Saturday, 4 January 2014

Perbezaan Anak Sah taraf dan Anak Tak Sah taraf Menurut Undang-undang dan Syarak


1.8 Perbezaan Anak Sah taraf dan Anak Tak Sah taraf Menurut Undang-undang dan Syarak
Menurut undang-undang Malaysia, anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram lebih dikenali sebagai anak tidak sah taraf atau anak luar nikah dan anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologi kanak-kanak itu menurut hukum syarak kerana ia lahir bukan daripada perkahwinan yang sah. Ia juga tidak mempunyai hak perwalian dan hak untuk mendapatkan harta pusaka (Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989).
            Menurut AUKI 1984, ‘anak tak sah taraf’ bermaksud anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan yang syubhah. Perkataan syubhah membawa erti keraguan atau kesamaran yang menimbulkan was-was terhadap sesuatu perkara dan tidak dapat dipastikan halal atau haramnya perkara tersebut.  (Dr. Zaleha Kamaruddin & Raihanah Abdullah, 2002).
            Para fuqaha’ semua mazhab berpendapat bahawa seorang anak yang pembenihannya dan kehamilan berlaku sebelum pernikahan kedua ibu bapanya adalah anak hasil perzinaan dan anak tersebut adalah merupakan anak tak sah taraf. Walau bagaimanapun, anak yang lahir setelah enam bulan atau lebih dari tarikh pernikahan akan dikira sebagai anak yang sah (Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989).
            Di Malaysia, masih belum ada sebarang peruntukan dalam undang-undang keluarga Islam yang seragam mewajibkan kepastian bapa kandung bagi seorang anak yang tak sah taraf. Malahan dalam Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah juga tidak menetapkan kewajipan memastikan bapa kandung seorang anak yang dilahirkan luar nikah. Justeru, hukuman bagi kesalahan itu terkena kepada wanita sahaja, kerana qarinah lebih mudah diperolehi daripada wanita.  Kecuali jika terdapat keterangan berlakunya persetubuhan haram maka pasangan lelakinya boleh dihukum.



1.9 Tempoh Minimum Kehamilan
Tempoh paling minimum adalah enam bulan ( Qamariyyah) dan dua lahzah.    Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat 15 :  Maksudnya : “ Tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan ”.  Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah :

والوالدات يرضعن أولادهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم الرضاعة
            Maksudnya : “ Dan ibu-ibu yang menyuskan anaknya selama dua tahun (sempurna) bagi sesiapa yang ingin menyempurnakan penyusuan ”.  Berdasarkan dua ayat inilah para Fuqaha` menentukan bahawa tempoh minimum kehamilan ialah enam bulan qamariyyah dan dua lahzah. Iaitu lahzah percantuman benih suami isteri dan lahzah berlakunya kelahiran. 

Pendapat Fuqaha` berkenaan al-Dukhul al-Haqiqiyy atau Imkan al-Dukhul :

1) Imam Abu Hanifah :
Sesungguhnya nasab itu disabitkan dengan semata-mata akad nikah yang sahih walaupun suami dan isteri tidak sempat berjumpa ( Dukhul). Sekiranya suami di barat dan isteri di tiumr bernikah dan kemudiannya mendapat zuriat, maka anak tersebut dinasabkan kepadanya (suami) sekalipun tidak sempurna pertemuan (dukhul) di antara keduanya selepas akad.[10]

2) Imam al-Syafie, Malik dan Ahmad ( salah satu qaul Ahmad ) :
Sesungguhnya nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dengan Imkan al-Dukhul dan al-Talaaqi. [11] 

3)Pendapat Imam Ahmad ( qaul lain)
Nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dukhul haqiqiyy.[12] 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[10]  al-Sarakhsi: al-Mabsut 17/156, al-Kasaani: al-Bada`ei` 3/212, ibn `Abidin: al-Haasyiyah 3/547.

[11]  al-Syirazi: al-Tanbih ms 190, al-Syirazi: al-Muhazzab 2/120, al-Bahuti: Kashf al-Qinaa` 5/406.

