Saturday 4 January 2014

Perbezaan Anak Sah taraf dan Anak Tak Sah taraf Menurut Undang-undang dan Syarak


1.8 Perbezaan Anak Sah taraf dan Anak Tak Sah taraf Menurut Undang-undang dan Syarak
Menurut undang-undang Malaysia, anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram lebih dikenali sebagai anak tidak sah taraf atau anak luar nikah dan anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologi kanak-kanak itu menurut hukum syarak kerana ia lahir bukan daripada perkahwinan yang sah. Ia juga tidak mempunyai hak perwalian dan hak untuk mendapatkan harta pusaka (Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989).
            Menurut AUKI 1984, ‘anak tak sah taraf’ bermaksud anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan yang syubhah. Perkataan syubhah membawa erti keraguan atau kesamaran yang menimbulkan was-was terhadap sesuatu perkara dan tidak dapat dipastikan halal atau haramnya perkara tersebut.  (Dr. Zaleha Kamaruddin & Raihanah Abdullah, 2002).
            Para fuqaha’ semua mazhab berpendapat bahawa seorang anak yang pembenihannya dan kehamilan berlaku sebelum pernikahan kedua ibu bapanya adalah anak hasil perzinaan dan anak tersebut adalah merupakan anak tak sah taraf. Walau bagaimanapun, anak yang lahir setelah enam bulan atau lebih dari tarikh pernikahan akan dikira sebagai anak yang sah (Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989).
            Di Malaysia, masih belum ada sebarang peruntukan dalam undang-undang keluarga Islam yang seragam mewajibkan kepastian bapa kandung bagi seorang anak yang tak sah taraf. Malahan dalam Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah juga tidak menetapkan kewajipan memastikan bapa kandung seorang anak yang dilahirkan luar nikah. Justeru, hukuman bagi kesalahan itu terkena kepada wanita sahaja, kerana qarinah lebih mudah diperolehi daripada wanita.  Kecuali jika terdapat keterangan berlakunya persetubuhan haram maka pasangan lelakinya boleh dihukum.



1.9 Tempoh Minimum Kehamilan
Tempoh paling minimum adalah enam bulan ( Qamariyyah) dan dua lahzah.    Firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat 15 :  Maksudnya : “ Tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan ”.  Firman Allah di dalam Surah al-Baqarah :

والوالدات يرضعن أولادهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم الرضاعة
            Maksudnya : “ Dan ibu-ibu yang menyuskan anaknya selama dua tahun (sempurna) bagi sesiapa yang ingin menyempurnakan penyusuan ”.  Berdasarkan dua ayat inilah para Fuqaha` menentukan bahawa tempoh minimum kehamilan ialah enam bulan qamariyyah dan dua lahzah. Iaitu lahzah percantuman benih suami isteri dan lahzah berlakunya kelahiran. 

Pendapat Fuqaha` berkenaan al-Dukhul al-Haqiqiyy atau Imkan al-Dukhul :

1) Imam Abu Hanifah :
Sesungguhnya nasab itu disabitkan dengan semata-mata akad nikah yang sahih walaupun suami dan isteri tidak sempat berjumpa ( Dukhul). Sekiranya suami di barat dan isteri di tiumr bernikah dan kemudiannya mendapat zuriat, maka anak tersebut dinasabkan kepadanya (suami) sekalipun tidak sempurna pertemuan (dukhul) di antara keduanya selepas akad.[10]

2) Imam al-Syafie, Malik dan Ahmad ( salah satu qaul Ahmad ) :
Sesungguhnya nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dengan Imkan al-Dukhul dan al-Talaaqi. [11] 

3)Pendapat Imam Ahmad ( qaul lain)
Nasab disabitkan dengan akad nikah yang sahih bersama dukhul haqiqiyy.[12] 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
[10]  al-Sarakhsi: al-Mabsut 17/156, al-Kasaani: al-Bada`ei` 3/212, ibn `Abidin: al-Haasyiyah 3/547.

[11]  al-Syirazi: al-Tanbih ms 190, al-Syirazi: al-Muhazzab 2/120, al-Bahuti: Kashf al-Qinaa` 5/406.

[12]  al-Mardaawi : al-Ansaf 9/258.
2.0 Tempoh dan keadaan untuk Menafikan Nasab

Berkata Imam Malik, al-Syafie dan Ahmad bin Hanbal rahimahumullah :
Seseorang lelaki boleh dan hendaklah menafikan kandungan isterinya semasa hari kandungannya dan melakukan penafian dengan meli`an isterinya di Mahkamah.

            Imam Malik juga berpendapat bahawa sekiranya seseorang lelaki berada di samping isterinya semasa isterinya sedang mengandung, maka tempoh untuk menafikan anak tersebut bermula dari isteri mula mengandung sehingga bersalin. Tidak ada penafian lagi selepas isteri melahirkan anak tersebut.

            Adapun sekiranya seseorang suami bermusafir atau ghaib semasa isterinya mengandung sehinggalah melahirkan anak tersebut, maka baginya (suami) menafikan anak tersebut apabila ia (suami) mengetahuinya.

            Para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang lelaki mengingkari nasab anaknya, maka wajib melakukan li`an di antaranya dan isterinya. Begitu juga para Fuqaha` bersepakat bahawa sekiranya seseorang suami telah menerima anaknya sebelum daripada menafikan nasabnya, samada penerimaannya sebelum itu adalah secara sorih (lafaz yang jelas) atau dengan perbuatan yang menunjukkan penerimaannya seperti menerima ucapan tahniah, memberi didikan atau mengasihani anak tersebut seperti selayaknya seorang bapa mengasihi anaknya,  maka tidak ada lagi baginya selepas itu hak menafikan bahawa anak tersebut bukan dari keturunannya.

            Sekiranya seseorang suami menafikan nasab anak tersebut selepas penerimaannya (lafaz sorih atau melalui perbuatan dan tindak tanduknya), maka wajib ke atasnya Had Qazaf.


No comments:

Post a Comment