Tuesday, 24 September 2013

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN




"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."

            Merujuk kepada falsafah diatas, saya telah menganalisis dan mendapati bahawa falsafah pendidikan telah menjadi panduan bagi semua aktiviti yang berbentuk pendidikan di Malaysia. Oleh itu, dengan adanya FPK, sistem pendidikan negara kita boleh dijadikan sebagai batu asas bagi membentuk sistem pendidikan yang bermula daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi dengan satu hala tuju yang berwawasan dan berprinsip untuk direalisasikan.

            Tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara telah dijelaskan dalam FPK yang mana kedua-duanya mempunyai keselarasan, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Oleh sebab itu, untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara, pendidikan menjadi proses asas dan yang paling utama dalam pembinaan insan yang baik seimbang dalam semua aspek.

            Tuntasnya, pendidikan merupakan satu proses dan aktiviti yang berterusan sepanjang hayat.  Hal ini kerana manusia sentiasa memerlukan ilmu dan sentiasa melalui proses belajar sepanjang hayatnya.  Malah, FPK juga mengambil kira dari sudut individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Hal ini kerana, pendidikan bukan sahaja untuk membangun dan membawa kesejahteraan diri kepada individu semata-mata.  Sebaliknya, ia sebenarnya bermula dengan hubungan individu berkenaan melalui dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan seterusnya membawa keterlibatan kepada negara itu sendiri.    

FALSAFAH PENDIDIKAN TIMUR, ISLAM DAN BARAT




            Melalui Falsafah Pendidikan Islam, Timur Dan Barat, saya telah menganalisis dan mendapati bahawa sememangnya falsafah pendidikan di Malaysia  telah digubal berlandaskan ideologi negara hasil daripada cetusan idea daripada FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM seperti dibawah :

“ Pendidikan Islam adalah satu usaha yang berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berteraskan al-Quran dan As-sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan Negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan akhirat “

            Jelaslah di sini bahawa, kita telah mencedok sebahagian besar daripada ideologi ahli falsafah Islam sehingga terbentuknya falsafah pendidikan yang ada di Malaysia sekarang.  Oleh yang demikian, dapatlah dibuktikan bahawa falsafah pendidikan Islam telah memberi impak serta  kesan yang besar terhadap perkembangan pendidikan di Malaysia.

            Seterusnya, kita lihat dari sudut pandangan barat pula. Sejauh manakah pendidikan di Malaysia melihat Falsafah Pendidikan Barat sebagai satu ikutan atau ‘role model’ untuk dikembangkan?

Pendidikan di Malaysia merupakan ‘suatu usaha yang berterusan’ di mana pernyataan diambil ini daripada pendapat  tokoh Barat iaitu John Jacques Rousseau (1712-1778) yang menyatakan bahawa pendidikan merupakan satu proses berterusan yang bermula semasa kecil.  

Pendidikan di Malaysia yang mengutamakan aspek JERI merupakan implikasi daripada pendidikan barat hasil daripada penjajahan British suatu masa dahulu.  Tenaga pengajarnya terdiri daripada pegawai British.  Mereka telah membawa masuk unsur-unsur yang terdapat dalam pendidikan Barat seperti perenialisme, essensialisme, progresivisme dan rekonstruktivisme.  

Unsur perenialisme telah dapat dilihat dalam pendidikan di Malaysia melalui mata pelajaran kesusasteraan Melayu di mana pelajar mengkaji karya-karya yang dihasilkan oleh sasterawan negara.  

 Selanjutnya, kita beralih kepada Falsafah Pendidikan Timur pula.  Falsafah timur ini sebenarnya bertujuan untuk mencapai kebijaksanaan, mengekalkan struktur kekeluargaan, menggubal undang-undang dan memenuhi kehendak sosial dan ekonomi.  

Pendidikan di China menyatakan bahawa guru merupakan fasilitator dan penyampai ilmu yang mahir.  Begitu juga di India yang menekankan peranan guru sebagai fasilitator dan pemangkin bagi menggerakkan perbincangan murid serta menjadi penjana idea yang kreatif dan bernas dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, pendidikan sekarang bukan sekadar berpusatkan guru sebaliknya boleh berpusatkan pelajar. Guru bertindak sebagai rujukan pelajar sekiranya mempunyai masalah.  Hal ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran merupakan proses komunikasi dua hala dan berkesan.

            Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa (1994) merumuskan bahawa falsafah pendidikan di Malaysia sebenarnya dikenali sebagai falsafah eklektisisme, iaitu sesuatu falsafah yang dicipta tersendiri daripada pelbagai falsafah yang sedia ada. Saya bersetuju dengan pendapat ini kerana pendidikan di Malaysia dipengaruhi oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dicipta  sesuai mengikut acuan rakyat Malaysia sendiri berdasarkan falsafah-falsafah yang sedia supaya hasrat rakyat Malaysia ke arah kecemerlangan pendidikan dapat menjadi kenyataan.

Kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa sememangnya implikasi falsafah pendidikan Timur, Islam dan Barat sememangnya membawa impak kepada perkembangan pendidikan di Malaysia. Sejarah pendidikan di Tanah Melayu juga telah membuktikan bahawa, sebelum tanah melayu dijajah oleh pihak Inggeris, sistem pendidikan pada waktu tersebut sangat mementingkan proses yang berterusan serta kearah keakhiratan. Namun begitu, setelah didatangi oleh pihak penjajah, sistem pendidikan tersebut secara perlahan-lahan telah diubah mengikut rentak pendidikan di Barat.

Thursday, 12 September 2013

Kisah Menarik Nabi Idris dengan Malaikat Maut


Nama Nabi Idris as. yang sebenarnya adalah ‘Akhnukh’. Sebab beliau dinamakan Idris, kerana beliau banyak membaca, mempelajari (tadarrus) kitab Allah SWT. Setiap hari Nabi Idris menjahit qamis (baju kemeja), setiap kali beliau memasukkan jarum untuk menjahit pakaiannya, beliau mengucapkan tasbih. Jika pekerjaannya sudah selesai, kemudian pakaian itu diserahkannya kepada orang yang menempahnya dengan tanpa meminta upah. 

Walaupun demikian, Nabi Idris masih sanggup beribadah dengan amalan yang sukar untuk digambarkan. Sehingga Malaikat Maut sangat rindu berjumpa dengan beliau. Kemudian Malaikat Maut bermohon kepada Allah SWT, agar diizinkan untuk pergi menemui Nabi Idris as. Setelah memberi salam, Malaikat pun duduk.

Nabi Idris as. mempunyai kebiasaan berpuasa sepanjang masa. Apabila waktu berbuka telah tiba, maka datanglah malaikat dari Syurga membawa makanan Nabi Idris, lalu beliau menikmati makanan tersebut.

Kemudian baginda beribadah sepanjang malam. Pada suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa makanan dari Syurga. 


Nabi Idris menikmati makanan itu. Kemudian Nabi Idris berkata kepada Malaikat Maut:

“Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama.” Tetapi Malaikat itu menolaknya.

Nabi Idris terus melanjutkan ibadahnya, sedangkan Malaikat Maut itu dengan setia menunggu sampai terbit matahari.

 Nabi Idris merasa hairan melihat sikap Malaikat itu. Kemudian beliau berkata:

“Wahai tuan, mahukah tuan bersiar-siar bersama saya untuk melihat keindahan alam persekitaran? Malaikat Maut menjawab: Baiklah Wahai Nabi Allah Idris.”

Maka berjalanlah keduanya melihat alam persekitaran dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. 

Akhirnya ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata kepada Nabi Idris as.:

“Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya untuk mengambil ini untuk saya makan? Nabi Idris pun menjawab: Subhanallah, mengapa malam tadi tuan tidak mahu memakan makanan yang halal, sedangkan sekarang tuan mahu memakan yang haram?”

Kemudian Malaikat Maut dan Nabi Idris meneruskan perjalanan mereka. Tidak terasa oleh mereka bahawa mereka telah bersiar-siar selama empat hari. Selama mereka bersahabat, Nabi Idris menemui beberapa keanehan pada diri temannya itu. Segala tindak-tanduknya berbeza dengan sifat-sifat manusia biasa. 

Akhirnya Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin tahunya itu.

Kemudian beliau bertanya: “Wahai tuan, bolehkah saya tahu, siapakah tuan yang sebenarnya?

Saya adalah Malaikat Maut.”
“Tuankah yang bertugas mencabut semua nyawa makhluk?”

“Benar ya Idris.”
“Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan juga telah mencabut nyawa-nyawa makhluk?”

“Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang telah saya cabut. Roh makhluk-makhluk itu bagaikan hidangan di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap-nyuap makanan.”

“Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang, apakah untuk ziarah atau untuk mencabut nyawaku?”
“Saya datang untuk menziarahimu dan Allah SWT telah mengizinkan niatku itu.”

“Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu permintaanku kepadamu, iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohonkan kepada Allah agar Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah Allah Setelah aku merasakan dahsyatnya sakaratul maut itu.”

Malaikat Maut pun menjawab: “Sesungguhnya saya tidaklah mencabut nyawa seseorang pun, melainkan hanya dengan keizinan Allah.”

Lalu Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat Maut, agar ia mencabut nyawa Idris as. Maka dicabutnyalah nyawa Idris saat itu juga. Maka Nabi Idris pun merasakan kematian ketika itu. Di waktu Malaikat Maut melihat kematian Nabi Idris itu, maka menangislah ia. 

Dengan perasaan hiba dan sedih ia bermohon kepada Allah supaya Allah menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris pun dihidupkan oleh Allah SWT kembali. 

Kemudian Malaikat Maut memeluk Nabi Idris, dan ia bertanya:
“Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan maut itu?”
“Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup, maka sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya.

“Padahal-kelembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika saya mencabut nyawa tuan itu, belum pernah saya lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan.”

“Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai permintaan lagi kepada tuan, iaitu saya sungguh-sungguh berhasrat melihat Neraka, supaya saya dapat beribadah kepada Allah SWT lebih banyak lagi, setelah saya menyaksikan dahsyatnya api neraka itu.”

“Wahai Idris as. saya tidak dapat pergi ke Neraka jika tanpa izin dari Allah SWT.”
Akhirnya Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat Maut agar ia membawa Nabi Idris ke dalam Neraka. Maka pergilah mereka berdua ke Neraka.

 Di Neraka itu, Nabi Idris as. dapat melihat semua yang diciptakan Allah SWT untuk menyiksa musuh-musuh-Nya. Seperti rantai-rantai yang panas, ular yang berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok-pokok yang penuh berduri, air panas yang mendidih dan lain-lain.

Setelah merasa puas melihat keadaan Neraka itu, maka mereka pun pulang. Kemudian Nabi Idris as. berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai hajat yang lain, iaitu agar tuan dapat menolong saya membawa masuk ke dalam Syurga. 

Sehingga saya dapat melihat apa-apa yang telah disediakan oleh Allah bagi kekasih-kekasih-Nya. Setelah itu saya pun dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah SWT. Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke dalam Syurga, tanpa perintah dari Allah SWT.” Jawab Malaikat Maut.

Lalu Allah SWT pun memerintahkan kepada Malaikat Maut supaya ia membawa Nabi Idris masuk ke dalam Syurga.

Kemudian pergilah mereka berdua, sehingga mereka sampai di pintu Syurga dan mereka berhenti di pintu tersebut.


Dari situ Nabi Idris dapat melihat pemandangan di dalam Syurga. Nabi Idris dapat melihat segala macam kenikmatan yang disediakan oleh Allah SWT untuk para wali-waliNya. Berupa buah-buahan, pokok-pokok yang indah dan sungai-sungai yang mengalir dan lain-lain.