[12]  al-Mardaawi : al-Ansaf 9/258.
2.0 Tempoh dan keadaan untuk Menafikan Nasab

Berkata Imam Malik, al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal rahimahumullah :
Seseorang lelaki boleh dan hendaklah menafikan kandungan isterinya semasa hari kandungannya dan melakukan penafian dengan meli`an isterinya di Mahkamah.

            Imam Malik juga berpendapat bahawa sekiranya seseorang lelaki berada di samping isterinya semasa isterinya sedang mengandung, maka tempoh untuk menafikan anak tersebut bermula dari isteri mula mengandung sehingga bersalin. Tidak ada penafian lagi selepas isteri melahirkan anak tersebut.

            Adapun sekiranya seseorang suami bermusafir atau ghaib semasa isterinya mengandung sehinggalah melahirkan anak tersebut, maka baginya (suami) menafikan anak tersebut apabila ia (suami) mengetahuinya.

            Para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang lelaki mengingkari nasab anaknya, maka wajib melakukan li`an di antaranya dan isterinya. Begitu juga para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang suami telah menerima anaknya sebelum daripada menafikan nasabnya, samada penerimaannya sebelum itu adalah secara sorih (lafaz yang jelas) atau dengan perbuatan yang menunjukkan penerimaannya seperti menerima ucapan tahniah, memberi didikan atau mengasihani anak tersebut seperti selayaknya seorang bapa mengasihi anaknya,  maka tidak ada lagi baginya selepas itu hak menafikan bahawa anak tersebut bukan dari keturunannya.

            Sekiranya seseorang suami menafikan nasab anak tersebut selepas penerimaannya (lafaz sorih atau melalui perbuatan dan tindak tanduknya), maka wajib ke atasnya Had Qazaf.


Kedudukan Anak Tak Sah Taraf Menurut Pandangan Ulamak


1.4 Kedudukan Anak Tak Sah Taraf Menurut Pandangan Ulamak
Para fuqaha’ semua mazhab bersependapat bahawa seseorang anak yang pembenihannya dan kehamilannya itu berlaku sebelum pernikahan kedua ibu bapanya, adalah anak hasil daripada perzinaan dan anak tersebut adalah anak tak sah taraf. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa persoalan yang perlu dilihat secara lebih terperinci.
Mazhab Hanafi berpandangan:
Jika seseorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, kemudian wanita tersebut melahirkan anak dalam tempoh kurang daripada enam bulan dari tarikh pernikahan mereka, anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada lelaki berkenaan kerana pembenihan telah berlaku sebelum nikah, maka ia bukan daripada suaminya. Sekiranya suami tersebut hendak menafikannya, maka ia hendaklah berli’an, kerana nasab boleh disabitkan melalui perkahwinan yang wujud. Li’an hendaklah berdasarkan qazaf tanpa perlu wujudnya anak. [7]
Berdasarkan al-Fatwa al-Zahiriyyah,
Jika seseorang lelaki berzina dengan seorang perempuan yang kemudiannya berlaku pembenihan, apabila ternyata hamil dan lelaki tersebut mengahwininya, maka pernikahan tersebut adalah harus.  Jika anak dalam kandungan tersebut lahir dalam tempoh selepas enam bulan atau lebih, maka anak tersebut boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut.  Sebaliknya, jika dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali jika ia mengaku bahawa anak itu adalah anaknya dan bukan dari hasil perzinaan. [8]

 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[7] Mu’in al-Hukkam, Ala’ al-Din Abi al-Hasan Ali bin Khalil al-Trablusiy, cetakan ke -2, Mesir, Syarikah Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladihi, 1973, hal. 332.

[8]Maktabah wa Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladihi, 1973, hal. 332.
12 Ibid, hal. 333
Mazhab Syafie [9] berpandangan:

Jika dikahwini seorang wanita yang hamil dari perzinaan, kemudian ia melahirkan anak yang sempurna tempohnya (term baby), maka terdapat empat (4) keadaan mengenainya, iaitu:
1.    Sama ada suami menafikan anak tersebut zahir dan batin tanpa melakukan li’an iaitu anak yang dilahirkan kurang daripada tempoh enam bulan daripada berlaku perhubungan suami isteri selepas akad nikah atau lebih daripada empat tahun dari tarikh terakhir berlaku perhubungan suami isteri.
2.    Sama ada dihubungkan anak dengan suami tersebut dan sabit bagi anak tersebut hukum perwarisan dan selainnya secara zahir, yang sepatutnya menafikannya kerana anak tersebut lahir lebih daripada masa enam bulan dan kurang daripada empat tahun. Suami tersebut mengetahui atau berat sangka bahawa anak itu bukan daripada benihnya kerana ia tidak menyetubuhi isterinya selepas akad dan tidak memasukkan spermanya. Atau anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan dari tempoh perhubungan suami isteri, atau lebih daripada empat tahun daripada perhubungan tersebut, atau lebih daripada enam bulan daripada istibra’ dengan sekali pusingan haid dan ternyata isteri tersebut berzina. Maka dalam keadaan sedemikian, suami tersebut berdosa jika tidak menafikan anak tersebut, malah ia suatu dosa besar.
3.    Sama ada menghubungkan anak tersebut kepada suami secara zahir tetapi tidak perlu menafikannya jika suami sangka bahawa anak tersebut adalah daripada benihnya walaupun tanpa sangkaan yang berat. Telah berlaku istibra’ selepas perhubungan suami isteri dan anak tersebut dilahirkan lebih daripada enam bulan selepas perhubungan suami isteri. Terdapat keraguan mengenai perzinaan isterinya. Dalam keadaan sedemikian, sunat (nadb) menghubungkan anak tersebut dengan suami.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[9]  Bughyah al-Mushtarshidin, al-Sayyid Abd. Rahman bin Muhammad bin Husayn bin Umar, Dar al-Fikr, Beirut, hal. 386.

4.    Sama ada dihubungkan anak tersebut kepada suami dan haram menafikannya jika berat sangkaan anak tersebut adalah dari benihnya. Atau pun terdapat dua perkara yang sama iaitu anak tersebut lahir setelah enam bulan dan lebih sehingga empat tahun daripada berlakunya perhubungan suami isteri serta tidak berlaku istibra’ selepas itu. Atau berlaku istibra’ tetapi anak tersebut dilahirkan kurang daripada enam bulan, maka dihubungkan melalui firash (perkahwinan yang sah). Terdapat perbezaan pendapat mengenai anak zina yang dilahirkan tanpa firash, maksudnya ibu kepada anak tersebut tidak berada dalam ikatan perkahwinan. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa tidak harus disambungkan nasab anak zina dengan bapa biologinya. Segelintir ulama’ yang mengharuskannya seperti Muhammad bin Sirrin dan Ibn Taimiyyah serta diperkukuhkan oleh anak muridnya, Ibn Qayyim. Hassan al-Basry dan Ibrahim al-Nakha’iy berpendapat bahawa harus menghubungkan anak zina dengan bapa zinanya setelah dikenakan hukuman hudud.

1.5 Syarat Pensabitan Nasab Anak Menurut Syarak dan AUKI 1984

Penentuan nasab anak ditentukan melalui status perkahwinan pasangan. Sekiranya anak yang dikandung itu hasil daripada perkahwinan yang sah, maka nasab anak adalah kepada bapanya. Asas penentuan ini adalah diambil daripada sebuah hadis Nabi S.A.W yang bermaksud:
“Anak yang lahir dari hubungan suami isteri yang sah dinasabkan kepada bapa, dan dia tidak berhak terhadap anak yang lahir dari hubungan zina.” (Hadis Riwayat Muslim)
Namun demikian, sekiranya berlaku syubhah maka penentuan nasab anak perlu ditentukan dengan teliti dan syarak telah menetapkannya melalui beberapa kaedah:
1- Penyaksian (syahadah)
Penyaksian dalam penentuan nasab anak hendaklah disaksikan oleh dua orang lelaki yang memenuhi syarat saksi pernikahan (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Justeru, penyaksian perempuan tidak diiktiraf oleh syarak sebagai saksi yang mempunyai otoriti dalam mengesahkan status anak sah taraf.
2- Pengakuan (iqrar)
Menurut mazhab as-syafie, pengakuan seorang bapa ke atas anaknya adalah dianggap sah oleh syarak sebagai kaedah dalam mensabitkan nasab anak (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Namun demikian, pengakuan tersebut perlu menepati beberapa peraturan berikut:
i)             Umur yang munasabah antara seorang bapa dan anak.
ii)            Tiada penafian oleh masyarakat umum tentang pengakuan tersebut
iii)           Persetujuan orang yang didakwa (mengiyakan ikrar) atas pengakuan pendakwa
 3- Perakuan masyarakat (istifadah)
Penyaksian dan perakuan masyarakat juga merupakan kaedah ketiga dalam menentukan nasab seseorang. Ianya diperaku oleh syarak melalui amalan Baginda S.A.W dan para sahabat R.A. Baginda dan para sahabat berpada dengan penerimaan kaum keluarga dan masyarakat (dengan kuantiti yang ramai) terhadap suatu pensabitan nasab (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Ini adalah kerana masyarakat atau kaum keluarga yang menyaksikan suatu perkahwinan, mereka berkelayakan untuk memperakukan nasab anak hasil daripada perkahwinan yang mereka telah saksikan.
            Selain itu, seksyen 114 AUKI 1984 juga meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sekiranya seseorang itu mengaku bahawa seseorang yang lain ialah anaknya yang sah iaitu:
a. Tiada orang lain disifatkan sebagai bapa kepada anak itu;
b. Perbezaan umur antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak;
c. Jika anak itu telah akil baligh, di mana dia boleh membuat keputusan anak itu telah mempersetujui tentang dia diakui sebagai anak;
d. Lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;
e. Pengakuterimaan itu bukannya semata-mata mengakui anak itu sebagai anaknya tetapi mengaku anak itu sebagai anak sah tarafnya;
f. Lelaki itu adalah berkeupayaan membuat kontrak;
g.Pengakuterimaan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi kesahtarafan;
h. Pengakuterimaan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu adalah diakui sebagai anak kandungnya.

1.6 Cara Sabitan Nasab

       Sebelum memperkatakan tentang keadaan anak taksah taraf, perlulah  diketahui dahulu tentang nasab dan cara sabitannya. Setiap anak yang dilahirkan secara automatik dinasabkan (dihubungkan keturunannya) kepada ibunya, kecuali di dalam keadaan tertentu yang memenuhi syarat-syarat, barulah seseorang anak itu dinasabkan kepada bapanya.
       Sabitan nasab bermaksud menentukan nasab seseorang individu samada kepada bapanya disebutkan sebagai (ثبوت الأبوة) atau kepada saudara maranya yang disebutkan sabitan persaudaraan (ثبوت الأخوة).
       Tujuan sabitan nasab adalah memelihara maruah seseorang serta melindungi hak-hak peribadinya seperti perwalian, nafkah, hadhanah dan perwarisan. Selain itu untuk menghindarkan ibu dari sebarang tuduhan liar dan prasangka buruk.
       Di atas tujuan ini, ulama’ menjelaskan cara-cara yang tertentu di dalam menentukan nasab. Dan ianya ada dan masih digunakan di dalam perundangan kita. Malah penentuan nasab juga menerima kaedah baru yang diperkenalkan iaitu firash.
Firash
Pada pendapat Dr. Wahbah firash bermaksud wanita yang digauli dan dinikmati oleh seorang lelaki. Al-Jurjaniy pula berpandangan bahawa firash ialah perempuan yang ditentukan untuk melahirkan anak bagi seseorang tertentu.
       Kaedah firash terbahagi kepada firash isteri, firash hamba sahaya dan shibhu firash. Di dalam ini hanya disentuh firash isteri. Yang membawa maksud sebagai isteri dari perkahwinan yang sah, iaitu ikatan pernikahan berlaku di antara lelaki dan perempuan semasa kehamilan bermula. Malah, fuqaha bersepakat bahawa anak yang dilahirkan oleh perempuan yang berkahwin secara sah dinasabkan kepada suaminya.
       Tujuan sabitan nasab adalah memelihara maruah seseorang serta melindungi hak-hak peribadinya seperti perwalian, nafkah, hadhanah dan perwarisan. Selain itu untuk menghindarkan ibu dari sebarang tuduhan liar dan prasangka buruk.
Keadaan kaedah ini terpakai di atas syarat seperti berikut:-
1.    Suami berupaya menghamilkan isterinya, yang bermaksud suami adalah sihat, mempunyai anggota kelamin yang sempurna dan tidak cacat.
2.    Suami isteri itu mempunyai kemungkinan bersama setelah bernikah.
3.    Anak yang dilahirkan setelah 6 bulan dari tarikh akad mengikut Hanafi dan dari waktu boleh bersama menurut jumhur ulama’.
Shibhu firash adalah sabitan nasab melalui persetubuhan syubhah yang bukan perzinaan.
Pengakuan nasab disebutkan sebagai dakwaan nasab, terbahagi kepada dua iaitu pengakuan hanya kepada pengaku sahaja dan pengakuan yang melibatkan orang lain.  Pengakuan hanya kepada pengaku sahaja tidak membabitkan orang lain.
Pengakuan
Seorang lelaki jika mengakui seseorang anak adalah anaknya, tertakluk kepada beberapa syarat iaitu:-
1.    Anak tersebut tidak diketahui nasabnya.
2.    Pengakuan itu hendaklah dibenarkan oleh fakta seperti perbezaan umur dan sebagainya.
3.    Pengakuan tersebut dibenarkan oleh orang yang diakui.
4.    Pengakuan tidak melibatkan orang ketiga.
Pengakuan Yang Melibatkan Orang Lain
Iaitu melibatkan orang lain seperti datuk dan sebagainya.  Iaitu perlu kepada pengakuan tambahan bagi menguatkan pengakuan tersebut.
Undang-Undang
       Kes berkaitan tuntutan nasab atau dakwaan sebagai anak seseorang adalah kes terpinggir. Sukar dicari kes tersebut di Mahkamah Syariah. Ini bukan bermakna tiada berlaku di negara kita.
       Sebaliknya kes membabitkan anak tidak sah taraf banyak berlaku di setiap Mahkamah Syariah di Malaysia. Mengikut statistik, paling kurang terdapat satu kes bagi setiap bulan.
       Jika dikaitkan dengan situasi tidak sah taraf, adalah yang memperkatakan keadaan anak tersebut sahaja.  Namun, tidak disentuh pula kepada ibubapanya. Kerana kesalahan ibubapalah menyebabkannya menjadikanya tidak sah taraf. Namun kesannya ditanggung oleh si anak.
       Anak tidak sah taraf tiada hubungan dengan suami ibunya. Nasab anak ini kepada ibu dan keturunannya. Ini bermakna si anak ini tiada bapa dan tidak layak menerima apa-apa daripada lelaki yang bergelar bapa. Sebaliknya terdapat pandangan fuqaha’ yang mengharus atau menghalalkan anak luar nikah jika perempuan untuk berkahwin dengan lelaki yang membuatkan ibunya mengandung.
       Keadaan ini berlaku, kerana Islam hanya mengambil kira setiap anak diakui sebagai ‘anak kandung’ dan ‘anak sah taraf’ yang lahir hanya di dalam perkahwinan di dalam tempoh yang sah.
Amalan Perundangan Semasa
       Undang-undang syariah yang dijalankan sejajar dengan hukum syarak. Di mana anak tidak sah taraf diakui wujud dan diadakan peruntukan berkaitannya.  Amalan ini tidak berlaku sebagaimana yang berlaku di mahkamah awam. Melalui seksyen 112 Akta keterangan 1950 dan Akta Sah Taraf 1961 boleh menghalalkan seseorang anak yang tidak sah taraf. Dengan ibunya berkahwin dan ia dilahirkan di dalam perkahwinan walaupun sehari selepas perkahwinan (atau setelah upacara perkahwinan tersebut).

