dibahaskan didalam setiap
kumpulan. Hal ini dapat menggalakan
murid untuk terlibat secara aktif bagi mengemukakan pandangan masing-masing. Malah, mereka turut belajar untuk mentafsir
maklumat yang mereka terima dan membuat pertimbangan melalui perbincangan
sesama mereka. Jelaslah disini bahawa
sememanya aktiviti seperti ini boleh membantu guru dalam aktiviti pengajaran di
dalam bilik darjah.
3.4 Aplikasi
dan keberkesanan teori pembelajaran sosial
Teori pembelajaran sosial yang dipelopori
oleh Albert Bandura turut membawa kepada keberkesanannya dari segi pelbagai
bentuk terutamanya dari segi sosial.
Pembelajaran melalui pemerhatian pastinya membawa impak yang positif
dalam bilik darjah. Namun, sejauh
manakah teori ini boleh diaplikasikan didalam bilik darjah?
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas akan menjadi lebih berkesan sekiranya seseorang guru tersebut
menggalakkan pembelajaran melalui pemerhatian dan peniruan. Contohnya, guru telah menjadikan seorang
murid tahun enam yang aktif dalam kegiatan kokurikulum dan cemerlang dalam
akademik sebagai model untuk dicontohi oleh para pelajarnya. Perkara ini sebenarnya dapat memberi impak
yang positif kepada mereka untuk lebih bermotivasi untuk melibatkan diri secara
aktif dalam kegiatan kokurikulum dan turut sama tidak lupa menyeimbangkan kecemerlangan
dalam pelajaran. Namun, guru tersebut
perlu juga untuk menerangkan tingkah laku yang kurang sesuai atau tidak boleh
diikuti, supaya murid tidak meniru sesuatu tingkah laku yang boleh membawa
kepada perlakuan yang negatif, melanggar undang-undang dan sebagainya.
Selain itu juga, penggunaan model
sebenar seperti mana yang digalakkan dalam teori pembelajaran sosial adalah
sangat membantu di dalam keberkesanan aktiviti modeling di dalam kelas. Sebagai contoh, guru boleh membawa tukang
kayu ke bengkel kemahiran hidup untuk menunjukkan cara menggergaji kayu dengan
betul. Pembelajaran pastinya akan
menjadi lebih efektif kerana murid akan memerhatikan pengalaman secara langsung
dan berupaya meniru kemahiran yang ditunjukkan oleh tukang kayu tadi. Hal ini bukan sahaja memudahkan pengajaran di
dalam bengkel tersebut. Malah,
pembelajaran akan menjadi lebih seronok dan pastinya dengan suasana yang
sedemikian akan menimbulkan minat murid untuk belajar dengan lebih berkesan.
Tambahan pula, satu kebiasaan guru
yang memang wajar dipuji apabila seseorang guru mempamerkan hasil kerja murid
yang mendapat gred A dibelakang kelas didalam memastikan aktiviti modeling
boleh berlaku didalam kelas. Sebagai
contoh, hasil kerja murid yang mendapat A terutamanya dalam subjek pendidikan
seni dipaparkan dibelakang kelas. Dalam
hal ini, murid-murid lain yang belum membuat hasil kerja yang cantik pasti akan
lebih teransang untuk turut sama membuat hasil kerja yang terbaik supaya hasil
kerja mereka boleh dipamerkan. Hal ini
semestinya akan mewujudkan pembelajaran yang lebih berkesan kerana setiap murid
akan berlumba-lumba dan berusaha kearah menghasilkan setiap tugasan dengan
bersungguh-sungguh. Semestinya
keberkesanan aktiviti modeling ini dapat dilihat menerusi peranan guru yang
melaksanakan aktiviti seperti ini didalam kelas.
3.5 Aplikasi
dan keberkesanan Teori pembelajaran humanis
Teori pembelajaran Humanis turut memainkan
peranan yang penting di dalam memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
di dalam bilik darjah menjadi lebih berkesan.
Pendekatan humanis yang dilihat sebagai kuasa ketiga dalam bidang
psikologi adalah sangat sangat menarik untuk diaplikasikan oleh guru. Namun,
sejauh manakah keberkesanannya?
Seorang guru yang dapat mengesan
keadaan dan situasi murid-muridnya yang mempunyai pelbagai keperluan yang harus
dipenuhi adalah bertepatan dengan teori humanis bagi menjadikan pembelajaran
menjadi lebih efektif. Sebagai contoh,
ada pelajar yang belum bersarapan atau mengantuk didalam kelas. Apabila guru boleh menghidu situasi murid
yang sebegini, guru tersebut perlu memberi ruang untuk murid makan dan juga
memberi masa untuk murid yang mengantuk untuk tidur sekejap. Hal ini bukan sahaja akan meningkatkan mood
untuk murid belajar. Malah, ia akan
menjadikan murid lebih menumpukan kepada aktiviti pembelajaran yang berlangsung
didalam kelas.
Disamping itu, guru perlulah mengajar
dengan berfokuskan kepada pelajar, bukannya mengajar subjek yang diajar
semata-mata. Dalam hal ini, keperluan
pelajar haruslah diutamakan. Jika hal
ini dilakukan, pastinya proses pembelajaran akan menjadi lebih berkesan. Guru bertanggungjawab supaya memberikan
kefahaman kepada pelajar sebaik mungkin.
Sebagai contoh, guru sains mengajar mengenai planet di alam semesta. Guru harus mengenalkan murid kepada planet
supaya murid tahu, bukannya menyampaikan apa yang guru tahu mengenai planet
sehingga murid tidak faham apa yang diajar oleh guru. Perkara ini haruslah disedari oleh semua guru
supaya murid boleh menerima pengajaran guru dan seterusnya supaya keberkesanan
murid untuk belajar topik yang akan datang akan menjadi lebih mudah.
Akhir sekali, teori humanis dapat
dilihat keberkesanannya melalui tindakan guru yang sentiasa menjadi contoh
teladan yang baik kepada muridnya.
Sebagai contoh, setiap pagi akan ada kelas yang bertugas untuk memungut
sampah. Guru yang bertugas untuk
memantau para pelajar boleh menunjukkan contoh yang baik dengan turut sama
bersama para pelajar memungut sampah.
Hal ini bukan sahaja menimbulkan rasa percaya pelajar terhadap
guru. Malah, ianya dapat memupuk tabiat
suka menjaga kebersihan dalam kalangan pelajar dan guru. Haruslah diingatkan bahawa, seorang guru bukanlah
mengajar akademik dan kokurikulum sahaja.
Guru juga turut sama bertanggungjawab membentuk sahsiah, akhlak dan
peribadi pelajar agar boleh berketrampilan mulia di dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment