Wednesday 12 March 2014

Interaksi Tamadun Islam Dalam Tamadun Melayu.

Akhir sekali kita akan melihat Interaksi Tamadun Islam dalam Tamadun Melayu.  Interaksi Tamadun Islam dalam Tamadun Melayu bermula apabila agama Islam berkembang di Alam Melayu. Menurut (Profesor Dr Hamka,1994), perkembangan Islam di Alam Melayu ini mulanya dibawa oleh orang Arab yang datang ke Tanah Melayu abad ke-7 Masihi.  Hal ini dibuktikan melalui catatan dari pusaka Tiongkok.  Perkembangan agama di Alam Melayu berlaku secara aman berdasarkan faktor pedagang, geografi, ekonomi, perkahwinan serta faktor politik dan penaklukan. Sebahagian besar pedagang Islam masa tersebut datangnya dari Yaman, iaitu sebuah kerajaan Arab yang bergiat dalam perdagangan.
          Hasil interaksi yang boleh dilihat ialah perubahan pemikiran kerana orang Melayu pada dahulunya dipengaruhi kepercayaan agama Hindu dan Buddha. Kedatangan Tamadun Islam mengubah corak pemikiran mereka mengikut akidah dan kepercayaan terhadap Islam.  Mereka percaya Tuhan Yang Maha Esa, perlunya hormat-menghormati antara manusia dan menitik beratkan soal persamaan taraf. Kedatangan dan penerimaan Islam menghasilkan ciri utama dalam tamadun Melayu, misalnya mengenai sistem politik dan pentadbiran.  Sistem pemerintahan empayar Uthmaniyah telah diperkenalkan dan meletakkan sultan sebagai ketua negara dan ketua agama Islam.  
        Interaksi tamadun Islam memberi perubahan besar dari segi kebudayaan orang Melayu kerana kebudayaan orang Melayu dahulu dipengaruhi oleh agama Hindu dan Buddha. Dengan kedatangan Islam, hampir kesemua budaya dan adat itu tidak boleh diamalkan kerana bertentangan dengan syariat Islam.  Dari segi bahasa pula, kedatangan pengaruh Islam menjadikan kosa-kata bahasa Melayu lebih meluas sehinggakan ia boleh digunakan untuk membahas perkara ilmiah seperti falsafah. Hal ini adalah kesan daripada kehadiran ilmu Tasawuf, hukum dan undang-undang, penterjemahan al-Quran, perbahasan ilmu Hadis,  ilmu fekah dan berbagai-bagai ilmu lagi.  Dari segi seni bina pula, hasil interaksi Tamadun Islam sangat jelas telah mempengaruhi seni bina masjid di Tanah Melayu. Seni bina Masjid ini kebanyakannya dipengaruhi seni bina daripada Yaman dan Parsi.  

No comments:

Post a Comment