       Perkara di atas tidak dapat berlaku di Mahkamah Syariah, di mana Islam menetapkan tempoh kiraan-kiraan di atas bagi melayakkan seseorang itu diiktiraf sebagai anak sah taraf ataupun sebaliknya. Ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Kategori Anak Tak Sah Taraf

1.2 Kategori Anak Tak Sah Taraf

1)  Anak hasil perzinaan

2) Anak yang dilahirkan dari pernikahan yang sah, tetapi telah memenuhi kriteria yang meragukan menyebabkan terjadinya anak tak sah taraf, dan kriteria tersebut ialah;

i)             Lian (perceraian secara menafikan nasab anak yang dikandung)
ii)  Tempoh kandungan yang ditetapkan fuqaha selepas isteri diceraikan atau kematian (kurang 6 bulan selepas pernikahan)
iii)    Suami yang telah disahkan tidak akan dapat menghasilkan anak, tetapi isterinya mengandung.
iv)           Tuan yang tak mahu menuntut nasab anaknya yang dilahirkan oleh hamba wanitanya. Selanjutnya merujuk pada seksyen 111, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 berkenaan dengan perkara kesahtarafan anak, ada memperuntukkan sebagaimana di bawah:
Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu, atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara lian atau kutukan menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah.

            Selanjutnya merujuk pada seksyen 112 enakmen yang sama menyatakan bahawa: Jika anak itu dilahirkan lebih daripada 4 tahun qamariah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika lelaki itu ataumana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu. 

            Oleh itu berpandukan pada kedua-dua seksyen ini, maka dari segi undang-undangnya kita dapatlah ditentukan sama ada anak tersebut adalah anak sah taraf atau sebaliknya.

1.3 Peruntukan Bagi Mensabitkan Nasab

Terdapat juga peruntukan tentang kesahtarafan anak dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan tentang siapakah yang dikaitkan sebagai bapa, iaitu: ‘Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah’.

            Peruntukan ini mengaitkan hubungan bapa dengan anaknya sekiranya anak tersebut lahir dari perkahwinannya dengan seorang wanita selepas enam bulan perkahwinan mengikut tahun hijri atau dalam masa empat tahun selepas perceraian. Anak yang lahir dalam jangka masa yang tersebut dikira sebagai sah tarafnya melainkan si bapa menafikan nasab anak tersebut di mahkamah. Terdapat juga peruntukan lain yang menyatakan tentang anak yang disifatkan tak sah tarafnya, iaitu: ‘Jika anak itu dilahirkan lebih daripada empat tahun qamariah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika lelaki itu atau mana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu’. [6]


            Sekiranya seorang anak lahir selepas tamat tempoh ‘iddah,: ‘Jika seorang perempuan, yang tidak berkahwin semula, membuat satu pengakuan bahawa tempoh ‘iddahnya telah tamat, sama ada ‘iddah itu adalah oleh sebab kematian atau perceraian, dan perempuan itu kemudiannya melahirkan seorang anak, maka suami perempuan itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika anak itu telah dilahirkan kurang daripada empat tahun qamariah dari tarikh perkahwinan itu dibubarkan oleh sebab kematian suaminya atau oleh sebab perceraian’.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[6]Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, seksyen 111, Warta Kerajaan Negeri Selangor No. 10, Jil. 59, [Mufti Sel. 501-3; PU. Sel. AGM. 0007 Jld.2]. 

ANAK TAK SAH TARAF DALAM ISLAM

       Fenomena anak tak sah taraf di Malaysia seakan-akan sudah menjadi masalah sosial yang lumrah dan tidak asing lagi kepada masyarakat kita. Ini kerana perkara ini sudah terlalu kerap berlaku. Kisah-kisah tentang pembuangan bayi terpampang di dada akhbar, sementara kes ibu hamil tanpa nikah yang berada di pusat pemulihan semakin bertambah dari semasa ke semasa.  Berdasarkan laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara, sejak tahun 2008 hingga 2012, terdapat lebih 167,073 bayi yang direkodkan kelahirannya tanpa bapa telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Ini bermakna, secara purata: 33,415 orang bayi dilahirkan dalam tempoh setahun.  2,784 orang bayi dilahirkan dalam tempoh sebulan.  93 orang bayi dilahirkan dalam tempoh sehari manakala 4 orang bayi telah dilahirkan  dalam tempoh sejam. 