Kemudian Nabi Idris berkata:

“Wahai saudaraku Malaikat Maut, saya telah merasakan pahitnya maut dan saya telah melihat dahsyatnya api Neraka. Maka mahukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki Syurga untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api Neraka?”

Maka Malaikat Maut pun bermohon kepada Allah. Kemudian Allah memberi izin kepadanya untuk memasuki Syurga dan kemudian harus keluar lagi. Nabi Idris pun masuk ke dalam Syurga, beliau meletakkan kasutnya di bawah salah satu pohon Syurga, lalu ia keluar kembali dari Syurga. Setelah beliau berada di luar, Nabi Idris berkata kepada Malaikat Maut:
“Wahai Malaikat Maut, aku telah meninggalkan kasutku di dalam Syurga. Malaikat Maut pun berkata: Masuklah ke dalam Syurga, dan ambil kasut tuan.”

Maka masuklah Nabi Idris, namun beliau tidak keluar lagi, sehingga Malaikat Maut memanggilnya:

“Ya Idris, keluarlah! Tidak, wahai Malaikat Maut, 

kerana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Setiap yang berjiwa akan merasakan mati.” (Ali-Imran: 185)  Sedangkan saya telah merasakan kematian.

Dan Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi Neraka itu.” (Maryam: 71)


Dan saya pun telah mendatangi Neraka itu. 

Dan firman Allah lagi yang bermaksud:

“..Dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya (Syurga).” (Al-Hijr: 48)


Maka Allah menurunkan wahyu kepada Malaikat Maut itu: “Biarkanlah dia, kerana Aku telah menetapkan di azali, bahawa ia akan bertempat tinggal di Syurga. 

Allah menceritakan tentang kisah Nabi Idris ini kepada Rasulullah SAW dengan firman-Nya bermaksud:

“Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” (Maryam: 56-57)

Wallahua’alam


Wednesday, 11 September 2013

Siapakah Juha? Jom baca 5 buah kisah lucu Juha...



Pekikan Jubah

Abul Hasan menceritakan pula bahawa seorang lelaki telah mendengar suara orang berteriak dan mengadu kesakitan di rumah Juha.

“Aku mendengar suara pekikan di rumah tuan, apa gerangan?” tanya lelaki itu kepada Juha.

“Jubahku jatuh dari atas rumah.” jawab Juha.

"Err..hanya jubah jatuh pun sampai terpekik-pekik?”

“Engkau ini bodoh. Jika engkau sedang memakai jubah, dan jubah yang dipakaimu jatuh, bukankah engkau ikut jatuh bersamanya?” kata Juha.


Kubur Di Atas Tanah

Suatu hari seorang jiran Juha meninggal dunia, maka Juha bertanggung jawab ke atas pengkebumiannya. Dia lalu pergi kepada tukang gali kubur untuk memesan sebuah kuburan. Akan tetapi terjadi pertengkaran antara Juha dan tukang gali kubur berkenaan dengan upah menggalinya. Tukang gali kubur meminta upah sekurang-kurangnya lima dirham, dan kalau tidak, dia tidak mahu menggali kubur. Juha tidak setuju akan bayaran sebanyak itu. Tiba-tiba dia pergi ke pasar membeli beberapa biji kayu papan dengan harga dua dirham dan dibawanya ke perkuburan

“Buat apa kayu itu?” tanya orang ramai.

“Tukang gali kubur tidak mahu menggali kuburan kalau tidak dibayar sekurang-kurangnya lima dirham. Aku beli papan ini dengan harga dua dirham sahaja. Aku akan tutup saja mayat jiranku itu dengan papan ini dan akan diletakkan di atas tanah perkuburan. Aku masih untung tiga dirham. Di samping itu, si mayat tidak terkena himpitan kubur dan terhindar dari pertanyaan Malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur. "


Unta Minta Upah?