            Statistik atau fakta yang dipaparkan ini sebenarnya lebih tinggi daripada yang sedia ada sekiranya mengambil kira kes-kes yang melibatkan pengguguran haram atau pembuangan bayi yang dipaparkan di media dan tidak direkodkan.  Walaubagaimanapun, dalam perkara seperti ini, terdapat kemungkinan ianya berlaku disebabkan kesan atau akibat daripada ibu bapa yang telah bercerai serta anak tersebut sukar dipelihara atas faktor kemiskinan dan sebagainya.  Persoalan yang sering ditimbulkan adalah bagaimana hendak mengatasi perbuatan seperti ini? Terdapat pandangan yang mengatakan supaya dilaksanakan hukuman hudud. Sebaliknya, ada pula yang menyarankan supaya diwujudkan tempat atau sebuah pusat penyerahan bagi bayi yang tidak dikehendaki.  Jika dipilih cara yang pertama, maka bagi orang yang ragu akan berkata: Adakah mudah untuk memperolehi empat (4) orang saksi seperti mana yang disyaratkan? Sedangkan bayi yang tidak berdosa terus dilahirkan di luar nikah, adakalanya ia dibuang malahan ada pula yang dibunuh.

            Sekiranya kita memilih cara yang kedua, jika tersilap langkah atau pertimbangan maka ia boleh dan bakal menjadi galakan kepada berleluasanya perbuatan zina kerana para penzina tidak perlu risau jika berlaku hamil luar nikah, sebab sudah tersedia ruang dan tempat bagi menempatkan bayi yang tidak dikehendaki.

            Penyelesaian kepada permasalahan sosial yang berlaku tidak boleh diambil melalui jalan yang singkat dan semudah seperti yang disangka. Ia perlu dilihat dari keseluruhan aspek dengan melibatkan pendekatan agama, pembangunan insan serta pembentukan masyarakat yang beretika dan baik.  Dalam Kanun Keseksaan, tidak terdapat tafsiran mengenai perbuatan zina.  Oleh itu, perzinaan dianggap bukanlah suatu jenayah kerana terdapat unsur kerelaan. Ia berbeza dengan perbuatan rogol yang dianggap sebagai satu kesalahan dan jenayah kerana terdapat unsur paksaan serta wujudnya mangsa dalam perbuatan tersebut.

1.  KONSEP ANAK TAK SAH TARAF DALAM ISLAM

1.1 Definisi Anak Tak Sah Taraf

              Anak tak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut walad al-zina[1] yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah (suatu ketika dahulu masyarakat di kampung menggelarkannya sebagai anak gampang). Berdasarkan perbincangan para fuqaha’ tentang nasab seseorang anak, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah atau pun persetubuhan syubhah. [2]

            Anak Tak Sah Taraf ialah anak yang dilahirkan dari perhubungan yang tidak sah di sisi Hukum Syarak (Luar Nikah) samada akibat daripada zina atau rogol dan anak tersebut lahir kurang dari enam bulan Hijrah dari tarikh perkahwinan atau seseorang anak yang dilahirkan selepas empat tahun pembubaran perkahwinan disebabkan kematian suami atau perceraian dan ianya tidak berkahwin semula.

            Anak tak sah taraf juga bukan anak daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan atau anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah daripada tarikh akad nikah. [3]   Anak tersebut (TST) dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah (tahun qamariyyah) dari waktu “Imkan al-Dukhul” dan ia bukan daripada persetubuhan syubhah.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[1]  Hans Wehr, A Dictionary of Modern Written Arabic, Library Du Liban, Beirut, 1980. 

[2] Al-Nasab wa Atharuhu, Muhammad Yusuf Musa, Edisi 2, Dar al-Ma’rifah, Kaherah 1967, hal. 7-20.  Persetubuhan syubhah adalah merujuk kepada persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah. Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bayt al-Muslim fi al- Syariah al-Islamiyyah, Dr. Abd. Karim Zaydan, Vol. 9, Muassasah al-Risalah, t.tp, t.t, hal. 341-344.