Suatu ketika Juha pergi keluar untuk membeli gandum. Setelah gandum dapat, lalu dinaikkan ke atas untanya untuk dibawa balik.

Tiba-tiba unta yang dikenderainya lari dengan membawa gandum yang baru digiling itu. Setelah beberapa hari kemudian, Juha menjumpai untanya. Akan tetapi Juha mengelak daripada dilihat oleh untanya.

“Mengapa engkau menyembunyikan diri dari untamu?” tanya seseorang kepadanya.

“Aku khuatir unta itu meminta wang tambang kepadaku. Oleh kerana itulah aku bersembunyi daripadanya.” jawab Juha.


Kambing Ajaib

Semasa remajanya, Juha pernah disuruh ke pasar oleh ayahnya untuk membelikan kepala kambing bakar. Dia pun pergi dan membeli sebuah kepala kambing bakar yang baik dan dibawanya pulang.

Di tengah perjalanan, Juha berhenti dan membuka kepala kambing itu, lalu dimakannya kedua-dua matanya, kedua-dua telinganya, lidahnya dan otaknya. Kemudian sisanya yakni tengkorak- tengkoraknya dibawa pulang dan diserahkan kepada ayahnya.

Sudah tentu ayahnya sangat terkejut kerana kepala tersebut sudah kosong dan bahagian-bahagian lainnya juga hilang.

“Celaka kamu, apa ini?” kata ayahnya..

“Itulah kepala yang ayah minta.” jawab Juha.

“Mana kedua-dua matanya?” tanya ayahnya lagi..

“Ia adalah kambing buta.” jawab Juha..

“Mana kedua-dua telinganya.”

“Kambingnya tuli.” jawab Juha.

“Lidahnya juga tidak ada, ke mana?” tanya ayahnya.

“Kambing itu kelu agaknya.” Jawab Juha.

“Sampai pada otaknya juga tidak ada, ke mana?”

“Kambingnya botak.” jawab Juha.

Ayahnya tidak dapat menerima kepala kambing yang tidak sempurna itu kerana merasa rugi.

“Celaka engkau Juha. Sila kembalikan kepala kambing ini kepada penjualnya, dan tukar dengan yang lain.” kata ayahnya.

“Pemiliknya telah menjual kambing itu tanpa sebarang cacat.” jawab Juha.


Membeli Bangkai

Suatu hari Juha melihat budak-budak mempermain-mainkan seekor burung yang sudah mati.

“Boleh jual kepadaku burung itu?” Tanya Juha.

“Burung sudah mati akan engkau beli, buat apa?” Tanya budak-budak itu.

“Aku memang ingin memilikinya.”

“Kalau nak juga, sila beli.” Kata budak-budak itu.

Juha membayar burung mati itu dengan harga satu dirham kemudian dibawanya pulang. Sesampainya di rumahnya, ibu hairan dan marah. “Hai Juha! Buat apa kau bawa burung yang sudah jadi bangkai itu?” tanya ibunya.

“Diamlah bu. Jika burung itu hidup, aku tidak sanggup mengeluarkan seratus dirham untuk membeli makanannya.” Jawab Juha.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Juha Al-Kufi Al-Fazzari, juga dikenali sebagai Abul Ghusn adalah seorang yang terlalu pelupa dan lurus walaupun cerdik, sehingga perjalanan hidupnya banyak yang aneh. Ibunya adalah khadam kepada ibu Anas bin Malik, sahabat Nabi SAW. Al-Jauhari di dalam kitab menamakannya Juha. Pengarang kitab “Al-Qamus” mengatakan bahawa Juha adalah gelarannya, sedang namanya yang sebenar adalah Dajin bin Thabit. Akan tetapi Ibnu Hajar di dalam kitab “Lisanul Mizan” menafikan bahawa Juha adalah Dajin bin Thabit. Selain Juha Al-Kufi yang berbangsa Arab ini, ada lagi orang bernama Juha, tapi berasal dari Turki. Sehingga kadang-kadang kisah kedua-dua Juha itu bercampur.