[3] Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke - 57 bertarikh 10hb. Jun 2003 telah membuat keputusan 6 bulan 2 lahzah mengikut Taqwim Qamariyyah daripada tarikh Tamkin (persetubuhan)

            Manakala anak tersebut juga (TST), boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya dengan syarat lelaki tersebut tidak menafikan yang anak tersebut bukan daripada hasil hubungannya dengan ibu kepada anak berkenaan. Disamping itu juga tidak berlaku penafian oleh kedua-dua belah pihak iaitu ibu dan bapa kepada anak tersebut, juga pengisytiharan penafiannya tidak dihebahkan kepada orang ramai, dan anak tersebut lahir setelah enam bulan atau lebih daripada tarikh pernikahan, maka anak tersebut dikira sebagai anak yang sah taraf menurut pandangan Islam walaupun anak tersebut terhasil sebelum dari akad nikah yang sah dan lelaki tersebut menanggung segala yang telah diperakukannya.[4] 

         Seksyen 2(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 [En. 17/2003] menakrifkan anak “tak sah taraf” ertinya seseorang anak yang dilahirkan dari hasil luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.

            Anak tak sah taraf juga dipanggil sebagai “anak haram” atau “anak luar nikah”. Yang bermakna anak tersebut tidak dilahirkan di dalam perkahwinan yang sempurna tempohnya yang diiktiraf oleh fuqaha dan perundangan.

     Dalam kertas kerja berjudul “Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syara’’ yang dibentangkan oleh Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid,  anak tidak sah taraf dalam istilah bahasa Arab disebut 'walad al-zina' yang bermaksud anak zina atau anak luar nikah.  Para Fuqaha’ bersepakat bahawa anak zina merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan daripada perkahwinan yang sah atau persetubuhan syubhah (persetubuhan oleh lelaki dan perempuan yang menyangka mereka adalah suami isteri yang sah). Oleh itu, kesahtarafan seseorang anak adalah merujuk kepada perkahwinan yang sah daripada kedua ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda: “(Kesahtarafan) seorang kanak-kanak berpunca daripada tempat tidur (kedua ibu bapanya yang sah) dan seorang penzina adalah layak ditahan.” (HR Al-Bukhari)
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[4]  Garis panduan mengenai anak tak sah taraf menurut hukum syara` - Dato` Setia Hj. Mohd Tamyes bin Abdul Wahid, Dato` Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor.

            Berdasarkan perbincangan para fuqaha tentang nasab seseorang anak, secara umumnya dapatlah dirumuskan bahawa anak zina adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan yang sah atau pun persetubuhan syubhah.  Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 juga mempunyai peruntukan yang sama.  Terdapat juga peruntukan yang sama dalam Enakmen Undang undang Keluarga Islam di negeri-negeri lain di Malaysia, contohnya di Kelantan, Melaka, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak.  Hal ini bermakna, pengertian anak tak sah taraf dalam peruntukan undang-undang negeri di Malaysia adalah selari dengan definisi anak tak sah taraf mengikut hukum syarak.

            Peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 2 mentafsirkan anak tidak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah sepertimana berikut: ”tak sah taraf’, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.”

            Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor pula menyatakan istilah anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan pada anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sama. Peruntukan undang-undang menyatakan bahawa : tak sah taraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah.

            Berdasarkan peruntukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) seksyen 2 mentafsirkan anak tak sah taraf adalah satu istilah yang digunakan bagi anak yang tidak mempunyai nasab atau hubungan darah yang sah sepertimana berikut : tak sah taraf, berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah; Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MKI) kali ke-64 pada 27 Julai 2004 menyatakan bahawa Anak tak sah taraf ialah:

1.     Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak  perhambaan.
2.     Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).
3.    Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut takwim Qamariah daripada waktu tamkin (setubuh) selepas akad yang sah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak tanpa nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut Hukum Syarak. [5]

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[5] Warta Kerajaan Negeri Selangor No. 9, Jil. 58, [Mufti Sel. 500-2; PU. Sel. AGM. 0007 Jld.2].